Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

March, 2009

Wednesday, March 11th, 2009

Hatiku Disihir Jakarta

Poket kembara Satu
dsc_0296.JPG

Patung ‘Selamat Datang’ ke Jakarta.

Tabiat berjalan dan mengembara ini sedikit demi sedikit menguasai diriku. Sejak bulan Disember 08, telahku tempah pesawat Air Asia KL-Jakarta, Solo-KL dengan harga ketika itu agak murah RM280 dua hala. Ini adalah niat yang lama kupendam setelah tidak berkesempatan mengunjungi Pesantren Darun Najah, Jakarta Selatan lewat ziarah aku dan emak ke Solo April lepas. Drs Saifullah dan isterinya Dr Munifah (kupanggil mereka pakcik dan makcik), dua insan yang kuanggap seperti ibubapa menebarkan senyuman gembira melihatkan aku telah terpacak di hadapan mereka kala tiba di Bandara Soekarno-Hatta pada 4 Mac 2009.
dsc_0292.JPG

Majalah Anis yang dibelek dulu oleh Makcik dan Huda sebaik menyambutku di bandara.

dsc_0297.JPG

Kemodenan ‘kayangan’ Indonesia.

“Hari ini, anakanda Ummu akan kami bawa pusing-pusing Jakarta hingga capek (penat)” kata mereka diiringi puteri bongsu, Si Huda yang pemalu. Jakarta dalam suhu 30-33 celcius memberikan kemesraan matahari yang terik. Pakcik menyediakan kenderaan gratis (percuma) buatku iatu kereta Rusanya dan seorang pemandu. Termasuk diriku, kami lima orang semuanya siap meredah ke jantung Jakarta. Bandara (terminal atau airport) masih terletak di pinggiran utara Ibu Negara Indonesia letaknya di luar bandar Jakarta. Ianya termasuk provinsi Banten, di Tangerang. Ruas kesibukan tidak begitu terasa. Namun, terminal utama Indonesia ini mengekalkan ciri tempatan yang sempurna dengan bumbung cengal asli dan menawan. Yang paling peramah menyapaku adalah bendera warna-warni sepanjang jalan. Ini adalah fenomena sebelum ketibaan Pilihan Umum Indonesia (PEMILU) atau di Malaysia di sebut Pilihanraya Umum tanggal April nanti. Sempat mataku menangkap parti-parti popular yang sekarang bergengsi di tampuk Republik Indonesia; Parti Demokrat dengan tema bintang tiga merah putih (apakah celupan parti Demokrat AS aka Bush?) digenggam gagah sang presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), diikuti bendera Merah berkepala lembu tajaan Parti PDI Perjuangan gagasan anak Allahyarham Sukarno, Megawati Sukarnoputri dan Parti Golkar pimpinan wakil presiden sekarang, Yusuf Kalla. Menurut makcik, lebih kurang 30 parti akan bertanding merebut jawatan baik diperingkat negeri (provinsi) dan negara seterusnya presiden. Indonesia selepas kejatuhan Suharto pada tahun 1998 telah memunculkan empat presiden iaitu Bj Habibi, Gus Dur, Megawati dan SBY.
dsc_0303.JPG

Uniknya MPR (Majlis Permesyuaratan Rakyat) mengiktiraf banyak parti di Parlimen Indonesia. Bendera parti-parti berkibar tanpa pesimis satu sama lain.

Tertanya-tanya, apakah buah tangan mantan presiden dan SBY sekarang  yang dibawa ke jagat Indonesia? Apa boleh dilihat dari kerlipan fizikal Jakarta? Hanya Jakarta?

dsc_0319.JPG

Masjid Istiqlal yang paling besar di Asia Tenggara. Di sini juga terdapatnya pejabat Majlis Agama Islam Indonesia.

Continue reading Hatiku Disihir Jakarta

Tuesday, March 10th, 2009

Bekerja Untuk Dia!


 dsc_0321.JPG

Depan Masjid Istiqlal, Jakarta- 040309

 

Saya tersenyum pada awan tadi. Turun ke bumi, saya menangis dalam pelukan abah. Entah, galau membius diri yang tidak tabah; antara bekerja kerana manusia atau kerana Allah? Ataukah satu keputusan untuk menoleh ke belakang kerana cakap-cakap orang pada saya..pada keluarga saya?

