Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Mengkuang Jiwa

OLEH:UMMU HANI ABU HASSAN

Kau tahu dik, ketika ayah membesarkan kita dahulu, bukan emas yang ayah bentangkan tetapi mengkuang. Mengkuang yang dianyam berseni itulah menjadi tempat kita duduk melingkungi ayah. Kakak di sisinya, dua anak jiran kita, Saiful dan Azam di depan ayah dan adik di atas ribanya. Ayah suka menepuk punggung comel adik sebelum memulakan cerita. Ayah memang suka bercerita dan berkisah. Semua cerita-cerita itu telah kakak bukukan apabila kakak dewasa. Kau tahu dik, kisahnya? Marilah kakak ulang-ulangkan semula.

kaabah.jpg

1
Pilu sungguh hati pemudanya. Kehilangan dua cinta yang menjadi tonggak hidup amat perit. Serasa luluh nubari menatap wajah bersih Khadijah yang jernih tidak bernyawa. Amat sukar dirinya meredah belantara perjuangan tanpa teman yang solehah ini. Dialah sahabat. Dialah isteri. Dialah ibu pada semua zuriat. Rawan ini perit lantaran sekujur jiwa yang lain turut diambilNya. Bapa saudara yang bernama Abu Talib juga meninggalkannya buat selamanya. Dia pedih kerana Abu Talib adalah pembelanya yang setia. Menjadi peneguh kala diri digusar musuh. Paling menghiris, Abu Talib pergi tanpa mahu melafaz syahadah yang menjadi bekal tawa di akhirat kelak.

 kaabah2.jpg

Di sisi kaabah, dia menangis hiba. Jurai air mata bukan kerana ralat pada takdir Tuhannya tetapi air matanya ialah air mata fitrah seorang manusia yang lemah. Fitrah pilu kehilangan cinta. Tuhan, kuasaMu mengatasi segalanya. Yang indah. Yang bahagia. Yang luhur segalanya milikMu. Hanya Kau Pengirim cinta Yang Kekal. Dia teresak terus sambil hati menangkap munajat pada Tuhan pemilik kaabah.

bm2.jpg

Dan sungguhlah pada malam itu, dia tidak perasan bahawa ada jiwa malaikat pengutus wahyu memerhati tingkahnya dengan sayu. Ajaib sekali malaikat yang tidak punya nafsu menjadi sedih dengan air mata sucinya sehingga tidak sabar memeluk manusia paling agung di bumi dan di langit itu. Lalu memberi salam malaikat bernama Jibril kepadanya dan melafazkan jemputan Al-Khaliq yang bersemayam di Arasy untuk bertamu ke Maqam Agung. Di sisi Jibril, tersedia binatang berwarna putih panjang  bergelar Buraq yang melangkah sejauh mata memandang. Maka, bermulalah perjalanannya ditemani buraq dan Jibril dalam keadaan jaga dan nyata.

Isra’ itu terganggu dengan suara-suara memanggil namanya Muhammad dari arah kiri dan kanan. Dia tidak menghiraukan. Dan dihadapannya, seorang wanita dengan tangan terbuka berisi permata perhiasan cuba menghadang dengan rengek dan tempik tetapi dibalas kosong olehnya. Semua itu tidak dihiraukan apatah lagi bertapak di hatinya. Kepada Jibril dimaklumkan dan  nyatalah itu simbolik syaitan mengumpan kuffar Yahudi dan Nasrani serta si tua dunia yang menunggu masa untuk rebah. Jibril mengucap bangga bahawa dia telah melaksanakan yang paling tepat membebaskan diri dan para umat akhir zaman daripada tiga fitnah durjana.
 bm.jpg
Di suatu kawasan yang lapang dan asing, dia melangkah ke dalam sebuah masjid. Berkata Jibril bahawa itulah Baitul Maqdis, tempat ibadah para nabi terdahulu dan menjadi kiblat yang pertama padanya dan para umatnya di akhir zaman. Kemudian, bersolatlah dia sebagai tetamu agung mengimami roh para nabi dan rasul sebelumnya. Lalu dihidangkan Jibril bejana pilihan berisi susu dan arak. Fitrah sucinya mengambil susu sebagai minuman dan tersenyumlah Jibril kerana manusia mulia ini telah menyelamatkan diri dan umatnya dengan fitrah yang suci berbanding arak yang memabukkan. 

