Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

YB Dato’ Khalidah Adibah bin Hj Ayob – Melihat Politik Dengan Hati Seorang Ibu

Wajahnya lembut keibuan tidak jemu mata yang memandang. Bicaranya lembut menusuk ke hati sesiapa yang mendengar. Selalu dalam bualannya diselitkan kata-kata nasihat dan peransang. Malah wanita ini bukan sahaja disenangi teman seangkatan, tetapi mesra dan rapat dengan setiap golongan masyarakat sama ada Muslim atau non Muslim.

Itulah YB Dato’Khalidah Adibah bt Hj Ayob, anak jati negeri Jelapang Padi yang juga merupakan salah seorang barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah. YB Dato’ yang lebih gemar dipanggil YB Adibah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bukit Kayu Hitam sejak tahun 2003. Peranannya sebagai ahli politik tidak sedikitpun menggugah tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima anak iaitu Ahmah Afeeq Ashraf, 18 tahun, Ahmad Aliff Afifi,16 tahun, Nur Fitri Zulaikha, 15 tahun, Nur Fatin Zuhaili, 9 tahun dan Nur Firzana Zuhairah, 2 tahun.
Mata hati seorang ibu.

YB Adibah bercerita, Kala seorang ibu tunggal teresak duka ditimpa kemiskinan, datang ibu yang lain pula menangisi malang dirinya kerana anak-anak terlibat dengan lumba haram dan najis dadah.  Jiwanya juga tersentuh saat melihat masyarakat Melayu desa masih terpinggir jauh dari kepesatan pembangunan, hidup sekadarnya ibarat bidalan seekor ayam. Dan paling menyayatkan, anak-anak muda Melayu semakin hari semakin jauh dari landasan jatidiri Islam. Semua itu membakar azamnya untuk berjuang di arena politik bagi membantu mereka yang dihimpit kesusahan.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan saya sifat kepekaan kepada masalah orang lain. Sejak di alam persekolahan dan IPT, saya sentiasa menjadi rujukan teman-teman lain untuk menyelesaikan masalah mereka. Rupanya, itu latihan awal sebelum saya bergelumang dengan kerja-kerja kemasyarakatan yang tidak pernah habis,” kata YB muda yang berusia 42 tahun ini. Melihat pencapaian akademiknya, YB Adibah memang layak memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, suatu tugas yang penuh cabaran dan perit. Bekas pelajar SMK Sulatanah Asma, Alor Setar ini pernah menuntut di Institut Teknologi Malaysia (ITM) Arau dalam jurusan Pengajian Perniagaan dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains, Politik dan Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Malah, kerana mahu mendalami keadaan rakyat dengan lebih serius, YB Adibah kini mengikuti pengajian peringkat sarjana Psikologi Kaunseling di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

“Bagaimana YB bahagikan masa antara keluarga, masyarakat, anggota kerajaan negeri  dan juga pelajar sarjana?”soal penulis. Wanita berhati waja ini senang berkongsi bahawa yang penting padanya ialah memaksimumkan kualiti masa. “Setiap orang mempunyai 24 jam sahaja masa dalam tempoh sehari semalam, tiada yang lebih. Bonusnya adalah pada mereka yang menggunakan masa sebaik mungkin. Kerja yang perlu dibereskan pada hari ini, jangan dibiarkan tertangguh. Prinsip saya, setiap kerja terutama yang melibatkan kebajikan rakyat mesti cepat, cekap dan cermat. Sebolehnya pihak saya akan melaksanakan tugas sebaik-mungkin untuk rakyat, insya Allah.” Menurut beliau lagi, suami dan anak-anaknya adalah keutamaan hidupnya. Beliau bersyukur dikurniakan suami, Encik Azhar bin Hassan yang banyak berkorban menjaga anak-anak sekiranya beliau terpaksa bertugas di luar kawasan. “Saya menyusukan semua anak termasuk yang paling bongsu ini,” jelas YB Adibah yang memandang anak-anak sebagai rakyat yang perlu diberi perhatian juga melihat rakyat sebagai anak-anak yang perlu dicurahkan kasih-sayang.  “Politik adalah medan kita berdakwah dan berbuat baik kepada insan yang lain,” kata YB Adibah yang menjadikan ibunya, Hajah Azizah sebagai mentor dalam bidang politik.

Hubungan dua hala

Saat disuguh pelbagai tanggungjawab, dirinya tidak lepas dari tekanan ibarat keldai yang dibebankan muatan yang berat. “Kita menjadi harapan orang lain menyumbangkan sesuatu pada kehidupan mereka. Berat sekali memikulnya,” katanya. Bagi meraih kekuatan diri, qiyamulail menjadi rutinnya. Ruang sepertiga malam digunakan untuk bermuamalah dengan Allah SWT selaku Pencipta dan Pembuka pintu masalah manusia. “Wakil rakyat hanya makhluk biasa yang cuma berusaha sekadar kudratnya untuk membantu orang lain. Pemutusnya adalah Allah SWT. Justeru adalah penting bagi pemimpin yang menjadi perantara masyarakat untuk selalu berhubung denganNya.”

Menyentuh seputar tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Adibah memegang portfolio Pembangunan Wanita, Koperasi, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan  serta Badan-Badan Bukan Kerajaan. Tugasnya banyak menghubungkan beliau dengan rakyat negeri dan memberi peluang beliau berinteraksi secara terus dengan mereka. “Kerajaan negeri berterusan membasmi masalah institusi keluarga terutama yang melibatkan gejala sosial di kalangan anak-anak, kemiskinan tegar juga keganasan dalam rumahtangga. Hati saya sendiri berasa gerun saat individu-individu terlibat mencurahkan masalah rumahtangga mereka, baharulah kita tahu institusi keluarga sebahagian masyarakat sebenarnya hampir runtuh.” Beliau turut menasihati masyarakat agar bekerjasama membasmi masalah dadah yang menurutnya kebanyakan para penagih datang daripada keluarga yang bermasalah. “Insya Allah, kerajaan negeri Kedah sedang menjalankan kempen Baiti Jannati dalam usaha memperkukuhkan hubungan kekeluargaan  masyarakat.

Setiap perkara bernilai dakwah

Tidak puas mendengar bicara seorang wakil rakyat yang merendah diri sepertinya.  Akhir bicara, YB Adibah berkata, tekadnya adalah untuk lebih gigih melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Bahkan, beliau sedar bahawa setiap perkara yang dilakukan bakal dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti. “Setiap manusia itu adalah pemimpin kepada dirinya,” akhiri YB Dato’ Khalidah Adibah.

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com