 

Saya mengambil kata putus untuk mendengar kata orang yang saya amat-amat cintai. Menurut abah, fokuskan apa yang kak ummu nak buat. Diri kitalah yang mencorak gaya kerja dan kata-kata orang tu tak setakat mana, yang penting untuk Dia!

 

Sesiapa yang membaca catatan ini, tolong doakan seorang Ummu Hani menjadi muslimah yang dipermudahkan urusan dunia akhiratnya. Amin!

Tuesday, March 3rd, 2009

Hijrah Diri

Para pengunjung yang dimuliakan, insya Allah, saya akan berkunjung ke Jakarta-Solo dan Yogyakarta dalam rangka Lawatan Mahabbah Pesantren bersama sebuah sebuah ngo profesional Islam (diketuai Prof Kamaruzaman Yusuf) pada 4- 9 Mac. Saya akan pulang dengan cerita-cerita baru untuk dikongsi dengan kalian, insya Allah.

Doakan perjalanan kami dipermudahkan Allah dan pulang dengan ilmu2 yang bermanfaat untuk diri dan ummah.

SALAM MAULIDURRASUL 1430.

Tuesday, March 3rd, 2009

Dirimu Meromantiskan Para Suami


Nabi SAW telah pulang ke rumah. Perlahan tangan baginda mengetuk pintu. Isteriku, belahan jiwaku Puteri as-Siddiq, sudah beradukah kau sayang? Hati baginda SAW berasa rindu dan cinta. Tubuhnya yang sarat dibebani amanah serta pundak fikir yang dibelai masalah ummah, surut dan jernih. Bahkan, perut baginda SAW yang tidak pernah kekenyangan tersenyum. Dunia ini bukanlah tempat tinggal untuk sang pencinta Tuhan. Bersahabat dengan kemiskinan adalah kelaziman para kekasih Allah. Nabi SAW tenang bertafakur merenung bulan dan bintang. Aisyah sudah beradu, biarlah malam ini jiwa dan diriku tidur di peraduan asli mengadap keindahan ciptaan Tuhanku. Tidak sesekali kukocak tenang mimpimu wahai isteriku, Aisyah. Nabi SAW memejam mata tetapi hati, fikiran dan jiwa baginda tidak pernah tidur. Baginda SAW larut menghayati buai zikir yang diaminkan makhluk binatang dan tumbuhan di seluruh kota Madinah.

            Aisyah terbangun di pagi yang dingin. Bau wangi sang suami yang biasa menerikkan ruang rumah, hari ini terasa tidak berbahang. Dia tercari-cari bayang baginda SAW. Masya Allah! Kekasihnya tidak pulang ke rumah? Biasa, suaminya pasti akan memberitahu tujuan destinasi baginda SAW, ke manapun baginda pergi dan pulang. Agar isteri tidak tertanya-tanya. Suaminya mafhum fitrah wanitanya tambahan dia sedang menginjak usia remaja. Dia bukan cemburu buta tetapi dirinya dipenuhi rindu buat Kekasih Allah.

            Aisyah mendekati pintu, apakah baginda SAW pulang tetapi ? Ah! Tepat sekali terkaannya. Tubuh sang suami leka memandang langit, bibirnya bergerak zikir. Baginda SAW sedang asyik dengan Sang Pencipta. Aisyah penuh penyesalan memeluk suaminya.

 “Maafkan diriku Kekasih Allah. Mengapa tidak kau kejutkan isterimu yang tidur dengan rindu yang hangat?” Berulang lafaz maafnya tetapi dibalas senyum yang paling indah oleh baginda SAW.

“Tidak akan sampai hatiku mengusik lena isteri-isteriku sedang mereka seharian menguruskan rumahtangga. Moga Allah memberkati para isteri dengan taqwa,” kata Nabi SAW masuk ke ruang rumah.

