Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

SEKATEN, Cantuman Budaya Islam dan Jawa

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Kesempatan menghadiri upacara Maulidur Rasul 1430 Hijrah di Keraton Surakata (Solo), Indonesia memberikan pengalaman unik kepada penulis. Walaupun di kebanyakan negara Islam, kelahiran Nabi Muhammad SAW disambut penuh kesyukuran dan meriah, namun, masyarakat Jawa khususnya di Solo dan Yogjakarta menyambutnya dengan pencatuman adat tradisi yang kuat.

Nama SEKATEN

Sekaten berasal daripada kalimat Syahadatain yang bermaksud dua kalimah syahadat.
Menurut catatan sejarah, para wali songo mengadakan perayaan Maulidur Rasul selama tujuh hari bermula 5 hingga 12 Rabiul Awwal setiap tahun bagi menarik masyarakat Jawa kepada Islam. Pelbagai acara menarik disusun termasuklah persembahan muzik gamelan ciptaan Sunan Giri dan Sunan Kalijaga. Bagi masyarakat yang ingin menyaksikan persembahan tersebut, mereka dikehendaki mengucapkan dua kalimah syahadah. Setelah berabad lama, kalimah Syahadah bertukar kepada istilah yang lebih serasi dengan masyarakat tempatan iaitu Sekaten.

g3.JPG

Acara Sekaten diadakan di Keraton Jawa (istana) dan Masjid Agung sebagai tempat pertemuan golongan bangsawan dan ulama dengan masyarakat awam. Selama 7 hari berturut-turut, muzik gamelan akan dimainkan oleh Kyai Guntur Sari dan Kyai Gunturmadu sebagai ekspresi adat kesenian Jawa. Keduanya akan diringi oleh para pekerja istana atau dipanggil Abdi Dalam menuju ke Masjid Agung. Pada malam 12 Rabiul Awwal, selain gamelan, masyarakat juga akan didendangkan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW oleh seorang bangsawan istana dipanggil Penghulu Keraton.

Kemuncak SEKATEN

g1.JPG

Saya dan teman, Mbak Minsih tiba di perkarangan Keraton Solo seawal 8 pagi bagi merasai kemeriahan Majlis Kemuncak SEKATEN Surakata. Berpuluh ribu manusia dari Kepulauan Jawa berkumpul untuk menyaksikan Grebeg Maulud; sebuah upacara pembahagian gunungan makanan daripada pihak istana kepada rakyat jelata. Kata Grebeg (gumrebeg) bermaksud riuh dan ramai.

Dalam majlis ini, enam gunungan makanan yang berisi produk bumi seperti sayuran dan buah-buahan akan di arak dari Keraton Surakata menuju ke Masjid Agung. Gunungan tersebut dinamakan Gunungan Jaler yang lebih dikenali sebagai gunungan lelaki dan Gunungan Estri merujuk wanita. Tepat jam 10 pagi, kedengaran tembakan menandakan Gunungan akan mula diarak ke Masjid Agung dengan diiringi oleh 2000 orang para Abdi Dalam dan 2000 orang kerabat diraja termasuklah golongan atasan kerajaan. Kebanyakan para Abdi Dalam tidak memakai kasut ketika mengarak Gunungan ini.

g4.JPG

Orang ramai mula memadati perkarangan masjid sebelum Gunungan tiba agar dapat merasai makanan khas tersebut. Berdasarkan temubual yang diadakan penulis, rata-rata masyarakat mempercayai bahawa makanan dari Gunungan tersebut memberi keberkatan hidup. Bagi kaum wanita, mereka boleh mengekalkan kecantikan dan kesihatan. Acara pembahagian gunungan ini hanya dilakukan selepas pembacaan doa oleh imam Masjid Agung.

Paling unik, Gunungan tersebut tidak dibahagikan sama rata sebaliknya diberikan secara rambang untuk direbutkan orang ramai. Ini berikutan falsafah bahawa untuk sesuatu kebaikan, manusia perlulah berusaha merebutkannya. Penulis juga tertarik melihat beberapa wanita tua berjualan sireh di kawasan Masjid Agung. Daripada seorang pengunjung senior, beliau mengatakan sireh tersebut menjadi resam kaum wanita untuk mengekalkan kecantikan terutama pada hari yang berkat seperti SEKATEN. Acara ini kemudiannya ditutup dengan bacaan doa oleh imam Masjid Agung dan solat Zohor secara berjemaah.

Namun, jauh di sudut hati penulis ada perasaan sayu yang mengguyur. Masakan tidak, ketika berlabuhnya tirai acara Sekaten, tidak ramai yang manyambut seruan azan. Masing-masing pulang setelah penat berebutkan Gunungan yang dipercayai  berkat tetapi mengabaikan panggilan solat fardhu. Nyata sekali, sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW hanya diraikan secara fizikal malahan ia semakin jauh dari akar Islam yang dibawa oleh baginda SAW.
g2.JPG

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com