Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

October, 2008

Thursday, October 30th, 2008

Selepas ni..cik tesis menunggu.

 soleha.jpg

Mendengar namanya sahaja menguncupkan persoalan cantikkah dia? Memang layak nama Eka Norviyanti untuk pembantu rumah kami kerana rupanya sangat jernih, matanya bulat ke dalam, alis begitu lentik. Paling segak adalah hidungnya yang mancung dan bibir comel yang tipis. Di manakah abah mencari puteri secantik ini untuk menjadi pembantu rumah? Saya terus membatalkan hasrat memanggil Bibik Eka kerana yang lebih sesuai adalah memanggilnya Kakak Eka. Dia bertudung litup seperti Soleha dalam drama Soleha yang digilai nenek. -OM-

 katun.jpg

Malam itu, sebelum tidur saya teringatkan semua adegan yang berlaku tadi. Abah memberi amaran kepada saya, Abang Safuan dan Abang Syamil kemudian saya dituduh dan dipukul oleh Abang Safuan. Semuanya gara-gara surat cinta gadis bernama Fadilah. Huh! Cinta tidak selalunya membahagiakan. Apabila orang bercinta sudah mabuk dan tidak waras, ia akan menyebabkan orang lain juga dalam bahaya. Contoh terdekat, saya telah menjadi mangsa orang yang mabukkan cinta iaitu Abang Safuan.- OM-

  

 ibu.jpg

Setiap hari saya cuba melatih diri untuk tidak tidur selepas Subuh. Kadang-kadang saya berjaya mengekalkan tabiat baik itu selama beberapa hari, namun, jika satu hari saya kalah (biasanya hari minggu) untuk memulakan semula tabiat tidak tidur selepas Subuh amat sukar. Arwah ibu adalah orang yang sangat berdispilin dengan masa. Ketika sihat, Almarhumah akan tidur awal sebelum jam 11 malam dan bangun seawal 4 pagi. Selesai mengerjakan ibadah sunat, ibu akan menyelesaikan kerja rumah seperti membasuh baju, memasak sarapan dan lauk tengah hari serta mengemas rumah. Sebab itulah, walaupun ibu bekerja sebagai Pengurus Operasi di salah sebuah syarikat insurans, rumahtangganya tetap tersusun. Itu tidak termasuk aktiviti sampingan ibu sebagai AJK Persatuan Muslimah Profesional Malaysia, hari minggunya sentiasa sibuk dengan program kemasyarakatan dan kadang-kadang membawa ibu terbang ke luar negara. Peliknya, saya sentiasa merasakan ibu ada di sisi kerana hati kami saling bertautan. Kini, hampir 5 bulan ibu meninggal dunia, saya masih kekal mencintai ibu seolah dia sekarang sedang berada di luar negara dan akan pulang nanti menemui kami sekeluarga.

Saya berkata pada diri sendiri, kalau saya tidak berjaya mencontohi ibu, saya tidak sama sekali dapat mencontohi Rasulullah SAW. Ini kerana, ibu cuba mengamalkan sunnah baginda SAW secara berdikit-dikit, oleh itu, sebagai permulaan, saya perlulah mengikut tradisi ibu supaya nanti saya akan sampai mencontohi setiap sunnah Rasulullah SAW. Salah satunya ialah tidak tidur selepas Subuh.-OM.

img_1899.JPG

ALHAMDULILLAH, KAU OM, dapat kulunasi dengan jujur cinta. akhirnya.- KAKAK UMMU-

Thursday, October 30th, 2008

Manikam Kalbu Menikam Kalbu

images.jpg

-Gambar dari hariryarifin.blogspot.com-

images1.jpg
Pemerintahan Islam yang diasaskan Nabi Muhammad SAW mengalami siri perkembangan yang amat takjub. Sudah dalam jadual Allah SWT bahawa umat baginda SAW sebagai khair ummah yang dipinjamkan mukjizat berupa pemikiran dan falsafah seluruhnya di dalam al-Quran dan sunnah. Bertepatan itu, hidup manusia dikiblatkan hanya kepada Allah SWT sebagai Tuhan dan Sang Pencipta. Segala yang diniatkan, digerak-lakukan, difikirkan malah apa sekalipun mengandungi maksud tunggal; mengesakan Allah SWT alias tauhid.