Tuesday, March 3rd, 2009

Menyambut Cintamu Ya Rasulullah SAW

 mihrabnabimuhammadsaw.jpgmihrabnabimuhammadsaw.jpg

Benar, sangat malu untuk menulis catatan kali ini. Berbaur rasa rendah diri, kotor, berdosa dan tidak selayaknya! Setiap hari yang berlalu, berapa kali diriku berselawat kepadamu Ya Rasul? Kalau tidak kerana Allah SWT menjadikan kekasihnya Muhammad Habibullah sentiasa di sisi namaNya termasuk dalam bacaan solat, akan kurangkah ingatan diriku padamu?

Aku tidak setaatmu Ya Rasul menjadi seorang anak. Aku kurang menghargai walau ibubapaku masih ada sisi. Untuk mengucapkan kalimah ‘Kak Ummu sayang pada mak,” atau “Kak Ummu cinta pada abah,” secara berhadapan, aku masih malu menuturkan di depan ibubapaku. Malahan, di pada-pada waktu, ketika abah memberiku beberapa kerja, berani sahaja aku bermasam muka dan berkata ,”Abah ni..” Dan abah lalu faham, mengalihkan kerja tersebut daripadaku. Begitupun mak, aku jarang dapat membantu emak di rumah kerana tanggungjawab sosial yang besar di luar rumah. Aku sangat cintakan emak tetapi untuk mengucap kata ‘cinta’ kepadanya selalu kualihkan pada “Mak, minta maaf banyak2 kalau kak ummu ada salah.” Pada abah, yang selalu kubuat adalah menyatakan rasa cintaku padanya hanya melalui mesej, “Sayang abah”. Kenapa aku masih malu mengatakan cinta secara berhadapan? Ya Rasulullah SAW..seorang Ummu Hani harapnya dapat menutur padamu, di hadapanmu, dan kau menyambut ucapanku, Assalamualaika Ya Rasulullah min Ummu Hani, wa ana uhibbuka. wa anta habibi..habibi.. ya habibullah.

Tapi layakkah aku? Aku tidak selembutmu melayani ahli keluargamu dan para sahabatmu. Kau sangat lembut, kau sangat pemalu lebih daripada anak gadis. Aku pula gadis yang kurang rasa malu dan kasar. Kau sanggup memendekkan bacaan  solatmu kala mendengar tangisan anak kecil, demi penghormatan kepada mereka agar ibu-ibu segera mendapatkan anak-anaknya selepas solat. Kau sanggup terus bersujud kala cucumu Hassan dan Hussin duduk di atasmu. Kau bahkan tidak akan makan walau seketul kurma dalam rumahmu sendiri kerana bimbang ia harta sedekah. Kau melarang ahli keluargamu, cucu-cucumu Hassan dan Hussin daripada memakan harta syubhah dan harta sedekah. Walau kau merelakan dirimu miskin tetapi kau melarang dirimu dan keluargamu menerima sedekah.

Ya Rasulullah, di kala perit nyawamu mahu berpisah dengan tubuh, yang kau ingati bukan hanya Fatimah, bukan hanya Aisyah yang memangkumu, bukan juga teman2 baikmu, Abu Bakar, Umar, Ali dan Uthman. Yang kau sebutkan adalah kami semua..ummati..ummati. Kaulah yang menanggung sebahagian kesengsaraan maut kami Ya Rasulullah. Jika kami melupakanmu, memanglah amat zalim diri ini.

Setiap hari, kami mahu mengingatimu Ya Rasulullah. Dengan selawat dan sunnah yang terupaya kami lakukan. Demi di hari kelahiranmu, kami ingin bersyukur atas kurniaan ‘Rahmatan lil a’lamin’. Ya Allah, redhokanlah niat dan tindakan kami merayakan Majlis Maulidur Rasul agar ia memberi kesan pada hari-hari dalam hidup kami.

“Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” (YUNUS:58)

SALAM MAULIDURRASUL 1430. PERBANYAKKAN SELAWAT KE ATAS BAGINDA SAW.

Monday, March 2nd, 2009

Pakcik ni macam Pakcik saya jugalah..

“Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda.” Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.” sumber.

