Baru-baru ini saya diminta oleh pihak penganjur dari sebuah organisasi dakwah untuk menghakimi pertandingan menulis cerpen. Berikut merupakan sedikit perkongsian ‘kekecewaan saya’ selaku pembaca dan juga pengadil.
Umumnya mengetahui bahawa cerpen adalah karya prosa yang tidak asing dengan masyarakat. Sebagai organ sastera yang terbatas, cerpen mementingkan kualiti cerita yang diadun dengan teknik naratif yang kreatif. Ia berbeza dengan penulisan novel mahupun puisi, pengarang tidak boleh membazirkan banyak ‘perkataan’ untuk menerangkan fikirannya kepada pembaca. Cerpen yang baik adalah cerpen yang sarat dengan persoalan, mengandungi jawapan, membentuk pemikiran, padat, tepat dan bermakna. Apabila dijadikan alat dakwah, maka cerpen seharusnya mengutarakan nilai-nilai Islam yang jelas. Penulis juga bertindak sebagai pendakwah yang berhikmah, serta penyiaran cerpen itu nantinya menjadi medium dakwah yang komprehensif.
Pensejarahan sastera Islam termasuk cerpen membuktikan bahawa karya sastera berkembang searus perkembangan zaman. Pada dekad 1970-an, perbincangan mengenai sastera Islam kedengaran lantang akibat pengaruh Islamisasi dalam pelbagai bidang terutama politik dan sosial masyarakat Malaysia. Hal ini terus berlanjutan hingga ke alaf milieu kini, para penulis tidak hanya membincangkan persoalan tubuh fizikal Islam (hukum-hukum Fekah) tetapi turut menyentuh soal pemikiran dan falsafah Islam. Banyak persoalan baharu yang muncul di kalangan generasi Islam pasca moden yang menuntut jawapan dan buah fikiran daripada para pengarang Muslim selaku pendakwah. Misalnya, persoalan kemiskinan yang menjadi punca penyakit sosial, bahaya rasuah dan pecah amanah, isu pendidikan sekular yang lebih diutamakan berbanding pendidikan Islam, punca keruntuhan institusi kekeluargaan, isu ekonomi global yang bercirikan neo kapitalis, serta mengangkat kembali imej Melayu Muslim di kalangan generasi baharu. Persoalan-persoalan berikut memerlukan para penulis membuat penyelidikan, berfikir dengan serius dan kritis serta memberikan altenatif penyelesaian bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Hal ini adalah wajar jika pengarang mempercayai bahawa menulis cerpen adalah aktiviti intelektual yang serius.
Malangnya, di kalangan kita merasakan bahawa penulisan cerpen adalah aktiviti kesenian yang tidak berpaksikan ilmu akademia serta boleh diteroka ‘sesiapa sahaja’. Persoalan yang biasa dilontarkan para pengarang ini (khususnya orang-orang muda) adalah kehidupan sekitaran mereka dan permasalahan cinta. Klise ini telah bermula dari zaman Yunani Kuno berterusan ke zaman jahiliah Arab hingga ke zaman neo jahiliah sekarang. Cinta mejadi elemen erat yang mewacanai penulisan sastera tidak kiralah cerpen, puisi, novel mahupun drama. Oleh kerana cinta adalah fitrah manusia, maka Islam menghalalkannya dengan cara yang suci iaitu perkahwinan. Di dalam cerpen, cinta yang dibenarkan adalah cinta tulus kepada Ilahi serta cinta makhluk yang tidak berunsurkan syahwat, terkalung dalam sarung syariat yang erat falsafahnya.
Namun, peserta dalam pertandingan ini tidak mencapai maksud gagasan menulis cerpen dakwah. Keseluruhannya membentangkan cerita yang mendatar pada persoalan Islam tetapi tidak memberikan peleraian kaedah Islam yang matang dan meyakinkan. Misalnya, separuh daripada cerpen-cerpen yang dipertandingkan ini mengutarakan persoalan cinta di antara lelaki dan wanita. Kebanyakannya adalah cinta ‘anta anti’ yang mana wataknya adalah para pendukung persatuan Islam tetapi ‘terjerat’ cinta sesama sendiri. Sadis lagi, apabila dua watak ini tidak boleh ‘bersatu atas alasan ‘haram bercinta sebelum berkahwin’, para penulis menggambarkan ‘kepasrahan’ watak-wataknya untuk saling bersabar (misalnya si teruna menghantar sms kepada si dara, manakala si dara menghantar surat ‘sabar’ kepada si teruna). Ternyata isu cinta ini mendominasi pusat cerita sedangkan pada garis yang sama, terdapat isu-isu global yang lebih signifikan menggambarkan para pengkarya adalah mahasiswa Islam yang intelek, matang dan berwawasan jauh.
