Semalam saya ditemubual oleh para pelajar dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Barangkali ia juga dapat membantu saudara yang berminat untuk menulis. Saya kongsikan di sini.
1) Bagaimana/Bila anda melibatkan diri anda dalam dunia penulisan ?
Alhamdulillah, bapa saya seorang penulis dan beliau telah mendidik saya untuk menjadi seorang penulis sejak masih kanak-kanak. Misalnya, abah akan membekalkan pen dan buku apabila kami pulang ke kampung (Kedah) atau menziarahi sanak-saudara. Sepanjang jalan dalam kenderaan, abah mahukan saya dan adik-adik menulis apa yang kami lihat di jalanraya. Ketika itu umur saya sekitar 9-12 tahun. Abah juga sering menghadiahkan buku dan mewujudkan perpustakaan di rumah kami. Pembacaan dan latihan menulis itu adalah faktor yang mengembangkan bakat penulisan saya, alhamdulillah.
Saya mulakan penulisan dengan menulis diari, cerita-cerita pendek dan pembacaan. Karya pertama tersiar di media hanya ketika berusia 16 tahun, sebuah puisi Ramadan di majalah Anis. Sebelumnya, saya telah menulis cerita tetapi untuk simpanan sendiri sahaja.
2) Apakah tema atau persoalan-persoalan yang sentiasa anda kemukakan dalam karya-karya anda ?(soalan yang mungkin klise tapi ingin mendapat tema original dari penulis) Adakah anda ingin memuatkan tema atau persoalan yang berbeza pada masa hadapan ?
Saya cenderung menulis berdasarkan pengamatan dan pengalaman sendiri. Namun, pengalaman tersebut saya suntik dengan sedikit kajian dan pembacaan. Setakat ini, hampir 40 buah cerpen saya berkisar isu yang berlaku dalam masyarakat. Saya ambil contoh, cerpen Cerita-Cerita Akhir (Mingguan Malaysia) adalah dari pembacaan berkaitan kekejaman yang berlaku ke atas umat Islam di Selatan Thai, cerpen Bila Adik Pulang (Mingguan Malaysia) adalah berdasarkan peristiwa kehilangan adik Nurin Jazlin yang kemudiannya mati dirogol. Cerpen-cerpen saya yang lain ada bertemakan pendidikan, pengembaraan, perjuangan Islam, kekeluargaan dan politik. Cerpen berunsurkan politik antaranya bertajuk Stesen Televisyen Lalat (Akhbar Wasilah), dan Legendaris Albopictus (Mingguan Malaysia).
Manakala 4 buah novel saya, dua daripadanya bertemakan pengembaraan atau travelog iaitu Baromkheh, Matamu di Matamu dan Senyum Kota Suriah (kedua berdasarkan pengalaman saya ketika menuntut di Damsyik, Syria). Novel pertama saya, Ladang Hati Mustika adalah pengalaman saya menjadi mahasiswa di Universiti Malaya. Novel 1 Bulan 3 Bintang pula adalah novel remaja hasil dari pengalaman musim remaja saya juga pengamatan melihatkan gaya anak-anak muda kini.
Saya bercita-cita terjun dalam bidang penulisan berunsurkan sejarah terutama berkaitan Nabi Muhammad SAW. Insya Allah.
Adakah tema-tema mahupun persoalan-persoalan yang anda kemukakan ini berdasarkan naluri hati anda atau mengikut isu-isu semasa.
Kedua-duanya. Bisikan hati akan mendesak saya menyiapkan sesuatu karya. Semua karya yang tersiar dan terbit setakat ini adalah dari hati dan kesedaran saya pada isu tersebut, alhamdulillah.
4) Apakah pendapat Ummu mengenai pendidikan dengan dunia penulisan. Adakah pendidikan yang tinggi diperlukan oleh seorang penulis ? (paper chase) Pendidikan yang tinggi (PHD sbg contoh) dapat membantu penulisan anda.
Pandangan peribadi saya, ilmu itu perlu pada seorang penulis. Namun, adalah tidak adil, seorang penulis perlukan gelaran atau ijazah tinggi baharulah boleh menulis. Pendidikan (ilmu) adalah inti karya. Pendidikan tidak semestinya dalam kampus atau universiti. Kita belajar dari Sasterawan Negara, Allahyarham Pak Arenawani dan Usman Awang, mereka adalah graduan universiti alam. begitu juga Pak Samad Said, bukan seorang ahli akademik. Tetapi mereka ilmuan yang hebat kerana sensitiviti serta pembacaan yang banyak. Malahan, jika seorang penulis itu kemudiannya memasuki universiti, adalah satu bonus sekiranya dia memanfaati karyanya dengan teori dan falsafah yang dipelajarinya. Ini kerana, universiti mengajar kita meneroka ilmu dengan lebih sistematik, ilmiah dan berterusan. Namun, jangan pula dijadikan alasan, apabila sibuk dengan ilmu teori, ruang untuk menulis kreatif terasa sempit. Kesimpulannya, uniknya penulisan kreatif ia boleh diterokai sesiapapun dan apa bidang pun. Seorang pengayuh beca atau perdana menteri pun bisa menjadi seorang penulis. Insya Allah
5) Pendapat anda mengenai kerjaya sebagai seorang penulis…bolehkah ia menjamin masa depan seorang penulis??
Saya lebih melihat penulis ini sebagai pendakwah, manakala kerjaya itu jatuh nombor dua. Apabila kita meletakkan diri sebagai pendakwah, kita tidak akan menulis semata-mata habuan duit atau nama. Namun, dalam dakwah juga ada elemen nilai. Kita perlukan khalayak yang ramai untuk membaca mesej dakwah yang disampaikan, kita juga perlu mempamerkan persembahan dakwah yang menarik. Jadi, tidak dapat tidak ia berkait dengan wang juga. Oleh itu, ambillah sikap yang sederhana, menulis kerana Allah dan jika diberi rezeki olehNya, kita terima dengan syukur. Sebaliknya, jika kita menulis namun tak ada habuan, kita juga terima dengan syukur.
