Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Catatan Aceh

‘Kami Memang Layak Menerima Tsunami’

img_6629.JPG
Mencatat butir cerita Drs H Mustafa Amin

Drs H Mustafa Amin, pencenan pensyarah yang juga tuan rumah tempat kami menumpang sepanjang empat  hari tiga malam di Banda Aceh tidak lekang bercerita dan menyoal. Detik-detik terakhir sebelum terbang ke tanah air, beliau masih juga mahu berkongsi pengalamannya menjadi ‘nadi’ Nanggroe Aceh Darus Salam seumur hidupnya yang kini mencecah lebih 60 tahun. Bekas pensyarah Universiti Syiah Kuala, Banda Aceh ini menyoalku dan dua rakan,
“Apa yang ananda bertiga dapat sependek tiga hari wisata (melancong) di Aceh?”

“95% BERUBAH!”

img_7201.JPG

Bangunan perumahan dan kedai pesat dibangunkan di seluruh Banda Aceh

Kata temanku, Kak Faezah Yahya, bekas penuntut IAIN Ar-Raniry, Banda Aceh sebelum peristiwa Tsunami 2004. Dia juga ‘terlibat’ langsung sebagai ‘mangsa Tsunami’, empat hari selepas kejadian, dia dan pelajar Malaysia lain diterbangkan ke tanah air.
“Selepas kejadian Tsunami, saya tidak pernah datang lagi ke Aceh. Ini adalah lawatan kali pertama selepas lima tahun,” kata Kak Faezah hampir tidak percaya pembangunan di Aceh begitu laju dan pesat jauh dari jangkaannya.
Kak Faezah juga tidak ralat menceritakan detik-detik cemas menghadapi bencana Tsunami,

img_7321.JPG

Kak Faezah (kiri) dan Nurul Faizah atau Faiz

“ Sekitar jam 8 pagi, saya dan rakan-rakan berada di rumah sewa. Tiba-tiba kami terasa ada satu gegaran kuat  yang menolak tubuh kami ke kiri dan ke kanan. Jiran-jiran kemudiannya menjerit di luar rumah mengatakan gempa bumi telah berlaku. Saya dan rakan-rakan keluar dari rumah dengan keadaan tubuh kami di tolak gegaran. Di luar rumah, saya dapati air kolam beriak dan tersimbah keluar, pokok-pokok bergoyang kuat dan deretan rumah seakan-akan mahu roboh. Tubuh kami walaupun berdiri tegak, ditolak gerakan bumi yang mulai merekah. Yang mampu kami lakukan adalah berdoa dan berzikir kuat. Salah seorang jiran kami kemudiannya mengalunkan azan. Alhamdulillah, beberapa minit berlalu, gempa surut dan kami disuruh mengambil benda-benda penting dalam rumah dan diarahkan berlindung di bangunan masjid dan universiti berdekatan,” ceritanya.

img_6348.JPG

Inilah al-Quran yang digunakan Kak Faezah sejak 10 tahun yang lalu.
Kak Faezah sempat mencapai al-Quran dan dokumen-dokumen penting. Pihak keselamatan menjerit bahawa air telah naik dan mengarahkan semua orang meninggalkan rumah masing-masing.

“Pelik juga kerana kawasan kami agak jauh dari pantai tetapi air datang begitu laju seperti ombak. Hanya kepada Allah sahajalah saya menyerahkan diri. Kami berlari ke kawasan tinggi, bagi yang tidak sempat mereka terpaksa memanjat bumbung rumah dan pokok-pokok tinggi.  Keadaan waktu itu menggambarkan hari kiamat, manusia berlari, menjerit, menangis dan ramai yang mengalunkan nama Allah. Ketika air dah menyapu bumi, kita dapat lihatlah segala benda termasuk kenderaan, pokok, sampah sarap dibawa air.  Ada juga orang dan binatang yang tak sempat selamatkan diri dihanyutkan air begitu sahaja.”

img_7205.JPG
Kesan Tsunami yang ditinggalkan.

Jelas Kak Faezah lagi, keadaan cemas itu berlaku tidak sampai satu jam, sebaik tenang, bumi telah berubah wajah. Mayat-mayat bergelimpangan, bangunan kedai dan rumah terpongah, kenderaan rosak, pokok-pokok menyembah bumi dan seluruh kawasan diselaputi selut hitam. “Yang paling pilu tatkala melihat orang-orang menangis. Ada yang kehilangan anak, ibubapa, isteri, suami, rakan dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang,” kata Kak Faezah masih menangis kala melihat semula rakaman detik-detik Tsunami.

img_7139.JPG

Masjid utuh di seluruh Aceh

“Saya dan para pelajar Malaysia ditempatkan di masjid. Alhamdulillah, masjid-masjid terutama Masjid Baitur Rahman berdiri teguh tidak diusik tsunami. Empat hari terperangkap di sini, baharulah bantuan TUDM datang bawa kami pulang,” kata Kak Faezah. Selepas itu, dia menyambung pengajiannya di Jambi dan di tanah air sendiri, Malaysia.  Kak Faezah bersyukur kerana dapat menjejak semula Tanah Aceh bersamaku dan Faiz Faiza tanggal 4 September lalu.

