Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Maaf Untuk Emak

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Entah mengapa, hari ini perasaan marahku pada emak menjadi-jadi walaupun kutahu perbuatan itu sangat besar dosanya. Lalu, kusabarkan diri untuk tidak meninggikan suara terhadap emak dan hanya menggumam di dalam hati.

Emak bukanlah seorang ibu yang tidak sempurna malahnya aku sangat bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan seorang ibu yang begitu baik agama, paras rupa dan juga bertanggungjawab terhadap keluarga. Emak telah berjaya mendidik semua anaknya yang berjumlah lapan orang menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa. Dan aku, anaknya yang paling bongsu telah berjaya mengikut jejak-langkah semua abang dan kakakku menjawat jawatan di dalam kerajaan dengan bekerja sebagai guru.
Aku paling rapat dengan emak kerana sejak kecil aku tidak pernah berenggang dengan ibubapaku setelah semua kakak dan abangku tinggal di asrama. Malah, sejak arwah ayah meninggal dunia kira-kira tiga tahun yang lepas, aku jugalah yang menjadi teman kesunyian emak. Memang sudah ditakdirkan aku menjadi sahabat setia emak kerana aku mendapat tawaran universiti yang berdekatan dengan rumah dan membolehkan aku berulang-alik dari rumah ke dewan kuliah. Sebahagian hidupku adalah dunia emak, begitu juga dirinya, aku seperti tulang-belakang emak yang menguatkan dirinya ketika gelisah dan menceriakan hatinya ketika gundah. Hubungan rapat kami kadangkala menimbulkan cemburu pada semua kakak dan abangku. Namun, mereka akur pada kesibukan yang menjarakkan hubungan mereka dengan emak.
Kerana memikirkan emak juga aku sengaja melewatkan perkahwinan walaupun hatiku sudah terpaut pada Mardhiyah, anak bilal Tahir. Aku hanya menyimpan perasaan pada Mardhiyah di dalam hati tanpa ada usaha untuk berterus-terang kepadanya. Aku segan kerana Mardhiyah terlalu muda berbanding diriku. Jarak umur kami hampir 10 tahun. Mardhiyah juga adalah bekas anak muridku ketika aku mula mengajar di SMK Kodiang. Kini, dia berada di tahun kedua di universiti. Melalui emak, aku kerap merisik khabar Mardhiyah tetapi selalunya emak hanya menjeling dan merengus apabila aku menyebut ‘anak Maknjang Teh’merujuk kepada Mardhiyah. Emak tidak suka mendengar nama ibu Mardhiyah. Seperti ada parut yang kembali luka apabila nama Maknjang Teh disebut di hadapan emak.
Aku tidak pernah merisik sebab mengapa emak tidak sebulu dengan Maknjang Teh. Setahuku, keluarga mereka mempunyai pertalian saudara dengan keluarga di sebelah bapaku. Bilal Tahir dan bapa adalah sepupu tetapi sejak bapa meninggal dunia, jarang sekali mereka bertandang ke rumah. Aku pula dilarang emak selalu menjengah ke rumah Bilal Tahir. Emak bimbang aku menjadi umpatan orang kampung kerana tergilakan Mardhiyah. Namun, aku lebih merasakan bahawa emak sebenarnya tidak suka kepada keluarga Bilal Tahir lebih-lebih lagi pada Maknjang Teh. Walaupun tidak merestui perbuatan emak, aku hanya menyimpan di dalam hati. Kesannya, perasaanku terhadap Mardhiyah dibawa angin lalu yang kadang-kadang mekar dan kadang kuncup layu tidak bersiram.
Sejak usiaku menapak ke angka 30, ramai sekali mulut perempuan di kampungku bertanyakan emak tentang jodohku. Ada juga yang menuduh emak sengaja tidak mahu melepasku dan terlalu memilih calon menantu. Khabar itu sungguh menyakitkan hati emak dan dalam marahnya, dia memaksaku untuk berkahwin segera. Aku yang sudah memahami sikap panas emak hanya diam dan sesekali tersengih lucu.

