Menulis Dari Pengalaman
Saya selalu merasa jelek dengan tulisan saya sendiri. Ketika usia belasan tahun, banyak kali saya tidak dapat menyiapkan cerpen kerana masalah itu. Saya kerap membayangkan isu-isu besar untuk dicerpenkan. Misalnya, saya telah merangka garis cerita tentang seorang suami yang ditinggalkan oleh isterinya kerana mengikut kehendak nafsu. Si isteri kemudian disahkan mengidap penyakit HIV akibat perbuatan sumbangnya. Cerita bermula dengan kekecewaan sang suami membawa diri ke kampung bersama anak mereka. Anak itu selalu bertanya, di manakah ibunya pergi? Kemudian ibu si lelaki juga asyik mengungkit perkahwinan yang tidak direstuinya itu telah membawa bencana kepada anaknya.
Saya telah menulis intro cerita agar menaikkan tanda tanya kepada pembaca. Namun, apabila sampai di tengah cerita (halaman 7-8) saya buntu. Beberapa orang yang membaca ide saya telah menegur, mengapa saya begitu sanggup mencipta watak seorang isteri dan ibu yang curang? Saya dicadangkan sepatutnya memurnikan watak si isteri. Bukankah penentangan si ibu terhadap perkahwinan anak sudah konflik yang besar? Ia boleh dileraikan dengan elemen-elemen yang lebih ‘mulia’. Ketika itu, umur saya 15 tahun, isu HIV/AIDS dan komunikasi antara suami isteri tidak familiar pada saya. Cuma, kehendak fikiran (yang agaknya selalu membaca novel dewasa) lebih dahulu matang.
Cerpen itu terbengkalai. Malang lagi, ia telah hilang dalam simpanan.
Namun, ada beberapa cerpen yang siap lalu tersiar di majalah. Yang paling mengembirakan, ketika usia 17 tahun, saya telah memenangi dua anugerah sayembara, pertama: Hadiah Saguhati Sayembara Formula Malaysia, Kedua: Tempat Kedua Pertandingan Cerpen Berunsur Islan anjuran Majlis Agama Islam N.Kedah. Dua cerpen yang dihantar adalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan sendiri. Saya menulisnya dengan rendah hati.
Di sini, saya mahu kongsikan proses penulisan cerpen Kampung Hati Ayah. Cerpen ini sangat karib dalam pengalaman hidup selama 26 tahun ini. Sangat manis. Alhamdulillah.
SATU
Satu pagi dalam tahun 2005, saya telah membawa datuk dan nenek ke rumah seorang tukang urut di Pekan Changloon. Bomoh itu terkenal dapat mengubati tulang yang patah dan menyembuhkan penyakit sihir. Nenek saya mengalami penyakit tulang belakang dan Alhamdulillah, ‘kena’ dengan cara urutan si tukang urut.
Acapnya, saya selalu mendengar dan memerhati keadaan sekeliling. Biasanya, awal pagi lagi, rumah si bomoh dipenuhi para pesakit yang datang dari seluruh Malaysia. Siapa yang awal, akan mendapat perkhidmatan awal. Tetapi nenek selalu di’awalkan’ dengan keadaan dirinya yang agak uzur (berbanding pesakit lain).
Ketika sedang mengurut nenek, sang bomoh bercerita tanpa henti. Perhatiannya bukan saja pada nenek yang mengaduh sakit tetapi pada semua orang yang duduk menunggu giliran. Dia bercerita bak penglipur –lara, dari masalah politik hinggalah hukum agama. Paling menarik perhatian saya apabila sang bomoh berkata “Tahun ni saya terpaksa kerja keras sikit nak kumpul duit. Ni adalah disebabkan nak bawa semua anak menunaikan haji sekali termasuklah yang bongsu tu (15 tahun). Tau-tau sajalah, budak zaman sekarang bukan nak fikir pergi haji muda, tambahan lagi nak kena bayar hutang PTPTN, atau kahwin duduk di Bandar, berapa la duit tinggal nak pergi haji. Jadi, sebelum saya mati, biarlah dapat sempurnakan rukun Islam anak-anak ni.”
Kata-kata si bomoh sangat dahsyat menyerap ke fikiran, menyelinap di hati dan menetap di jiwa saya. Sangat terkesan dengan harapan dan usaha seorang ayah, walaupun hanya seorang bomoh kampung.
Saya pulang ke rumah dengan teringat-ingat akan ucapan sang bomoh!
Tiba saja di rumah, hati saya tidak enak selagi komputer belum berketik. Saya merangka ide awal di kertas. Menurunkan segala yang terpundak di jemala fakir. Watak seorang bomoh- yang bekerja keras hanya semata mahu menyempurnakan fardu haji anak-anaknya.