Apapun, pendapatan daripada penulisan ini banyak. Pengalaman saya sendiri, boleh pergi belajar ke Syria daripada duit menulis, Alhamdulillah, tahun lepas berkesempatan mengerjakan umrah dengan duit menulis juga. Saya harap, tahun ni boleh langsungkan perkahwinan dengan duit royalty menulis juga, insya Allah, Amin.
Perkara janaan pendapatan ini saya selalu cakap pada adik2 remaja supaya mereka ada ransangan untuk menulis. Namun, apapun yang kita lakukan, niat dan matlamat utamanya mestilah amar makruf nahi mungkar.
Bahagian dua
1) Karya anda (baromkeh, ladang hati mustika) banyak menyentuh mengenai kehidupan seorang pelajar di kolej dan di perantauan, mengapa anda memilih kehidupan seorang pelajar sebagai wadah penyampaian ?
Ketika di tahun akhir UM, saya berniat untuk menghasilkan sebuah novel yang menghimpunkan pengalaman saya di varsity tersebut. Ia adalah kemahuan yang kuat, saya menulisnya secara berdikit-dikit di samping tugasan pengajian yang padat. Alhamdulillah, akhirnya terbitlah Ladang Hati Mustika, dua tahun selepas saya tamat pengajian di UM. Ia adalah percubaan pertama saya menulis novel, oleh itu saya tidak mahu mengambil isu yang jauh. Novel ini saya katakan sebuah ‘ujikaji’ bakat saya dalam genre novel. Kekurangannya adalah kelebihan buat saya apabila ia berjaya diselesaikan dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT, alhamdulillah.
Untuk novel Baromkheh, Matamu di Mataku (BMDM), isu yang dipaparkan lebih besar. Falsafahnya masih cinta yang melingkari kehidupan mahasiswa. Namun BMDM saya menggunakan sudut pandangan ‘serba tahu’ dan konflik watak yang banyak. Latar yang ditampilkan juga adalah berbeza (Damsyik). Tambahan lagi, turut diselitkan adalah budaya masyarakat Arab dan bahasa seharian mereka. Oleh kerana ketika itu saya adalah seorang pelajar, adalah memudahkan untuk saya menulis dunia pelajar berbanding isu yang lain. Genrenya pun Sastera Remaja? Yang pentingnya, isu pelajar itu adalah isu yang bersifat ummah dan serius. Misalnya, pemikiran pelajar2 agama yang masih selesa dengan kelompok mereka serta pelbagai masalah pelajar Malaysia di luar negara. BMDM sebenarnya adalah novel yang mahu berkongsi dengan remaja tentang jatidiri, ukhwah, cinta dan peluang yang perlu dimanfaati remaja Muslim sebaiknya.
2) Anda banyak menerapkan nilai-nilai agama dalam karya-karya anda. Adakah ia satu tanggungjawab ? (Anda rasa ada khalayak yang memerlukan nilai-nilai ini)
Semestinya. Kesedaran itu diterapkan oleh bapa sejak kecil. Bapa saya menjadikan bidang penulisan sebagai jihad dakwahnya. Beliau selalu berkata pada saya bahawa, penulisan bukan perkara yang boleh ‘main-main’. Semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Yang paling penting adalah kesan kepada masyarakat. jika kita membawa mesej yang baik dan boleh memberi kesedaran pada orang lain, insya Allah, pahala akan mengalir pada kita sehingga ke akhirat. Begitu juga sebaliknya.
Dalam zaman yang manusia melupai agama ini, adalah menjadi kewajipan setiap penulis Muslim untuk menaikkan imej Islam dalam karya. Kalau ditanya semula, apakah saudara mahu anak-anak menonton cerita tahyul, lucah, hedonis dan tiada matlamat dengan alsan kebebasan dan moden? Jika jawapannya tidak, maka cabaran ini perlu disahut oleh para penulis yang berjiwa dakwah. Kita perlukan ramai penulis dakwah agar ada imbangan atau pilihan kepada para pembaca memilih terbaik untuk diri, keluarga, anak-anak dan ‘otak’ serta rohani mereka.
3) Berapa banyak pertandingan/Sayembara penulisan yang pernah awak sertai ? Pernah atau tidak menyertai pertandingan tetapi tidak memenangi apa-apa?)
Alhamdulillah, saya telah memenangi lebih dari empat anugerah penulisan antaranya Tempat Kedua Sayembara Cerpen Berunsur Islam anjuran Majlis Agama Islam N.Kedah, Hadiah saguhati Cerpen Formula Malaysia, Hadiah Utama Cerpen Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005, Hadiah Tempat Ketiga Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007, Hadiah Hari Buku 2007 dan Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Novel Kanak-Kanak anjuran DBP.
Ada yang tidak menang.
- Dalam banyak-banyak pertandingan yang disertai mahupun dimenangi, pertandingan yang manakah yang betul-betul memberi makna pada diri anda sebagai seorang penulis.
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Alhamdulillah, dah 4 kali saya menyertainya. Malahan ia memberikan impak yang baik kepada saya sebagai penulis muda.
- Apakah hadiah yang paling bernilai yang pernah anda memenangi ?
Cerpen Kampung Hati Ayah dan novel Baromkeh Matamu di Mataku. Keduanya saya menang dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.







Sesiapa yang mahu bertanyakan soalan berkaitan penulisan dan pengalaman kerdil saya, ahlan wasahlan!