
Alhamdulillah, semoga abah direzekikan lagi menjadi TETAMU ALLAH tahun ini ini. amin.
Di Raudah, rinduku sesejuk air dan sehijau tumbuhan
Dan kemuliaanmu Raudah menyantuni
ceria beburung dan haruman bebunga
dan aku terpeluk oleh makam rasulku
bawah payunganmu Raudah
-Junieed-
Gembira. Coster biru laut tertulis di tengahnya ‘Madinah Tun Nabi’ siap menunggu rombongan kecil mereka berangkat ke tanah suci. Mereka semua enam orang. Berpasangan seperti ahli-ahli kapal Nabi Nuh AS dalam sejarah Islam. Dia dan suaminya, Doktor Husam, belakang mereka pasangan pengantin baru, Ziyad Rifki dan teman baiknya, Salwana Hanim. Dan di kerusi paling akhir, Hamdi dan adik kandungnya, Hannan. Coster akan membawa mereka menziarahi bumi Jordan dahulu kemudian akan menyusur lebuhraya di sisir Laut Mati sehingga tiba ke Madinah al-Munawwarah. Hamdi telah dilantik menjadi ketua dalam rehlah ini.
Iman melirik Salwana kala coster mula bergerak keluar dari Pekan Baromkeh. Pagi Jumaat yang hening, awan berarak di atas menjadi payung perjalanan ke kampung Rasulullah SAW. Salwana begitu jernih pada pandangan mata Iman. Tidak garang dan sopan bila bercakap dengan mereka lebih-lebih lagi dirinya. Salwana yang gemar menyakat dan mengejeknya sudah tiada. Apakah begitu cepat Ziyad Rifki mendidik isterinya? Senyum.
“Siapa pernah memasang impian untuk bertandang ke Mekah dan Madinah angkat tangan,” kata Hamdi dari belakang. Semua mereka mengangkat tangan kecuali pemandu yang sedang mengawal stereng coster.
“Alhamdulillah. Anta sejak umur berapa pasang impian ni?” tanya Hamdi terarah kepada Husam.
“Umur enam tahun lagi. Masa tu ana hafal surah al-Fiil. Cerita tentang tentera Abrahah menyerang Kaabah dan kelahiran Rasulullah SAW yang menyebabkan terpadamnya api sembahan orang-orang Majusi menyebabkan ana dah niat nak kunjungi bumi Mekah al-Mukarramah,” pantas Husam memberikan jawapan. Iman di sebelahnya senyum sambil memikirkan alasan yang akan ditanya Hamdi kepada setiap mereka.
“Anta?” Hamdi menyoal Ziyad. Sejak tadi dia dan Salwana tidak habis berborak hingga mengabaikan apa-apa di sekeliling. Adat pengantin baru, ejek Hamdi dalam hatinya berbaur rasa cemburu.
“Ana selalu kenangkan pengorbanan Siti Hajar ditinggalkan suaminya di padang pasir yang kontang. Bersama anak kecil, Siti Hajar tidak walah berdikari dan bertawakal sehinggalah muncul air Zam Zam dari kaki Ismail AS. Berkat keyakinan dan sabarnya Siti Hajar, terbentuklah bumi Mekah yang ada sekarang ini,” cerita Ziyad. Hamdi sudah maklum, mimpi Ziyad itu sekarang membawanya menziarahi Kota Mekah malah bersama permata hatinya. Rezeki kau Ziyad! Bisik Hamdi.
“Antum?” Tanya Hamdi kepada tiga wanita dalam coster itu. Iman lebih dahulu mengangkat tangan untuk menjawab.
“Dahulu, masa umur tiga tahun abah dan ibu ana didik kami sembahyang. Ana tanya abah apa itu kiblat dan Kaabah? Sebab masa solat ana tengok di sejadah ada gambar Kaabah dan pokok-pokok kurma. Jadi masa sembahyang, terbayang gambar-gambar tu. Abah terangkan, Kaabah adalah kiblat umat Islam. Ia dibina oleh Nabi Ibrahim AS dengan anaknya Nabi Ismail AS dan terletak di Mekah. Sejak umur tiga tahun, ana berangan-angan nak tunaikan solat di hadapan Kaabah yang sebenar,” terang Iman.
“Iye? Bukan Kaabah dan pokok kurma dalam sejadah ye sayang?” tambah Husam menyebabkan mereka ketawa. Lebih-lebih lagi Salwana. Iman menjeling, rupanya Salwana masih kekal dengan kenakalannya. Ingatkan Salwana sudah berubah, Iman mencubit peha Husam.
