Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Seputar Putik Q

PUTIK QUNAITARA
Oleh :Ummu Hani Abu Hassan
dscn0747.JPG

“Anakku, aku ibumu ingin berpesan. Jika berjalan, peganglah tanganku erat-erat.” Ibu menghembus dahiku, anak rambut berwarna perang terkibas ke atas. Topi berjambul biru masih lekap mendinding dingin kepala. Ibu menarikku dekat ke sisinya. Jemari kami berangkulan ketika melintas jalan menuju ke Jisr Rais.

Kalau berjalan-jalan ke Damsyik, terutamanya di mahattah service Jisr Rais, kanak-kanak kecil sering menjadi tumpuan mata saya. Dengan pakaian musim sejuk yang tebal, mereka kelihatan amat comel dan anak patunglah. Diheret ibu yang berbadan besar (dibesarkan lagi dengan manto tebal), ditarik melintasi jalan yang sibuk, anak-anak ini (yang kebanyakkannya bermata biru, hijau dan coklat cair) terkebil-kebil tanpa ralat, menderapi langkah ibu mereka yang cergas. Aduh! comelnya..

Lalu, saya meletakkan diri sebagai ‘insan comel’ itu menjadi aku dalam cerpen ini.

“Wajah Dimasyq cepat malap di musim dingin. Aduh! Kita selalu berkejar dengan masa sayang.” Ibu makin erat menggenggam tanganku. Memandang sekeliling, semua manusia seperti ibu. Berjalan tangkas ke depan, menunu dan meluru langsung tidak menghiraukan orang lain. Aku jika tidak dipeluk ibu, sudah tertiarap di tubir tangga jejantas. Apakah orang-orang dewasa mempunyai perasaan seperti bangunan-bangunan batu yang berselerak seluruh Jabal Muhajirin? Tidak halus memikirkan makhluk yang lain? Suam tangan ibu berminyak di jariku.

Saya telah berkenalan dengan seorang ‘ibu’ (dalam permusafiran ini) di Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro. Ummu Kamal namanya. Seorang guru kanak-kanak bisu berusia 50-an. Barangkali kerana saya adalah orang ‘Melayu’ Malaysia pertama yang hadir dalam hatinya (dalam pandangan mungkin biasa), dia begitu meraikan nikmat ukhwah dengan si Malizi (saya la tu ) ini. Saya di sisinya hanya separas bahu, tubuh kecil saya berasa terlindung (selamat) dek tubuhnya (bersama manto tebal) yang besar. Pada perjumpaan kedua kami, Ummu Kamal membawa saya ke rumahnya di Pinggiran timur Damsyik di Qusadya.

Ketika kami berjalan bersama, menaiki service dari bangunan Abu Nour dengan service Syeikh Mahyuddin kemudian turun di Jisr Rais..tangannya telah menggenggami tangan saya. Kala itulah saya begitu merasakan saya benar-benar ‘insan comel (kanak-kanak) yang ‘dilindungi’ si ibu. Saya agak terheret Ummu Kamal memeluk bahu saya sambil menerangkan service ‘itu’ ke tempat ini, service ‘ini’ ke tempat ‘itu’..(jangan lupa dengan telo ‘ammi’ Syamnya yang pekat..saya terkedu nak faham)

dscn1963.JPG

Anak ‘diheret’ si ibu..

