Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Sistem TV Lalat

images5.jpg Oleh: Ummu Hani Abu Hassan 

 

Seekor lalat terbang tinggi dari lubang kegemarannya iaitu lubang najis tepi rumah Pakcik Adan. Lalat itu dengan kegemarannya mengintai anak dara dan mak dara di celah keping zink yang memisahkan tandas rumah Pakcik Adan dengan rumah Apek Lim tersenyum kegirangan. Adalah menjadi suatu kepuasan padanya dapat bertenggek di mana-mana kawasan bernajis sama ada di tandas keluarga Pakcik Adan atau tandas keluarga Apek Lim. Sambil itu, sempat juga dia membaringkan diri atas kolah, menyumpit-nyumpit air di muncung setelah puas menyedut tahi dalam lubang tandas kedua-dua keluarga itu. Baginya, walaupun dua keluarga itu berlainan bahasa dan kulit malah bentuk hidung dan mata, rasa tahi mereka tidaklah banyak beza. Cuma, sesekali rasa pahit apabila menyedut tahi di tandas Apek Lim lebih keras berbanding dalam lubang najis Pakcik Adan. Tahi itu berkemungkinan mengandungi toksin badan khinzir yang menjadi santapan bulanan keluarga bermata sepet itu.

 

Lalat itu terbang tinggi, melilau-lilau di kawasan perumahan yang terbina atas kawasan endap beberapa kilometer dari laut Pekan Kuala Pisang. Sudah lama dia menyabung nyawa dalam kawasan itu dan rasanya dia tidak ingin berpindah. Kawasan yang tidak terpelihara sistem pengairan dan saluran najis di situ adalah paling strategik dan selesa untuknya. Bahkan, itulah koridor raya yang membiakkan bangsanya untuk bermaharaja lela. Tahi-tahi pula selalu jatuh dari lubang tandas terjun ke dalam lecah air yang kemudiannya membentuk kolam. Berlumut dan berlendir. Baunya adalah terbaik buat warga lalat sepertinya.

 

Tap! Lalat itu membatukan diri sejak melihat kelibat isteri Pakcik Adan masuk ke dalam tandas sambil berkemban. Lama perempuan itu berdiri di depan cermin, memerhatikan wajahnya yang mulai gelembir dan berkedut. Bedak Siam yang selalu dipakai perempuan itu sejak muda rupanya memberi kesan jangka panjang. Tengoklah rupanya kini menjadi tidak sekata dengan tompok-tompok hitam di bawah mata. Bahkan jeragat juga makin menumbuh bahagian atas pipinya. Perempuan itu kemudiannya membuka getah rambutnya lalu terurailah rambut panjang. Paling mengejutkan, rambut panjang yang menutup ruang kepala juga boleh dibuka. Jelaslah kepala asalnya hanya ditutupi beberapa helai sahaja rambut bahkan seluruhnya berwarna putih. Lalat itu mengemam mulut. Aduh! Hodoh sekali isteri Pakcik Adan.

 

Tidak sangka pula perempuan itu juga yang dijumpainya memakai baju kurung putih berkain merah darah sambil kepala diselubung tudung merah ang-ang dengan jambul sejempol ala-ala para datin. Perempuan itulah yang becok berkempen kepada perempuan-perempuan kuala supaya jangan silap memangkah antara Parti Cermin Mata dengan Parti Peluru. Maka menurut kelaziman dan adat nenek moyang di kuala sejak 50 tahun lalu, wajiblah sekalian di situ memangkah Parti Cermin Mata. “Dengan Parti Cermin Mata, kita boleh menerobos jauh ke hadapan, bukan sahaja di Kuala Pisang, Kuala Nenas, Kuala Kelapa Sawit bahkan kuala-kuala seluruh negara ini akan dibangunkan wilayah ekonomi terbaik setanding Las Vegas.” Itulah antara kata-kata yang selalu dijeritkan isteri Pakcik Adan ini yang diingat oleh si lalat.

