HSKU 2008 Untuk Seorang Ummu

10072008145.jpg

 Penulis di  laman Masjid Nabawi, Julai 2008.

Sudah hampir setahun pengalamanku mengerjakan umrah berlalu. Alhamdulillah, cerpen yang telah kucoret di depan Masjidil Haram itu (Teman, Cukuplah Kami) memenangi Hadiah Utama Kategori Cerpen Remaja HSKU 2008 yang diumumkan semalam.
 

Di Depan Kaabah Kutemui Makna Syukur.

14072008333.jpg

 Photo ditangkap oleh penulis dari tingkat 2 Masjidil Haram.

Telah datang khabaran
Dari dua bibir sang imam
Tentang Islam
Tentang Kemenangan
Yang telah pasti!

Merenik air mata. Bercambah kemudian menjadi teresak. Terapung dibawa bacaan sang imam Masjidil Haram pagi itu dengan surah relatif singkat tetapi menggoncangkan dada; Surah al-Fil.

“Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melimpari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar, sehingga mereka dijadikanNya seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”  (al-Fil 1-5)

Surah inilah yang menggambarkan kedahsyatan sakral Kaabah yang dijaga oleh Pemiliknya sejak ia dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Tiada siapa yang boleh merobohkannya hatta bala tentera yang terkuat di dunia. Kaabah satu-satunya kiblat yang menyatukan umat Islam dari seluruh sisi dunia walaupun banyak aspek lain umat Islam masih bertelagah. Kerana Kaabah, ramai umat Islam sanggup menghabiskan duit untuk menatap dan beribadah hampir dengannya. Kaabah adalah rumah Allah yang khusus (baitullah) dan syurga sebelum syurga.

Kalau bukan kerana diriku sedang bersolat berhadapan dengan Kaabah, tidaklah surah al-Fil itu dihayati dengan tangis teresak. Bukan hanya diriku, malahan tetamu-tetamu Allah yang lain dipaku penghayatan yang sama; takut berbaur rindu dan cinta! Pagi Subuh di Masjidil Haram tanggal 15 Julai 2008, sekeliling Kaabah sunyi menghayati bacaan sang Imam  dengan hanya esakan yang kedengaran.

Dan ingatlah ketika Kami jadikan rumah suci (Kaabah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadah haji) dan tempat yang aman, dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: Bersihkan rumahKu (Kaabah dan Majidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang bertawaf, dan orang yang beriktikaf, dan orang yang rukuk dan sujud.” (Surah al-Baqarah:125)

Kaabah telah mengumpulkan pasukan manusia yang pelbagai latar hidupnya. Berteriak lafaz yang sama Labbaikalla humma labbaik…
Tidak terbayang jika Pemilik Kaabah tidak menyambut rintihan tersebut. Tidaklah layak bernafas di bumi mana sekalipun.

Di depan Kaabah aku masih berasa berdosa, hati tidak letih memperincikan orang lain dengan kekurangan. Sifat-sifat manusia yang dibawa dengan paten negara dan bangsanya telah membuat hati sesekali jengkel. Misalnya, jemaah Iran dan gerombolannya yang berteriak tanpa menghiraukan kumpulan lain (termasuk diriku yang tenggelam dalam lautan manusia), jemaah dari India dengan pakaian yang berwarna-warni, jemaah Arab yang berasa ketuanan tak kurang jemaah Malaysia yang manja dan cepat meragam (hanya kerana makanan tak cocok). Segelintir yang berkelakuan begitu, maka seluruh bangsanya mengalami penurunan graf sikap.

Hari yang sama, iaitu hari-hari akhir di Tanah Haram, hati dilambung kesepian. Menatap rupa Kaabah yang tingginya (seperti dicatat dalam buku) 50 kaki, terpasung dan sedih. Mampukah berpisah? Jika berpisah, bilakah akan bertamu lagi ke sini? Ya Allah, besarnya nikmatMu membawa aku ke Haramain (Mekah dan Madinah) ketika umurku masih muda dan ketika banyak orang (yang sudah tua terutamanya) belum direzekikan ke sini. Ya Allah, apakah pemberianMu membawaku ke sini hanya sebagai hadiah ataukah ada misi lain yang Kau mahu aku laksanakan?

Dan tentunya, aku bukan siapa-siapa padaMu Ya Allah. Aku belum lagi bertaqwa, aku setaraf dengan manusia-manusia berdosa yang lain. Namun, mengapakah aku yang terpilih? Aku masih tidak percaya dan ..dan..malu ya Allah! Kau menjemputku menjadi tetamuMu, sedangkan aku ini ibarat seorang hamba sahaya yang ditatang menjadi tetamu agungMu hari ini. Sukar kuekspresikan galau malu dan terharu. Ia tidak terlukis dengan kata-kata hebat seorang sasterawan manapun apatah lagi kata-kata biasa seorang aku.

