Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

December, 2008

Wednesday, December 31st, 2008

Satu Hari Satu Doa 1000 X

palestine-map-big.jpg

Kita tak ada kudrat nak pergi berjihad di Medan Gaza. Kita sebenarnya lebih tak ada persediaan untuk berperang. Sedangkan nak sembahyang jemaah pun terpaksa berperang dengan diri sendiri, inikan nak berdepan dengan tentera Israel yang pakai bom selular.

Yang boleh kita lakukan..berdoalah, maka di dalam doa itu sebutlah; Ya Allah selamatkan saudara2 kami di negara Palestin dan seluruh negara Islam lain. Selamatkanlah akidah dan keimanan kami.  HANCURKANLAH YAHUDI LAKNATULLAH, MENANGKAN JUNDU2 MU YA ALLAH. DATANGKAN PEMIMPIN ISLAM YANG AKAN MEMBELA KAMI DI AKHIR ZAMAN.

Ujian di Semenanjung Gaza adalah ujian untuk seluruh umat Islam. Allah sedang menilai sejauh mana rasa ukhwah dan cinta kita sesama Muslim. Setiap hari, bertafakurlah memohon keampunan diri, keluarga dan masyarakat Islam. Setiap hari, cetuskanlah perbincangan tentang kezaliman Yahudi terhadap rakyat Palestin.

Langkah pertama adalah meletakkan rasa sedar di hati sendiri.

ALLAHUMMAN SURIL ISLAMA WAL MUSLIMIN.


Tuesday, December 30th, 2008

Akan Terjadi Apakah Nanti?

Angka tidaklah mampu mengganggu-gugat kestabilan seseorang melayari kapal hidup. Angka pun bukan senjata yang bisa meleburkan pengharapan dan cinta. Angka juga tidak memberi makna seseorang itu gagal walaupun belum-belum juga berjaya (khususnya menyiapkan tesis). Namun angka tetap tidak berganjak bagi membuktikan kematian boleh berlaku pada-pada bila masa. Berapa ramai kanak-kanak Palestin terkorban di Semenanjung Gaza? dan kemangkatan Tuanku Jaafar adalah satu kehilangan yang besar kepada negara. al-Fatehah untuk orang-orang Islam yang lebih dahulu pergi dari kita.

Tuesday, December 30th, 2008

Legendaris Albopictus

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

(Cerpen ini tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia, 28 Dis 2008, Alhamdulillah.)

Tin kosong yang terdampar di rusuk longkang itu rupanya mengandungi nyawa-nyawa kecil. Hampir dua minggu, walaupun telah dihurung beberapa mulut anjing liar, tetap nyawa-nyawa itu berdura mengharapkan masih terus bernafas. Entah itukan takdir, negara kelahiran mereka adalah sebuah republik bakteria yang bergumal dengan karat aluminium, itulah keistimewaannya. Berbanding Aedes biasa, gen Albopictus yang terhasil dari campuran tahi dan kuman manusia, diperap di kawasan berbaja najis binatang serta bercantuman dengan kulat dan habitat ladang, sperma pewaris itu sesuka hati dilabakan di tempat-tempat sejuk, tersorok, hapak, bertakung, kotor, seperti bumi kelahiran mereka sekarang; aluminium kosong yang terlakar jenamanya minuman keras. Lalu, siapakah lagi makhluk paling gengsi berbanding mereka, yang air liur anjing sudah menjilat nafas sebelumpun mereka hidup?

Pewaris
“Nama I Chikungunya. Boleh panggil Cik Chiku. Hihi..,” kata salah seekor mereka yang baru mematuk leher seorang manusia perempuan. Seekor yang lain menjeling dingin. Perasan!
“Menyebut-nyebut itu belum membuatkan kau berkuasa. Sasaran kita bukan seorang tetapi seluruh manusia..”
“Shh..termasuk Barrack Obama (tanpa menyebut nama Hussien).” Sampuk seekor yang lain.
“Chikungunya itu adalah wabak kejahatan kita untuk manusia-manusia baik. Buat manusia-manusia yang bukan baik, biarlah virus yang lebih ngeri merasuk. Misalnya HIV!” kata seekor yang mula-mula menegur.
“Baiklah. Nama I kekal, Albopictus. Kalau tidak itu, I adalah Aegypti. Tugas kita adalah menularkan Cik Chiku kepada manusia-manusia baik. Hihi..” katanya yang suka ketawa manja.