Cadangan peribadi hakim adalah para penulis sepatutnya menjukstaposisikan isu utama adalah kemaslahatan ummah berbanding kepentingan ‘peribadi’. Putus cinta atau pasrah jiwa adalah pemilikan peribadi (yang mana patutnya ditulis dalam diari bukan untuk dipertandingkan). Cerpen Remang Senja di Banda Aceh misalnya, pengarang tidak cuba meneroka latar dan peristiwa terkini Aceh (yang menjadi pertanyaan umat Islam di seluruh dunia)tetapi memusatkan naratif kepada seorang lelaki yang menjejaki kekasihnya di Tanah Aceh. Di sana, dia memujuk kekasihnya pulang ke Malaysia kerana berpendapat Malaysia lebih memerlukan sukarelawan. Ini adalah satu cerita yang tidak kreatif. Sebagai pengarang Muslim, tidak sepatutnya memikirkan maslahah ummah berdasarkan geografi tertentu. Hal yang wajar adalah memberikan sokongan kepada segala bentuk kebaikan asalkan ia adalah untuk umat Islam di seluruh dunia. Malahan, unsur cinta (antara lelaki dan wanita) tidak lebih penting daripada memperbincangkan permasalahan umat Islam di Aceh dan memberi jalan penyelesaiannya.
Kedangkalan pemikiran berlaku apabila penulis tidak banyak membaca karya-karya sastera mahupun karya ilmu. Terdapat juga penulis yang terlalu taksub kepada karya lain hingga terbawa-bawa dalam karyanya. Misalnya, cerpen Laskar Dakwah cuba mengadaptasi semula novel Laskar Pelangi karangan Andrea Hirata. Namun, suatu kesalahan yang dilakukan penulis cerpen ini adalah ‘memungut’ dialog asal novel tersebut kemudian diletakkan dalam karyanya. Peniruan tanpa asbab ini menyerlahkan kecetekan ide penulisnya.
Kesalahan lain yang dilakukan hampir semua penulis adalah kesalahan tatabahasa. Segelintir penulis juga menggunakan bahasa ‘pasar’ yang mencacatkan estetika sastera. Kesalahan seperti ini dapat diperbaiki sekiranya penulis merujuk buku-buku penulisan kreatif atau panduan penulisan kreatif terlebih dahulu sebelum menghasilkan karya.
Kesimpulannya, hakim memilih tiga cerpen terbaik untuk dikalungkan kemenangan. Walau bagaimanapun, cerpen yang terpilih ini masih ditahap sederhana dan perlu digilapkan lagi dengan usaha tanpa jemu para penulisnya.
Semoga penglahiran penulis-penulis muda bukan sekadar memeriahkan dunia sastera Islam tetapi mampu mengutarakan falsafah dan pemikiran Islam di dalam karya mereka. Penulis yang baik adalah bermula daripada seorang pembaca yang baik dan kritis!
Salam Sastera Dakwah!
Ummu Hani Abu Hassan
www.ummuhani.com







assalamualaikum Ummu.terima kasih atas penulisan ummu ini. banyak pengajaran yang akak dapat.
syukran kak. Kita semua sedang mendaki sekolah ilmu. Tak ada sesiapa yang sampai di puncak lagi kerana ilmu Allah tu MAHA TINGGI DAN LUAS
penglahiran?..kenapa bukan kelahiran penulis..?
Penglahiran melibatkan proses dari pihak lain. Misalnya kita menganjurkan pertandingan menulis untuk melahirkan penulis, ia disebut penglahiran. Boleh rujuk yang lebih pakar
assalammualaikum,untuk cik ummu, saya sememangnya berminat menulis dan ingin ketengahkan bakat saya ini. dari kecil sampai sekarang, saya berhajat untuk hasilkan karya yang bermutu dan dapat dibaca dan dimanfaatkan oleh semua pembaca. masalahnya saya tak tahu bagaimana cara yang betul untuk mulakan kerjaya sebagai seorang penulis. saya harap kak ummu dapat membantu saya dan sila emailkan pada saya panduan yang berguna dalam bidang ini. segala bantuan yang dihulurkan,hanya tuhan yang dapat membalasnya,mudah-mudahan saya dapat menjadi seorang penulis yang berjaya suatu hari nanti,insyaallah.
Salam Eena, Amin. Hasrat yang baik tu pasti dipermudahkan dengan jalan usaha, Kalau betul caranya.
Lortab….
Lortab online. Lortab tn. Lortab. Lortab medication. Lortab forum….
Betul tu cik Ummu, cubalah lari dari tajuk2 cinta uda dara tu, ada beberapa cerita yg buat saya terkesan, tidak semestinya kisah2 cinta, tapi kisah2 hidup spt Imam, Badai Semalam, tenggelamnya Kapal Van Der..ee.lupa.., shadow of the wind,a thousand splendid suns, dll.