Monday, March 2nd, 2009

Dajal Bahasa, Dajal Akhlak, Dajal Ilmu, Dajal Apa Lagi?

Minggu lalu, lapan hari saya di kampung. Tidak banyak orang boleh saya ziarah termasuk teman seperjuangan yang baru pulang dari Mesir, Nor Zaim (walaupun sebelumnya kami dah merancang ziarah asatizah di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena). Lantaran kekangan masa juga tanggungjawab menjadi CEO rumahtangga sepeninggalan emak ke China. Namun, saya sempat bertemu dengan ibu saudara di kampung ayah (Felda Guar Napai).

Lebih kurang begini aduannya kepada saya, “Acik susah hati betul dengan Fara (anak sulungnya) ni. Lepas SPM hari tu dia ada bekerja di Jitra dan berkenalan dengan seorang budak lelaki yang sebayanya. Masing-masing bercinta sakan (sakan= sungguh2). Suatu hari sebab tak tahan tengok Si Fara asyik berkepit dengan HP nya, Acik pun rampaslah. Tak sangka dia ambil tindakan drastik lari dari rumah. Rupanya, dia pergi menyorok di rumah teman lelakinya tu. Dipendekkan cerita, bila Acik bertemu ibubapa si lelaki mereka mengaku anaknya pernah mengambil dadah jenis ganja ” cerita Acik saya sambil bergenang air mata. Agak pelik, Acik saya dan suaminya pernah mengajar agama. Mereka juga adalah orang baik-baik. Anak sulung mereka itu disekolahkan di pusat pengajian agama (SAR) demi mahu ‘menjaga’ si anak. Tetapi berlaku sebaliknya, Masya Allah.

“Tolonglah Kak Ummu (panggilan saya di kalangan orang kampung dan ahli keluarga) berbual dengan Fara. Dia sekarang ada di Pahang rumah Pakngah (abangnya dan adik abah) sebab niat nak pisahkannya dari si lelaki itu. Mungkin di Pahang, ada suasana baru yang boleh ubah perangainya,” harap Acik. Jelas kebimbangan meronai mata dan air mukanya.

Semalam, anak Pak Ngah saya (sepupu saya dan Fara) menghantar mesej; ‘Dah dekat 3 minggu Fara di rumah kami tapi belum dapat kerja. Cuma dia bantu Makngah di tadika saja. Kerjanya ber’sms’ dengan lelaki itu juga. Saya baca smsnya, agak teruk jugalah bahasa mereka, budak-budak sekarang. Bila habis kredit, dia minta saya atau emak malah emaknya di kampung tolong tambahkan. Sekarang dia merungut nak balik Kedah, nak berjumpa si lelaki itu. Kalau Kak Ummu ada no si Fara, cubalah Kak Ummu bagi nasihat padanya’ tulis Angah sepupu saya. Sudah dua orang menggesa saya mendekati Fara. Bagaimana caranya?

Saya tilik diri. Saya dikelilingi ramai adik (termasuk sepupu2) yang sedang membesar remaja. Saya juga baru sahaja melepasi tahap remaja pra matang (agaknya sekarang dah matang kot). Susah menjangka tumbesaran anak-anak millineum menuju kedewasaan di zaman ekonomi kasino (istilah Tun Daim) ini. Ada kitaran Boom dan Bust (berkembang dan menguncup). Hari ini baik, besok mungkin berubah teruk. Hari ini teruk, mungkin besok diberi hidayah. Ibubapa pula seolah ‘putus asa’ untuk terus ‘mencuci’ anak mereka. Bantuan ahli keluarga lain diharapkan termasuk guru-guru sekolah. Bagi yang mempunyai anak-anak ramai, adalah masalah besar sekiranya anak sulung yang diharapkan ‘pecah amanah’. Pengaruh yang tidak baik pada seorang anak sulung, kebarangkaliannya besar untuk difotokopi oleh adik-adik di bawahnya. Siapa dajal yang begitu ekstrem mengacau-bilaukan institusi kekeluargaan ini? Continue reading Dajal Bahasa, Dajal Akhlak, Dajal Ilmu, Dajal Apa Lagi?

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com