Kami menaiki service berlabel Kud’sia. Ibu memangku badanku atas pehanya kemudian menyua syiling 5 lirah kepada pemuda di sebelah. Ibu tidak ralat menampung montel tubuhku semata tidak mahu membayar lebih daripada harga seorang penumpang. “Bapamu kedekut,” keluh ibu setiap kali anak mataku menikam mata ibu. Kasihan. Perjalanan 45 minit ke Nazlah Kud’sia dalam service sempit biasa bagi ibu. Aku atas ribanya, beg comelku dimasukkan dalam beg kerja ibu yang turut diletak sebelah kiri pehanya. Biasanya, tubuh kami dihimpit pula lelaki-lelaki besar seperti juga tubuh bapa, seorang jundi Syria. Jika nasib tidak baik, hidung kami menampung hamis penumpang sebelah yang rata-ratanya jarang mandi di musim sejuk. Aku lalu menempek hidung di balik kerudung ibu. Masam ibu lebih bagus daripada kelat hapak lelaki-lelaki itu.
Mataku mencenung ke luar tingkap, pemandangan yang sama sejak setahun aku berulang-alik dengan ibu dari rumah kami di Jaddat Qudsayya ke Madrasah al-Imran di Pekan Baromkheh. Ibu bertugas sebagai anisah kanak-kanak bisu yang ratanya berumur seusiaku sehingga umur 12 tahun. Kini, aku sudah mencapai umur tadika, ibu meletakkan aku di bawah jagaan seorang pengasuh, Umm Kamal. “Kamu boleh bercakap, tidak seperti mereka,” keluh ibu ketika aku merengek mahu duduk semeja dengan anak-anak muridnya.

Dalam Service. Saya hanya diam. Ummu Kamal sentiasa senyum kala mata kami bertautan. Nampak dirinya bahagia saya sudi berkunjung ke rumahnya. Dalam service (van yang menjadi pengangkutan awam di Syria, tambangnya 40 sen sekali perjalanan) kepala saya tidak boleh berhenti menggali sesuatu yang baru. Semuanya baru. Saya nak ‘naik syeikh’ pun ada (hahaaaa)

Antara ‘syeikh’ (obses la) yang saya dapat ialah ‘watak’ nenek yang masih anak dara (rupanya ramai sekali wanita tua yang saya temui si Syria belum berkahwin..mata mereka sangat cantik..walaupun kulit dah menggelember ke bawah) dan lelaki-lelaki agam yang selalu menjadi penumpang dominan (ramai) dalam service. Saya tahu, ramai lelaki itu tak mandi pagi (termasuklah saya..hahaaaaa- jadi kalau hensem pun ada yang tak mandi. kerkekrkk..) mereka-mereka ini adalah golongan yang muncul di kepala dan dialurkan dalam Putik Q.

Banjaran Beludan ditutupi salji putih. Aku meletak telunjuk ke cermin service, tersengih mengerdip ibu. “Sudah empat kali demam masih tidak serik?” Ibu menggeleng kepala. “Budak-budak..” balas seorang nenek di belakang kami. Dia memerhati aku sahaja sejak naik kenderaan berdebu ini. Nenek itu senyum-senyum manja menggodaku. Gelember mukanya tambah menggelikan hati. Aku ketawa berdecit sambil menyorok lagi ke dada ibu bila tangan si nenek mula gatal mahu menyentuh. “ Ya hilwa..” katanya. Ibu mengerling perempuan tua itu. “Dia kanak-kanak pemalu puan,” kata ibu menerang dudukku. “Ana banat,” bisik nenek ke telinga ibu. Ibu ketawa spontan. “Kasihan, dia tidak pernah berkahwin pun. Mahukah kamu jadi cucunya?” ibu membisik pula ke telingaku. Tidak mahu!!! Aku menjerit di dalam hati.

Saya senyum sendiri, membayangkan nenek tua (yang masih anak dara) mahu menyentuh pipi kanak-kanak tetapi kanak-kanak itu membalas: tidak mahuuuu! Saya membayangkan juga kalaulah saya kanak-kanak yang comel itu, saya akan kata mahuuu! kerana nenek-nenek di syria sangat baik dan penyayang seperti Ummu Kamal (yang mengheret dan memeluk bahu saya seolah saya yang berumur 24 tahun -ketika itu- macam umur 8 tahun..hahaaaaa)

