Auni Hafsah jadi penawar jiwa maklong:)
Setiap hari dan boleh dikatakan hari-hari saya mengalami kesakitan. Tidak banyak farmasi atau hospital yang boleh mengubat kesakitan ini. Ia bukan penyakit fizikal, kalau pun tertumpuk pada anggota badan, punca permulaannya datang dari anggota dalaman yang sakit itu; iaitu hati dan jiwa.
Aduhai, kerana dua ini tidak dapat dibelai atau diusap ubat (sekurangnya minyak gamat dari Langkawi), maka saya biarkan kesakitan itu berlanjutan. Dan jika tidak tahan (terlalu sakit) saya mampir ke Masjid Bulat yang kurang lebih 300 meter dari rumah sewa saya di Seksyen 14, Petaling Jaya. Di situlah saya hamburkan segala kesakitan dan keparahan saya pada Si Pemilik Masjid. Allahku, hanya padaMu aku berubat! Dan hanya Dirimu Doktorku Yang Paling Tepat!
Saya tidak tahulah anda di luar sana mempunyai kesakitan seperti yang saya alami ini. Tetapi menurut rekod akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 21 Jun 2009, jumlah pesakit mental di Negara ini telah meningkat daripada 346,196 kes tahun lalu kini meningkat kepada 400,227 kes. Itulah yang telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan, yang tidak direkodkan? Malah, lebih mengejutkan, orang-orang berpenyakit mental 11.2 peratus daripadanya adalah berusia 16 tahun ke atas. Soalan saya, apakah sama orang yang sakit mental dengan orang yang selalu ‘sakit jiwa’ seperti saya?
Sakit Kerana Manusia
Alhamdulillah, saya sihat sepanjang hidup saya kecuali beberapa demam campak, selsema dan alahan resdung yang pernah dialami. Allah SWT juga mengurniakan otak, hati dan emosi yang stabil sehingga kini. Saya sahaja yang tidak menghargainya dengan melakukan dosa dan maksiat setiap hari. Mulut dan hati saya sekarang kerap mengomel. Kalau saya tidak bercakap, orang-orang di sekeliling akan mencucuh beberapa isu, itu mudah sahaja untuk membuatkan saya melenting.
Saya tidak tahulah kemarahan itu kepada siapa. Kebanyakannya adalah orang-orang yang tidak pernah pun saya bersua muka. Misalnya, pensubahat-pensubahat Melayu yang bekerjasama dengan penjajah luar untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Negara ini. Sikap pensubahat ini bukanlah baharu, sejak zaman Pendudukan Siam (jika di Negeri Kedah) pada abad ke 18 dan 19 dulu, pendudukan British dan pendudukan Jepun. Tidak akan boleh penjajah masuk dengan ‘aman’ jika pensubahat ini tidak bekerjasama seterusnya mengadakan rundingan-rundingan ‘bawah tanah’ dengan musuh. Kita tidak selalu melakukan kerjasama dalaman iaitu memperkukuhkan saf kumpulan sendiri, apabila bergaduh atau tidak ‘sekepala’, pimpinan kita lebih cenderung untuk ‘cari kawan baru’ berbanding saling bemaafan dan bermuafakat.
Hal ini bukan sahaja membibitkan pepecahan (seperti setengah ahli Keadilan yang kecewa dengan Umno kemudian menyertai Pakatan Rakyat. Apabila Pakatan Rakyat tidak memberi ruang yang besar, mereka kembali menyertai Umno), golongan ini akan saling memburukkan (menuduh si pemimpin itu homoseksual, menuduh si pemimpin itu pembunuh, menuduh si pemimpin itu bukan wali, menuduh si pemimpin itu isme moderat ala Erdogan, menuduh si pemimpin itu ‘kaphe’).
Ada sesetengah pemimpin yang kita anggap ‘penyelamat’ dan warak, namun kemudiannya menjadi ‘mangsa serakah’ media; ditonjolkan ‘emosi’agar masyarakat ‘berani mempertikaikan’wibawa ulamaknya.