Umat Islam di zaman Rasulullah SAW lebih maknawi memahami wahyu al-Quran yang dipraktis melalui sunnah baginda SAW. Lalu tumbuhlah jatidiri Muslim yang jelas membezakan khair ummah dengan tamadun musyrik yang sememangnya telah wujud sebelum kedatangan Islam. Golongan pertama Islam ini terdiri daripada pelbagai anarki baik dari kasta tertinggi sehinggalah hamba sehaya. Yang semuanya apabila menjadi Muslim menanggalkan pakaian kemegahan bangsa dan kasta diganti busana aqidah dan akhlak. Sehingga Islam berkembang lebih 1400 tahun, khair ummah adalah mereka yang masih tidak berganti pakaian kemusliman ini.

Dek kecemburuan musuh Islam yang dinyatakan Allah SWT bahawa tidak sesekali mereka (Yahudi dan Nasrani) bersenang hati dengan umat Islam selagi tidak menuruti agama mereka, lalu dicacamerbakanlah akal dan jiwa kita. Menerusi kolonialisme senjata dan peperangan disusul pula penjajahan budaya dan pemikiran, golongan kuffar hampir melumpuhkan khair ummah. Paling ampuh apabila peluru sekularisasi meranapkan hampir ke seluruhan negara Islam dan membunuh sebahagian besar akal, jiwa, ruh dan akhlak umat Islam. Di zaman ini, tidak peliklah kita berjumpa dengan orang Islam yang Islam mereka hanya terpatri pada kad pengenalan diri sahaja. Ke manakah mereka membuang pakaian khair ummah anugerah tertinggi yang diiktiraf oleh Allah SWT?

Manikam Kalbu Muncul Untuk Menegur

Di sinilah hikmah kemunculan oksidentalis seperti Faisal Tehrani terasa amat penting. Menerusi novelnya, Manikam Kalbu (DBP, 2007) pengarang sebagai oposisi musuh Islam telah cuba mempersembahkan kembali falsafah pakaian Islam dengan begitu menyentuh dan mengetuk. Dua versa zaman iaitu Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Zaman Melayu Kini dihubungkan oleh watak-watak yang bersatu cinta kepada busana dan jahitan. Pengarang bercerita beserta maklumat fakta bagaimana pakaian Melayu itu muncul dan berkembang sehinggalah mengalami kepelbagaian tempoh untuk segera ‘ditajdidkan.’ Pakaian Melayu adalah sinonim dengan agama Islam. Ini adalah hakikat. Continue reading Manikam Kalbu Menikam Kalbu

Wednesday, October 22nd, 2008

Menungan kelompok

Langit di hujung tahun sering mengidap selsema. Cairan virusnya menitis, mengenai manusia, itik, lembu, pokok-pokok dan segala makhluk. Bagi Bulat, kucing baka Parsi dan Siam yang telah berusia lebih lima bulan, selsema langit bahkan menggondrol perutnya dan pundi kencingnya menjadi lebih banyak. Tempat paling enak untuk ‘membuang’ najis mutawasitohnya adalah ruang tamu rumah Cikgu Abu Hassan Morad.

Yang menyambut saya semalam, sebaik turun dari kereta ialah bauan perfume ‘najis’ si Bulat. Ini adalah kemarahan yang terpendam kerana sebaik sahaja Bulat muncul, menyipi bulu-bulunya ke kaki sesiapa pun dengan suara gedik manja itu, si pemarah cepat bertukar reaksi. Bulat bahkan akan didukung, digomol2 perutnya yang tertulis kalimah ALLAH. Kakinya yang berkuku tidak tajam menendang sedikit aksi. Betullah kata emak,
‘Aku berak, aku kencing atas tilam sekalipun, korang tetap tak sanggup membenciku..’ bagi pihak si Bulat.

Bagi sesiapa yang ingin tahu, aku mempunyai pengalaman membasuh berak dan kencing binatang seperti Bulat. Kalaulah ini satu bonus ketika ditemuduga memilih kerja, alangkah1. Tapi kata-kata abah paling menarik ;
‘Allah nak bagi pahala untuk keluarga kita tu. Itulah cara bermanja kucing yang bernama Bulat..’

Ini Satu Kisah Zaman Obses. Continue reading Menungan kelompok

Monday, October 13th, 2008

Apabila Bernama Diri Itu Hadir

Teman,

peganglah dirimu dengan cermat

kerana ia satu kewajipan.

Di manapun kalian teman,

moga menemukan diri kalian

yang pas dengan kehendak Tuhan.

Diri,

APIUM, 13 OKT.