“Hang takdak calon isteri lagi ka Mudin?”
“Sapalah nak kat cik ni mak.”
“Hang berkenan kat sapa, habaq mai. Esok jugak mak pi merisik.” Emak bersungguh.
“ya ka? Takut mak pulak tak berkenan nanti,” kataku.
“Habaq sajalah. Aku berkenan semua aih asalkan budak tu baik agamanya.” Mata emak bercahaya memandangku.
“Cik berkenan pada Mardhiyah. Anak Bilal Tahir dan Maknjang Teh,” aku berterus-terang. Kulihat air muka emak mula berona merah. Jelas sekali emak tidak mengotakan kata-katanya. Emak masih memilih bulu.
“Kalau dengan depa tu mintak simpanglah,”putus emak. Kata-kata itu juga menyakitkan hatiku. Akhirnya, aku berlalu ke dalam bilik meninggalkan emak dengan dendam lamanya. Aku bimbang ledakan amarahku akan meletuskan bicara yang boleh merenggangkan hubungan aku dan emak.

Aku memandu berhati-hati apabila masuk ke jalan kampungku. Jalan itu sempit dan berlopak di sana-sini. Sebenarnya, sudah beberapa kali pihak jawatankuasa kampung membuat laporan ke pejabat wakil rakyat, namun masih tidak mendapat tindakan sewajarnya. Aku juga pernah menulis surat ke akhbar mengadukan masalah jalan di kampungku. Surat itu tersiar tetapi keadaan tidak berubah. Jalan masih berselut lumpur dan debu tambahan ketika hujan mencurah lebat. Pin!
Keretaku mendadak diam. Kaki melepaskan pedal minyak sambil keretaku terbabas ke seberang jalan. Mujurlah aku sempat mengawal stereng dan mematikan suis kereta. Aku keluar dan meluru ke arah kereta yang memotongku melulu. Ingin sahaja kuterkam pemandunya yang tidak berhati-hati dan nyaris membunuhku. Seorang lelaki mampir ke arahku dan menghulurkan tangan. Air wajahnya jelas menampakkan kekesalan.
“Maafkan saya cik, saya dalam kecemasan tadi.”
“Tapi awak dah hampir ragut nyawa saya tahu?”
“Kereta cik lambat sangat tadi, saya dah hon berkali-kali.”
“Ni jalan kampung, tak boleh bawa laju. Awak ingat di sini macam bandar?” aku terus memarahinya. Lelaki itu berkumis tipis dan kulitnya lebih cerah daripadaku. Dari raut wajahnya yang bercermin mata itu melambangkan dia seorang lelaki berkerjaya dan berkedudukan.
“Saya tahu saya bersalah tapi saya bawa orang sakit. Saya perlu hantar dia cepat ke rumah,”kata lelaki itu. Aku mengerling ke cermin keretanya, seorang perempuan muda bertudung duduk di sebelah kerusi pemandu. Dahiku berkerut. Mardhiyah?
“Lain kali berhati-hati,” kataku sambil meninggalkan lelaki itu. Barangkali dia kekasih atau tunangan Mardhiyah. Perasaan cemburu bertamu kemudian meluap-luap di segenap sukmaku. Aku menghidupkan kereta kemudian meninggalkan lelaki tersebut dengan mata gelisahnya. Dia mengangkat tangan dan aku hanya membalas dengan jelingan.
Aku sudah berkira dengan diriku untuk tidak berfikir tentang Mardhiyah. Dia sudah menjadi milik orang lain walaupun tidak berkahwin lagi. Aku terlambat. Tetapi, sukar kukikis perasaan terhadap Mardhiyah kerana kasihku padanya sudah kusemai sejak tujuh tahun yang lalu. Semakin lama aku menjadi runsing dengan diriku yang masih tidak mempunyai calon suri hidup. Emak pula hairan kerana aku tidak lagi menyebut Mardhiyah atau ‘anak Maknjang Teh’. Aku berfikir bahawa emak akan gembira kerana aku sudah belajar melupakan Mardhiyah dan menjarakkan diriku dengan keluarganya tetapi emak sengaja menaikkan darahku dan juga menikam hatinya sendiri.
“Sekarang hang nak lagi ka kat budak Mardhiyah?”
“Dia dah ada tunang mak.”
“Aik! Bila pulak dia bertunang? Tak dengaq cerita pun. Budak tu tengah mengaji lagi.”