Kami berjalan memanjat jaddat. Ibu paling mengah mengendong lemak badannya ditambah beg kerjanya yang berat. Tanganku masih setia dalam genggaman ibu. Beberapa kali ibu berhenti melepas lelah, menarik nafas kemudian berjalan semula. Ibu membiar aku berlari girang jauh meninggalkan dirinya di belakang.
Aku memijat tangga perlahan. Di tepi lubang bersegi empat yang mengadap Jabal Beludan, aku perhati ibu. Dia berjalan kemudian berhenti sekejap, menarik nafas kemudian berjalan semula. Lebih daripada enam kali ibu begitu. Runtun hati menyebabkan aku berlari semula mendapatkan ibu, menggenggam jemarinya. “Ah! Aku sewaktu kanak-kanak dahulu berlari lebih kuat daripada kamu,” kata ibu. Kami beriringan semula. Derap aku menderapi langkah ibu.

dscn1774.JPG

Maryam, Nader dan Yusef, adik-adik di permusafiran.

Rumah Ummu Kamal terletak tinggi memuncak dipanggil Jaddat Qusadya. Seperti rumah Arab lain, luarnya memang ‘tidak berseni’ langsung. Rumah simen kotak macam kubu perang, dibina rapat-rapat dan tinggi. Tidak bercat, Polos dengan warna simen, kelabu dan coklat. Kami (terutama saya) mengah menghayun kaki menapak ke rumah Ummu Kamal.

Rumahnya pula berada di tingkat empat (Ya Allah rindunya Ummu Kamal sekeluarga terutama anaknya Farah..dari bilik Farah yang saya tumpang bermalam 3 malam, banjaran Beludan ditutupi salji. Subhanallah, cantiknya macam dalam studio gambar tu) Ketika berjalan bersama Ummu Kamal, saya masih merasakan diri saya kanak-kanak comel, berlari meninggalkan ibu di belakang. Kemudian tidak sampai hati melihat mengah ibu, saya kembali berlari meraih tangan itu dan berjalan bersama. Biarlah nafas ibu tidak sesak mengejar larian saya..

Rumah yang terletak di tingkat empat bangunan batu jaddat melelahkan lagi. Aku tidak lepas pegangan ibu, walaupun perlahan kami memijat tangga terus hingga tiba di depan rumah. Pintu tidak berkunci. “Bapamu sudah pulang,” bisik ibu. Dia membuka butku dan meleraikan kain mafla yang berlilit di leher comelku. Aku berlari ke kamar, mencari bapa.

Apa yang saya dapati di rumah Ummu Kamal?
Sekujur tubuh besar agam terbaring atas katil. Aku menguis, memicit lengan berbulu itu. Sejurus mata itu terbuka, dia bingkas menarikku dan mencium berkali-kali sebelum mendekap aku ke dadanya. “Rindu..” kata bapa. Dia juga mengerling ibu yang baru masuk ke dalam kamar. “Rindu…” kata bapa lagi sambil memandang ibu. Senyuman ibu meleret dan manis daripada biasa. “Sebentar,” kata ibu. Dia keluar membawa mantonya kemudian tiba semula dengan skirt dan t-shirt sendat. Ibu menghampiri kami, duduk di sisi bapa. Pipi merah ibu semakin meranum diusap bibir bapa. Spontan dadaku berombak kemudian menyua pipi kepada bapa. “Dia cemburu,” kata bapa sebelum mengucup pipiku berkali-kali.

Rupanya, ada seorang lelaki tua sedang menunggu kami di rumah itu. Dia tidak sangat menghiraukan kehadiran saya (seolah saya ini jiran sebelah rumahnya). Matanya kecil dan mulutnya juga kecil. Mata dan mulut lelaki itu menyambut saya dengan senyuman. Dia kembali membaca akhbar dan menonton tv penuh khusyuk (sambil memegang pen dan kertas). Ummu Kamal tidak mengedahkan lelaki itu seperti mana dia meraikan kehadiran saya secara bersungguh-sungguh.