Friday, October 10th, 2008

Mukim Membekam Cinta

Kaulah terakhir yang kusebut sebelum lelap
Kaulah yang pertama kusebut pabila jaga
-Ibnu Qoyyim al-Jauzi-

Tangan Ummu Kamal dikucup kemudian wanita itu membalas kucupannya dengan ciuman di kedua belah pipi. Setelah itu, dia memasukkan mushaf kecil al-Quran ke dalam beg.
“Anakku, bila kau mahu bertandang ke Qusadya lagi? Anak-anak muridku juga cucuku, mereka sangat merinduimu,” kata Ummu Kamal.
“Insya Allah, aku akan datang bersama suamiku nanti,” janji Iman. Dia sudah bercerita tentang guru al-Qurannya itu kepada Husam. Malah, comel cucu-cucu Ummu Kamal tidak pudar di matanya sehingga Husam turut teruja mahu bermain dengan Mubtasim dan Maryam.
“Datang ya. Aku doakan kalian suami isteri diberkahi Allah SWT,” doa Ummu Kamal sebelum masuk ke musolla wanita. Iman membalas doa itu dalam hatinya, kau juga Ummu Kamal!
Dia duduk memerhatikan pelajar-pelajar wanita di Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro yang baharu usai kuliah. Masing-masing dalam kumpulan sendiri, berdiskusi tentang isi kitab yang diajar pensyarah tadi. Suara dalam kumpulan berseli dengan alunan kompang dari sebuah bilik menyebabkan suasana hingar. Barangkali ada latihan nasyid untuk program halaqoh ilmu akan datang, terkanya kala bunyi kompang dan alunan selawat menyusup ke telinga. Iman melirik ke pintu utama tingkat satu, di situ dia sudah nampak tinggi tubuh Salwana menderap ke arahnya. Dia senyum, melambai-lambai Salwana supaya berjalan cepat. Tika mereka saling berhadapan, Iman lebih dahulu memeluk Salwana.
“Macam dah sebulan tak berjumpa ya?” Salwana memerlinya. Iman mencubit lengan Salwana. Semalam, mereka baharu sahaja bermain salji bersama-sama di Beludan. Turut serta suaminya Husam, Ziyad, Hamdi dan beberapa muslimat lain termasuk Hannan, adik Hamdi yang baharu tiba di Damsyik. Oleh kerana Salwana kini tinggal bersama Adawiyah, dia tetap berasa kehilangan Salwana.
“Macam mana kehidupan di Bait Farihin, seronok?” tanya Iman mengengsot lebih ke tiang dan menarik Salwana duduk di sisinya. Salwana menjawab tanpa gelengan atau anggukan hanya matanya menggambarkan dia masih menyesuaikan diri. Iman tahu, seperti Fahda Nur, Salwana lebih betah berdikari dan hidup dalam persekitaran Arab.
“Macam tinggal di asrama Iman. Pagi, adik-adik tu dah masakkan nasi goreng kemudian kami makan berjemaah. Tengah hari, kena masak ikut giliran. Semalam Wana masak resepi baru tau, daging kurma unta,” katanya sambil ketawa.
“Seronoknya tinggal di Bait Farihin sebab hidup berjemaah. Bukan sahaja masa makan, kami solat fardhu dan bangun tahajjud pun berjemaah. Malam sebelum tidur ada sesi muhasabah dan talaqi surah al-Mulk. Setiap minggu, ada sekali usrah khusus untuk ahli rumah. Itu yang menyebabkan Wana rasa serasi  di Bait Farihin,” kata Salwana. Iman berasa cemburu, dia di rumah hanya berjemaah dengan Husam namun selalunya Husam akan menunaikan solat fardhu di masjid berdekatan rumah mereka. Niat asal berjumpa Salwana tiba-tiba mengetuk fikirannya. Dia akan bercakap dengan Salwana sebaik mungkin dan berdoa semoga rancangan mereka suami isteri berhasil.
“Wana, bagaimana Imron Baihaqi?” Salwana berkalih melihat Iman. Rasa terkejutnya apabila Iman menyebut nama pemuda yang telah lama dilupuskan dari ingatan. Imron Baihaqi sudah pulang ke negaranya bersama catatan cinta terakhir dan dia berdoa tidak diketemukan lagi dengan pemuda itu.
Tabassumuka fi wajhi akhika sodaqoh ,” bisik Iman.
Tabassumuki fi wajhuki Subhanallah ,” balas Salwana meniru-niru semula suara Imron Baihaqi. Mereka ketawa serentak lebih-lebih lagi Salwana. Dua ayat itu subur di ingatannya. Dua ayat itu jugalah yang memutikkan kasihnya kepada Imron Baihaqi. Namun, itu adalah cerita lama. Dia sudah buang jauh perasaan itu. Continue reading Mukim Membekam Cinta

Wednesday, October 8th, 2008

RINDU RAUDAH


Alhamdulillah, semoga abah direzekikan lagi menjadi TETAMU ALLAH tahun ini ini. amin.

