Pagi di Jakarta Selatan
Tidak puas! Itulah yang kurasakan sedang bertarung dalam hatiku kala tubuh mengharungi lekuk kesibukan Jakarta Selatan menuju ke pusat Bandar seterusnya ke Bandara Sukarno-Hatta. Awal 9 pagi, motosikal bertalu-talu masuk ke jantung Jakarta, tidak kurang bis (bas) dan kenderaan mewah. “Apa yang Ummu dapat sependek satu malam di sini?” tanya Pakcik Saifullah aka Drs Saifullah Skamali di bahagian depan tubuh Rusanya. Aku menjeling Makcik Munifah aka Dr Munifah di sebelah, juga tersenyum padaku. Apa ya?
Aura PEMILU kian hangat
“Pertama, pengalaman memijak hanya sebelah kaki di Jakarta telah menemukan ummu dengan perkara-perkara baik di sini, mungkin kerana niat pun baik. Berbanding apa yang Ummu baca dan dengar tentang kota antara terpadat di dunia ni. Alhamdulillah, masa masuk ke bandara, tak berjumpa pula Ummu dengan pegawai kastam yang minta ‘tip’nya seperti pengalaman kawan Ummu (terpaksa bagi ‘tip’ untuk keluarkan barang-barang dari kargo). Makanan yang dicicip tanpa rasa waswas dan enak bangat (walaupun dalam hati terbayangkan sup ‘tikus’ yang diwajahkan ayam), pembangunan Jakarta yang tidak seimbang menjarakkan yang kaya dan yang miskin, wajah demokrasi yang warna-warni semeriah parti-parti yang bertanding (38 parti) juga ramah-tamah Indonisey bila tau kita orang Malaysiee.”
Puan Maharani, cucu Sukarno turut bertanding atas parti ibundanya, Megawati SukoarnoPutri
Ada yang tanya Aku, “Siti Nurhaliza apa khabar? Apa cerita terbarunya? Asyraf Sinclair itu orang kayakah?” Orang-orang di sini (kebanyakan) mengenali Dato’ Siti Nurhaliza, malahan Siti menjadi pujaan rakyat RI termasuklah ustaz ustazah mereka. Asyraf Sinclair, sejak berkahwin dengan Bunga Lestari, menjadi ‘wangi’ namanya di bibir masyarakat di sini. Selain itu juga, orang Indonesia memandang orang Malaysia, sangat bertuah seolah kita berada di tingkatan langit lebih tinggi daripada mereka (khususnya dari sudut ekonomi).
“Tak cukup hanya kali ini wisatanya, makanya datang semula sama abah dan mak. Di Jakarta juga ada Disneyland ala-ala Genting Highland.” Kata Pakcik Saifullah yang tak tahu aku cukup ‘ketaq’ dengan taman permainan menggayatkan. “Harusnya terus ke Bandung dan Bukit Tinggi. Hanya 2 jam dari sini. Tapi masa tak mengijinkan,” katanya lagi.
Siap Terbang dengan bonda doktor gigi.
Ya, masa tidak mengizinkan. Pagi ini, aku ditemani Makcik Munifah akan terbang ke Solo pula yang terletak lebih 300km dari Jakarta. Solo berada dalam kawasan Jawa Tengah yang ibukotanya adalah Semarang.. Dari Jakarta jika anda menaiki kapal terbang hanya memakan masa 45- 1 jam penerbangan, sebaliknya jika menaiki kereta, 8 jam perjalanan. Pakcik Saifullah hanya menghantar kami di lapangan terbang.
Rumah Pakcik Saifullah dan Makcik Munifah dalam kawasan Pesantren Darun Najah.
“Kita jumpa lagi di UM, Insya Allah. Saya akan datang setelah tesis PHD saya siap dikoreksi penyelia,” janji Pakcik Saifullah.
