Inilah Rombongan kami yang ramai. (lima dan enam dari kiri adalah Pak Imam Mujahid dan Ustaz Sugeng yang sangat berusaha dengan kedatangan kami). Shh..aku seorang yang ‘bujang’ dalam gambar, mudahan mendapat keberkatan mereka yang lain, amin.
Ada yang menerka tujuan aku ke Republik Indonesia tempoh hari ada kaitan dengan menjejak ‘syarikah hayati’..masya Allah, anda silap sama sekali!
Aku telah memulai sebuah persahabatan yang luhur. Dengan banyak persahabatan yang dimulai sebelum ini, ada juga yang gugur di tengah jalan. Saidina Ali Karomallahu wajhah mengatakan amat malanglah bagi mereka yang tidak mempertahankan persaudaraan terutama sesama Muslim. Kerana keterbatasan waktu dan keluar-biasaan tanggungjawab, menyebabkan kaki sudah termasuk di kalangan golongan malang. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi insan-insan yang pernah muncul dalam hidupku walau hanya saling membalas senyum, amin.
Sebelum masuknya tahun 2009, satu matlamat telah muncul iaitu menziarahi Pakcik Saifullah sekeluarga dan menjejak semula Kota Solo-Mantingan. Ada target untuk menulis suatu kisah (yang harapnya menjadi sebuah novel) dengan latar tempat-tempat ini (terutama Pesantren Modern Assalam Gontor Putri). Sebetulnya aku telah jatuh cinta pada kehidupan santriwati yang mana ia mengingatkan aku pada zaman kanak-kanak dulu (ketika bersekolah al-Arqam di Kg. Sg Pencala dan Seremban serta menekuni ilmu ala pesantren di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena). Aku ingin kembali ke dunia ilmu yang tidak dibatasi ‘peperiksaan’ dan matlamat ‘makan gaji’. Aku ingin menuntut ilmu yang menjadikan aku manusia yang mengenal Tuhan. Di sana, walaupun hanya dua hari, cita-citaku nampaknya semakin dekat.
Suatu hari, aku mendekati Abi aka Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusof di bilik kerjanya di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM. Niatku adalah bertanyakan tentang isu Palestin dan Gaza berikutan kethiqohannya dalam kajian sejarah. Sebelum berpisah, beliau menyatakan hasratnya untuk kembali menziarahi Kota Solo-Mantingan yang telah kami lawati bersama-sama tahun lalu (bersama kami ketika itu Che Zuryati, isteri Dr dan Puan Hajah Hamidah, ibuku). Dengan sengih yang panjang aku mengatakan, “Kalau Abi nak tau, Ummu dah tempah tiket ke sana 4 Mac ini..” Tanpa berfikir panjang, Dr Kamaruzaman terus mengatakan dia dan isterinya akan turut serta bersamaku. Alhamdulillah.
Rangka lawatan menjadi semakin rasmi apabila Dr menyenaraikan tiga temannya iaitu Prof Madya Dr Badlisyam, Prof Madya Dr Nordin, Prof Madya Dr Mohamad Samsuri bersama isteri masing-masing akan turut serta. Aku kemudiannya menghubungi Pak Imam Mujahid, pensyarah Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Surakata dan Ustaz Sugeng AR memaklumkan kedatangan kami. Dengan amat berbahagia, mereka begitu teruja untuk menyambut rombongan kami sementelah pula yang datang kali ini berpangkal prof dan dr (kecuali aku, hehe). Dan untuk tidak melepaskan peluang, Pak Imam Mujahid dan para pelajarnya dari Jabatan Dakwah telah merangka satu Seminar Internasional yang akan memanfaatkan kedatangan para ilmuan dari Malaysia ini (kecuali aku, hehe). Dalam hal lawatan ini, aku menjadi orang tengah di antara para profesor madya ini dengan pihak STAIN dan Assalam (Alhamdulillah, moga dikira amal jariah, amin).
Tinggal seminggu sebelum berangkat, aku telah menerima mesej dari Dr Kamaruzaman mengatakan bahawa ada ‘orang penting’ yang akan turut serta lagi, mereka adalah Ustaz Nik Omar bin Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Mudir Madrasah Darul Anuar) dan isterinya. Memang sangat mengujakan! Aku bakal mendekati mereka yang tinggi ilmu dan akhlaknya. Mudahan, perjalanan ini diberkati dan dipermudahkan. Kunyatakan pada Pak Imam Mujahid bahawa anak seorang Menteri Agama (sepatutnya aku memberitahu anak Menteri Besar Kelantan tetapi lebih merasakan Tok Guru adalah seorang ulama) akan turut serta. Pihak Assalam langsung merencanakan Ustaz Nik Omar bakal menjadi Imam Solat Jumaat di Masjid Assalam seterusnya membaca khutbah di sana.
Perancangan menjadi begitu luar biasa. Dengan kehadiran manusia-manusia mulia ini (yang aku kenali hanya Dr K, Che, Dr Samsuri dan isterinya), tujuan kembaraku lebih berarah dan lebih bermanfaat. Insya Allah akan kutitipkan di sini pengalaman itu dari masa ke semasa termasuklah hasil bualanku dengan menantu Tok Guru, Ustazah Kamaliah Yusof tentang khibrah beliau menjadi ahli keluarga seorang ahli politik dan ulama yang diberkati Allah, insya Allah.
Niatkanlah sesuatu yang baik, kerana Allah SWT pasti melorongkan yang lebih baik daripada apa yang anda niatkan!