 

Di Raudah, rinduku sesejuk air dan sehijau tumbuhan

Dan kemuliaanmu Raudah menyantuni

ceria beburung dan haruman bebunga

dan aku terpeluk oleh makam rasulku

bawah payunganmu Raudah

-Junieed-

 

Gembira. Coster biru laut tertulis di tengahnya ‘Madinah Tun Nabi’ siap menunggu rombongan kecil mereka berangkat ke tanah suci. Mereka semua enam orang. Berpasangan seperti ahli-ahli kapal Nabi Nuh AS dalam sejarah Islam. Dia dan suaminya, Doktor Husam, belakang mereka pasangan pengantin baru, Ziyad Rifki dan teman baiknya, Salwana Hanim. Dan di kerusi paling akhir, Hamdi dan adik kandungnya, Hannan. Coster akan membawa mereka menziarahi bumi Jordan dahulu kemudian akan menyusur lebuhraya di sisir Laut Mati sehingga tiba ke Madinah al-Munawwarah. Hamdi telah dilantik menjadi ketua dalam rehlah ini.

Iman melirik Salwana kala coster mula bergerak keluar dari Pekan Baromkeh. Pagi Jumaat yang hening, awan berarak di atas menjadi payung perjalanan ke kampung Rasulullah SAW. Salwana begitu jernih pada pandangan mata Iman. Tidak garang dan sopan bila bercakap dengan mereka lebih-lebih lagi dirinya. Salwana yang gemar menyakat dan mengejeknya sudah tiada. Apakah begitu cepat Ziyad Rifki mendidik isterinya? Senyum. Continue reading RINDU RAUDAH

Wednesday, October 8th, 2008

Mengukur dan Menghurung..Buku!

Kami adalah lapisan-lapisan pelangi terindah ciptaan Tuhan. Andrea Hirata menggambarkan sekumpulan 11 budak dalam group Laskar Pelangi termasuk dirinya si Ikal Seman, menghadapi hidup kanak-kanak yang naif, miskin tetapi penuh eksplorasi, kasih sayang, persahabatan sehingga mengikat mereka menjadi kanak-kanak paling bahagia dan berjaya di kemudiannya; Berjaya mempertahankan kejatidirian diri dalam lingkungan yang mendesahkan. Lintang misalnya, seorang genius terpadam oleh ombak kemiskinan waris sehingga terpaksa melupakan hasrat cendiakanya, yang telah diusahakan sejak berumur 7 tahun dengan kayuhan basikal sejauh 20km setiap hari ke sekolah. Dia kemudiannya masih pemburu timah lantaran tidak ada peluang pendidikan di peringkat tinggi. Dia cekal, tabah, menuntun imaginasi dan tidak melarikan diri dari kenyataan.

 

cinta sepasang kekasih ini melahirkan pelangi2 comel yang riang.

 

Lintang, kalaupun tidak menjadi professor atau sekurangnya setaraf Andrea sendiri, dapat menyambung pelajaran hingga ke Sorbonne, telah melimpahkan motivasi kepada para penghadam LP untuk menilai semula rasa syukur diri. Peluang pendidikan yang nyata terbentang di negara ini, kala dasar untuk bumiputera bersifat eksklusif di sesetengah universiti awam, masih ramai yang tidak menghargai peluang ilmu. Ramai masih menganggap bahawa ilmu adalah untuk cukup2 mendapat pekerjaan yang membolehkan hidup selesa, ilmu untuk menjadi manusia sebenarnya di susun di rak buku.

 

Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya bukan menerima sebanyak-banyaknya. Pesan tokoh Muhammadiyah Laskar Pelangi, Pak Harfan. Oh, itulah pesan guru-guru di SMIDU dahulu saat kami, pelajar pemula, hidup dalam asrama kayu ala pesantren, makan dalam talam dibulati 5- 6 orang sambil berkongsi ikan seekor dua, tidur pula dilantai kayu berjemaah dengan sesiapa yang ada ‘toto’ yang biasanya tipis.. Continue reading Mengukur dan Menghurung..Buku!

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com