Kemudian saya mencari watak utama iaitu aku. Oleh kerana saya seorang wanita, aku itu saya perempuankan. Saya berfikir, ‘aku’ mestilah perempuan yang luar biasa agar menarik. Jadi, sifat apakah yang luar biasa pada aku, seorang gadis kampung yang tinggal di Changloon. Saya mula membina sifat aku; dia telah dididik ayahnya menjadi wanita petani sejak kecil. Seorang yang keras hati dan berfikiran positif. Juga meminati bidang keusahawanan.
Dalam hal ini, ayah ‘aku’ adalah watak istimewa yang membentuk dirinya. Tidak syak lagi, cerpen ini bukan cerita tentang ‘aku’ tetapi adalah ayahnya. Justeru saya meletakkan tajuknya ‘Kampung Hati Ayah’. Saya belum menuliskan cerita tetapi telah menemui tajuk. Dari tajuk tersebut, ide telah mengalir dengan baik, Alhamdulillah.
Kampung. Dengan nama itu saya telah terbayangkan apa yang ada dalam sebuah kampung. Saya larikkan dengan pengalaman sendiri, melihat ke batang diri ayah saya, Hj Abu Hassan Morad. Beliau juga mempunyai ayah yang sangat mencintai bidang pertanian hingga anak-anaknya termasuk abah intim dengan bidang tersebut. Abah selalu berkata, kebun adalah wang menyara dirinya untuk berjaya. Abah mempunyai sebuah kebun warisan di Changloon, di kebun itulah abah membawa saya dan adik2 pada hujung minggu berbakti pada tanah. Di situ, arwah Wan Morad telah menanam getah, kemudian durian, manggis, limau bali, jagung, ciku, langsat, dokong, pucuk-pucuk ulam, segala yang sihat tertanam di tanah arwah Tokwan. Abah selalu mengalirkan cintanya pada ibubapanya di kebun itu. Dia begitu sayangkan kebun dan tidak walah menanam getah dan menebas rumput hutan walaupun sudah bergelar pengarah syarikat di Kuala Lumpur.
Di rumah kami, emak telah mula berjinak menjadi pengusaha nurseri pokok bunga. Tanaman landskap yang memenuhi ruang rumah, emak tanam semula kemudian menjualnya di tapak nurseri yang dibina oleh abah dan adik-adik. Nursery comel itu telah dinamakan Puteh Nurseri sempena nama emak Hajah Teh Hamidah. Cerita tentang emak dan nurserinya ini sedikit saya masukkan dalam cerpen Kampung Hati Ayah. Emak telah menggunakan modal yang dikumpulnya sendiri untuk membangunkan tapak semaian pokok. Kemudian perniagaan kecil emak mulai berkembang dengan kesungguhannnya membawa pokok2 ke pasar tani.
Kala nurseri emak mulai berkembang, abah telah membeli sebuah lori berwarna kuning. Selain menjadi alat menghantar pokok-pokok, lori kuning itu juga alat kegirangan saya mencuba kenderaan baru. Biasa, saya membawa adik-adik menaiki lori keliling kampung pada waktu petang. Memang kami dikenali dengan lori kuning yang comel itu (kini telah dijual..)
Justeru, saya tak lupa memasukkan tentang emak, nursery dan lori kuning dalam Kampung Hati Ayah. Saya menambah dalam cerpen ini, ayah selain bekerja sebagai petani, dia juga seorang tukang urut, tukang rumah dan peniaga pasar. Dengan duit itu, ayah telah berjaya membeli sebuah lori berwarna kuning. Dengan lori itu, ayah dapat menjual pokok-pokok bunga emak juga buah-buahan dusun di pasar tani.
Aku dalam cerpen ini memang seorang yang taat pada ibubapa. Dia hanya menurut perintah ayah walaupun itu bukanlah kecintaan peribadinya. Misalnya, ayah telah mengajar aku seperti mengajar budak lelaki, menebas, meracun, menanam pokok-pokok, membaja dan membeli benih pokok. Kerja itu telah dilakukan aku sejak di sekolah rendah hingga masuk ke universiti.
Dalam kehidupan peribadi, saya mengalami yang sama dengan watak aku. Cuma bidang sahaja berbeza. Abah banyak ‘memberi tugas’ kepada saya berkaitan bidang penulisan. Sewaktu kanak-kanak dia memaksa saya membaca, memaksa saya menulis dan selalu meleteri jika saya membuang masa. Malahan, abah tidak membeli televisyen ketika saya dan adik2 bersekolah rendah. Saya mentaati abah dalam keadaan tertekan namun tidak membantah. Dengan emak, saya mudah menceritakan hasrat hati. Namun, setegas manapun emak dan abah, saya tahu mereka sayangkan anak-anak dan mahu melorongkan jalan yang baik buat kita. Hikmah ketegasan mereka saya rasai setelah saya melepasi umur sekolah menengah.