2

 langit.jpg
Dia dianugerahkan Mikraj untuk bertamu di langit seperti roh para bani Adam. Tetapi, dia berbeza kerana dirinya dalam keadaan berjaga dan nyata. Bertemulah dia pada tiap lapisan langit yang dihuni para nabi dan rasul sebelumnya. Di langit pertama bertemu ayahanda Nabi Adam a.s. Di langit kedua berjumpa Isa bin Maryam dan Yahya bin Zakaria. Dan dia berjumpa Nabi Yusuf a.s di langit ketiga dan di langit keempat, dia bertentang wajah dengan nabi Idris a.s sebelum bersua mata dengan Nabi Harun di langit kelima. Di langit keenam  dia bertemu anak angkat Firaun bernama Musa a.s manakala di langit ketujuh, saudaranya Ibrahim a.s yang digelar Khalilul Rahman sedang bersandar di Baitul Makmur  sambil menanti ketibaannya dengan penuh kerinduan.

langit2.jpg

3
Perjalanan setiap langit menghidangkan panorama asing padanya. Segala yang zahir tentang kebaikan dan kebatilan diperjelaskan dengan gerun siksa yang dahsyat dan harum kasturi syurga yang abadi. Dia menjadi insaf dengan umatnya. Dia semakin cinta untuk menyelamatkan mereka dari bahana azab dan siksa. Biarlah dirinya rentung dibaham ujian perjuangan tetapi sesekali hatinya tidak sanggup melihat mereka menjunam ke dalam neraka walaupun sekadar disipi tempias. Dia bercerita tentang semua yang dilihatnya agar mereka bergesa untuk memperbaiki diri dan menjauhi maksiat dan dosa.

api.jpg

 Roh yang jahat kelihatan durja lagi berbau busuk manakala roh para mukminin berwajah senang dan berbau wangi. Apa yang dilihatnya ialah hidangan daging segar yang dimasak tetapi tidak ada orang menjamahnya sebaliknya ramai pula berebutkan hidangan daging busuk. Jibril menjelas, ‘Itulah, itulah umatmu yang meninggalkan yang halal dan mengambil yang haram.’ Kemudian dia terlihat seorang yang perutnya sebesar rumah sambil merintih agar Tuhan tidak mengkiamatkan dunia. Jelas Jibril, itulah manusia yang memakan riba. Ada juga golongan manusia yang mulut serta bibirnya seperti bibir unta kemudian dilebarkan lagi mulut mereka untuk dimasukkan bara api neraka. Bara api keluar semula dari dubur mereka. Meraung dan meratap golongan itu tiada tertahan. ‘Nah! Itulah si pemakan harta anak yatim sewaktu di dunia,’ balas Jibril. Dia berduka apabila melihat golongan wanita yang digantungkan susunya sambil menangis kesakitan akibat perbuatan zina ketika hidup. Dan golongan yang memakan daging saudaranya sendiri maka balas Jibril itulah si pengumpat durjana. Segolongan yang lain pula menggunting lidah mereka tidak henti-henti kerana perbuatan mereka menyebarkan fitnah sewaktu di dunia. Dia semakin lara melihat ramai wanita penghuni neraka kerana suka mengumpat, tidak menutup aurat, ingkar pada suami dan memakai bau-bauan keterlaluan.

Dia meneruskan penyaksian simbolik perbuatan-perbuatan umatnya ketika di dunia. Kelihatan sebatang kayu di tengah jalan dan setiap yang melaluinya akan tersangkut dan terkoyak kainnya lalu menjawab Jibril bahawa itu ibarat sikap manusia yang suka berlepak dan membuang masa. Hidup mereka mengacau dan menyamun orang sambil tidak memberi manfaat. Ada golongan yang mengikat kayu dengan ikatan besar sehingga tidak sanggup pula untuk mengangkatnya tetapi pelik kerana ia menambah-nambahkan lagi kayu pikulnya. Jelas Jibril itulah sikap pemimpin masyarakat yang tidak menunaikan amanah tetapi berusaha menambahkan beban amanah kerana gilakan jawatan dan pangkat. Di suatu tempat, terlihat akannya batu-batu kecil tetapi keluar daripadanya lembu besar. Lembu tersebut ingin masuk ke dalam tetapi tidak sanggup lagi. Jibril terus memaklumkan bahawa itu perumpamaan umatnya yang suka bercakap besar tetapi sesal
kemudiannya untuk menarik semula kata-kata tersebut.

