1 Bulan 3 Bintang
Dua cinta:)
Semalam (29/05/10), giliran novel Satu Bulan Tiga Bintang (novel ke 4) dipromosikan di Program Kids On 2 RTM2. Rakaman diadakan di Glenmarie,Shah Alam.
Jack : Selamat datang kepada penulis Buku Satu Bulan Tiga Bintang iaitu Kak Ummu Hani Abu Hassan.
Penulis: Terima kasih (angguk dan bersalaman dengan Jack)
Jack : Saya nak Panggil Kak Ummu atau Kak Hani?
Penulis : Boleh panggil Kak Hani.
Jack: Macam mana Kak Hani boleh terlibat dalam dunia penulisan? Menurut blog Kak Hani di www.ummuhani.com, Kak Hani telah terlibat dalam dunia penulisan sejak berusia 16 tahun, betulkah?
Penulis: Alhamdulillah. Masa kanak-kanak dulu kakak selalu menulis diari, lepas tulis diari kakak cuba menulis cerpen dan puisi. Apabila karya pertama tersiar di majalah, kakak rasa gembira dan seronok untuk terus menjadi seorang penulis.
Jack: Sudah berapakah karya kakak?
Penulis: Alhamdulillah, kakak sudah menghasilkan enam buah novel, lebih 40 buah cerpen yang tersiar di pelbagai media cetak dan 3 buah skrip drama televisyen.
Jack: Siapakah pendorong utama kakak dalam dunia penulisan?
Penulis: Kakak bersyukur kerana ayah kakak seorang penulis sebelum kakak lahir ke dunia lagi. Jadi kakak hidup dalam proses kepengarangan ayah. Melihat ayah menulis menyebabkan kakak rasa teringin untuk jadi seorang penulis.
Jack: Bolehkah kakak ceritakan sedikit tentang novel Satu Bulan Tiga Bintang?
Penulis: Buku Satu Bulan Tiga Bintang ini menceritakan tentang gadis bernama Umairah. Ketika dia nak hadapi PMR, ibunya telah meninggal dunia kerana sakit kanser. Jadi, kakak sebagai penulis cuba membantu Umairah untuk kuatkan semangatnya, jadi Umairah dikuatkan dengan neneknya yang baik, kawan-kawan yang memahami, guru yang penyayang serta ayah dan abang-abang yang menceriakan. Cuma, setelah dia mendapat kekuatanĀ untuk terus menjadi remaja yang berjaya, dia menghadapi dilema apabila bapanya pula mahu berkahwin dengan pembantu rumah mereka. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, adik-adik semua kenalah membaca novel Satu Bulan Tiga Bintang.
Jack: Wah..kawan-kawan di luar sana kenalah dapatkan buku Kak Ummu Hani untuk tahu kisah Umairah ini. Ok Kak Ummu Hani, terima kasih kerana sudi bersama Kids On 2
Penulis dan Jack bersalaman.
Cutttt (kata pengarah rancangan)
(Terima kasih buat suami yang sudi menemani pada hari itu:)