Mereka adalah perkumpulan makhluk kecil yang muncul di tempat-tempat bertakung, kotor, gelap dan lembap. Tugas mereka adalah mengusik mana-mana manusia berdarah yang berkeliaran di republik Albopictus. Jahatkah mereka mencium kulit manusia yang kesannya tidaklah membawa maut, tetapi boleh melumpuhkan satu isi rumah? Salah seekor mereka misalnya telah menyumbing lengan seorang wanita surirumah. Bias ciuman Alpobictus menyebabkan wanita itu terlantar tidak bergerak, sendinya lemah, tangannya layu. Kasihan sekali suami dan lima orang anaknya, beberapa minggu terpaksa menjamah nasi bungkus. Itulah, memang kelemahan kaum Alpobictus tidak pandai berterima kasih kepada manusia yang telah menyediakan ‘kediaman istimewa’ pada mereka. Bukankah perbuatan si ibu melempar lampin pakai buang anaknya di belakang rumah berserta sampah-sampah lembap adalah perbuatan yang patut dipuji kaum mereka? Continue reading Legendaris Albopictus

Thursday, December 25th, 2008

Perutusan Hijrah Buat Diri dan Teman2

Apabila Si Munafik Bersuara..
Akhir zaman menyaksikan sebahagian besar umat Islam bersikap seperti seorang muallaf. Erti kata lain, individu yang dilahirkan Islam, membesar dalam persekitaran orang-orang Islam tetapi jahil memanifestasikan kandungan Islam. Masih tidak jelas tujuan penciptaannya ke dunia  apatah lagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Orang Islam semacam ini adalah kelompok yang perlu dibimbing, dipapah dan diaturcarakan untuk memahami erti keislamannya. Hal ini samalah seperti kita membimbing seorang saudara baru yang mahu mengenal dan mempraktikkan Islam. Berbezanya, saudara baru adalah mereka yang diberi hidayah oleh Allah untuk membersihkan dirinya kembali kepada fitrah. Manakala, orang Islam yang jahil (separa muallaf) ini hanya ‘menunggu’ hidayah datang tanpa mahu mencari makna Islam yang dipegangnya.

Jadi, apa gunanya perbincangan tentang pemikiran dan falsafah ilmu yang mendalam sama ada ilmu laduni, ukhrawi dan duniawi jika tahap pemahaman orang Islam masih berada paras ‘cukup-cukup makan.’ Tulisan ini adalah merujuk kepada karya sastera. Lebih jelas, tiada gunanya sebuah novel berat seperti Hikayat Hang Tuah kepada seorang budak tadika yang baru boleh membaca. Begitulah juga, kebanyakan novel-novel sastera yang hadir di tengah masyarakat kini kurang mendapat sambutannya kerana nilai ilmu yang terlalu agung tidak menghampiri jiwa yang kosong. Termasuklah novel-novel sastera berunsur Islam. Berapa ramaikah yang telah membaca novel Imam karya Pak SN Abdullah Hussien berbanding berapa ramaikah yang membeli novel Budak Setan karya Ahadiat Akashah? Atau berapa orangkah telah membincangkan novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani  berbanding halaqah perbincangan novel Harry Potter karya Jk Rowling? Maaf. Dikalangan remaja!
Continue reading Perutusan Hijrah Buat Diri dan Teman2

Tuesday, December 23rd, 2008

Berlakunya Pertembungan 2 Alpobictus!

 nyamuk.bmp

Di Malaysia, perdagangan manusia (baca: seks) 10 tahun dahulu melibatkan 142 ribu orang pelacur dengan 7 peratus daripadanya beroperasi di Kuala Lumpur. 10 tahun terkemudian ini, dianggarkan peningkatan berlaku sebanyak 58 ribu orang (150 ribu pelacur) dengan 10 ke 15 ribu orang beredar di Kuala Lumpur. Dewan Masyarakat Okt 2008 mendedahkan bahawa perniagaan manusia ini sangat menguntungkan negara ekoran urus niaganya mencatatkan RM1.5 juta sehari, RM45 juta sebulan dan 5.4 bilion setahun. Kata penulisnya, Mohd Shukri Mohd Ariff (bekas bos saya ketika praktikal di DBP, 2003) jumlah tersebut lima kali ganda lebih besar daripada BAJET 2009 untuk membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk miskin di Sabah dan Sarawak.

