Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Niat Ke Jordan

imgp0439.JPG

Bas yang membawa kami ke Bumi Jordan 

‘Memang ini rezeki Allah’, kata hati sendiri. Semalam, saya bersantai agak lama dalam sebuah Cyber Cafe berdepan dengan Jameah Abu Nour, Ruknuddin, Damsyik. Di situ, saya melepaskan walah pada satu musibah permusafiran. Saya menulis di blog dan di emel, bahawa saya gagal menjaga hubungan mahabbah antara saya dengan dua sahabat safar. Ada satu masalah besar lagi wujud, teman yang saya kenalkan kepada abah dan emak (sebagai calon menantu mereka) telah menarik diri gara-gara satu teguran saya yang bernas. Insya Allah, sejauh ini (Malaysia ke Syria kira-kira 9 jam waktu penerbangan) telah saya lalui, maka saya nekad mengatasi masalah yang hadir dengan watak gadis Muslimah. Mesti matang!

Cuaca pagi itu 11celcius. Sejuk yang mengigit wajah (hanya wajah yang tidak berselindung kain) menyejukkan juga hati. Di saat dua teman menghilangkan rasa ketemanan mereka, Allah telah menggantikan perempuan-perempuan solehah untuk menjadi sahabat. Syuhada. Ilah,Naemah, Sarah dan ramai lagi. Sekarang, di rumah mereka  dalam sesak Suq Jumaat saya menumpang teduh. Saya ingin mencari kekuatan jiwa lagi; perkara baru yang mesti saya raih di hari-hari akhir di bumi Damsyik. Falafil, Khubuz, laban, hummus, filfil, fasoliya, nasi mandi, syoraba telah sebati dengan perut. Saya mahu merasai lain daripada makanan Syam. Saya mahu melanjutkan perjalanan, menghirup bau Pohon Tin (seperti yang digemari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil aka Saiful Islam), segar darah Syuhada’ Syam dan melihat pohon anggur yang tidur di musim sejuk. Shh..sebenarnya saya mahu ke Jordan. Tetapi dengan siapa?

imgp0466.JPG

Masjid di Mafraq 

“Besok adik-adik Mawaddah akan balik Jordan. Ana dengar dari seorang akh,” sembang siswa Malaysia di komputer sebelah dengan temannya. Perkataan ‘adik-adik Mawaddah’ menyebabkan saya berhenti menaip. Saya pandangi siswa itu dengan hasrat menyoal. ”Akh kenal dengan mereka? Bagaimana saya boleh hubungi adik-adik tu?” Terlontar soalan spontan. Akh itu agak kaget, mungkin tidak mengenali siapa gadis yang bertanya dan tidak pernah pula bersua wajah. Namun, kerana saya berbahasa Melayu, dia mafhum saya gadis senegara lalu menulis nombor telefon yang diminta.

Saya tidak menunggu masa yang lama untuk menghubungi adik-adik Mawaddah. Dua bulan di Damsyik, antara mat’am yang sering saya kunjungi adalah mat’am milik mereka. Selain rasa makanan dari air tangan ‘orang Melayu’, 2,3 orang pekerjanya memang saya kenali masa kecil dulu. Wadud, Qudamah dan isterinya Salwa antara teman saya waktu di Sekolah al-Arqam Sg Pencala. Sebelum kaki menapak ke mat’am yang terletak di jalan besar Ruknukdin, saya telah menghantar pesanan ringkas pada abah, “Abah, bolehkah Kak Ummu pergi Jordan dengan kawan-kawan?” Tidak lama lepas itu, abah memberi keizinannya.

imgp0455.JPG

Munirah Khairil Anuar Ujang 

“Masya Allah, Munirah pun ada,” Saya memeluk tubuh Munirah. Teman dan jiran kecil saya tahun 1990-an di Kg Sg Pencala, Damansara. “Kak Ummu, lamanya tak jumpa Kak Ummu,” kata Munirah pula ketika dalam pelukan.  ”Jomlah ikut kami ke Jordan esok. Kami baru beli tiket bas,” katanya menyorong pelawaan. “Macam mana caranya?” tanya saya. Dia kemudian meminta pasport saya untuk urusan memasuki bumi Jordan.