“Betul ka mak? Eloklah, mak pi pinang dia untuk cek.”
“Toksahlah, hang dengan dia tak padan.” Aku memandang emak. Apa maksudnya? Akukah yang terlalu buruk untuk Mardhiyah atau dia tidak layak berkahwin dengan guru sebaikku? Aku benar geram. Jika emak tidak sukakan Mardhiyah lebih baik jika namanya tidak disebut lagi. Emak mahu mengujiku.
“Memang dia tak layak dengan cek. Dia tu budak lagi,” kataku.
“Hang yang tak layak dengan dia. Depa tu keturunan baik-baik.” Selepas menuturkan kata-kata itu, emak berlalu ke dalam bilik meninggalkan aku terpinga-pinga dengan kata-kata ‘luarbiasa’ itu. Ah! Jika diturut keturunan tentulah keluargaku lebih baik berbanding keluarga Mardhiyah. Arwah ayahku adalah imam masjid manakala ayah Mardhiyah, Bilal Tahir hanya seorang bilal kampung. Emak sengaja mahu aku menceroboh kisah lamanya.
Aku duduk di pelenggar buluh menunggu Bilal Tahir menghabiskan tarahannya. Pagi Jumaat yang dingin, aku tidak bercadang untuk mengajar kelas tambahan seperti biasa di sekolah. Tanpa pengetahuan emak, aku senyap-senyap mengikut Bilal Tahir ke dusunnya. Agendaku ialah meneroka kembali kisah lama keluargaku dengan keluarga Mardhiyah. Biar terlerai segala gundah dalam jiwa. Aku lebih tenang jika kusutan persaudaraan ini dapat disembuhkan biarpun tanpa balasan cinta Mardhiyah. Orang tua seperti emak dan Maknjang Teh lebih utama. Aku bimbang jika emak dipanggil Tuhan dengan hati bersisa dendam pada manusia lain. Lebih malang jika aku yang mati tanpa sempat menjernihkan hubungan silaturrahim sesama saudara.
“Maknjang Teh dok marah mak lagi ka?” soalku sebaik saja Bilal Tahir melabuhkan punggung di atas pelenggar.
“Mak hang?” Aku mengangguk. “ Sebab tulah saya nak dengaq cerita Paknjang,” kataku. Bilal Tahir menarik nafas dan menghembus kuat.
“Manusia kalau ikut nafsu lebih teruk daripada binatang. Kucing pun kalau berkelai, tau jugak nak berbaik. Ni dah tua-tua pun takmau lupa dendam lama,” kata Bilal Tahir. Aku semakin tertarik mendengar bicaranya.
“Aku ni dulu bekas tunang mak hang.” Aku merenung wajah Bilal Tahir. Mukanya kutatap dengan mata membulat. Sungguhlah, walaupun aku akrab dengan emak, banyak rahsianya masih terpendam.
“Kami tak ada jodoh,” kata Bilal Tahir sepatah.
“Tak ada jodoh sebab apa?”
“Orang ketiga.”
“Sapa? Arwah ayah Mudin ka?” tanyaku. Bilal Tahir menggeleng kepala.
“Maknjang hang,” jawabnya.
“Memang silap aku. Mula aku berkawan dengan Maknjang hang dulu lepas tu keluarga atur aku dengan mak hang. Aku putus kawan dengan Maknjang sebab nak jaga tunang tup tup arwah pak hang berkenan dengan tunang aku.” Lebai Tahir ketawa. Aku mengerut dahi. Cerita Lebai Tahir makin menarik kerana berkait dengan ibubapaku.
“Arwah ayah hang orang baik. Walaupun berkenan dengan mak hang dia tak usik sebab tau dah jadi tunang orang. Aku pulak masa tu dok kasih kat Maknjang rasa sayang nak lepas sebab dok kawan lama. Jadi, aku ambil keputusan putus tunang dan kahwin dengan makjang hang.”
“Mak pula macam mana?”
“Mak hang kahwin dengan arwah pak hang la. Tulah jodoh namanya,” kata Bilal Tahir. Aku menarik nafas. Tapi mengapa emak dan Makjang Teh masih bermusuh?
“Aku mintak maaflah. Mak hang tu marah kat aku sebab keluarga dia malu. Maknjang tupun mulut jahat juga dok buat cerita kata salah mak hang. Tapi, aku dah mintak maaf kat dia, aku tau bukan senang nak ubat luka yang dalam.” Lebai Tahir mengetap bibir. Jelas kekesalan pada garis-garis tua wajahnya.
