
“Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada Tuhan Yang Pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah SWT juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah SWT memutuskan hubungan dengannya.” (maksud hadis riwayat at-Tirmizi)
Umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 20 September 2009. Menjadi satu tradisi di negara ini, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah dengan persiapannya pada minggu-minggu terakhir Ramadan. Sesetengahnya terutama kaum wanita, sudah menempah pakaian dan langsir baru sebulan sebelum Hari Raya. Rata-rata kaum lelaki pula, sudah memperuntukkan kewangan bagi persediaan ahli keluarga menyambut hari raya. Ahli keluarga tersebut termasuklah kenderaan seperti kereta dan MPV.
Apa salahnya menyambut hari raya?
Hari Raya Aidilfitri adalah satu hadiah Allah SWT kepada umat Islam yang berjaya melawan hawa nafsunya sepanjang berpuasa di bulan Ramadan. Gedung Ramadan yang dipenuhi rahmat dan magfirah ditutup tirainya dengan pembebasan dari api neraka bagi golongan tersebut. Proses mujahadah sebulan Ramadan seumpama pembersihan diri daripada maksiat dan dosa. Malahan bagi setiap kebajikan yang dilakukan, pahalanya berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan biasa. Di bulan Ramadan juga, syaitan telah dikurung daripada menjalankan tanggungjawabnya sebagai penyesat manusia.
Bilakah syaitan akan dibebaskan semula? Syaitan akan dibebaskan semula sebaik sahaja Ramadan melabuhkan tirainya berganti mentari Syawal.
Maka, pada Hari Raya Aidilfitri keadaan biasa akan kembali bermula. Tahun-tahun sebelumnya menyaksikan bulan selain Ramadan, orang ramai tidak lagi mendekati masjid setiap malam seperti Terawih, orang ramai juga tidak lagi teruja untuk menghabiskan al-Quran sekurangnya satu kali khatam dalam tempoh sebulan, orang ramai juga tidak mampu menahan lapar dan dahaga di siang hari, sebaliknya sifat tidak sabar memungkinkan pergaduhan, umpat keji dan dengki. Sebahagian para ibu atau isteri tidak lagi ghairah menghidangkan makanan enak buat suami dan anak-anak seperti menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.
Bermakna, berakhirnya Ramadan, hari-hari normal yang ‘sakit’ itu kembali dilalui oleh kita semua.
Jangan Cemarkan Hakikat Hari Raya
Pagi Aidilfitri terasa indah apabila ianya diwarnai suara takbir pada Yang Maha Esa. Bagi yang dapat berhimpun bersama ahli keluarga, nikmat terasa lengkap. Juadah enak terhidang menunggu tetamu datang mengerat ukhwah, kanak-kanak menyalami yang tua, yang tua memaafkan sengketa. Duit raya diagih sebagai sedekah dan hadiah. Pusara ahli keluarga didatangi dan dibersihkan, alunan al-Fatehah dialunkan.
Namun, jika Hari Raya dicemarkan dengan sifat mazmumah, pembaziran akan berlaku, persengketaan tiada noktah. Salah satunya adalah berhari raya tanpa berziarah dan hanya selesa menatap televisyen dari pagi hingga ke malam.
Perlu kita semua sedar,Hari Raya Aidilfitri hanyalah satu permulaan kepada hari raya yang sebenar iaitu apabila kita sudah berada di depan pintu syurga Allah SWT di akhirat. Itulah sebesar nikmat apabila diri bebas dari api neraka dan dapat bertemu KEKASIH AGUNG, ALLAH SWT, SANG PENCIPTA.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia RASULULLAH SAW.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1430 H/ 2009.
MAAF ZAHIR BATIN, KULLU AM WA ANTUM BIKHOIR.