Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Je Zu Be

JE ZU BE
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Angin sejuk mediteranian berpuput suam. Mac yang tiba membawa cahaya panas lebih banyak. Bunga-bunga rumput menguning dan menjalar seluruh ruang hijau hadiqah. Dari jauh, kuntum-kuntum itu lebih kekuningan. Kelopaknya sudah mesra bersapa alam, malah ia tidak sabar menunggu April, bunga-bunga lain akan muncul dengan warna lebih meriah.
Nadir berlari pantas. Kotak berisi alatan pengilap kasut teroleng ke hadapan. Dia mengejapkan tangan, kotak itu kukuh sebentar dalam tangannya. Ketika sampai di tubir tangga hadiqah, Nadir berhenti menarik nafas. Alam masih pagi. Kujur tubuh Muhammad belum muncul walaupun tetamu Kota Homs mulai ramai. Mata Nadir melilau lagi, berjejer muda-mudi turun daripada bas. Barangkali mereka dari Negara Iran, gumamnya sendiri melihat pemudi-pemudi itu berjubah dan berkopiah semuanya. Kakinya terus mengekori mereka sehingga tiba di pintu utama masjid. Dia berdiri terpacak, tersengih pada barisan pemuda di bahagian depan. “Mahu mengilap kasut abang?” Pemuda itu menggeleng. Dia bertanya lagi kepada pemuda yang lain, “Mahu cantikkan kasut anda? Mahu?” Masing-masing mengerut dahi. Mereka tiba awal Subuh mahu menziarahi makam Panglima Khalid al-Walid dan kehadiran budak Arab yang comot ini sesungguhnya meralatkan. “Murah saja, marilah saya cantikkan kasut anda,” Nadir terus merayu. “Isy, pergilah kamu. Jangan ganggu kami!”  jerkah seorang yang lebih dewasa, wajahnya berjanggut dan bermisai tipis. “Kamu semua masuk ke masjid dahulu, budak-budak Arab sini memang suka mengambil kesempatan,” tambahnya lagi. Nadir tidak memahami butir bicara mereka tetapi melihat mata tajam pemuda di hadapannya, dia tunduk. Apakah orang-orang ini menganggapnya peminta sedekah?

“Nah! Ambil wang ini dan jangan ganggu teman-temanku lagi.” Pemuda yang lebih dewasa itu menghulurkan wang 10 lirah. Nadir mengetap bibir. Lambat-lambat tangannya mencapai syiling itu dan beredar semula ke hadiqah. Aku hanya bertanya bukan meraih duit ini, keluhnya. Sebentar, dia membaling duit itu jauh dalam rimbunan kuntum-kuntum kuning. Hari paginya menjadi panas dengan sikap dingin pelancong tadi. Wajah mereka seperti orang berilmu malangnya sombong. Dia seolah semut yang menghurung gula kemudian disembur racun berbisa. Aku bukan peminta sedekah!!!!

“Habibi, sylonak?” Nadir mendongak wajah simpul Muhammad. “Muka kau semasam burtuqol Pakcik Fuad.” Muhammad ketawa. “Eh, bukankah ramai pelancong pagi ini?” Muhammad bingkas bangun apabila melihat rombongan pemuda keluar dari pintu masjid. Dia bersedia dengan kotak pengilap kasutnya. Sebelum sempat dia memulakan langkah, Nadir mengejap bahu temannya. “Jangan, mereka bukan rezeki kita,” katanya. Muhammad mengerut dahi kemudian duduk semula di sisi Nadir. “Kau menyekat peluang emasku,” ceceh Muhammad. Matanya tidak sabar dengan gelak-tawa pemuda-pemuda itu. Sebahagiannya berjalan sekitar masjid, mencari posisi terbaik untuk bergambar. “Aku mahu pergi.” Muhammad bangun semula. Kali ini Nadir tidak menegah, mungkin Muhammad lebih bertuah daripadanya pagi ini. Tetapi, hatinya amat sakit melihat pemuda berkopiah dan berjubah tetapi memandang hina pada orang lain.

Muhammad girang menghayun kotak pengilap kasut. Dia mampir rapat kepada kumpulan pemuda yang sibuk-sibuk bergambar. Beberapa kanak-kanak Arab sebayanya turut mendekati kumpulan itu. Pakaian mereka lebih bersih dan berwajah jernih berbanding Muhammad. “Mari..mari bergambar dengan kami,” panggil seorang pemuda kepada kanak-kanak berambut perang. Dia berlari girang, menoleh-noleh kepada Muhammad. Bertuah, wajah comelnya membanggakan kumpulan pemuda itu. Muhammad masih menjinjing bekas pengilap kasut. Air liurnya menitis. Apakah perasaannya bergambar di hadapan kamera? Seumur hidupnya tidak pernah menyentuh alat itu. Dia terus terpacak, menanti peluang seperti kanak-kanak comel di hadapannya. Lima minit berlalu, kanak-kanak itu dikerumuni terus kumpulan pelancong yang semuanya muda belia. Entah perasaan apa, dia ghairah merapati mereka.