Apa yang ditakuti telah pun berlaku. Selain Kuala Lumpur, banyak lagi kota-kota utama di Malaysia ini acap dikatakan orang ‘syurga lelaki’ (mungkinkah neraka bagi perempuan?). Kewujudan sesebuah Bandar adalah untuk melahirkan tamadun baru. Biasa kita magli melihatkan tubuh wanita pada diri seorang pondan di Lorong Haji Taib dan Chow Kit, sebenarnya ada juga di lorong-lorong gelap negeri yang lain.

Kenapa Mereka Tergamak?

pondan.jpg

Tinjauan DM secara eksklusif menemukan para pelacur sukarelawan antaranya para pelajar IPT dan penduduk tempatan. Bayaran kerjaya mereka amat lumayan. Bagi pelacur kelas pertama (kebanyakan pelacur berbangsa Eropah dan Russia ) antara RM350-RM800 dan pelacur kelas pertengahan adalah RM150-RM250 untuk satu-satu masa (biasanya 45 minit) dan satu-satu orang. Jika dalam sehari, mereka berolehkan 3-5 orang lelaki, pendapatan sudah boleh mencapai RM1000-RM1500 sehari!

Ketika dunia berhadapan dengan kegawatan ekonomi, barangkali ramai anak-anak gadis mengambil jalan pintas melacurkan diri mereka untuk menikmati kemewahan hidup. Namun, ada juga segelintir wanita menjalankan aktiviti pelacuran atas tiket menampung hidup. Lorong Haji Taib yang banyak menyediakan hotel dan bilik tumpangan murah misalnya adalah lubuk pelacur –pelacur tua. Kunjungan saya ke sana beberapa kali (ke Bangunan Pejabat PAS dan Rumah Sinar Salam yang terletak di tengah Kota Chow Kit) menemukan saya dengan beberapa pelacur tua yang berusia lewat 50-an. Hasil perbualan mendapati, rata-rata mereka sudah uzur dan tidak ‘tahu’ membuat kerja lain selain memperdagangkan diri sendiri. Upah melayani lelaki dengan fizikal uzur tidak mahal, paling-paling mereka mendapat RM10 – RM30 untuk satu sesi. Duit itulah digunakan untuk membayar sewa, makan, pakai dan bernyawa di Kuala Lumpur.

Jika mendapat penyakit dosa seperti HIV/AIDS dan Sifilis? Itu lain pula ceritanya.

Seorang lelaki homoseksual pernah bercerita pada saya (ketika membuat kajian di Rumah Sinar Salam), walaupun telah beberapa tahun mengidap HIV/AIDS, dia tetap tidak boleh meninggalkan seks sesama jenis cuma dapat mengurangkannya. Begitu juga, pelacur-pelacur pembawa HIV/AIDS, ramai yang tidak menggunakan kondom ketika ‘bekerja’ kerana bimbang pelanggan akan mengesyaki penyakit mereka seterusnya ‘lari’.

Di sinilah titik permulaan kepada pemangsaan baru HIV/AIDS dan penyakit kelamin lain. Seorang pelacur menularkan kepada seorang lelaki, lelaki itu kemudiannya melanggan pelacur lain (boleh jadi 3,4 orang wanita setiap hari). Tidak mustahil jika si lelaki mempunyai isteri, seterusnya kepada anak yang bakal dilahirkan.

Saya mengira manusia-manusia kategori ini juga adalah alpobictus, iaitu sejenis Aedes yang mewabakkan virus Chikungunya. Bagaimanapun, virus Chikungunya tidaklah sebahaya virus HIV/AIDS walaupun kedua virus tersebut belum menemui ubat yang khusus merawatnya.

Manusia adalah alpobictus HIV/AIDS
Aedes adalah alpobictus Chikungunya
.
Kerajaan adalah pemangsa yang terpaksa mengeluarkan duit untuk menangani dua masalah di atas. Pertembungan dua Alpobistus.

Malangnya Bangsaku. Malangnya tanah airku.

Tolong kami wahai ISLAM.

