‘Suami Saya Timbalan Menteri…’
Rumah Salmiah..
Jatuh bangun tubuhnya masih anggun. Apatah lagi jika bersarung busana Muslimah, pastinya dia dilihat sama seperti wanita-wanita lain. Namun, ada sesuatu yang menyedihkan terjalur dalam hidupnya. Dia sebatang kara, terbiar, tiada pekerjaan dan..berpenyakit mental! Begitulah yang diceritakan kepada saya tentang wanita bernama Salmiah Abdullah (bukan nama sebenar).
Menurut Cikgu Rahmi, 78 tahun yang sering berulang-alik dari rumahnya di Taman Kamariah ke Masjid asy-Syakirin, Gombak, Salmiah cukup popular di kalangan jemaah masjid. Jika tidak menunaikan solat, Salmiah selalu kelihatan terbongkok-bongkok mengambil makanan yang disediakan untuk jemaah yang mengikuti pengajian agama. “Pernah satu hari, Salmiah ambil bihun yang dihidangkan untuk jemaah wanita. Banyak hinggakan hampir semua jemaah wanita tak dapat makan. Kita bukan marahkan dia, tapi perangainya sejak tahun lepas makin pelik dan misteri,” Cerita Cikgu Rahmi. Rentetan itu, perasaan untuk meninjau keadaan sebenar Salmiah mengheret saya dan rombongan mengunjunginya.
Rumah papan bertangga batu di hadapan kami kelihatan usang dan menyeramkan. Rumput liar meninggi hampir ke tingkap. Sekeliling rumah dipenuhi hutan lalang yang tidak mustahil menjadi sarang ular atau lipan. Sebuah kereta buruk tersadai di depan tangga. Sesiapa sahaja yang lalu di hadapan rumah bernombor empat ini pasti mengatakan ia tidak berpenghuni. Tambahan bahagian tepi rumah juga tidak berbumbung dengan kayu dinding reput di sana-sini. Kami ditemani seorang jiran, memberanikan diri memasuki kawasan rumah milik Salmiah itu.
Sebaik ternampak kelibat kami, Salmiah tersenyum simpul. Dia lalu menyalami kami. Namun, terlihatkan kamera di tangan saya, Salmiah terus berlari ke dalam rumah dan muncul kembali dengan tudung ungu di kepalanya. “Tak cantiklah saya,” katanya malu-malu. Cikgu Rahmi kemudian meminta izin Salmiah untuk masuk ke dalam rumah ‘misteri’ itu. Tanpa ralat, Salmiah melebarkan jeriji besi penghadang pintu utama rumahnya.
Terkejut. Itu sahaja yang boleh saya lafazkan kala pandangan tertancap pada aksesori ‘habuk’ yang bersepahan di tiap rinci ruang tamu. Hampir tiada ruang untuk kami duduk. Dinding rumah pula di gantung potret dan bingkai perhiasan.“Salmiah duduk dengan siapa?” tanya kami meraih mesra Salmiah. “Kat sini duduk sorang. Selalu, suami saya balik tapi kami tinggal di rumah sebelah tu,” katanya merujuk rumah banglo yang agam di tepi rumah usang itu. “Saya ada dua anak. Anak pun tak tinggal sini,” tambahnya lagi. “Tengok gambar keluarga Salmiah, boleh?” Cikgu Rahmi pula bertanya. Lalu Salmiah mencapai bingkai gambar di dinding. “Inilah keluarga saya,” katanya. Saya dan rombongan hampir tergelak besar. Gambar yang ditunjukkan Salmiah itu adalah keluarga Putera Charles dengan anak-anaknya Putera Wiliam dan Putera Harry. Jelas, wanita ini menggambarkan jiwanya bukan seperti fizikalnya yang sihat.
Kereta peninggalan bapa angkatnya lebih 20 tahun lalu tersadai depan rumah.
“Siapa suami Salmiah?” tanya kami lagi. Salmiah senyum, meramas-ramas jemarinya. “Suami saya kerja di Putrajaya jadi Timbalan Menteri,” katanya. Jirannya yang membawa kami menggeleng kepala. “Penyakitnya dah datang la tu,” katanya. Salah seorang dari kami menghulurkan makanan buat Salmiah sebelum turun ke bawah rumah.
Peranan Jiran
Salmiah dikatakan anak angkat kepada pemilik rumah tersebut, Haji A.Manaf dan Hajah Fatimah yang telah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu. Dia diambil pasangan ini ketika masih bayi di hospital. Menurut jiran terdekatnya, Salmiah pernah bekerja sebagai model ketika muda tetapi sejak ibubapa angkatnya meninggal dunia, dia duduk sebatang kara. Wanita berusia 48 tahun ini semakin hari semakin tidak terurus dan ingatannya mula terganggu. Malang lagi, tiada siapa mempedulikan Salmiah termasuk jiran-jiran berdekatan rumahnya.
Ini dibuktikan dengan keadaan rumah Salmiah yang uzur dan semak. Tinggal di dalam rumah yang gelap, tidak berbumbung, tiada elektrik dan air mengusutkan keadaan kesihatan Salmah. Sebagai anak yatim piatu, berpenyakit dan tiada pekerjaan, Salmiah layak mendapat perhatian pihak berwajib untuk diberi bantuan. Tambahan lagi, di sekeliling rumahnya kelihatan banglo-banglo mewah, wajar sekali orang-orang kurang bernasib baik seperti Salmah ini dibantu jiran yang mampu. Sampai hatikah masyarakat melihat insan seperti Salmiah ini hidup melarat dalam dunia mereka sendiri sehingga akhirnya meninggal dunia seorang diri? Tidakkah itu satu dosa kepada kita yang lebih bernasib baik?
Hadis Rasulullah SAW menyebutkan: Orang yang berusaha untuk membela perempuan janda dan orang miskin, pahalanya seperti orang yang pergi berperang untuk menegakkan kalimah Allah (riwayat Syaikhan)
Misteri..
Masih ada cerita tersembunyi tentang wanita ini. Minggu berikutnya, saya dan rombongan datang lagi ke rumah Salmiah untuk membersihkan halamannya. Tiba-tiba ada cerita lain pula dari Salmiah tentang dirinya.







Saya mengalukan sesiapa nak join kami bantu bersihkan rumah saudara kita di atas ni atau nak bagi kaunseling..emel saya senyum_sokmo2@yahoo.com. Alhamdulillah, dengan bantuan seorang insan berhati mulia, kami dah berjaya dapatkan bantuan segera JKM untuk Salmiah.
Salam ummu hani.
Pertama kali meninggalkan ulasan kat blog ummu.:)
ummu apa pulak cerita selanjutnya tu…teringin nak tahu.Harap ummu sudi berkongsi…
wslm…