JADIKAN RASA DI HATI SEBAGAI INSPIRASI
Hamdi (berjubah kelabu) dengan kawan-kawannya di Damsyik.
Saya selalu tidur bermimpikan Damsyik. Penangannya, walau 3 tahun sudah berlalu, seakan baru semalam saya turun dari Ittihad Airways di KLIA. Saya jarang menyuarakan betapa lebatnya rindu yang berguguran di hati ini pada bumi yang memberi saya kehidupan tentang alam dan makhluk. Tentang mahabbah dan sakinah juga tentang ukhwah. Saya cuba mengurangkan rasa perit itu dengan menulis. Alhamdulillah, dua novel terhasil dalam perjalanan hampir 3 bulan saya di negara Suriah alias Syam.
Novel Baromkheh:Matamu di Mataku
Proses penulisannya berlangsung sebelum kaki saya menjejak Syria lagi. Ketika itu saya berawangan di atas awan dalam kapal terbang. Jika anda baca bab pertama novel saya itu, ada banyak perkataan ‘Senyum pada awan, senyum pada awan’. Tajuk bab itu juga adalah Senyum Pada Awan. Memang saya betul tersenyum pada awan!
Saya mencatatnya secara kasar. Watak-watak yang timbul adalah berdekatan diri saya. Saya rangkakan; Iman (banyak diri saya dan impian saya) menyambung pengajian di Syria bersama temannya Salwana (watak asal Salwana adalah teman musafir saya iaitu Kak Hidayah. Kami memang berdua saja). Saya tidak mahu novel ini seperti Ladang Hati Mustika, yang menggunakan sudut pandang ‘AKU’ sebaliknya mahu mempelbagaikan watak utama. Justeru, saya meletakkan selain Iman dan Salwana, akan ada watak-watak lain sebagai watak tipa.
Sebelum terlupa, saya belum meletakkan tajuk lagi untuk novel ini. Malahan, nama Baromkheh itu belum saya ketahui dan mengejanya. Saya hanya mempunyai hasrat menulis pengalaman pengembaraan ilmu ini sahaja. Dalam kapal terbang, saya kutip apa yang saya lihat antaranya ; para penumpang, pramugari, material dalam kapal terbang, rupa awan, perasaan sendiri, cara pemanduan pilot, apa yang dihidangkan dalam kapal terbang, percakapan penumpang sesama sendiri dan ketika kapal terbang transit. Dari pengalaman itu, telah siap satu bab novel!
Nadir dan keluarganya juga saya masukkan dalam novel Senyum Kota Suriah (diterbitkan DBP 2009)
Merangka watak adalah satu proses yang menarik. Anda bukan sahaja boleh berfikir dan berangan sendiri. sebenarnya, kisah hidup orang sekeliling anda juga boleh diambil-pengajaran. Cuma, janganlah anda meniru secara bulat2 watak orang hidup. Saya pernah berpesan kepada beberapa orang, jika anda marahkan seseorang, luahkan dalam karya. Misalnya, menjadikan seseorang itu sebagai binatang dalam karya anda. Orang politik yang bersifat seperti katak melompat, mungkin boleh dijadikan terus sebagai katak dalam karya anda.
Dalam novel saya ini, setelah tiba di Damsyik, saya telah berkenalan dengan ramai orang. Mereka membawa kisah hidup masing-masing. Seorang pelajar Malaysia menceritakan kepada saya, temannya telah berkahwin muda dengan seorang lelaki huffaz dalam masa sehari, mereka terpaksa berpisah jauh kerana menuntut ilmu. berpisah bukan bercerai tetapi akan pulang setelah habis belajar. Apa yang menariknya?
Bagi saya, golongan muda memang sukakan ‘cinta’ dalam karya. Orang dewasa juga suka bumbu yang sama. Namun, cinta kalau tidak keluar dari kepompong biasa (tidak luar biasalah maksudnya) maka, tidak ada yang boleh dipelajari. Saya jadikan kisah teman kepada teman saya itu sebagai pengalaman watak saya (Iman). Dia menyambung pengajian dan terpaksa meninggalkan suaminya di Malaysia. Dia dan suaminya masing2 berumur 23 dan 24 tahun. Cinta jarak jauh begini akan memandu mereka melamun rindu dengan bersyariat. Tidaklah nanti kalau ada ‘ayat-ayat cinta’ dari sms atau emel mereka melanggar hukum. Orang dakwah juga terpaksa akur dengan fenomena cinta anta-anti.