Lelaki tua, umurnya sudah menjangkau 80-an. Dia adalah suami Ummu Kamal. bErtugas sebagai tentera waktu muda (Menjaga sempadan Syria) dan kini menghabiskan waktunya menjaga rumah (dengan hobinya sejak bangun tidur ialah duduk depan tv, membaca akhbar sambil menulis kalimah2 baru yang dapat melalui rancangan televisyen..alangkah gigih Abu Kamal!) Sejak berkenalan dengan Abu Kamal (dengan hobi menjawab teka silangkata akhbar dan menulis kamus peribadi) saya terinspirasi betul: watak ayah kanak-kanak!

Ada tiga perkara yang memberi ‘syeikh’ pada saya tentang Abu kamal (untuk dimasukkan dalam cerpen Putik Q) 1. Tugasnya sebagai tentera ketika muda. 2. Televisyen yang sangat ditekuninya secara ilmiah 3. Sikap Ummu Kamal yang ‘biasa-biasa’ saja dengan suaminya (mungkin di depan saya sahaja).

Berikutnya, saya telah merangka cerita daripada latar ide yang diceceh kan di atas (bertulisan bold)

Malam itu, ibu menyediakan hidangan lebih daripada hari biasa. Ada khubuz, jubneh, kusa, nasi, ikan goreng, falafel dan halib jagung. Ibu tidak lupa menyapu khubuz dengan minyak zaitun dan lada putih. Jeruk zaitun semangkuk diletak depan bapa. Bersungguh kami makan hingga perutku terasa santak. Kambing masywi kegemaran bapa semangkuk licin. “Malam ni badan lebih panas dengan kambing ini,” kata bapa. “Kamu tidur dengan ibu dahulu,” kata ibu menarikku ke bilik. Tanganku keduanya sudah berlekap di mata. Entah pukul berapa, aku sudah terlelap bawah ketiak ibu.
“Kasihan, Jabir sudah enam tahun tapi tidak ada teman.” “Ah, saya fikir berkali-kali untuk mengandung lagi.”Kerajaan sudah mulakan kempen, Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal.” (Kempen ini bermaksud: keluarga kecil, masa depan lebih baik..Saya dapat bila nampak di papan-papan iklan perjalanan ke Qusadya-Damsyik)

“Tapi, cukupkah Jabir seorang sahaja? Dia perlu adik. Mungkin dua orang lagi” Senyap. “Kamu mampukah?”
Aku membuka mata. Suara ibu dan bapa mendesah di kuping. Aku mencari ibu. Mencari bapa. Oh! Rupanya aku tidur seorang atas tilam bulu kambing. Sampai hati ibu. Aku mulai menangis dan mendekat pada ibu. “Dia sudah jaga,” kata bapa. Dia beralih ke tepi, memberi ruang aku tidur di tengah, memeluk ibu. “Sudah kukatakan, kamu tidak cukup untuk sediakan tempat tinggal yang lebih besar. Selagi itu, Jabir tidak berteman,” balas ibu. Dia memeluk kepalaku yang tersorok di lehernya.

di-hadapan-pintu-masuk-masjid-umawi-masjid-tertua-di-damsyik.JPG
Depan pintu masuk Masjid Umawi.