Wajah emak terbayang dalam fikiran. Gelora luka hatinya tidak pernah terbias di hadapan anak-anak. Emak cekap memandu kisah lamanya walaupun pada aku anaknya yang paling rapat. Cuma, mulutku yang kerap menyebut nama Mardhiyah telah menusuk kembali hati emak yang pernah luka. Aku perlu melerai kembali sengketa ini biar apa cara sekalipun. Aku bimbangkan emak. Aku kasihankan Maknjang Teh. Perkara ini tidak ada asas lagi untuk diungkit-ungkit. Sikap umat Islam ialah pemaaf bukan berdendam. Bahkan, emak dan Maknjang Teh tentunya lebih mafhum kerana keduanya mempunyai didikan agama. Masakan tidak kami anak-anak ini diasuh dengan tunas-tunas agama yang sempurna?
“Saya harap sangat Paknjang tolong jernihkan kembali hubungan mak dengan Maknjang Teh. Saya sebagai anak rasa bertanggungjawab nak bersihkan emak dari noda dendam. Bahaya Paknjang, boleh bawa ke neraka,” kataku gusar. Bilal Tahir menatap wajahku lama.
“Hang dengan Mardhiyah sama. Dia pun tak putus nasihat Maknya suruh berbaik dengan emak hang. Macam nilah, Paknjang lama fikirkan perkara ni, tunggu persetujuan hang saja.”
“Apa dia Paknjang?”
“Mardhiyah,” kata Bilal Tahir sepatah. Mardhiyah anak perempuan bongsunya memang menjadi kesayangan keluarga. Aku maklum kerana sejak kecil Mardhiyah sentiasa memberi sesuatu yang membahagiakan Maknjang Teh dan Bilal Tahir. Dia gadis cemerlang dan luhur pekerti. Siapa tidak terpikat dengan Mardhiyah? Emak sebenarnya turut berkenan pada Mardhiyah cuma gersik egonya terhadap Makjang Teh, dia berpura membenci Mardhiyah di hadapanku.
“Mardhiyah bila nak menikah Paknjang? Ari tu Mudin nampak dia dengan tunang naik kereta.” Aku cuba menyembunyikan rasa cemburu di hadapan Bilal Tahir. Sebenarnya, mahu sahaja aku memadam ingatan terhadap peristiwa aku hampir dilanggar tunang Mardhiyah.
“Sapa kata dia dah bertunang? Ish! Hang mengarut,” kata Bilal Tahir. Aku mengerut dahi.
“Hang setuju dak kalau aku nak jodohkan hang dengan Mardhiyah. Aku rasa cara ni saja dapat satukan mak dengan makjang hang tu. Mardhiyah dah setuju Cuma dia takut hang yang tak berkenan kat dia,” jelas Bilal Tahir. Aku seperti sedar dari tidur.
“Tapi bukanka Mardhiyah dah ada orang lain?”
“Sapa dia? Kalau lelaki yang hang nampak selalu dengan dia tu, Ridwan, anak menakan Mardhiyah yang sulung. Dia jarang balik kampung, hang tak kenal.” Bilal Tahir ketawa kecil melihat riak cemburu yang jelas di mukaku. Gelora sangsi mulai lupus diganti bunga-bunga kasih. Hati yang mercup bahagia membias senyum di bibirku. Aku senang dengan pelawaan Bilal Tahir.
“Saya ni layak ka Paknjang. Dah berumur,” aku masih berbasa-basi. Sebenarnya, jika diturutkan hati mahu sahaja aku bertempik pada alam bahawa aku ingin menyunting Mardhiyah secepatnya.
“Hang mai rumah aku bulan depan. Kita tetap tarikh nikah.” Bilal Tahir kemudiannya bersalam denganku dan menuju ke motorsikalnya. Aku termangu dengan perasaan gembira berbaur kurang percaya.
Ketika memakirkan motorku di halaman, emak mampir ke arahku.
“Kenapa suka sangat?” Tanya emak.
“Cik dah ada calon menantu. Sangat setaraf dengan kita,” kataku mengedip-ngedipkan mata pada emak. Emak kemudiannya berdehem beberapa kali.
“Ada tetamu,” kata emak sambil menjeling ke serambi rumah. Seorang gadis bertudung sopan tersenyum ke arah kami.
“Mar..Mardhiyah…mak?!!” Emak memandangku dan bibirnya merekah senang. Aku sudah memahami emak. Marahku pada emak mulai hilang.
“Mak dan Makjang Teh saling berbesan” aku berbisik dan Emak mencubitku. Tetapi cubitannya ada sinar kebahagiaan.