“Subhanallah, kalau melihat pada keadaan Tsunami dulu, sukar membayangkan kehidupan seterusnya yang terpaksa dimulakan dari ‘kosong’. Ternyata, tafsiran itu meleset, Aceh sekarang berubah 95 peratus dengan keadaan masyarakatnya yang ceria dan peramah serta pembangunan pesat di seluruh Banda Aceh dan sekitarnya. Malahan, iklim politik Aceh melalui zaman kestabilan dan pekerjaan mulai banyak ditawarkan pada anak-anak tempatan,” ulas Kak Faezah kagum.

Seperti Pulau Lain di Indonesia.

img_7107.JPG

Pantai Aceh nan indah

Aku turut menyokong pandangan Kak Faezah terhadap keadaan Aceh sekarang.

“Papa (panggilan untuk Drs Mustafa Amin), ananda telah melewati beberapa tempat di Indonesia seperti Medan, Jakarta, Solo dan Yogjakarta, ananda dapati tidak banyak bezanya dengan Aceh. Pembangunan fizikal sedang pesat dibangunkan serta nadi ekonomi masyarakatnya hidup. Di Bandar-bandar, keadaan sibuk, bertali arus kenderaan dan manusia. Itu satu petanda kemodenan mulai terbina. Wajah Aceh juga dilengkapi pakej pelancongan yang menarik, pantai-pantai bersihnya, keharmonian budaya Melayu nusantara yang masih tebal, monumen kepahlawanan Melayu yang tidak tersangkal, makanan tempatan dan kraftangan ditambah pula matawang yang relatif murah bagi pelancong di seluruh dunia. Ia satu anugerah buat Nanggore Aceh Darus Salam,” jelasku menyimpulkan perasaan sependek empat hari di sini.

Aceh Dahulu

img_6669.JPG

Rumah Cut Nyak Dien, pahlawan muslimah Aceh

“Tetapi Ananda tidak tahu akan hakikat Aceh sebelum Tsunami bahkan 30 tahun yang lalu, betulkan?” Aku mengangguk.
“Faezah mungkin sempat merasa keperitan itu dulu,” tambah Drs Mustafa Amin tersenyum pada Kak Faezah.
“Dahulu, negeri kami ini ribut akibat masalah dalaman dengan pihak pemerintah di Jakarta yang tidak pernah selesai. Menjadi mangsanya adalah masyarakat awam. Waktu malam, penduduk tidak lagi dibenarkan keluar kerana ada ancaman nyawa. Kita boleh membilang bunyi dentuman peluru, bom dan sebagainya yang berlaku antara pihak gerila dengan tentera. Justeru itu, pembangunan fizikal tidak banyak dilakukan, malahan para pelancong tidak seramai sekarang ini,” jelas bapa kepada tiga puteri ini.

img_6599.JPG

Puteri-Puteri ‘Papa’- Cut Mustika, Cut Desa Nanda dan Cut Januarina bawa kami pusing Banda Aceh naik ‘kereta= motor’

Punca pengeseran antara pemerintah pusat dan penduduk tempatan adalah kerana ketidak seimbangan pembangunan yang dilakukan terhadap Aceh berbanding pulau-pulau Indonesia lain. Di samping itu, hasil alam Aceh seperti minyak tidak banyak dapat dimanfaati warga tempatan sebaliknya dibawa ke pemerintah pusat. Sebahagian penduduk Aceh menginginkan tanah itu bebas dari kuasa Indonesia agar dapat menentukan hala tuju negara  bergelar Serambi Mekah ini sendiri. Sebahagian yang lain tidak bersetuju kerana warga Aceh telah banyak berkorban nyawa dan harta membantu Indonesia mencapai kemerdekaannya dahulu. Malahan, tidak mudah mentadbir Negara  sendiri dengan bahasa, budaya dan resam Aceh yang rapat dengan etnik2 lain di Indonesia.

Guru Tsunami

img_7211.JPG

Faiz di depan Kapal Apung yang dibawa arus Tsunami ke daratan. Kapal ini beratnya 3600 tan

“Allah SWT telah memberikan hikmah yang besar kepada penduduk Aceh yang masih hidup selepas Tsunami. Yang telah terkorban, kami yakin mereka syahid jika mereka Muslim. Tsunami menjadi guru kita semua. Tuhan menunjukkan bahawa kekuasaanNYA mengatasi apa yang manusia ada termasuk kekayaan, keluarga dan nyawa sendiri,” tambah Drs  Mustafa Amin.