Pgi bersinar cantik. Ibu mendukungku ke bilik air, menyapu mukaku seluruh dan mencuci gigiku. Rambut perangku bersapu krim rambut sambil seluruh badanku ditempek krim jenama Kamil. “Bapa kamu liat sungguh bangun tidur. Tabiatnya itu tidak berubah sejak berkahwin denganku,” bebel ibu. Mataku terkebil memerhati bapa yang masih berdengkur. Tugas tenteranya tidak menentu. Pernah berbulan lamanya, bapa tinggal di di sempadan Syria-Lubnan, menjaga keamanan dua negara. Minggu ini cuti bapa panjang sedikit, apakah ibu tidak gembira bapa wujud di rumah? “Rumah kita tidak seperti rumah orang lain. Televisyen tidak ada, bilik hanya sebuah, semua perabot sudah buruk. Ah! Bapamu pula kedekut,” tambah ibu lagi, sangat perlahan di telingaku.
Matari tegak memancar di langit Qudsayya, aku berlari girang menarik tangan Salmi seperti mana ibu menarik tanganku. Salmi yang lebih kecil, terjungkit skafnya. Abangnya, Hammudeh mampir ke arah kami. “Lepaskan tangan adikku,” katanya. Sejurus, tangan Salmi terlepas dari pegangan. Mengapa Hammudeh perlu marah? “Kau mahu berkahwin dengan adikku?” Tanya Hammudeh memandangku tajam. Berkahwin? Apakah seperti bapa dan ibu? Selalu bila bapa pulang, ibu akan berpakaian cantik dan bapa selalu menyebut, ‘rindu..’.Apakah nanti jika berkahwin dengan Salmi, dia berpakaian secantik ibu dan aku mengucap pada Salmi, ‘rindu..’. Spontan aku mengangguk. “Begitu, kau boleh pegang tangan adikku,” balas Hammudeh yang baru masuk darjah satu di madrasah ibtida’ie. Belum sempat kucapai tangan kecil Salmi, dia lebih dahulu mengait jemariku. “Kita bermain anak patung di rumahku.” Aku mengerut dahi. Anak patung adalah permainan yang paling kubenci. Aku tegak membatu. “Kau mahu kahwin denganku bukan? Mari main anak patung.” Salmi menekan suaranya. Aku menggeleng kepala. Salmi garang, lebih baik aku tidak berkahwin dengannya. Pantas aku berlari naik ke rumah, meninggalkan Salmi yang mula menangis sambil dipujuk abangnya, Hammudeh.

dscn0683.JPG

Hammudeh (kanan) bersama abangnyaYusef.

Hammudeh adalah anak jiran saya di Jaddat Salamiyeh. Umurnya lingkungan 4 tahun dan sangat2 comel (subhanallah). Bila membayangkan Hammudeh yang gemar panggil saya kholah Ummu Hanik,Syu biddik?, Ide berlimpahan..Alhamdulillah.

“Kamu perlu beli televisyen. Si Jabir mahu tengok cerita kartun,” suara ibu tinggi. “Si Jabir atau kamu? Perempuan pandai mencari alasan,” suara bapa lebih rendah daripada suara ibu. Aku mendekap telinga sebalik pintu. “Kau tidak menjagaku dengan baik, tidak menepati janjimu dahulu.” “Itu lebih mulia daripada aku biarkan kamu terlolong di Qunaitara,” tempelak bapa. Suara ibu tidak kedengaran lagi, hanya bunyi pintu berdentum kuat. Aku lari masuk ke dalam rumah. Bagaimana ibu? “Jabir, ke sini kamu..” panggil bapa. Aku tidak menghiraukannya. “Ibu, buka pintu…!” aku menjerit kuat di depan pintu bilik.
“Aku seorang askar, kerjaku bertarung nyawa tambahan pengganas Israel semakin syaitan, berbaloikah pengorbanan itu hanya untuk membeli sebuah televisyen. Bukan ibumu tidak tahu, gajiku sekadar membayar sewa rumah ini. Gajinya pula untuk membeli barangan dapur. Ah! Kita tidak mati tanpa televisyen. Kau tahu Jabir, Israel laknat itu menggunakan siaran tv untuk menyerang otak umat Islam. Begitu, sia-sia sahaja aku membantai senapang di sempadan, kau dan ibumu mati dengan virus dakyah Israel dalam rumah ini,” bebel bapa. Aku sudah duduk mengangkang depan pintu bilik yang masih dikunci ibu. Langsung tidak faham apa yang disebut bapa. Beberapa minit, ibu keluar memakai mantonya. “Aku ingin ke Qunaitara bersama Jabir,” katanya memohon izin bapa tetapi mata ibu langsung tidak bercahaya. “Baguslah, cari dirimu di sana,” balas bapa. Aku menjadi benci dengan suara itu. Mengapa tiada perkataan ‘rindu’ lagi di mulut bapa? Apakah kerana ibu tidak memakai pakaian secantik semalam?
Kami mengadap Bukit Golan. “Aku rindu,” kata ibu. Aku diam, biar ibu dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata ibu mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.
“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang. Bapamu berubah sekarang. Kau tahu mengapa?” Aku mendongaknya, cuba memahami ibu. “Kerana kita miskin dan tiada tanah. Tanah di Qunaitara ini dimusnahi Israel hingga sekarang bapamu tidak menang mengalahkan mereka. Ah! Kau tidak akan faham sayang.“ Aku sepi. Ibu menyambung lagi. “Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan. Aku rindukan keluargaku yang mati di mata senapang Israel” Kepala ibu tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. “Di tanah Qunaitara inilah Jabir. Bapamu seorangnya yang menyelamatkan aku,” bisik Ibu.
“Kau tahu apa makna cinta terlarang? Menyentuh, mengusap dari jauh. Merindu hanya dalam hati, memiliki tidak sekali. Ah! aku tidak akan berputus asa walaupun aku sudah mati. Kau masih ada untuk menyambung doa-doaku semoga tanah Qunaitara kembali aman ke tangan penduduk Islam,” akhiri ibu. Dia memelukku erat. “Kita pulang, walaupun bapamu itu kedekut, dialah yang menyelamatkan aku,” kata ibu terus.