dsc_3461.JPG Saat berpisah di Yogya.

3 Responses to Maaf Untuk Emak

  1. fahmi says:

    menarik. ingatkan catatan peribadi, rupanya cerpen.

    ringkas namun penuh emosi. tahniah!

  2. cencorot says:

    Assalamualaikum
    Baguskan…kalu anak2 jadik penjernih kekeruhan. Acik ni ader bermusuh dengan sepupu…bukanla bemusuh aper sgt…tapi dik sbb ati ni sakit.
    Sepupu tu dah dianggap cam adik badik sndiri seblm ni. Membesar sesama, ke sekolah sesama..bemain masa kekecik sesama. Semua masalah citer kat dia ngan mak dia. Tk de sorok apa2 pun…smpaikan acik lebih sayangkan mak dia lagi dari mak acik sendiri. Tetiber dia sebar fitnah kata acik ni tamak harta…nk rebut tanah… huhhh… terhiris sungguh hati ni. Tak ingin tgk muka dia lagi sampai arini dan tah biler penghujung kebencian nih… ..jauh di sudut hati….rindukan saat2 mesra dengan kuarge dia dulu. Tak sangka dalam diam, dia dan kuarganya memburukkan acik sampai sanggup nk buat repot polis…semua pak sedara2 dimaklumkan…dihasut. Sakitnya hati acik. Dia membuat acik terbuang dalam kuarga sendiri. Sampaikan tk de paksedara yang percayakan acik lagi dah….
    Kalu dia nyesal dan minta maaf, serta bersihkn nama acik…acik tak de masalah utk berbaik semula dengan dia. Kalu tk….acik nak hadiahkan dia berguni-guni tanah lagi , kalu acik dah mampu nanti…acik antar dengan lori. Biar dia yang tk pernah cukup dengan tanah yang ada utk hidup tu, hidup dikelilingi tanah lagi… Dia lupa….di penghujung hidup nanti, geran2 tanah tu tk leh dibawa masuk dalam tanah….yang ada…hanyalah tanah2 penghimpit jasad kita nnt…

    Tima kasih atas ilham menghasilkan tulisan yang acik baca tadi….sekurang2nya acik dapat mengangan2kan yang satu hari nanti, kuarge acik akan berdamai dengan kuarga sepupu acik tuh….Aaamin

  3. Faiz Faiza says:

    carik-carik bulu ayam, kalo tak bercantum-gamkan aje
    gaduh-gaduh keluarga, kalo tak berdamai-kawenkan aje ))

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com