“Mahu apa?” seseorang daripada kalangan pemuda itu menegurnya. Semua menoleh ke arah Muhammad. “Dia mahu mengilap kasut anda semua,” jelas kanak-kanak comel. Muhammad mengangguk walaupun hatinya bingung. Dia sebenarnya ingin turut serta bergambar. Dia mahu senyum dan ketawa di hadapan kamera seperti temannya, kanak-kanak Arab yang comel. “Buang masa mengilap kasut, baru separuh  melangkah sudah berdebu,” celah seorang yang lain. Muhammad tunduk. “Cakap padanya, kami tidak mahu,” pemuda yang paling tua memberitahu. Matanya tidak memandang Muhammad. “Aku sudah lama di bumi Syria ini, kanak-kanak sangat pintar mencari wang sehingga sanggup memaksa orang lain,” pemuda itu bercerita kepada temannya-temannya. Muhammad tidak bergerak, dia masih menanam harapan untuk bergambar. “Mereka ini (merujuk Muhammad) jika tidak diberi wang, selagi itulah tidak berganjak.” Pemuda itu melambai kepada Muhammad. Wajah Muhammad menjadi ceria, apakah mereka mengajaknya bergambar? Dia meletak alat kasutnya ke tanah langsung berlari mendapatkan kumpulan tersebut.

“Ambil ini dan pergi.” Seorang pemuda menghulurkan 10 lirah kepadanya. Muhammad memandang tepat pemuda tersebut, sejurus pandangannya beralih pula kepada kanak-kanak comel. “Mereka tidak mahu mengilap kasut. Kau ambillah duit itu, mereka sedekah kepadamu kerana kasihan,” kata temannya, si comel. Tiba-tiba dadanya berombak. “Jangan, mereka bukan rezeki kita.” Pesan Nadir tadi berkuping di telinganya. Apakah ini yang Nadir alami pagi-pagi lagi? Apapun, mereka berikan duit padaku. Muhammad pantas mengambil syiling itu dan berlari semula mendapatkan alatan pengilapnya. Beberapa meter, dia terdengar suara ketawa pemuda-pemuda itu dan budak Arab yang comel.