   

Wednesday, December 17th, 2008

Ada Sesiapa Nak Kena Baling Kasut?

mainpix1.jpg

Ada seekor tikus tua, telah ditugaskan menjadi Presiden di sebuah Republik Tikus Putih. Ramai tidak percaya dia boleh jadi pemimpin yang kuat kerana dipercayai keturunannya dahulu (sebelah bapanya) mempunyai sakit sawan dan mental. Bagi menafikan tuduhan-tuduhan tak bermoral rakyatnya (terutama tikus pendatang yang berkulit hitam dan cokelat), dia telah melancarkan serangan mencari seekor kucing; musuh keturunan tikus sejak zaman Yunani. Kucing baka Iraqian ini adalah pemimpin kepada Republik Kucing Merah Jambu.

Salah satu cara yang berkesan membunuh presiden kucing merah jambu adalah dengan hidangan ikan yang dicampuri racun tikus, yang secara sulit diberikan melalui timbalan presiden kucing merah jambu yang ada sikap munafik pada ketuanya. Setelah bangkai presiden kucing merah jambu selamat dikebumikan, republik tikus putih melonjakkan presiden mereka ke awan tertinggi. Mereka terus percaya dan tidak was-was lagi memberikan kesetiaan jitu pada bapak presiden tikus mereka.

“Angkutlah mana-mana anak lelaki tikusku untuk menjadi laskar menyerang republik kucing merah jambu. Selagi masih ada bau ‘keganasan’ mereka, jangan kau bawa mereka pulang ke republik ini.” Antara iltizam bapak2 dan ibu2 tikus kepada presiden mereka yang sudah padam cakap2 tentang penyakit keturunannya; gila.

Bapak presiden tikus putih telah berlaku gila tanpa disedari rakyatnya, bukan sahaja menyerang laskar kucing-kucing merah jambu, bahkan isteri, ibubapa dan bayi kucing2 turut menjadi sasaran kebinatangannya.

Dia juga mengeluarkan arahan supaya dana republik tikus putih dihabiskan bagi membinasakan republik kucing merah jambu. Semangat membunuhnya mencapai harkat masyuk (sebenarnya dia mengidamkan rupanya itu seperti kucing merah jambu yang dirasakan lebih hensem). Kecemburuan yang sudah lama itu belum lagi tertunaikan. Pada waktu itu, dikerahkan lagi tikus2 muda lelaki dan wanita ‘mengerjakan’ habis-habisan republik kucing.Tidak cara melawan, guna cara godaan. Wang negaranya dilaburkan licin.

Republik tikus putih hampir bangkrap apabila Bank negara serigala Israel mengumumkan hutang republik itu melebihi jumlah tikus2 yang ada di dunia. Tikus-tikus putih baru tersedar, mereka telah mengiktiraf kegilaan presiden tikus putih dan bekerjsama gila selama ini.

Tanpa memanjangkan tempoh, seekor tikus hitam dilantik menjadi presiden menggantikan yang gila itu.

Bekas presiden tikus putih yang gila itu, entahkan kerana rakyatnya telah membuburkan namanya bersama muntah dan kahak kemarahan, dia telah pergi ke Republik Kucing Merah Jambu atas tujuan meminta maaf, sekaligus dapat meraih sedikit simpati sebelum dia ditamatkan riwayat oleh Malaikat Maut.

Belum sempat lagi bersuara: mukanya dibaling dengan najis kucing.

“Dasar keturunan gila kau Bush..ops! tikus putih.”

Dia mati di situ serta – merta.

Tuesday, December 16th, 2008

Di sela menuju 26

mak.jpg

Ibunda Cintaku, Hajah Hamidah 

Diri ini selalu memperhitungkan bahawa ilmu adalah senjata terpenting mendepani waktu dan zaman. Ilmu yang berupa buah tangan menghadiri kuliah telah berlalu, ilmu yang dikecap sewaktu alam pesantren SMIDU juga tinggal kenangan, ilmu menghadiri seminar, kursus dan bengkel sudah sangat jarang, kini ilmu yang ada adalah membaca, menulis dan mengingat. Tiga proses yang menuntut kewajaran masa yang optimum, serius dan cakna.

img_3130.JPG

Memimpin mereka pula..

