Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Aksara Ajaib Fedtri Yahya

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Pagi ceria dengan gugus kata sang teruna bersama pasangannya. Juadah infomasi mengulit minda penonton sebaik kelam Subuh beransur terang. Kalau tidak kerana celotehnya, pasti ada yang beralih-arah. Namun, wajah segar itu dengan kata-kata indah dan mesra memapan senyuman kita untuk terus menonton rancangan Malaysia Hari ini (MHI) TV3. Barangkali, itulah penangan aksara ajaib di bibir anak muda bernama Ahmad Fedtri Yahya!

Diam-Diam Ubi Berisi

“Saya seorang yang pendiam, tidak suka menonjol dan lebih gemar berfikir,” tutur anak muda berusia 27 tahun ini kala memperkenalkan dirinya. Penulis dan teman mengerut dahi. Betulkah Fedtri Yahya begitu orangnya? “Namun penampilan saya automatik berubah apabila berhadapan dengan kamera. Peramah dan ceria,” tambahnya. Kini, sudah tiga tahun Fedtri Yahya bertugas di MHI sebagai pengacara dan wartawan. Dia mengakui tidak kekok lagi mengendalikan rancangan tersebut walaupun diberikan isu 10 minit sebelum bersiaran langsung di kaca televisyen.

Jelas jejaka berusia 27 tahun ini, tugasnya kini adalah kecintaannya sejak dulu. Lama dia mengimpikan sebuah penghidupan yang ekspresi dan mencabar. Suatu ketika, dia adalah pelajar aliran sains tulen di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor. Namun, apabila menjejakkan kaki di Universiti Sains Malaysia (USM) minatnya berkalih terhadap bidang kewartawanan. “Itu sahaja cara mengolah diam saya menjadi aktif dan ekstensif kerana saya suka meneroka terutama alur bahasa dan nilainya. Saya tidak boleh pendamkan lagi dengan tabi’i diam itu,” katanya.

Sejak menjadi ‘orang baru’, Fedtri Yahya menyibukkan dirinya dengan pelbagai aktiviti dan cabaran. Sewaktu di sekolah rendah dan menengah, Fedtri Yahya aktif menyertai pertandingan pantun dan pidato dan pernah menjuarai Pesta Pantun Negeri Perak 1996 dan Pesta Pantun IPTA 2002 serta naib juara bagi pertandingan Pidato Kenegaraan 2001. Anak kelahiran Pantai Remis, Perak ini menjadikan Sasterawan Negara Usman Awang sebagai idolanya. Sejak kecil, dia yang gemar membelek buku-buku pantun dan puisi kepunyaan kakaknya mula terdedah dengan bahasa yang cantik. Tidak sekadar minat malah Fedtri Yahya kerap mengulang-ulang di bibir sehingga fasih. Dia mengakui tidak kisah digelar ‘Mat Bahasa’ kerana bahasalah yang memartabatkan dirinya sebagai seorang cendiakawan. Fedtri Yahya bersyukur kerana menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik selain bahasa Cina dan Thai yang sering meniti di bibirnya.
Meniti Ke Puncak

Dia bukan lahir dalam keluarga yang senang. Bapanya, Yahya Hasan, 58 tahun bekerja kampung dan nelayan manakala ibunya Rajmah Othman, 61 tahun seorang suri rumah. Kegigihan ibubapa membesarkan mereka sembilan beradik membentuk kesedaran dalam dirinya untuk menjadi cemerlang. Menurut Fedtri Yahya, bapanya seorang yang kreatif dalam pekerjaan dan tidak bergantung kepada orang lain. “Kalau ayah tidak ke laut, dia akan buat kerja-kerja kampung yang lain. Ibu pula berhati lembut dan penyayang,” kata teruna anak kelapan ini.

Fedtri Yahya mewarisi sifat bersungguh-sungguh bapanya. Dalam setiap kerjanya, dia akan melakukan yang terbaik dan pantas. “Kelemahan saya ialah cepat marah dengan orang yang lembap dan malas. Sebolehnya, sesuatu tugas yang diberikan kepada kita dilaksanakan sebaik-mungkin dan memuaskan semua pihak,” katanya yang menjawat pelbagai jawatan ketika bergelar pelajar dan mahasiswa dahulu. Bekas Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM ini mengecap kemanisan alam mahasiswanya. Manakan tidak, ruang mahasiswanya diisi penuh dengan pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum terutama berkaitan sastera dan budaya. Sesuatu yang membanggakan ialah dia tidak pernah meminggirkan kecemerlangan pengajiannya. Sepanjang menuntut di kampus kota Minden, Fedtri Yahya menerima empat kali anugerah dekan dan menutup tirai mahasiswanya dengan Anugerah Emas USM 2003.