4

sungai.jpg

Dia tiba di sebuah lembah yang tidak sekali dalam hidupnya merasai tenang dan damai seperti itu. Semerbak wangi melatari fizikal dan batin manusianya dan suara merdu mendayu-dayu dan membuai-buai jiwa. Ada Kauthar. Ada Tasnim. Ada Salsabil. Menerang Jibril akan penghuni lembah itu ialah para Mukmin dan Mukminah, para Muslim dan Muslimah. Mereka beriman kepada Allah dan rasulNya, beramal soleh dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu. Mereka itu mencintai Allah dan Allah mencintai mereka. Dan syurga adalah tempat tinggal golongan yang bersih dan beriman.

Dan perjalanannya melalui kawasan panas, berbau busuk dan pekik yang menggerunkan. Ia adalah kawah neraka tempat tinggal golongan musyrik, ahli maksiat, orang yang sombong dan tidak percaya kepada hari akhirat, golongan munafik dan kuffar. Hebat tidak terperi siksaan neraka. Hanyirnya, busuknya, gelegaknya hingga sebesar zarah jika jatuh ke bumi akan hancurlah seluruh isinya.

Tibalah dia di Sidratul Muntaha yang tiada manusia walaupun Nabi pernah sampai ke sana. Sidrah yang dinaungi sebatang pohon yang keluar dari dasarnya sungai yang tidak berubah rasa dan baunya. Sungai susu, sungai madu dan sungai arak yang lazat tidak tergambar. Pohon yang besar itu, sehelai daunnya sahaja dapat menaungi sekalian umatnya. Ia dipenuhi Nur Ilahi dan para malaikat seperti burung gagak yang hinggap di pohon kayu. Di sanalah Tuhan berfirman padanya bahawa dia dipilih sebagai kekasihNya Muhammad Habibur Rahman dan pengutus umat manusia akhir zaman, penyampai khabar gembira dan khabar menakutkan. Tuhan anugerahkan al-Fatehah yang tidak diberikan kepada rasul sebelumnya. Tuhan ganjarkan akhir surah al-Baqarah yang menjadi perbendaharaan bawah Arasy dan Kauthar yang mengalir. Juga tujuh saham kesempurnaan khalifah iaitu Islam, hijrah, solat, sedekah, puasa Ramadan dan Amar makruf Nahi mungkar. Firman Tuhan ‘Engkau Muhammad, pembuka dan penutup.’

Dia menerima perintah solat lima puluh waktu sehari semalam. Diterimanya tanpa berat hati tetapi desakan Musa a.s mengulang-ulang ketidakmampuan umatnya membarakan semangatnya berjumpa Tuhan agar dikurangkan jumlah solat. Dia turun naik menebalkan wajah di hadapan Tuhan, menagih simpati buat umat tercinta hingga perasaan malu membekam untuk meminta-minta lagi. Terpatrilah kewajipan solat lima waktu sehari semalam. Dengan solat itu, dapatlah manusia saling berhubung dengan Tuhan agar tidak lari dari peranan hamba dan khalifah. Solatlah yang menjadi teras taqwa dan solat juga menghadang syirik dan maksiat.

5
Ini hadiah besar untuk Muhammad s.a.w. Isra’ dan Mikraj terkandung segala perintah.Di dalamnya ada nikmat dan azab juga teladan buat manusia menjadi insaf. Siapa yang percaya teruslah beriman, yang ingkar akan murtad kegelapan. Tetapi juga, yang tidak mengambil pengajaran lebih buruk masa hadapannya di akhirat.

Adik, cerita kakak belum tamat kerana banyak lagi yang ayah kisah-kisahkan pada kita dahulu. Namun, pengajaran Isra’ dan Mikraj ini kakak yakin amat sesuai sekali diulang-ulang pada ketika ini kerana zaman kita sekarang adalah zaman yang rasul kita geruni. Segalanya telah terbentang di hadapan  kita tentang manusia yang sudah lupakan Tuhan. Mereka makin jauh dan jauh dari kebenaran.

Adikku, kau ambillah bahagian ini sebagai iktibar. Kata ayah lagi, mengkuang yang kita duduk dulu berseni susun alurnya begitu jualah jiwa kita. Pesanan-pesanan rasul kita dan wahyu Yang Maha Esa itulah yang memolekkan kehidupan di dunia ini. Ayah kita sudah tiada tetapi amanah ceritanya akan kakak sebut-sebutkan selalu sebagai pedoman kita bersama di dunia yang singkat ini.

BIODATA PENULIS:
UMMU HANI ABU HASSAN adalah anak kelahiran Kodiang, Kedah. Kini aktif menulis cerpen dan karya-karya sastera yang lain. Beliau adalah pelajar sarjana Usuluddin di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di senyum_sokmo2@yahoo.com dan laman web www.ummuhani.com
 

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com