Sampai bilakah diri akan berpuas hati dengan prestasinya? Setiap hari, apakala mata terbuka, terasa sangat dekat dengan kematian. Bangun dari mimpi seperti bangun dari ruang pusara, dan sesaat itu terbit syukur bahawa Tuhan masih mengurniai usia. Ya Allah, aku mahu lebih baik hari ini..mahu bersyukur kerana Kau memberi peluang umur. Selalu terjadi sebaliknya..bermula dengan keinsafaran, ditengahnya tersadung silap dan ketika mata akan terlelap, di situlah ada sesal, ada gumam, ada protes dan ada benci..pada kebodohan diri bertemankan dosa.

adi-dan-husaini.jpg

Husaini (17 tahun) dan abangnya Hamdi (19 tahun), teringat dulu ketika aku membasuh kencing berak mereka. 

img_3060.JPG

Beberapa hari, usia akan menuju 26 tahun. Apabila ditoleh, muncullah rupa-rupa mereka yang mengingatkan aku pada perkataan ‘DEWASA’. Mereka ialah adik-adikku yang setiap hari ada peningkatan umur, tingkah-laku, pemikiran dan perasaan. Bahkan, jika diizinkan Allah, aku bakal beroleh anak saudara dan adik ipar baru ..semua itu menyebabkan aku dihenyak tanggungjawab untuk menjadi seseorang dalam keluarga. Lebih prihatin, mengambil-berat dan bersungguh terhadap apa yang kupegang…

img_3141.JPG

Ya Allah..ini adalah satu percubaan bermuhasabah agar aku terus kukuh dengan tanggungjawab yang KAU berikan.

Tuesday, December 16th, 2008

Al-Haramain 2 Permukiman Cinta.

07072008049.jpg

Ahli rombongan Umrah Tarbawi sebelum berlepas di KLIA.
Rombongan kami seramai 40 orang dari seluruh Malaysia diketuai Ustaz Nasruddin bin Hj Hasan dan Ustazah Maryam berangkat ke Haramain tanggal 7 Julai 2008. Penerbangan Biman Airlines milik negara Bangladesh beberapa kali ditunda ekoran ketiadaan penumpang menyebabkan kami terpaksa menunggu semalaman di KLIA.

07072008071.jpg

Negara Bangladesh yang dikit membangun

Ketika transit di Lapangan Terbang Zia, Dhaka, kami sekali lagi diberi peluang melawat bandar ketiga terpadat di dunia itu. Semacam menyungguhkan belas kasihan melihat masyarakat Muslim Bangla yang bernafas kemiskinan. Walaupun Dhaka adalah Kuala Lumpur jika di Malaysia, tetapi wajahnya adalah sebuah desa terpinggir yang kotor, sibuk, bising dan tidak bersistem. Saya menghirup nafas keperitan dan senggsara para ibu dan anak-anak peminta sedekah. Bayangkan, sebaik kaki melangkah keluar dari perut lapangan terbang, beratus tangan dan jari memohon belas sedekah. Jika kita menghulurkan duit pada seorang dua, maka bersedialah untuk dihimpit berpuluh-puluh peminta sedekah yang lain. Continue reading Al-Haramain 2 Permukiman Cinta.

Monday, December 15th, 2008

Apa Kata Dunia Tentang Integriti?

Hari ini apabila kerajaan menyebut tentang integriti, berapa ramaikah yang menyerapkan definisi itu ke hati mereka? Berita tentang seorang pegawai tertinggi Pos Malaysia cawangan Putrajaya hari ini yang dilaporkan pecah amanah ‘mencuri’ duit kutipan harian syarikat kurier itu yang berjumlah lebih RM95,000, adalah salah satu contoh buta integriti di kalangan pegawai kerajaan sendiri.

Tertuduh, seorang wanita yang bukan sahaja bergelar pengurus besar tetapi turut memiliki jawatan isteri dan ibu dalam rumahtangganya mengakui ‘terdesak’ untuk mencuri wang ‘rakyat’ itu. Kisah pencuriannya bermula apabila dia yang juga pesakit barah servik (rahim) terpaksa menjalani rawatan kanser secara intensif dan memerlukan kos rawatan yang tinggi. Cara pertama mengatasi masalahnya, dia telah berhutang dengan ceti. Selepas itulah, pelbagai kejadian tidak diingini telah berlaku. Ceti mengganggu keluarganya, mengugut akan mencabut nyawa mereka jika tidak membayar hutang secara mingguan (melebihi RM1000 setiap minggu). Desakan sakit, nyawa dan ancaman jenayah menyebabkan wanita ini tidak lagi rasional untuk ‘menggelapkan’ wang kutipan Pos Malaysia.