“Saya berikan kejayaan-kejayaan itu kepada ibubapa kerana penat-lelah mereka membesarkan kami adik-beradik tidak akan terbalas dengan apa cara sekalipun kecuali rahmat Allah,” tutur Fedtri Yahya.

Terus Bersama TV3   

Ketika ditanya apakah dia berhasrat terjun ke lapangan lain dan meninggalkan TV3? Terus anak muda ini menggeleng kepala sambil tersenyum dia menjelaskan, “Saya sudah menemui impian hati di sini iaitu bidang kewartawanan yang menjadi cita-cita sejak kecil.” Sambil tidak menafikan bahawa suasana kerja di syarikat televisyen swasta terbesar itu turut membentuk cara bekerja yang efisien dan pantas.

“Di MHI, saya bertugas seawal lima pagi. Lepas solat Subuh terus bersedia ke udara di kaca TV. Bila kita bangun awal terasa hari sangat panjang untuk menghabiskan banyak tugasan. Kalau terpaksa cari bahan di luar Kuala Lumpur, saya memang tidak betah berehat” jelas Fedtri Yahya yang baru pulang dari Bandung, Terengganu dan Pahang kerana membuat liputan. “Bidang penyiaran tidak dapat lari dari propaganda. Namun, sebagai Muslim secara peribadinya saya berhati-hati agar maklumat yang disampaikan pada masyarakat tidak menimbulkan pepecahan dan suasana yang tidak elok. Saya juga berpesan pada diri supaya menjadi wartawan yang berkualiti iaitu padat infomasi dan kritis. Kewajipan seorang wartawan adalah pembacaan yang luas dan bersifat terbuka,” kata Fedtri Yahya menasihati mereka yang berminat mencebur bidang tersebut.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sepanjang bertugas di TV3 ialah membuat liputan di Darfur, Sudan. Kemiskinan saudara-saudara Muslim di negara dunia ketiga itu sehingga kini mengganggu lenanya. “Bayangkan, berjuta-juta masyarakat di sana termasuk kanak-kanak kebuluran. Tiga hari tak makan itu perkara biasa. Kalau makanan asas seperti roti pun susah dapat apatah lagi ubat-ubatan. Memang sedih dan menginsafkan kita yang sudah biasa dengan kehidupan yang baik seperti di Malaysia.”

Justeru, bagi menyampaikan rasa hatinya, Fedtri meluahkan dalam lirik yang bakal dijadikan sebagai lagu tema bagi Tabung Darfur TV3. 

Anak Muda Versatil

Menjangkau usia 27 tahun, Fedtri Yahya sudah boleh berbangga dengan pencapaiannya baik dalam bidang akademik, bakat dan kerjaya. Dia yang turut aktif dalam penulisan lirik lagu sudah diiktiraf di peringkat nasional. Namun, galau mendatang masih menjadi harapan kepada Fedtri Yahya untuk bangkit sebagai seorang pejuang masyarakat. Harapannya di suatu masa, dia akan membuka pusat kebajikan yang boleh membantu mereka yang tidak berkeupayaan.

Buat remaja, Fedtri Yahya berpesan supaya mengoptimumkan kemahiran dengan pembacaan dan pergaulan. “Rasa rendah diri boleh diatasi dengan penguasaan ke atasnya. Jangan kita mengalah dengan sifat lemah dalam diri kita,” nasihat Fedtri Yahya kepada penulis dan para remaja semua.
dsc_1323.JPG

16 Responses to Aksara Ajaib Fedtri Yahya

  1. nang aka kak yon says:

    kak ummu, fetri ni collegemate kak yon dulu.. masa kat matrik usm kat kulim… memang betul orgnya pendiam dulu tp skrg dah ceria dan byk cakap… hehehehehe

  2. nurul says:

    I really like abg fedtri..
    4 me he is a cute guy,pandai n petah berkata-kata…
    semua yang keluar drpd bibirnya indah2 belaka…
    I watth MHI coz of him…
    Ilike the way he talk,smile n everything….
    besides,he also can talk in many language…

  3. nurul says:

    I really like abg fedtri..
    He is a cute guy anyway..
    petah bercakap,peramah n ceria..
    Besides,he also always give a sweet smile..
    I watch MHI coz of him…
    Ilike the way he host the programme…

  4. Isma Hanim says:

    TAHNIAH Buat Ahmad Fedtri Yahya. Terima Kasih atas perkongsian pengalaman dan nasihat buat para remaja. Terima kasih juga kepada penulis.

