
Auni dah jadi penghibur dalam keluarga kami. Penyejuk hati semua orang.
Pulang ke kampung kali ini terasa sedikit hambatan tekanan. Fikiran yang dikuasai pelbagai masalah (kadang berupa isu-isu sosial umat) meletakkan otak melebihi paras keupayaannya. Saya percaya, kes yang berlaku kepada Saudara Yassin Sulaiman seperti yang dilaporkan akhbar, juga berlaku kepada ramai yang lain. Saya pernah mengalami penyakit semacam itu sekitar awal tahun 2005 (ketika sedang menyiapkan novel Ladang Hati Mustika dan skrip Cinta Madinah 2), tiba-tiba seperti ada satu suis dalam fikiran yang terganggu menyebabkan separuh jiwa hilang, tidak menjadi diri sendiri kemudian dibayangi rasa takut. Ketika itu, syaitan mudah sahaja menyerap ke dalam badan yang lemah. Hampir dua bulan saya ‘sakit’, abah membawa saya berjumpa seorang ustaz di Putrajaya untuk berubat. Alhamdulillah, berkat bacaan ayat-ayat al-Quran,saya bangkit semula. Tambahan, saya menerima khidmat kaunseling daripada Prof Dr Ab Aziz Md Zin, pensyarah di APIUM. Beliaulah yang ‘membawa’ pemikiran saya kembali duduk di tahapnya.
Selepas tahun 2005, Alhamdulillah penyakit itu tidak berulang kerana saya ‘tidak berfikir yang bukan-bukan’ lagi (sebelum itu saya terlalu memikirkan bagaimana orang sanggup menjadi murtad seperti kes Nyonya Tahir). Pesanan saya kepada sahabat-sahabat yang lain, jadilah seorang pemikir kerana Allah menggalakkan kita berfikir. Tetapi berfikirlah tentang alam ciptaanNya bukan ‘kejadianNya’, kerana segala yang ghaib hanya dalam pengetahuan Allah.
KAMPUNG BUKU ABAH

Abah yang saya kenali adalah seorang yang komited terhadap kemahuannya. Jika sesuatu yang ingin beliau lakukan,maka beliau akan lakukan walaupun seorang diri ditebingi pelbagai dugaan. Tugas beliau sebagai bapa kepada 11 orang anak dan sedaya-upaya memberi kami kehidupan terbaik adalah salah-satu contoh pengorbanan abah.
Terbaharu, abah giat merealisasikan Kampung Buku Puteh Garden untuk memasyarakatkan buku terutama di kalangan remaja kampung. Buku-buku yang tersusun dalam almari, daripada menjadi hiasan dan dikunyah anai-anai lebih eloklah dibaca orang ramai walaupun secara percuma. Kini, harapan abah itu hampir menjadi kenyataan apabila bangunan ‘perpustakaan awam’ depan rumah kami yang diusahakan abah dan emak 80 peratus siap.

Dalam perancangan abah dan emak, mereka mahu melakukan pelbagai aktiviti seperti bengkel penulisan, ceramah motivasi, perbincangan ilmu dan lain-lain di Kampung Buku ini. Emak menyebutkan hasratnya untuk memanggil sasterawan-sasterawan utara seperti Pakcik Rejab Fi dan Azizi Abdullah datang memberikan ceramah penulisan di sini.
Sebagai anak dan pencinta sastera, saya mendoakan hasrat dan usaha ibubapa saya itu dimudahkan oleh Allah SWT walaupun menuntut pengorbanan wang ringgit, tenaga dan masa.

Kepada rakan-rakan juga, kami memerlukan sokongan anda walaupun sekadar nasihat, idea dan saranan untuk ,memulakan program ‘berat’ ini. Jika Kampung Buku Puteh Garden ini dibuka, silakan anda semua menjadi tetamu terawal ke sini.