Ummu Kamal dengan kesungguhannya menyewa sebuah kereta (milik jirannya) mahu dukanya dirasai saya juga. Duka dek kampung halamannya yang di rampas Israel. Saya dibawa Ummu Kamal bersama Farah, dua cucunya, seorang nenek dan jiran mereka dan seorang pemandu (anda bayangkan bagaimana sebuah kereta dipadati 8 tubuh, 3 orang sahaja *termasuk saya* yang tubuh kanak-kanak..yang lainnya..huhuu) Inilah uniknya negara Syria, tak ada polis nak tahan ponnn.. Kami menuju ke Qunaitara berhadapan betul dengan Bukit Golan.

Saya lihat tapak rumahnya yang dah dirobohkan. Bukan asahaja rumahnya malah masjid, sekolah bangunan kedai..seluruh kampung milik umat Islam di sini dah diranapkan Israel. Alangkah jahatnya mereka.

Saya kehilangan kata-kata takziah untuk diucapkan pada Ummu Kamal dan keluarganya..(ditambah bahasa Arab ammi saya yang lemah). Dalam cerpen Putik Q saya lepaskan rasa emosi ini (jikalah Ummu Kamal dapat membaca bahasa Melayu dengan baik..alangkah!) Hakikatnya, saya berkongsi doa dengan umat Islam yang lain supaya Israel menjadi laknat Allah dan balasan buat mereka di dunia dan akhirat.

Tanganku dipimpin ibu ke seberang jalan. Sambil ditarik ibu, mataku tidak lepas merenung gagah Bukit Golan. Di situkah terletaknya syaitan-syaitan Israel yang meragut segala kecintaan ibu? Ah! Aku juga mahu menjadi askar yang kedekut seperti bapa bila dewasa. Tidak sesen pun aku akan laburkan pada kalian wahai Israel!
Ya Allah..saya sangat2 merindukan Bumi Suriah dah seluruh warganya yang menghargai kewujudan saya sebagai musafir ilmu. Saya mahukan kenangan ini lagi..

Glosari
1. Anisah- panggilan untuk guru agama perempuan di Damsyik
2. Banat- kanak-kanak perempuan
3. Jaddat – Kawasan bukit
4. Jundi – tentera
5. Madrasah Ib’tidae- Sekolah rendah
6. Sercive- van yang menjadi kenderaan awam di Syria
7. Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal- kempen keluarga di Syria yang bermaksud keluarga kecil, masa depan lebih baik.
8. Ya hilwa- Yang Manis

2 Responses to Seputar Putik Q

  1. rehan says:

    Assalamualaikum kak ummu,

    Rindunye syria…

  2. [...] 6)Tanggungjawab menyebarkan kepada masyarakat tentang negara lain (Cerpen Es Teler Pagi Raya, Teman Cukuplah Kami dan Putik Qunaitara) [...]

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com