 

Tidak ada apa yang menarik pada tubuh perempuan itu. Dalam hatinya, si lalat mahu menyampaikan kisah sensasi kepada para warganya di stesen tv lalat yang beroperasi 24 jam bawah jambatan kayu yang dipenuhi sampah, tulang ikan, botol yang semuanya terapung atas air. Dia mahu menyampaikan bahawa isteri Pakcik Adan itu sebenarnya botak dan jambulnya yang keluar dari selendang merah itu dibuat dari bulu kuda yang disembur pewarna perang. Tentulah kisah ini menjadi sensasi kerana dia akan menambah cerita bahawa perempuan itu juga mempunyai kutu atas kepalanya yang tinggal beberapa helai rambut.

 

Sebelum terbang keluar, mata si lalat sempat menangkap batang tubuh seorang lelaki berkulit putih sedang mandi di balik zink rumah Pakcik Adan. Rupanya Apek Lim sedang mandi sambil bersiul girang. Lalat masuk ke celah lubang, bau sabun Zaitun mewangi ruang tetapi padanya, bau lubang najis tempat tidurnya lebih enak. Kurus betul badan Apek Lim tapi wajahnya ceria sahaja. Apakah dia mendapat untung hasil jualan besi-besi buruk dan surat khabar lama tadi? Lalat terbang ke bawah tandas, sejurus badannya basah disimbah air mandian Apek Lim dan sesekali tempias air mandian isteri Pakcik Adan turut terkena. Terfikir juga lalat, apa tidak malukah isteri Pakcik Adan kalau-kalau Apek Lim mengintainya mandi? Bukan susah, sekali dia melekap mata pada lubang zink, nampaklah dia batang tubuh gemuk isteri Pakcik Adan yang hanya berkelubung kain kemban juga rambutnya yang botak. Si lalat mencari akal untuk naik mengacau Apek Lim.

 

Lalat itu terbang ke hidung Apek Lim. Sejurus apek yang tidaklah terlalu tua itu mula menampar badannya. Malangnya, tangan itu terkena zink. Bunyi kuat menyebabkan isteri Pakcik Adan di sebelah melatah. “Oi, tak malu mengintai aku!” Lalat itu berjaya melolos diri ke bawah lubang sambil terkekek memerhatikan isteri Pakcik Adan kembali menyarung rambut palsunya.

 

Malam itu, di bawah jambatan tempat stesen tv lalat memancar, drama asmara antara anak gadis Pakcik Adan dengan anak lelaki Apek Lim disaksikan seluruh warga lalat. Mereka telah menggelarkan drama itu Semilu Sepet yang selalu berlangsung pada malam Ahad. Malam Ahad adalah malam Pakcik Adan dan isterinya pergi ke bilik gerakan Parti Cermin Mata manakala keluarga Apek Lim selalu bermain judi di rumah taukenya di pekan Kuala Pisang.

 

“Sekarang ini, drama Semilu Sepet akan bersiaran setiap malam,” kata kawan betina lalat. “Kenapa makin kerap? Macam ni aku tak boleh pergi kerjalah takut terlepas drama tu,” kata adik jantan lalat yang kerjanya menghidu tempat-tempat tahi baru untuk kaum lalat. “Sekarang nak pilihan raya, mak bapak budak perempuan dan lelaki tu dah tak ambik peduli pasal anak-anak, jadi setiap malam budak perempuan dan lelaki sepet tu ‘bercindai’ lah bawah jambatan ni.” “Iyakah, macam tu aku ponteng kerja hidu tahilah,” balasnya.

Memang ‘projek’ anak perempuan Pakcik Adan dengan anak lelaki Apek Lim berlangsung lama. Sejak budak dua orang itu sekolah rendah lagi. Sekarang keduanya dalam tingkatan satu, darah muda bercampur nafsu menyebabkan drama Semilu Sepet hangat disaksikan kaum lalat tak kira tua atau muda. “Kau tahu, channel tv di jambatan sebelah ada drama best juga,” kata kawan lalat yang agak tomboy. “Cerita apa?” “Cerita Mat Pit hidu gam,” “Siam ka atau apa?” “Bukan Siam la, tempatan punya. Salah seorang anak Pakcik Adan, adik minah yang bercindai dengan mamat sepet tu,” terang kawannya. Si lalat mengerut dahi, rupanya antara stesen tv lalat sudah berlumba menayangkan drama-drama ‘menarik’yang dilakonkan penghuni di situ iaitu anak-anak Pakcik Adan dan Apek Lim. Wah! Hiburan makin beraneka dan dia berasa sangat gembira. Tidaklah hidup para lalat ini kerjanya menghidu tahi saja, sekurangnya ada drama-drama manusia yang menajamkan otak mereka.

