Cukuplah selama tiga hari kita berkampung di PPMN 09, berkumpul dan bertukar fikiran, bersantai dan berhibur di tepi kolam, bersembang dan bermesra, tak lupa berkenalan sesama penulis, penerbit, wartawan dan editor; Setelah pulang ini, mulailah kita teruskan perjuangan yang ranjau dan tidak berakhir. Kita menjadi pemimpin kepada masyarakat setelah pemimpin di pentas politik sibuk dengan sandiwara politikus mereka, kita menjadi ulama kepada masyarakat yang menjernihkan pemikiran mereka daripada anasir syaitan. Bukankah tugas ini sangat berat wahai para penulisku dan aku?


Apabila diajukan kenyataan bahawa penulis muda tidak mempunyai perjuangan, saya lantas menidakkan. Membenarkan kenyataan tersebut bermakna, kira-kira 300 orang penulis muda di Malaysia, ke semua mereka ini adalah orang yang kosong dan tidak ada matlamat yang diperjuangkan. Betulkah?
Semua penulis ada matlamatnya sama ada bersifat ukhrawi mahupun duniawi. Bertitik daripada matlamat tersebut, para penulis bangkit memperjuangkan misinya. Namun, perjuangan yang bagaimanakah yang dikira sebagai perjuangan?
Kita boleh menjelaskan perjuangan dengan melihat pada cermin zamannya. Rasulullah SAW adalah insan penerus kepada nabi-nabi sebelumnya yang memperjuangkan tauhid kepada Allah. Yakni membebaskan manusia daripada tengik kesyirikan serta membimbing mereka kepada Allah sebagai Tuhan dan Pemilik alam ini. Inilah perjuangan yang paling suci seperti firman Allah SWT yang bermaksud: Tidak aku ciptakan manusia melainkan adalah untuk beribadah kepadaku.

Perjuangan ini telah dimulakan oleh Nabi Adam AS sehinggalah Nabi Muhammad SAW kemudiannya terus berlangsungan ke era kita. Perjuangan ini dinamakan dakwah Islamiah. Intinya adalah menegakkan kebenaran dan menjauhkan kemungkaran.
Buku-buku sejarah memaklumkan kepada kita Rasulullah SAW berjuang menyebarkan Islam selama 23 tahun. Jika kita memahami situasi kehidupan baginda 63 tahun adalah perjuangan. Baginda SAW dilahirkan tanpa ayah, kemudian dibesarkan di pinggir Kota Madinah oleh ibu susuan bernama Halimahtus Saadiah, jauh daripada bondanya sendiri Aminah. Sewaktu Halimah menghantar baginda kepada Aminah, beberapa tahun kemudian Aminah pula meninggal dunia. Hanya dua tahun sahaja, baginda SAW mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada datuknya Abdul Mutalib, kerana ketika berusia 8 tahun, nabi SAW kehilangan datuknya pula.

Nabi SAW kemudian tinggal dengan bapa saudaranya, Abu Talib yang sederhana dan mempunyai anak-anak yang ramai. Antara anak-anak Abu Talib adalah Saidina Ali, Ummu Hani dan Jaafar at-Tayyar. Apakah nabi bersenang-lenang menumpang di rumah orang? Tidak. Nabi SAW membantu Abu Talib berniaga di Syam, mengembala kambing penduduk2 Mekah dan menjadi pahlawan Quraisy dalam peperangan kaum. Usia kanak-kanak dan remaja baginda tidak mewah dan tidak seronok seperti normalnya. Baginda telah diasuh oleh ALLAH SWT sendiri untuk memperjuangkan misi mulia di akhir zaman. Antara sifat pejuang ini adalah berani, berdikari, berfikiran jauh ke depan, berstrategi dan paling utama adalah akhlak mulia. Ini adalah pakej perwatakan Rasulullah SAW.
Oleh itu, ketika Rasulullah SAW mula menyebarkan Islam ketika usia 40 tahun, ia dapat diterima dengan mudah oleh para sahabat seperti Abu Bakar, Ali, Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan, Bilal dan lain-lain. Para sahabat percaya kerana perwatakan Rasulullah SAW adalah jujur dan amanah sejak kecil. Adalah mustahil Rasulullah SAW menyampaikan perkara yang tidak benar. Hanya dari akhlak mulia sahaja, mesej Islam Rasulullah bertebaran ke seluruh Arab dan Syam.

Kalau ada persoalan mengapa ada peperangan dalam Islam? Tidakkah peperangan itu memusnahkan? Kita lihat, di setiap peperangan, Islam mengharamkan pembunuhan terhadap wanita, kanak-kanak dan orang tua, malahan tidak boleh memusnahkan tanaman. Perang hanya akan berlaku sekiranya pihak musuh menolak untuk masuk agama Islam. Baginda SAW akan memulakan dengan ajakan yang lemah-lembut, kadang melalui suara kadang melalui surat dan duta. Apabila pihak musuh menolak untuk mengesakan Allah, baharulah tentera Islam akan menyerang. Ini adalah akhlak yang baik dalam peperangan.
Seorang pemuda buta menerima Islam hanya selepas baginda SAW wafat. Ini adalah kerana akhlak baginda SAW sendiri semasa hidupnya memberi makan kepada si buta walaupun orang itu mencaci baginda. Tidak ada perasaan untuk membalas dendam dalam hati baginda SAW.
Akhlak dan sikap inilah yang perlu ada pada penulis Muslim dalam memperjuangankan suara mereka. Continue reading Perkampungan PPMN Ke-2, PERJUANGAN SUDAH JELAS!