Saya kira itu antara punca sakit jiwa saya. Apabila televisyen dalam rumah sewa ‘rosak’ hampir 2 minggu ini, kami agak ‘terselamat’ daripada wabak PEJIKO (Penyakit jiwa kronik). Tetapi rupanya, apabila saya mencari hiburan baru dengan memperbanyakkan membaca dan berfikir (lebih sesuai dengan status pelajar penyegan), saya menjadi tambah sakit jiwa lagi.
Ini kerana, buku2 sejarah yang saya baca telah membuka aib sesetengah pemimpin Negara yang masih hidup mahupun meninggal dunia.
Rupanya, nama jalan dan taman di Malaysia ini banyak menggunakan nama pemimpin2 Melayu yang korup, kaki perempuan, kaki arak, pembelot Negara dan lain-lain. Nanti jika ada satu taman bernama ‘Taman Bapa Proton Saga’ beberapa puluh tahun lagi, adakah anak-anak itu ‘mahu’ tahu Bapa Proton Saga itulah ‘Bapa Pembunuh Bahasa Melayu’? Entahlah.
Ubat Seketika
Alhamdulillah, tahun ini saya direzekikan lagi oleh Allah berjalan di podium HSKU 08 yang ‘digimikkan’ sangat hebat. Saya kira, kemenangan cerpen Teman, Cukuplah Kami (hadiah itu cukup-cukup membayar yuran semester baru di UM, Alhamdulillah) dapat mengubat sedikit jiwa ini. Saya membawa abah dan emak (doctor saya yang tidak putus berusaha ‘menyelamat’kan saya sejak kecil sampai sekarang), saya bawa juga adik Husaini (moga memberikan semangat padanya yang baru bergaya remaja) juga inspirasi pelajar Malaysia, adik Nik Nur Madihah. Saya mahu berkongsi kegembiraan dengan mereka.
Terus-terang, separuh daripada isi HSKU 08 sangat mengecewakan. Tubuh Anuar Zain dan Misya Omar tidak dapat sedikitpun menjentik keseronokan saya. Lagu-lagu mereka kedengaran hambar dan lesu. Cuma ada satu kata-kata Pak Samad Said dalam puisinya ‘Peludah Bahasa’ itu cukup tepat pada Bapa Proton Saga yang hadir. Apapun, tahniah pada yang bertukus-lumus meraikan para penulis dengan cara mereka. Budi bahasa hendaklah dibalas dengan doa semoga yang berbuat dan berniat baik pada orang lain, kehendaknya akan dibalas oleh Allah SWT.
Sudah Temui Ubat
Di zaman yang mana orang memandang ‘kejahatan’ itulah kebaikan, kebanyakkan orang-orang telah sakit jiwa semuanya. Ustaz-ustazah siang dan malam ‘memperbaiki’ anak-anak bangsa, namun ibubapa pula ‘merosakkan’ anak mereka (tentu tanpa disedari), maka ustaz ustazah juga tidak lepas terkena sakit ‘jiwa. Rasulullah SAW telah tinggalkan ubat. Peganglah al-Quran dan amalkan sunnah baginda SAW yang mana termampu. Yang paling utama, jangan lupa berselawat kepada ‘penyelamat’ kita junjungan mulia Rasulullah SAW, para sahabat dan ahli keluarga baginda setiap hari sebelum memulakan apapun pekerjaan.
Moga kita (walaupun sering sakit jiwa) selalu diberi petunjuk Allah untuk sampai ke rumah kita di akhirat, berkumpul bersama Rasulullah SAW di sana.
Dunia itu syurga bagi orang2 kafir dan penjara bagi orang-orang Mukmin.







Kak Ummu, didoakan moga terus KUAT, TABAH dan YAKINlah, pasti kemenangan yg BESAR sedang menanti Kak Ummu, hanya menunggu masa saja…sabaq na!
Tahniah! buat ustazah Ummu..
Ummu,
Sayangnya kita di belakang pentas, tidak mendengar bait-bait “Peludah Bahasa” itu.
Semoga kita semua diberi petunjuk ke arah jalan yg benar. amin