Ayah kuat bekerja sehinggalah aku masuk ke universiti. Saya memilih UPM sebagai tempat aku menyambung pelajaran. Namun, saya tidak meletakkan dia dalam bidang pertanian, sebaliknya aku dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Kala aku mulai bergelar siswazah, baharulah ayah memutuskan keputusan yang selama ini ditunggu oleh aku iaitu tidak pergi ke kebun lagi. Ayah lebih suka aku bekerja di pejabat. Paling mengejutkan, ayah telah memberi wang rm30 ribu kepada aku sebagai ganjaran uasahanya membantu di kebun sejak kecil. Ayah tidak mahu aku meminjam wang PTPTN untuk belajar kerana tahu kesan hutangnya besar. Aku berasa terharu. Rupanya, ayah menghargai aku dalam diamnya.
Ada orang bertanya kepada saya, apakah abah saya benar-benar memberikan wang sebanyak itu kepada saya ketika melanjutkan pengajian di UM? Saya katakan, abah saya tidak memberi duit sebaliknya memberi lebih mahal daripada itu, iaitu bimbingan dan kasih sayang. Emak dan abah memberi lorong yang betul kepada saya dan adik-adik.
Di akhir cerita Kampung Hati Ayah, aku telah menyoal emak tentang usaha ayah yang tidak henti-henti walaupun dimamah keuzuran. Persoalan aku terjawab setelah ayah berterus-terang kepada aku dan adik-adik. Kata ayah, dia melakukan banyak kerja sejak muda adalah untuk mengumpul duit bagi membolehkannya membawa anak-anak menunaikan fardhu Haji di Mekah. Ayah sudah menjangkakan kehidupan mencabar pada masa depan akan menyulitkan anak-anak mengumpul duit ke Mekah. Ayah berasa berdosa jika tidak menyempurnakan rukun Islam ahli keluarnya.
Saya telah mengutip sepenuhnya kata-kata sang bomoh untuk pengakhiran cerpen ini ; “Ayah takut hampa kejar benda lain tapi rukun Islam tak sempurna. Ini sahaja niat ayah sebelum ayah mati.”
Alhamdulillah. cerpen ini berjaya disiapkan dalam tempoh 2 hari. Saya telah memberikan pada abah untuk disemak. Saya merancang hantar ke Dewan Siswa. Tahu apa kata abah?
Abah menegaskan supaya cerpen ini dihantar ke akhbar Mingguan Malaysia. Saya masih tidak yakin tetapi mengikut kata abah setelah dibuat sedikit pembaikan hasil dari perbincangan kami berdua. Alhamdulillah, tak sampai beberapa hari, cerpen saya ini telah disiarkan di Mingguan Malaysia, Julai 2005. Saya amat berterima kasih kepada Saudara Ku Seman kerana memberi peluang pertama kepada gadis muda (ketika itu 22 tahun) seperti saya menerjah akhbar.
Kesimpulannya, pengalaman telah menghadirkan ilham yang baik buat cerpen Kampung Hati Ayah.
Justeru, mulakan cerpen anda dengan pemerhatian sekeliling. Ayuh! Mulakan sekarang.
NOTA TAMBAHAN: cerpen Kampung Hati Ayah juga memenangi Hadiah Utama kategori cerpen remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005. Dengan duit kemenangan itu, dapatlah saya pergi belajar di Damsyik Syria, kemudian menghasilkan 2 buah novel di sana. Saya akan kongsikan dengan anda nanti.







Salam, kak Ummu comel yang manis.
Terima kasih untuk perkongsian ini. Sangat berharga dan berguna!
Nanti sambung lagi ya =)
perkongsian yang sangat menarik!
sejarah yang bagus untuk dikongsi bersama kawan2….
-:)
terima kasih Nissa, Naim dan Kholid. Pengalaman kita berbeza, kalau ada manfaat apa salahnya dikongsi dengan orang lain.
salam kak ummu hani..
Terima kasih atas perkongsiannya kak.. ilmu ini sangat berharga utk saya..
Boleh tak beritahu saya alamat tukang urut di Changlun tu? Sebab isnin lepas saya ada terjatuh di bilik air dan saya sendiri pelajar UUM sintok..sedang mencari tukar urut di area Changlun… -alif (0173229612)