 

Selang beberapa minggu, tv lalat tidak beroperasi selain radio mereka. Kali ini lalat kerap membuntuti belakang Pakcik Adan dan kumpulan lalat lain berpecah membuntuti isteri Pakcik Adan, Apek Lim dan manusia-manusia lain. Sejak menjadi ‘pengikut’ Pakcik Adan, baharulah si lalat tahu Pakcik Adan rupanya telah diupah ketua Parti Cermin Mata untuk menghasut kaum kuala supaya tidak silap memangkah Parti Peluru. Sebanyak rm10 ribu telah dibuncitkan dalam poket Pakcik Adan untuk diagihkan pada mana-mana manusia yang akan memasang bendera dan poster, berkempen dan memujuk anak-anak muda rempit aktif berpolitik ala singa. Siapa-siapa yang dikenal pasti pembangkang akan ditarik saluran paip yang puncanya dari rumah Pakcik Adan. Malah siapa yang tidak menunjukkan minat pada Parti Cermin Mata akan dipulau dengan ejekan ‘bodoh dan ketinggalan zaman.’ Bagi puak Pakcik Adan ini, mereka telah melaungkan slogan ‘Hanya Satu Pilihan iaitu Parti Cermin Mata!’

 

Surat-surat meraih simpati yang ditandatangani oleh presiden Parti Cermin Mata telah diedarkan kepada seluruh penghuni kuala. Suatu hari, kawan pondan lalat berbisik ke telinga lalat. “Bodoh betul presiden Parti Cermin Mata, adakah patut anak Pakcik Adan yang tingkatan satu (yang selalu bercindai bawah jambatan dengan anak Apek Lim) turut diberinya surat supaya mengundi Parti Cermin Mata. Budak tu mana layak mengundi pun..hahaaa,” ketawa lalat pondan itu. Lalat itu mencubit kawannya. “Auw!” kata si lalat pondan. “Ini mesti kes pengundi hantu pisang,” si lalat senyum sinis. Makin terhibur dia dengan gelagat penghuni Kuala Pisang yang bernama manusia ini.

 

Gempar! Kali ini lalat lebih tertarik apabila bekas kekasihnya yang bekerja sebagai wartawan radio bawah jambatan itu mengatakan bahawa Apek Lim sebenarnya sedang giat berkempen untuk Parti Peluru. “Kau tahu, rupanya kegiatan main judi itu hanya untuk merambang mata penduduk Kuala Pisang. Apek Lim sedang mengatur strategi menawan Kuala Pisang melalui Parti Peluru. Paling mengujakan, setakat ini sebahagian besar penduduk di sini sudah mula beralih pada parti itu,” katanya. Si lalat mengerut dahi. Pelik. Tidak nampak pula tanda-tanda penduduk di situ akan beralih angin daripada Pakcik Adan dan juaknya yang berslogankan ‘Hanya Satu Pilihan’ itu. “Kau tengok sajalah kebenarannya bila manusia-manusia itu berpilihan raya nanti,” jeling bekas kekasih si lalat dengan manja. “Mana kau tahu? Kau bukan penganalisis politik. Kau tu wartawan gedik santai saja,” kata si lalat. “Kau ni bodohlah. Ini aku dengar secara sulit. Masa orang-orang di sini masuk dalam ‘kelambu’. Diaorang mana nak cerita terang-terang, undikan rahsia..” rengek bekas kekasih si lalat.

 

Si lalat sabar menunggu. Rutin hariannya bawah lubang najis rumah Pakcik Adan dan Apek Lim semakin kerap. Suara gembira yang selalu terbit di bibir Apek Lim bermaksud sesuatu. Lalat yakin Apek Lim sudah siap siaga menjatuhkan kuasa kuku besi Parti Cermin Mata. Strateginya secara lebih berakademik melalui penjanjian menurunkan harga gula dan barang-barang runcit di kedai yang dimonopoli bangsanya kepada penduduk di situ sangat berkesan. “Lu aa, kalu pangkah Parti Peluru ma, hutang beras lu gua kira selesai,” bisik Apek Chiah, sekutu rapat Apek Lim. Begitu juga yang terbit di mulut Apek Goh, Apek Hwa dan apek-apek yang mempunyai kedai di tanah Pekan Kuala Pisang. Si lalat yakin suatu perubahan besar akan terlaksana. Bagamaina nasib Pakcik Adan, isterinya dan presiden Parti Cermin Mata sendiri?