Saya dan makcik akan menaiki penerbangan Sriwijaya Air. Sambil duduk menanti ketibaan kapal terbang, kami bercerita sesama sendiri. Makcik banyak menyimpan kisah ‘ajaib’ keluarganya. Dia adalah antara pewaris Pesantren Darun Najah yang sempat kupusing Subuh tadi. Pesantren Moden yang diasaskan oleh Allahyarham K.H Abdul Manaf kini diuruskan oleh anak-anak Allahyarham termasuklah Makcik Munifah. Pengetuanya sekarang, K.H Sofwan Manaf merupakan adik bongsu makcik.
Bergambar dengan staf Klinik Santri Darun Najah. Doktor Munifah (dua dari kanan)
“Arwah ayah pesan, jauh mana dan bidang apa pun yang dipelajari mesti pulang berbakti di pondok,” kata Makcik Munifah yang bertugas sebagai doktor gigi di sebuah hospital kerajaan di Jakarta. “Makcik bertugas di hospital awam hingga jam 5 petang. Selebihnya adalah waktu makcik berkhidmat di klinik Pesantren Darun Najah,” kata wanita berhati mulia ini. “Ayah juga mengharamkan keturunannya bersekolah di sekolah umum. Mesti belajar di pesantren sama ada di Darun Najah atau Gontor. Cucu-cucu juga lepas tamat universiti kena berkhidmat di pondok kami,” jelasnya. Kisah lanjut keluarga Dr Munifah akan saya usahakan untuk edisi khusus, insya Allah.
Bandara Adi Sumarmo
Hatiku antara sedih meninggalkan Jakarta yang tidak kukenali sepenuhnya lagi dipusing gementar. Wajah sahabat seperjuangan di Solo satu-satu bergentayangan. Ada wajah Mbak Isna, wajah Pak Imam Mujahid dan isterinya Mbak Minseh, wajah Ustaz Sugeng AR dan warga Assalam, malahan fikiranku sampai terbayangkan Pesantren Gontor Putri Mantingan dan Gontor Putra Ponorogo. Sedihnya, kali ini aku tidak membawa emak bersama lagi. Rombongan para pensyarah UKM dan UPM diketuai Prof Madyya Dr Kamaruzaman akan tiba besok pagi di Solo.
“Nanti tiba di Solo, kita langsung dulu ke Mantingan. Afaf tu teringin sangat jumpa Ummu,” kata Makcik Munifah. Afaf adalah anak keduanya yang bertanggungjawab membawaku ke Gontor Putri Mantingan tahun lepas. Dialah yang menganjurkan Bengkel Penulisan dengan penulis Malaysia bernama Ummu Hani. Pertemuan nanti adalah pertemuan kedua kami. Aku memang sudah jatuh cinta pada bi’ah Pesantren Darus Salam Gontor Putri 1 Mantingan. Sudah kusebutkan selalu dalam tulisan-tulisanku yang lepas. Sebuah suasana yang membawaku pulang ke umur 9- 17 tahun. Nampaknya, malam ini aku akan bermalam di Gontor Putri dan bertekad ‘berkeliaran’ lagi di sudut-sudut mengasyikkan di sana.
Dalam kapal terbang kali ini, rasa kepalaku tidak sedap. Tekak sudah rasa mual. Awan pagi tidaklah terlalu ‘hyperaktif’ menendang badan pesawat, tetapi sapaan ‘hello’ nya telah membuatkan rasa nak ‘termuntah’. ‘Jangan..jangan malukan diri depan seorang doktor gigi yang telah mengenali Ummu sebagai seorang yang suka berjalan’.
Aku akhirnya….berjaya menahan diri daripada termuntah walaupun tayar pesawat hinggap ‘tidak sabar’ di landasan. Semua penumpang terhinggut-hinggut dan tidak stabil di kerusi. Ini adalah pendaratan yang agak ‘kejam’ pernah kurasakan. Alhamdulillah..tak muntah depan doktor gigi. Senyum.
Bersambung.







mbak samean santriwati gontor???