Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Amy Search dan Norish – Saat mencium Kaabah

hi_02_big.jpg

Meja Anis kali ini ripuh apabila cadangan untuk menemubual artis ini dengan isterinya muktamad. Kenapa dia? Serasikah imej rocknya dengan majalah Anis yang Islamis? Pertanyaan demi pertanyaan berlangsung di minda sehinggalah team Anis berkesempatan berkunjung ke rumah mereka di Kota Damansara, Kuala Lumpur. Tika bersua wajah, baharulah pertanyaan terjawab, artis ini sememangnya insan terpilih dan mempunyai 1001 kisah tauladan untuk dikongsi dengan masyarakat.

Beliau yang dimaksudkan ialah Amy Search dan isterinya Norish yang baharu sahaja menjadi tetamu Allah. Dibalut kejernihan azam dan kemanisan cintaNya, suami isteri ini berkongsi pengalaman berharga sebagai pengembara di bumi Tuhan.
Anugerah Terbesar Buat Amy Search

Orangnya mesra, bertubuh sederhana dan berkulit cerah. Bapa kepada empat cahaya mata ini berusia 49 tahun, namun wajahnya muda tidak membayangkan usia sebenar. Dia memberitahu, sudah 25 tahun dia berkecimpung dalam dunia hiburan dan sudah memenangi lebih 20 anugerah seni peringkat lokal dan antarabangsa tetapi satu anugerah yang paling bernilai buatnya ialah dijemput Allah menjadi tetamu di Mekah al-Mukaramah.

Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi bin Abdul Rahman sebenarnya sudah lama menyimpan impian menjadi penziarah kaabah. Hatinya mahu dekat dengan Allah dan Rasulullah SAW kerana fitrah agamanya sejak kecil disemai ibubapa. Nyata niat yang dipasang awal dimakbulkan oleh Allah pada bulan Mei yang lalu, membawanya dan isteri ke Mekah dengan diketuai oleh Ustaz Badrul Amin, seorang pendakwah bebas.

Rock dan Rambut Panjang Bukan Masalah

Kata ikon ramai remaja ini, imejnya di pentas sering disalah tafsirkan segelintir masyarakat. Sebahagian berpandangan penyanyi rock sepertinya tidak mengambil-berat suruhan agama walhal dia yakin, hatinya yang ikhlas dalam kerjaya juga keinginannya mendalami agama telah melorongkan Amy dan isteri ke sisi Kaabah. “Ada kawan-kawan tanya, sanggupkah potong rambut yang sekian lama saya simpan ni? Jawapannya mudah, saya dah botak dan berazam tidak berambut panjang lagi sekarang,” jelas Amy Search. “Ibu saya pesan, semua orang tak pernah lepas dari silap, dari dosa. Semua kita ni serba kekurangan yang penting adalah hati. Jika hati sudah bulat menziarahi Baitullah, pergilah dengan jiwa yang ikhlas,” Ujar Amy mengulangi nasihat bondanya, Hajah Fatimah Abdullah. .

Menurut Amy Seacrh, hatinya bermonolog dengan Tuhan sepanjang penerbangan ke Mekah. Dirinya sudah diserahkan kepada-Nya dengan jiwa pasrah dan redho. Baginya, momokan orang-orang seni sepertinya bakal mendapat ‘balasan’ di tanah suci terpadam kerana Allah lebih tahu hati setiap hamba-Nya. “Pesanan ibu tadi saya pegang kuat-kuat. Alhamdulillah, ibadah saya dipermudahkan sehingga pulang ke tanah air,” kata Amy Search yang bersyukur dapat menunaikan umrah sebanyak 6 kali dan 2 kali menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi.

“Saat berada di sisi makam Rasulullah SAW, hati terpana. Air mata saya luruh. Alangkah kerdilnya diri di samping baginda SAW. Bersisakah ruang untuk saya menjadi pengikut Rasulullah SAW di akhir zaman? Saya bersyukur, di tengah kesesakan orang ramai, Allah tarik saya dekat dengan jasad baginda SAW.” Kata Amy Search, malam-malam di Kota Madinah amat mengasyikkan. Neon dari kubah Masjid Nabi ada nilai estika yang unik bahkan menggamit hati beribadah tanpa penat. Tambahnya lagi “Allah meraikan kedatangan saya sebagai seorang hamba. Walaupun saya rock, saya tidak rasa Dia menyisihkan saya malahnya cinta-Nya itu dapat saya rasai hingga sekarang.”

Dia tidak lupa bercerita peristiwa lucunya di Mekah kepada kami. Sebelum pulang ke tanah air, Amy dan isteri sempat membeli buah tangan untuk saudara-mara di tanah air. “Sedang membelek buah-buah kurma, mata penjual (rakyat Indonesia) meneliti wajah saya. Penjual itu kemudian bising dengan kawan-kawannya apabila menyedari saya ‘Amy Search, riuh seketika di situ. Buah kurma yang dijual kepada saya lebih murah berbanding pengunjung lain,” tawa Amy Search. Jelasnya lagi, dua tiga orang peminatnya tidak menyangka akan bertemu Amy Search di hadapan kaabah.

“Apa peristiwa yang paling Abang Amy ingat ketika di Mekah?” aju kami. Langsung dia menyebut. “Saya dengar suara saya sendiri menyanyikan lagu Mentari Merah di Ufuk Timur kala mendaki Gua Hira’,” kata Amy Search sebelum mengulangi semula rangkap lagu tersebut, “Kekal selamanya cintaku dengan cahayaMu, kekal selamanya tetap dalam ingatanku..” Dalam kerutnya, dia menafsir, “Lagu itu rupanya tersirat mesej agung. Cinta yang dimaksudkan bukan cinta untuk manusia tetapi cinta untuk Tuhan. Suara saya sendiri berdesing di telinga ketika panjat Gua Hira’, pelik bukan? Memang lirik itu ada ‘sesuatu’ pada saya,” jelas Amy, tidak penat mengimbau kenangan di Tanah Haram. “Saya akan pergi lagi bersama kawan-kawan sealiran ke sana, insya Allah,” akhirinya.

Bila Isteri Bertudung

Amy Search yang habis bercerita sempat menjeling isterinya, Norish yang sedang bersiap di hadapan lensa. “Isteri saya memang cantik dan sopan bertudung. Suatu hari dia pulang ke rumah sudah pakai tudung, saya agak terkejut. Dalam hati, memang gembira sangat. Saya pesan padanya, kalau pakai tudung biarlah ikhlas dari hati, bukan sekadar fesyen. Alhamdulillah, saya yakin, perubahan dia memang hadiah dari Allah SWT. Lepas ni kami berazam mahu didik anak-anak dengan pendidikan agama secukupnya,” kata Amy bersambut doa kami semoga hidup mereka sekeluarga diberkati Allah SWT.

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com