“Masa sekolah rendah dulu, ana hantar datuk dan nenek pergi Mekah. Acara sebelum berangkat tu sangat meriah. Di kampung kami siap adakan kenduri tahlil, orang-orang kampung semua datang ziarah datuk dan nenek yang nak berangkat. Ada yang menangis dan menghulur duit, pesan supaya doakan mereka juga sampai ke tanah suci. Jadi, ana terfikirkan betapa mulianya Mekah dan Madinah di hati umat Islam, sejak itu ana berdoa lepas solat supaya direzekikan untuk bertandang ke sana. Alhamdulillah, rezeki tu nampaknya datang sekarang,” cerita Salwana
“Bersama buah hati tercinta ya Wana,” kata Iman menggiat Salwana.
“Alhamdulillah,” tiba-tiba Ziyad Rifki pula yang menjawab bagi pihak isterinya.
“Hannan?” tanya Salwana menoleh ke arah adik perempuan Hamdi yang pemalu dan tidak banyak bercakap. Hannan menggeleng-geleng kepala. Segan untuk bercerita kepada semua.
“Hannan tumpang berkat kakak-kakak dan abang-abang semua. Hannan rindu ziarah Raudah. Rindu berjumpa Rasulullah SAW dan para sahabat termasuk para isteri baginda,” jawab Hannan perlahan. Mereka yang mendengar jadi terharu. Memang semua mereka amat rindu menziarahi makam baginda SAW. Kata Rasulullah SAW, menziarahi makam baginda, samalah seperti menziarahi baginda SAW semasa hidup.
“Asyik bertanya orang lain, anta bagaimana pula Hamdi?” soal Husam.
Hamdi tersengih sahaja.
“Ana baharu saja pasang niat nak ke Mekah dan Madinah ni. Sejak teman baik ana dah temui jodohnya dan meninggalkan ana seorang, ana teringin ke Jabal Rahmah, tempat penyatuan Nabi Adam AS dengan Hawa. Di sana, ana nak berdoa semoga dikurniakan isteri-isteri yang solehah dan zuriat generasi Rabbani untuk menegakkan Islam di akhir zaman,” jawapan Hamdi itu menyebabkan semua mereka ketawa. Ziyad merenung mata Hamdi, sejak dia berkahwin memang Hamdi semakin nakal menyakatnya.
“Insya Allah, Ustaz Hamdi akan dikurniakan isteri-isteri yang solehah,” kata Iman, menekan suaranya kala menyebut ‘isteri-isteri’ yang solehah. Husam senyum, menjeling mesra ke arah Iman. Ada maksud dalam usikan isterinya kepada Hamdi.
“Alhamdulillah, kita semua telah memasang niat yang baik. Justeru, Allah SWT memudahkan perjalanan kita menjadi tetamuNya. Hidup ini adalah kota permusafiran. Hanya orang-orang yang berakal mengambil iktibar daripada setiap perjalanan hidup sehinggalah menemui Allah dan rasulNya di akhirat nanti. Peluang menziarahi Kota Mekah dan Madinah ini gunakanlah untuk membersihkan diri dan jiwa sehingga nilai pengorbanan para rasul terdahulu dapat dirasai. Apabila pulang ke tanah air, semangat juang itulah yang kita gunakan untuk memimpin masyarakat nanti, insya Allah,” ujar Hamdi memberi sedikit tazkirah.
Iman mencenung pandangan di luar cermin coster. Awan biru di atas kelihatan jauh. Ya Allah, betapa hebat kekuasaanMu menggerakkan kaki dan tubuh kami berjalan dan terbang di bumiMu. Hanya untuk menguatkan keyakinan kami bahawa Kau Maha Besar dan Maha Pencipta sekalian langit dan bumi.
Tinggal sebentar Kota Suriah, kami akan pulang nanti dengan jiwa lebih bersungguh-sungguh selepas menghirup kemuliaan Kaabah dan Raudah!
Iman senyum pada kambing-kambing gemuk yang berlarian di padang pasir. Tubuh coster laju dan semakin meninggalkan Bumi Syria.







Ummu yang manis…
ini tulisan pg tadi ke?
ada mungkin BMDM 2 ke?
faez sahabatku cintai,
Ni antara bab bmdm yang dibuang setelah jd buku tapi sangat manis buat ummu.sebuah puri impian yang membawa ummu ke haramain akhirnya. Alhamdulillah.
Hajat menjadi Tetamu Haramain semakin memuak-muak.. Doakan ya K.UMU..TEMANku
rindu ustzh raudah?
Salam,sungguh bertuah siapa yg dberi peluang oleh Allah utk mnjadi tetamu Allah…
Salam ummu Hani,Hamdi sekarang di mana?Saya kwan dia masa di sekolah Al azhar