AMMAN – Rumah yang aku tumpangi terletak sangat strategik di kawasan Arjan‘ mengadap komplek kedai, restoran dan mini market ‘Aswaq Mahmal’ dalam Mujamma’ ad-Dhiya’ at-Tijari. Sewaktu pertama kali masuk ke rumah mewah milik Munirah dan keluarganya yang terletak di tingkat empat, sudah terbit perasaan terharu. Rupanya, aku ada ukhwah di bumi Jordan yang boleh kukatakan agak rapat. Aku telah bertemu dengan Kak Fizah dan suaminya yang mengusahakan restoran makanan Melayu di sini. Kedua mereka adalah teman ibubapaku dan jiranku ketika usiaku sekitar 7-9 tahun di Kampung Sg. Pencala, Kuala Lumpur. Malah, adik-adik comel, Adib, Mamat, Yah dan Mubarakah pula adik teman baikku Atiyah. Cuma, kerana ruang masa, perjuangan dan persekitaran berlainan, menyebabkan kami renggang. Siapa tahu, di bumi Lembah Syam (Syria dan Jordan) telah menyatukan semula hubungan ukhwah Islam ini? Subhanallah.
7 Feb 2007 - Munirah telah menyediakan jadual pelancongan untuk ‘kak ummunya’. 4 hari aku di sini sebolehnya mahu dimanfaatkan sebaik mungkin olehnya sebagai tuan rumah. Kebolehannya memandu juga satu rahmat kepadaku untuk berjalan ke tempat bersejarah/ berkat yang berselerak di bumi Jordan.
Dengan jip Mitshubishi, Munirah memandu cekap meredah aura sejuk waktu tengah hari Amman ke Makam Nabi Syuaib a.s yang terletak di bahagian Salt. Bersama kami juga pasangan pengantin baru, Ustaz Basit (bekas mahasiswa Universiti Amman) bersama isterinya, Ain (24 tahun). Bertuahnya, Ustaz Basit yang sudah hampir 10 tahun tinggal di Jordan (sejak berusia 15 tahun) boleh bercerita kepada kami sejarah Jordan secara umum.
Jordan bawah pemerintahan Raja Abdullah 2 (selepas kematian Raja Hussien 1999) begitu laju membangun setanding negara –negara Arab utama. Bahkan perkiraanku, Jordan lebih pesat dengan kemajuan terancang berbanding Syria. Bentuk muka buminya yang berbukit dalam cuaca mediterranian, adalah bonus kepada bumi Ashabul Kahfi ini membangunkan industri siahah/ pelancongan.
Jordan atau nama asalnya Philadelphia terletak dalam Lembah Syam yang turut menjadi perhatian Khalifah Sultan Salahuddin al-Ayubi (661-750m) untuk membebaskannya daripada kerajaan Byzantine Rom kepada Islam. Kira-kira hanya 1 juta penduduk asalnya telah menjadi 4.7 juta dengan kemasukan ramai penduduk luar dari Russia (Sharkash), Kurdi, Palestin dan lain-lain. Majoriti penduduk adalah Muslim (lebih 80%), 17 % adalah beragama Kristian manakala selebihnya Yahudi dan lain-lain.
- Sultan Salahuddin Ayub
- Nabi Syuaib a.s
- Nabi Yushaq a.s
- Sejarah Ashabul Kahfi
- Sejarah Rum
- Sejarah Nabi Lut
- Kisah Nabi Musa menjaga telaga Nabi Syuaib
- Mukjizat tongkat Nabi Musa a.s






