Di Malaysia, perdagangan manusia (baca: seks) 10 tahun dahulu melibatkan 142 ribu orang pelacur dengan 7 peratus daripadanya beroperasi di Kuala Lumpur. 10 tahun terkemudian ini, dianggarkan peningkatan berlaku sebanyak 58 ribu orang (150 ribu pelacur) dengan 10 ke 15 ribu orang beredar di Kuala Lumpur. Dewan Masyarakat Okt 2008 mendedahkan bahawa perniagaan manusia ini sangat menguntungkan negara ekoran urus niaganya mencatatkan RM1.5 juta sehari, RM45 juta sebulan dan 5.4 bilion setahun. Kata penulisnya, Mohd Shukri Mohd Ariff (bekas bos saya ketika praktikal di DBP, 2003) jumlah tersebut lima kali ganda lebih besar daripada BAJET 2009 untuk membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk miskin di Sabah dan Sarawak.
Apa yang ditakuti telah pun berlaku. Selain Kuala Lumpur, banyak lagi kota-kota utama di Malaysia ini acap dikatakan orang ‘syurga lelaki’ (mungkinkah neraka bagi perempuan?). Kewujudan sesebuah Bandar adalah untuk melahirkan tamadun baru. Biasa kita magli melihatkan tubuh wanita pada diri seorang pondan di Lorong Haji Taib dan Chow Kit, sebenarnya ada juga di lorong-lorong gelap negeri yang lain.
Kenapa Mereka Tergamak?
Tinjauan DM secara eksklusif menemukan para pelacur sukarelawan antaranya para pelajar IPT dan penduduk tempatan. Bayaran kerjaya mereka amat lumayan. Bagi pelacur kelas pertama (kebanyakan pelacur berbangsa Eropah dan Russia ) antara RM350-RM800 dan pelacur kelas pertengahan adalah RM150-RM250 untuk satu-satu masa (biasanya 45 minit) dan satu-satu orang. Jika dalam sehari, mereka berolehkan 3-5 orang lelaki, pendapatan sudah boleh mencapai RM1000-RM1500 sehari!
Ketika dunia berhadapan dengan kegawatan ekonomi, barangkali ramai anak-anak gadis mengambil jalan pintas melacurkan diri mereka untuk menikmati kemewahan hidup. Namun, ada juga segelintir wanita menjalankan aktiviti pelacuran atas tiket menampung hidup. Lorong Haji Taib yang banyak menyediakan hotel dan bilik tumpangan murah misalnya adalah lubuk pelacur –pelacur tua. Kunjungan saya ke sana beberapa kali (ke Bangunan Pejabat PAS dan Rumah Sinar Salam yang terletak di tengah Kota Chow Kit) menemukan saya dengan beberapa pelacur tua yang berusia lewat 50-an. Hasil perbualan mendapati, rata-rata mereka sudah uzur dan tidak ‘tahu’ membuat kerja lain selain memperdagangkan diri sendiri. Upah melayani lelaki dengan fizikal uzur tidak mahal, paling-paling mereka mendapat RM10 – RM30 untuk satu sesi. Duit itulah digunakan untuk membayar sewa, makan, pakai dan bernyawa di Kuala Lumpur.
Jika mendapat penyakit dosa seperti HIV/AIDS dan Sifilis? Itu lain pula ceritanya.
Seorang lelaki homoseksual pernah bercerita pada saya (ketika membuat kajian di Rumah Sinar Salam), walaupun telah beberapa tahun mengidap HIV/AIDS, dia tetap tidak boleh meninggalkan seks sesama jenis cuma dapat mengurangkannya. Begitu juga, pelacur-pelacur pembawa HIV/AIDS, ramai yang tidak menggunakan kondom ketika ‘bekerja’ kerana bimbang pelanggan akan mengesyaki penyakit mereka seterusnya ‘lari’.
Di sinilah titik permulaan kepada pemangsaan baru HIV/AIDS dan penyakit kelamin lain. Seorang pelacur menularkan kepada seorang lelaki, lelaki itu kemudiannya melanggan pelacur lain (boleh jadi 3,4 orang wanita setiap hari). Tidak mustahil jika si lelaki mempunyai isteri, seterusnya kepada anak yang bakal dilahirkan.
Saya mengira manusia-manusia kategori ini juga adalah alpobictus, iaitu sejenis Aedes yang mewabakkan virus Chikungunya. Bagaimanapun, virus Chikungunya tidaklah sebahaya virus HIV/AIDS walaupun kedua virus tersebut belum menemui ubat yang khusus merawatnya.
Manusia adalah alpobictus HIV/AIDS
Aedes adalah alpobictus Chikungunya.
Kerajaan adalah pemangsa yang terpaksa mengeluarkan duit untuk menangani dua masalah di atas. Pertembungan dua Alpobistus.
Malangnya Bangsaku. Malangnya tanah airku.
Tolong kami wahai ISLAM.