Saya terpana. Dalam doa dan sujud, tidak habis melahirkan rasa syukur. Urusan ke Jordan memakan masa satu hari sahaja. Sebelum pergi, saya harus melakukan sesuatu sebagai adab ukhwah. Syuhada dan rakan-rakan menyokong malahan meminjamkan kamera buat saya mengambil gambar. Lucu sekali, perjalanan ke Syria selama 3 bulan ini tanpa kamera. Ya, saya tidak pernah ada kamera sendiri (kecuali yang dipinjamkan abah ke mana-mana). Saya menghubungi dua teman permusafiran, memaklumkan saya akan pergi jauh sedikit daripada mereka. Suara salah seorang mereka kedengaran marah. Tapi saya bulat, saya telah mendapat keizinan abah.

Malam itu, tidur nyenyak di tengah Syuhada dan Sarah. Biasanya kami akan berkelubung dengan selimut tebal.  Selimut dari bulu kapas dan bulu kambing. Sebelum tidur, kami melumur badan dengan krim jenama Kamil dan minyak zaitun. Agar kulit tak dimamah kesejukan kering yang boleh menyebabkan gatal dan bintik-bintik merah. Stokin yang tersarung lebih daripada sepasang. Apatah lagi baju tebal kerana pemanas api yang dipanggil sobiya itu belum cukup menerikkan. Bilik itu kecil sahaja, cukup tiga gadis tidur tanpa mensisakan ruang yang banyak. 

Jordan oh Jordan.

imgp0459.JPG

Padang pasir musim sejuk

Besok, sebelum suara anak-anak murid Syeikh Solah mendendangkan bacaan al-Quran dari menara Abu Nour, mata sudah dikejutkan malaikat. Sempat menunaikan Tahajud, mohon redhoNya agar perjalanan ke Jordan tidak mengundang bahaya dan fitnah. Usai Subuh, Ilah dan Syuhada melepaskan pemergian saya dengan senyuman. Mereka mengiringi saya ke bait Arabi berhampiran Jamek Mahyuddin tempat tinggal Munirah dan teman-teman. Dari sana, saya menyertai kumpulan keluarga besar Munirah menaiki service (sejenis van pengangkutan awam) terus ke mahattah. Di sana, kami akan menaiki sebuah bas ekpress menuju ke Amman. Tambang bas adalah RM60 pergi-balik. Abu Lais (yang kini menjadi sepupu ipar) antara orang yang bersusah-payah menguruskan perjalanan kami.

Saya mengenakan manto Syria yang saya beli pada minggu pertama di Damsyik. Wajah dibalut dengan kain mafla coklat. Tiba-tiba ada rasa malu berkutik.  Di tengah adik-adik Mawaddah termasuk Munirah ini, saya rendah diri pula (memang sudah sedia rendah). Entah tak segan-segan menumpang mereka di Amman nanti. Abaikan segala perasaan yang kurang enak tu. Kata hati sendiri. Dalam poket manto, sebuah buku catatan dan sebatang pen teman yang setia karib. Seperti tidak percaya yang saya akan bertandang ke bumi Jordan, pecahan negara Syria ketika bas mulai bergerak. Perjalanan kira-kira 2 jam.

imgp0445.JPG

Hudud Jabir 

Kami melalui perjalanan yang mendatar dari Damsyik ke Bosra, Selatan Syria kemudian mulai memasuki sempadan  Hudud Jabir. Di situ bas menurunkan penumpang yang terdiri daripada ahli rombongan kami, sepasang pelancong dari Jepun dan Perancis juga 2, 3 orang Arab tempatan. Kami perlu menandai pasport dengan keizinan pihak imegresen Jordan. 

Ya, saya sudah melihat dengan kepala dan mata sendiri akan keindahan bumi Jordan hari itu.

Bersambung

     

4 Responses to Niat Ke Jordan

  1. Assalamualaikum w.r.b.

    Kak Ummu, orang Mesir pun belum bertandang ke Jordan… Ni yang cemburu ni… :)

  2. Ummu Hani says:

    sayanglah Syafiq tak ambil peluang. Dari Mesir ke Jordan naik kapal laut bukankah murah? heee

  3. salam buat ummu hani…
    long time no news ya…
    masih ingat tak lagi pada org yang angkat awak masa groupbinding Nisa’ kat the Zone, Kuala Lumpur tahun 2007 yang lalu…??? cuba ingat.. cepatt.. heee… :)

  4. ummuhani says:

    Jordan, telah dua tahun berlalu rupanya pengalaman ini. tiga hari di sana, masuk 3 tahun, belum pernah kulupakannya.

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com