Tetapi, Iman dan suaminya Husam (nama sempena Yb Husam Musa ke? agaknya kot) bukanlah isu utama dalam novel saya ini. Mereka ‘perencah’ yang boleh dipelajari dan diambil iktibar.
Saya juga berkenalan dengan seorang pelajar yang mengalami ujian hidup sepanjang tinggal di Syria. Pengalamannya sedikit saya masukkan dalam kisah Fahda Nur. Sebagai penulis, tugas saya adalah memanipulasi karya agar mendatangkan kepuasan pada pembaca. Kepuasan bukan saja dari sudut rasa tetapi pengajaran dan ilmu. Saya rencahkan lagi Fahda Nur ini menghadapi fitnah yang besar di kalangan para pelajar Malaysia di Syria.
Saya turut tinggal bersama para pelajar Malaysia yang aktif berpesatuan. Sedikit sebanyak, saya mengenali hati budi dan akhlak mereka yang manis. Watak Naimah, Ila, Rabiatul Adawiyah adalah watak2 yang wujud di sana. Kesempatan bergaul dengan mereka, saya dapat menangkap beberapa isu yang tidak selesai. Antaranya isu pemikiran. Pertentangan antara corak pemikiran pelajar aliran pondok dan universiti awam. Cara berfikir yang berbeza mewujudkan pesimis sesama orang Melayu di Damsyik. Anda boleh mengikutinya dalam novel saya itu.
Bagi menulis sebuah novel, anda seharusnya tidak berasa tertekan. Ia adalah satu ‘permainan’ yang baik. Anda seolah menyusun sebuah puzzle apabila anda berjumpa orang baru setiap hari. Kisah-kisah dan diri mereka boleh anda karyakan dan dalam waktu yang sama, anda memberi ‘solekan’ lagi kepada cerita dan watak asal.
Setelah berbulan memukimi Damsyik, satu hari saya berjalan dari Jameah Abu Nour pulang ke rumah sewa di Jaddat Salamiyeh kira-kira 6km. Saya telah melalui satu pekan bernama Syorah dan terpandangkan sebuah kedai cenderamata. Saya melihat gambar hiasan kedai antaranya bunga tulip. Gambar itu bermain di minda saya yang ketika itu sedang mencari tajuk untuk novel ini yang baru selesai bab pertama (sedangkan saya merancang sekurangnya 30 bab untuk novel ini nanti). Beberapa hari kemudiannya saya berkunjung ke pekan yang bernama Baromkheh, iaitu kawsan bandar yang agak besar di Damsyik. Terus minda saya berkenan menamakan novel yang belum siap itu TULIP BAROMKHEH. Saya bawa nama novel itu sehingga pulang ke Malaysia.
Tahukah anda, novel ini terbengkalai begitu sahaja setelah bab pertama dan keduanya sya leraikan di Damsyik? Apabila pulang ke Malaysia, saya buntu lagi beberapa bulan, dan hanya menyiapkan sebulan sebelum tarikh 31 Disember 2007.
Cara untuk menyiapkan kembali yang terbengkalai adalah merenung dan memperdalamkan rindu. Apabila rindu begitu lebat, baharulah saya gerakkan kembali kudrat menyelesaikan novel ini. Saya rindukan Damsyik, sangat rindukan Kota Suriah. Sangat rindukan pengalaman kembara Rasulullah SAW ke kota Syam.
Di hadapan Masjid Umawi memadu rindu pada Khalifah Salahuddin al-Ayubi
Moga rindu akan hadir untuk menyiapkan apa sahaja perkara yang saya rancangkan tahun ini terutama novel baru dan tesis, insya Allah.










Kak ummu, saya baca BMDM ini semasa ‘kembara’ jalan-jalan dengan kawan-kawan (termasuk ummi dan atin) ke Kelantan tahun lepas. Sepanjang pergi shah alam-KB dan balik KB-ipoh, saya habiskan novel ini. Sangat seronok membaca novel kembara semasa kembara. haha
Tapi kalau dapat baca dalam flight lagi best!
Nissa, kak ummu tengah rindu betul ni, jom kita gi Damsyik dik!