 

“Nasib kita maa, 50 tahun tidak berubah. Itu menteri Cermin Mata sudah kaya, kita berak dalam jamban kayu juga,” kata isteri Apek Lim senyap-senyap pada orang yang lalu-lalang depan rumahnya. Lalat sengih lucu. Tidak faham dia mengapa kuncu-kuncu Pakcik Adan tidak mahu berfikir seperti Apek Lim dan pendokong Parti Peluru? Tapi, Apek Lim pun mesti ada maksud juga. Tanah yang didudukinya sekarang bukankah tanah rizab kerajaan Parti Cermin Mata? Kalaulah jatuh ke tangan Parti Peluru, untung-untung dia boleh dapat tanah percuma walaupun tidak sampai satu ekar

 

Memang memeranjatkan. Parti Cermin Mata kalah teruk bukan sahaja di Pekan Kuala Pisang tetapi lima kuala lain yang berjiran dengan mereka. Nampaknya keinginan masyarakat tempatan lebih tertumpu pada harga barang runcit yang murah. Peduli apa mereka dengan bangunan-bangunan tinggi dan segala projek mega yang mahu dilaksanakan Parti Cermin Mata? “Dapat tengok bangunan tinggi tapi berak dalam jamban kayu juga, lebih baiklah dapat makan banyak sebab harga barang-barang murah,” bisik-bisik itu sampai pada seluruh penduduk kuala-kuala di situ. Dan orang paling lebar senyumnya ialah keluarga Apek Lim. Dia sudah dilantik menjadi orang besar Parti Peluru dan bakal berpindah ke rumah baru.

 

Stesen tv lalat sekali lagi menyiarkan drama Semilu Sepet. Kali ini siaran berlangsung waktu tengah hari di bawah jambatan. “Aku rasa drama ini episod yang terakhir sebab mamat sepet akan ikut bapaknya Apek Lim berpindah ke bandar,” ulas bapa saudara lalat. Semua mata mereka sedang tertumpu melihat adegan anak Pakcik Adan menangis dan menampar-nampak dada anak Apek Lim. Seketika dua budak sekolah itu berpisah sambil mata anak Apek Lim tidak menoleh belakang lagi. Menangislah anak Pakcik Adan sebelum naik ke rumahnya melalui pintu tandas.

 

Bukan sahaja penduduk Kuala Pisang terkejut bahkan masyarakat lalat di situ juga terpana. Tiba-tiba, sebuah parti yang tidak terkenal di Kuala Pisang iaitu Parti Daun Pandan yang bakal menerajui semua kuala-kuala di situ. Pakcik Adan paling marah kerana Parti Daun Pandan menurutnya sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk masyarakat moden tambahan dengan slogan untuk ‘Memulih Modal Manusia’ oleh Parti Daun Pandan sangat menjengkelkan telinganya. “Bagus juga Parti Daun Pandan tu yang memerintah daripada Parti Peluru. Tengoklah anak kita tu dah ‘dibuntingkan’ sebab pergaulan bebas tak kira lelaki, perempuan, agama dan bangsa. Moga-moga Parti Daun Pandan tu boleh perelok balik keadaan akhlak anak-anak kita,” putus isteri Pak Adan. Lalat terbang ke hujung kaki Pakcik Adan, tahi hitam berkarat dalam kukunya. “Bodoh betul Parti Cermin Mata, bagi aku duit 10 ribu. Sebab duit tulah aku lalai jaga anak aku sendiri sampai kena makan dengan anak apek sebelah ni,” kata Pakcik Adan menyeka air matanya.

 

Lalat terus terbang menuju ke bawah jambatan. Dia mahu memaklumkan pada stesen tv mereka ada sesuatu yang tidak kena pada dunia hiburan lalat. Selepas ini jika Parti Daun Pandan memerintah, apa lagi kejahatan manusia yang boleh dikorek untuk disensasikan juak-juaknya? Bukankah lalat suka menghurung benda busuk? Sistem televisyen lalat perlu atur strategi untuk menjatuhkan maruah Parti Daun Pandan pula.       

One Response to Sistem TV Lalat

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com