  5. liyana says:

    i like yur style….hensem plak 2!!!

  6. liyana says:

    ape sal abg fedtri x de gf lg ek??? padahal hensemm jgak…. ape2 pon liyana nak bg nsihat supaya jgn tggal satu nie je iaitu solat 5 waktu…. klu x smayang walaupun berjaya tapi x ade berkat…buat ape…sia2 jer usaha… pas 2 ingt la skit larangan org islam…INGAT ALLAH SELALU!!!! GERENTI AKAN BERJAYA SELALU!!! okey…:)

  7. Cikgu Siti says:

    Saya memang kagum dengan fetri ni. bagus dijadikan model untuk adik2 di sekolah sebagai penggalak untuk menceburi pelbagai bidang.

    agak2, kalau dijemput datng sekolah buat motivasi nak tak dia?

    salam hormat,
    cikgu.

  8. [...] saya,  penerbit  MHI  pagi ini  juga ketawa apabila dimaklumkan. “Takpa2x,” kata Fedtri Yahya dalam [...]

  9. eyra says:

    salam,
    saya amat berterima kasih kepada anda kerana sudi berkongsi pengalaman
    serta amat kagum dengan kebolehan anda sebagai pengacara yg berkaliger

  10. khairun nabihah nordin says:

    wartawan paling versatil dalam tv3…
    abang fedtri tahu macam mana nak curahkan idea dan tenaga pada saluran yang betul…
    ha has a lateral thinking.. great!

  11. zamin says:

    betul2…3 tahun dok berpantun ngan dia masa kat usm dulu…sama2 menapak sana sini, share duit coz we all dari family susah..kagum ngan dia yang ada jiwa cekal tuh…

  12. Roziyana says:

    Apa yang menarik tentang Ahmad Fedtri Yahya ialah penggunaan setiap tutur bahasa yang di gunakan oleh beliau..apa yang di tuturkan adalah berdasarkan apa yang di rasai dan dikaji.Setiap kata2 beliau membuatkan kita rasa terpukau, terpukul(tapi dengan cara berlapik),dan membuatkan kita berfikir tentang apa yang beliau sampaikan.Tak sangka baru pagi tadi saya tengok motivasi pagi beliau,selepas tu saya boleh bergambar dengan beliau di Sure Heboh..Danga Bay,jb(25/04/2010).Gembiranya saya.

    Semoga beliau berjaya dalam perjuangan hidupnya menaikkan jiwa semangat orang-orang kita yang kadang2 lalai,banyak pahala yang dia dapat.Insya-Allah.Saya telah baca sedikit sebanyak tentang beliau, apa yang disampaikan boleh saya pegang untuk di jadikan panduan terutamanya tentang ‘Rasa rendah diri boleh diatasi dengan penguasaan ke atasnya. Jangan kita mengalah dengan sifat lemah dalam diri kita’(ini yang di nyatakan oleh beliau).

    Saya doakan beliau akan berjumpa insan yang mulia,seiring dengan jiwa beliau.

    Ikhals dari saya

    Roziyana Ismail
    Setia Indah,JB.

  13. yOoRa says:

    saya kenal Fedtri masa kat USM, sejak kat uni lagi dia mmg berbakat dan nampak sebagai seorg yang berjaya …

  14. noorhafizah says:

    salam, kak Ummu.
    Alhamdullillah..
    em..orang macam Ahmad Fedtri ni antara pejuang bahasa juga.
    kan seronok, kalau MPR menjemput orang penyiaran macam Fedtri ni juga..
    boleh bagi pengalaman dalam memperjuangkan minat bahasa dalam dunia global kepada para penulis muda…
    ..apa2 pun, artikel ni menyuntik semangat untuk remaja2 macam fiza sendiri..

    dan….semoga berbahagia buat beliau hendaknya yang akan mengharungi alam rumahtangga tak lama lagi..amin..

  15. resha hamzah says:

    tadi baru lepas dia datang ofis anis, dengan isterinya. moga niat, cara, yakin kita betul dalam setiap amalan agama, insya-Allah

  16. mard says:

    yes setuju sgt..fedtri nie seorang yang baik sgt…masa sama2 belajar kat smk dato idris..setiap saat diisi dengan aktiviti yang berfaedah..seorang yang menghargai masa.bila dia dh berjaya sedikit sebanyak memberi motivasi pada saya.

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com