“Nah!” Muhammad menghulur syiling 10 lirah kepada Nadir. “Ada yang mengilap kasut dengan kau?” Muhammad tidak menjawab. Matanya masih melirik ke arah perkumpulan di hadapan Masjid Khalid al-Walid. Wajah pagi bergerak terang dan dingin. Tiada seorang lagi menjadi pelangan mereka. “Mereka bagi?” Muhammad memandang Nadir sebelum mengangguk. “Kau?” “Aku dah buang dalam semak,” balas Nadir. “Aku hanya terima wang dari titik peluhku bukan dari simpati dan kejian orang lain. Muhammad, kita bukan peminta sedekah jalanan. Mereka silap!” Nadir bangkit. Selepas menjerkah begitu hatinya berasa tenang. “Tidak sepatutnya kau buang, pemberian orang itu rezeki juga,” kata Muhammad. Nadir menoleh Muhammad. Wajah datuk Hasan terpantul. Datuk Hasan sudah tua di atas katil. Selain mengharapkan dua cucunya, Muhammad dan Salmi, dia tidak berupaya bergerak pun. Hanya puput nafas bertali-arus dalam jasad. Nadir berasa sesal. Alangkah baik jika wang 10 lirah tadi diberikan kepada Muhammad. Di rumahku masih ada laban untuk diminum. Ibu bekerja siang dan malam sebagai pengait manik. Sekurangnya, kehidupanku lebih baik dari si yatim piatu ini. “Aku teringat pesan ibuku, jangan sekali minta sedekah.” “Tapi…” Nadir menghulur syiling 5 lirah yang diambil di poket seluar. “Ambil ni. Jika aku teringatkan engkau tadi nescaya wang pemberian pemuda itu tidak jatuh ke dalam semak,” katanya. Muhammad teragak untuk mengambil. “Ambillll..” tekan Nadir menyebabkan Muhammad meraup syiling itu. “Semoga Tuhan akan hadirkan tetamu yang lebih baik dari pemuda-pemuda itu,” kata Nadir. “Sayang sekali, mereka berserban dan berkopiah seperti orang-orang soleh tetapi memandang hina kepada kita yang miskin.” Muhammad tunduk sedih.
Mereka keluar dari perkarangan masjid. Ruang hadiqah dipuput dingin yang menggigit. Nadir berasa perutnya senak. Semalam, dia makan laban dan ikan serentak walaupun berkali ibunya menegah. “Ikan dan susu tidak boleh bercampur dalam perut, sakit kusta!” Dia degil. Sudah lama dia tidak melantak ikan, seingat sudah tiga bulan. Ikan memang mahal di daerahnya. Nadir menekan perut. “Muhammad, kau tengokkan kotak aku, perutku sakit.” Nadir berlari semula ke kawasan masjid, menyeludup ke pintu yang dimasuki ramai tetamu. Setengah jam di dalam hamam, dia memuntahkan segala kandungan ususnya. Dia bersandar di dinding marmar sambil berselawat perlahan. Rasa kesal melanggar larangan ibunya belum surut. Susu dan ikan tidak boleh bercampur. Susu dan ikan tidak boleh sekali harung. Susu dan ikan..
“Kamu sakit?” Nadir memanggung kepala. Wajah di hadapannya sangat asing. Bahasa Arab yang dituturnya juga kedengaran kelat. Lelaki berkulit putih dan bercermin mata itu memegang bahunya. “Saya doktor, jangan bimbang.” Seketika lelaki itu meletakkan tangan di dahi Nadir, menekan bawah mata dan bibir. “Kamu silap makan ya? Berapa kali muntah?” “Sekali.” “Banyak?” Nadir mengangguk. “Makanan itu sudah keluar dari perut, jangan bimbang. Setengah jam lagi perut kamu kembali normal.” Lelaki itu menyua sebotol mineral kepada Nadir. Mereka keluar dan Nadir membuntuti belakang lelaki berwajah kecinaan.
“Kamu rakyat tempatan Homs?” tanyanya. Nadir senyum. Hatinya senang sekali melihat mata sepet  yang terlindung di sebalik kacamata itu. Dia mampir dekat, duduk di sisi doktor. Parasnya cuma di bahu lelaki itu. “Kamu perlu seperti Khalid al-Walid. Ruh dan dan jasadnya bersemadi di tempat kamu. Dia bukan sebarangan manusia. Dia pilihan Tuhan,” luncur si doktor. Dia berhenti di tengah ruang kosong, mengadap ke pintu makam yang tertanam dalam masjid. “Siapakah yang dapat menawan kota-kota Rom ini kecuali manusia berkuasa karomah? Tatkala ramai yang syahid di medan Muttah, dia terus tegar mengepalai tentera Muslim sehingga Islam mencapai kemenangan. Tubuhnya tiada ruang kosong dari kesan bilasan  pedang tatkala  jenazahnya dimandikan. Adakah manusia seberaninya?” Lelaki berwajah cina mengelus bahu Nadir. “Sebab itu dia digelar pedang Allah,” balas Nadir. “Kau tahu?” Nadir mengangguk. Kisah Khalid al-Walid bukan asing padanya, malah pada kanak-kanak di daerah Homs. Kisah-kisah berani pahlawan Islam itu menjadi makanan mereka sejak kecil.
“Mari kita masuk ke dalam masjid, boleh juga ziarah makam Abdul Rahman bin Khalid al-Walid dan Makam Abdullah bin Umar,” ajak Nadir. Doktor muda di sebelahnya senyum kemudian menggeleng kepala. “Aku tidak boleh..” katanya. “Semua pelancong dibenarkan masuk ke dalam masjid,”kata Nadir. “Kau jauh datang ke sini berbaloikah hanya melihat makam panglima dari luar? Semua orang tahu bahawa tempat ini punya berkat. Setiap doa pasti dimakbulkan Tuhan,” tambah Nadir lagi. “Kau bijak sikecil,” pemuda bermata sepet itu mengusap kepala Nadir. “Doakan aku menjadi Muslim selepas balik dari daerah panglima pedang Allah ini,” katanya perlahan.