Aku merenung hadiah pemberian Allah menerbangkan aku ke kampung kekasihNya serta menjadi tetamuNya yang mahu disucikan. Aku berasa berdosa jika tidak ada apa yang aku ambil sebagai bekal kepulangan, semestinya untuk dikongsikan dengan masyarakatku di Malaysia. Aku terfikir dan mula mencantumkan, setiap pergerakanku bermula dari tanah air hinggap sebentar di Bangladesh kemudian baharu tiba di Haramain. Setiap takah dan episod, ada perkara-perkara baru yang aku pelajari.

Aku selalu berasa susah, sedangkan ada orang lain yang bukan sekadar susah tetapi tidak mampu keluar dari kesusahan.
Aku selalu berasa kekurangan ilmu dan ibadah, tetapi ada orang yang lebih jahil dan sudah buta pada kebenaran.
Aku selalu berasa kerdil dan sakit, tetapi ada orang lain merempat dan tinggal di kaki-kaki lima.
Aku kadang berasa megah namun kemegahanku nyatanya tidak berbaloi kerana segala yang aku miliki selalunya sebentar sahaja. Nikmat itu bukan kepunyaanku melainkan dipinjamkan oleh Allah sahaja.
Aku ini sebenarnya sedang diajar oleh Allah untuk bersyukur.
Lihatlah pada kesusahan orang untuk menginsafkan kita, dan pada kejayaan orang untuk meransang semangat kita. Sedikitkan melihat kebaikan diri, banyakkan melihat kesalahan diri pada orang lain. Dan kekalkan kebaikan orang pada kita untuk diingat dan di balas.
Di depan Masjidil Haram, pada suatu malam yang menyempitkan. Aku bakal pulang ke tanah air semula. Di depan Masjidil Haram, dengan rasa degil untuk berpisah, telah aku mulakan sebuah kisah. Kutulis kata-kata itu dalam telefon tanganku bersama hati yang menangis. Ya Allah, sempurnakan iman dan akhlakku untuk bergelar penulis Muslimah yang berdakwah di jalanMu.
Sudah hampir setahun pengalamanku mengerjakan umrah berlalu. Alhamdulillah, cerpen yang telah kucoret di depan Masjidil Haram itu (Teman, Cukuplah Kami) memenangi Hadiah Utama Kategori Cerpen Remaja HSKU 2008 yang diumumkan semalam.

Wahai Yang Menciptakan Hati dan Menyuruh setiap hambaMu berdoa,
Sesungguhnya kemenangan itu tidak setanding dengan rasa syukur dan gembiranya diriku menjadi TETAMUMU YA ALLAH.

Jika Kau Memberi pilihan padaku, apakah tinggal di Malaysia untuk bergelar penulis muda atau duduk dekat di sisi Kaabah? DemiMu Ya ALLAH, bawalah aku ke sana, jadikan aku hamba kepada tetamu-tetamu Allah dan aku bersedia berjuang dengan hamba Allah yang mengabdikan diri kepada dua tanah haramMu, Mekah Madinah.

Kurniakan kami rasa jujur dan syukur dalam hati.

Ya Allah, aku tidak akan letih dengan izinMu untuk terus berharap dan berdoa padaMu.    

ALHAMDULILLAH WA SYUKURILLAH. 

Kongsikan :
  • Print
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • Add to favorites
  • email
  • FriendFeed
  • LinkedIn
  • MySpace
  • Netvibes
  • PDF
  • Ping.fm
  • Reddit
  • RSS
  • Technorati
  • Yahoo! Buzz

11 Responses to “HSKU 2008 Untuk Seorang Ummu”

  1. 1 Khairool Haque

    Tahniah setinggi-tingginya atas kemenangan tersebut.

  2. 2 rendra

    assalammualaikum sdr.ummu yang dihormati,
    tahniah atas kejayaan cemerlang dlm HSKU 2008.
    terus sukses menulis.

  3. 3 Drimba

    Tahniah Ummi atas kejayaanmu……………Silalah tunjuk ajar kami yang baru ingin menapak.

  4. 4 haniesalwah

    Salam,

    Ummu tahniah!

  5. 5 sitinurulhawa

    tahniah ummu :)

  6. 6 FahdRazy

    Tahniah Kak Ummu!

  7. 7 ummu hani

    salam Fahd, Hani dan Drimba, terima kasih.Semua dari Allah, kita hanya berusaha. Fahd lebih kena gandakan syukur:)))

  8. 8 Ummu Hani

    Ren,Khairul dan Hawa, Alhamdulillah.

  9. 9 imah

    salam..
    tahniah kak ummu..teruskan berjuang di jalanNya..

  10. 10 Abdul Latip

    Ummu Hani,
    Tahniah menang lagi HSKU 2008. Semoga terus gigih berkarya.

  11. 11 Ummu Hani

    Syukran Pak Latip. Berkat doa semua.

Leave a Reply





Borak-Borak Bersama Ummu Hani