Kini, dia telahpun dijatuhkan hukuman penjara iaitu selama 20 tahun. Tetapi ekoran keuzuran dan penyesalannya, pihak mahkamah menunggu laporan kesihatannya bagi meringankan hukuman.

Yang mengacau benak saya ialah

1. Bagaimanakah anak-anak mangsa menghadapi masyarakat setelah ibu mereka yang bekerja lebih 20 tahun dengan Pos Malaysia dengan penuh dedikasi sebelum ini, tergamak berlaku curang seterusnya menjadi ‘penjenayah’ yang menghancurkan nama baiknya sendiri sekelip mata?

2. Pihak kerajaan tidak ada carakah membantu para karyawan mereka yang  ditimpa musibah begini? Ke manakah wang KWSP wanita ini sepanjang dia bekerja di Pos Malaysia?

3. Kesakitan justeru mendekatkan seseorang kepada Allah SWT, malangnya berlaku sebaliknya dalam kejadian ini.

4. Inilah pentingnya hukum hudud dilaksanakan.

5. Ini salah satu kes pecah amanah yang terbongkar, bagaimanakah kes yang masih tersorok, dan sangat popular dalam kalangan kakitangan awam terutama ketika pengagihan projek kerajaan?

Pengajaran.

Bersamalah kita meletakkan rasa takut kepada Allah (taqwa). Di nuansa moden ini, untuk berintegriti dengan diri sendiri juga ruwet. Saya sendiri terpaksa mengakui, banyak menggunakan harta syarikat tempat saya bekerja untuk kepentingan diri. Misalnya, saya gunakan kemudahan ‘YM’ untuk menyapa kawan-kawan walhal ketika itu masa saya sepatutnya untuk menyelesaikan tugas. Kadangkala saya menelefon ibu di kampung untuk bertanya khabar menggunakan telefon syarikat, Saya juga gunakan kenderaan syarikat sebaik menyelesaikan tugas kewartawanan dengan menyinggah rumah kawan-kawan atau ke tempat lain. Semua itu menjentikkan rasa berdosa saya apabila mengingatinya.

Setiap hari mahu lebih baik daripada semalam.

Friday, December 5th, 2008

Idul Adha fi Marhalah Rindu Damsyik

IDUL ADHA DI DAMSYIK.

Ad-Dinu lana wal haqqu lana
Wal ad’lu lana wal kullu lana
Adhal Islamu lana dina
Wa jami’il kauni lana watona


dscn1608.JPG

Jamah khubuz di pagi raya Haji bersama Abu Nadeer dan Maryam
Suatu pagi yang begitu sejuk; dalam bilik sempit yang hanya berisi sebuah almari pakaian, sebuah cermin muka besar dan sebuah katil yang boleh memuatkan tiga tubuh kami (saya, Kak Dayah dan Kak Haniah). Sebenarnya, setiap hari saya merasakan itulah hari yang paling sejuk, bahkan hari-hari berikutnya, kesejukan menjadi melampau dan terlampau (buat makhluk kurus seperti saya!). Tetapi hari ini dibangunkan oleh kesyahduan langit Jaddat Salamiyeh dengan alunan luar biasa dari corong-corong menara jamik (masjid).  Suara itu melantun, menyentakkan tidur dan menguis rindu yang halus. Ya Allah, suara Takbir Idul Adha pada pagi ini (Idul Adha, 2006)! Inilah hari raya pertama tanpa keluarga, tanpa saudara, tanpa kawan-kawan, riuh adik-adik dan tanpa kuih, ketupat, hatta makanan yang terhidang. Idul adha saya pada usia 24 tahun adalah melihat wajah sendiri yang ditumbuhi radiasi kulit kesan kesejukan yang melampau (buat manusia Melayu yang jakun ini.)

dscn1603.JPG

Canda pagi Idul Adha dengan Hammudeh. Continue reading Idul Adha fi Marhalah Rindu Damsyik

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com