Beberapa ketika, Nadir melihat pemuda itu berteleku sambil memejam mata. Air jernih mengalir dari bulu-bulu matanya. Dia berundur sedikit ke belakang, memberi ruang pemuda itu bertafakur. Entah apa yang difikirkannya. “Mari..” Nadir tersentak. Bahunya sudah dicekak pemuda tadi. “Ke mana?” “Ke tempatmu? Kau bukankah pengilap kasut di sini?” Nadir bertambah hairan. “Aku sudah tiga hari di sini, setiap pagi aku turun dari hotel dan berjalan seluruh taman sambil menghulur salam kepada panglima-panglima Islam yang tertanam di dalam Masjid ini. Kau ralat ya?” Pemuda itu ketawa. “Kasutku sudah berdebu harap kau gilap jadi cahaya,” katanya. Lambat-lambat Nadir berjalan sambil diekori pemuda doktor.
“Namaku Tam Khe dari daerah Tasik Inle, Myanmar. Aku belajar sarjana perubatan di Universiti Damascus,” jelas pemuda itu. Dia berdiri tegak sambil kakinya diletakkan atas kotak. Kasut kulit hitam miliknya mula dicuci Nadir. Muhammad di sebelah mereka hanya mendengar. Dia turut tertarik melihat pemuda berbangsa asing bertutur Arab. “Aku menghirup nafas bumi Syam ini tiada satupun daripadanya ketenangan kecuali Islam. Ke mana sahaja kakiku melangkah, kesan-kesan perjuangan Islam melekap dan menderapi langkahku berikutnya. Tuhan memang mengirimkan bumi ini pejuang-pejuang kental seperti Khalid dan Salehuddin untuk kehidupan kita sekarang. Berat aku bayangkan jika Syam masih di tangan Byzantine. Tentu sekarang tamadun manusia musnah seperti juga Eropah kini.” Nadir berhenti memberus, mata si doktor dicerlung dalam. Betulkah dia bukan beragama Islam?  Mengapa kata-katanya hebat seperti seorang ustaz?
“Kau berdua masih kecil, masih tidak dalami nilai manusiawi sebenar. Aku hidup dikelilingi patung-patung Buddha. Tuhan keluargaku adalah si bisu yang dicipta dari tangan manusia. Ah! Betapa bodohnya kami belajar sehingga universiti tetapi menyembah patung yang tidak tahu apa-apa.” Nadir terus menggosok. Muhammad di sisinya semakin rapat. Pelanggan pertama mereka hari itu seorang yang peramah. Sehingga sepasang kasut menjadi hitam berkilat baharulah dia berhenti bercakap.
“Aku mahu kembali ke negaraku menjadi seorang Khalid al-Walid, bukan dengan sebilah pedang tetapi dengan sebatang jarum,” katanya. Nadir sudah habis menggosok kasut dengan tuala kotor.”Ambil ini,” pemuda itu menghulur 100 lirah kepadanya. Nadir mengerling Muhammad. Jumlah itu terlalu besar pada mereka. Perkhidmatan mengilap kasut hanya 25 lirah. “Kamu  doakan aku sahaja menjadi seorang Muslim secepatnya,” kata lelaki itu. Muhammad mencapai wang kertas itu. “Semoga Tuhan memberi kamu hidayah,” tutur Muhammad. Wang dan doa sama mahal padanya. “Je zu be…” balas si doktor mula mengatur langkah. “Errr..apa? je zzzu be?” Muhammad menutur perkara yang sama. “Terima kasih maksudnya,” terang si doktor. Nadir dan Muhammad tegak melepaskan pemuda itu berjalan ke tengah kesibukan jalan raya.
Nadir mencerlung langit putih. Debut udara masuk ke rongga hidungnya melepas julat resah. Wang 100 lirah di tangan Muhammad dikerling. Nilai manusia bukanlah wang ringgit tetapi akhlak. Dia teringatkan pemuda-pemuda berseban dan berkopiah. Dia teringatkan doktor sepet yang belum dikurnia hidayah. “Muhammad, apa kau doa tadi untuk pelanggan kita?” “Semoga Tuhan memberinya hidayah,” balas Muhammad. Nadir menarik tangan Muhammad. “Mari kita sama bertempik …” katanya dan dia mula menjerit. “Je zu be Tuhan!!”

BIODATA PENULIS
UMMU HANI ABU HASSAN adalah anak kelahiran Kodiang, Kedah. Dilahirkan pada 2 Januari 1983 bersamaan 17 Rabiulawal. Karyanya mula memasuki media cetak ketika berusia 16 tahun iaitu puisi Mustika Ramadan dalam Majalah Anis. Kini, telah menulis pelbagai genre penulisan kreatif iaitu puisi, cerpen, skrip drama pentas dan televisyen juga novel. Telah menghasilkan beberapa buah buku dan antologi cerpen antaranya novel Ladang Hati Mustika (2007), Antologi cerpen Catatan Seorang Muda (2007) dan Antologi cerpen duet terbitan Cerdik Publications (2007). Cerpen beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 bagi kategori cerpen remaja (Kampung Hati Ayah) dan umum (Cerita-Cerita Akhir). Beliau kini bakal melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Malaya dalam bidang dakwah.

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com