“Jadi ananda sekalian telah melihat pembangunan dan sikap warga Aceh seperti Tsunami tidak pernah berlakukan?” tanyanya. Aku dan dua rakan mengangguk.
“Betullah ayat ALLAH SWT bahawa Dia tak akan menimpakan sesuatu bencana kepada orang yang tak sanggup menerimanya. Jadi, Tsunami itu ujian yang ‘cocok’ buat warga Aceh yang memiliki jiwa serta hati yang berani,” kata pensyarah yang sederhana ini

Pengajaran Yang Lain

img_7260.JPG

Abang Fiki (suami Kak Cut Mustika) jadi ketua rombongan ‘Laskar Pelangi’ Aceh.

Kala kekaguman terhadap Aceh pasca tsunami menyerbak, aku berbisik pada temanku, Faiz Faiza.
“Faiz, untuk mendapatkan kemodenan biasanya berlaku pertukaran nilai. Kita terpaksa membayarnya dengan masa, wang ringgit, dan tenaga. Tidak mustahil, seseorang itu menjadi ‘kedekut dan sombong’ dengan orang lain kerana merasakan haknya telah dikorbankan untuk kemajuan dan pembangunan. Bukan orang lain, diri kita sendiri sudah terbiasa ‘selfish’ begitu terutama bila bernyawa di tengah Kuala Lumpur,” kataku beriring anggukan Faiz, entah setuju entah tidak.
“Bumi Aceh ini lain, ia sebuah jagat Islam yang mutlak sejak zaman berzaman. Pahlawan2 Melayu kita belajar dari pahlawan2 Islam Aceh. Nadi dan langit bumi ini adalah al-Quran dan sunnah. Namun, ada satu kebimbangan di sini..”
Faiz masih mengangguk dan menunggu jawapanku.
“Apabila masyarakat sudah dibiasakan dengan bi’ah Islam, mereka ikut. Namun pemahaman mereka untuk patuh dan ‘bersungguh’ pada agama akan terhakis sedikit demi sedikit apabila ‘kemodenan baru’ muncul. Mereka akan layu di tengah ‘baja agama;. Mereka tidak ‘izzah atau bangga’ lagi untuk bersegera mengamalkan agama,” kataku menurut pemerhatian langsung di Banda Aceh.
“Maksudnya?” tanya Faiz.
“Faiz tengoklah, sesetengah masyarakat Islam di sini, apabila berkumandang azan, mereka tak bersegerapun nak pergi berjemaah di masjid. Malahan, sewaktu bacaan al-Quran dipasang sejak pukul 4 pagi hingga Subuh, ada yang masih enak berdengkur dan tak rasa malu pada panggilan Ilahi walaupun masjid beberapa meter saja dari rumah, itu menunjukkan izzah mereka pada Islam mulai layu walaupun setiap hari menyedut angin Islami..”

Mudahan, tidak semua warga Aceh begitu.  Di renda kemodenan yang makin melaju di seluruh Aceh, ada agenda-agenda ‘langit’ yang masih memerhati dan akan muncul lagi.
Bersamalah kita selalu bersiap dan bersedia. Tsunami bukan untuk Aceh sahaja tetapi iktibar buat semua Muslim di seluruh dunia.

10 Responses to Catatan Aceh

  1. Mas says:

    Nak ikut!! =(

  2. ummu hani says:

    Kak Mas, jom ke sana lagi..heheee

  3. kak faezah says:

    ummu kawan2 kak faezah kat cnie pun nak ikut juga… hehhehe kalo di izinkan Allah kita p hujung tahun nie mungkin depa nak join…

  4. Faiz Faiza says:

    Angguk2 setuju cik. Usah ribut. tenang2 aja

  5. Ummu Hani says:

    Bawa zauj sekali ke Kak Faezah? heee, ribut2 jangan tenang2:)

  6. kak faezah says:

    hahhaha ummu…ummu… kalo zauj tue entah laaa belum pasti lagi…soalnya skrg nie pun belum ada bayang2nya lagi… alaa kalo tak xda kita p kita jer laaa… kita ribut aja

  7. rinza says:

    akak, apa boleh saya kirim email untuk tanya jawab interview?
    kebetulan thesis saya mengenai pariwisata banda aceh dari perspektif malaysian market, kalo boleh saya kirim kat mna?

  8. mujahid says:

    salam kak ummu,
    insha Allah 16may ini saya akan ke aceh utk melancong slama 4hr3mlm utk mluaskan pengalaman & pndgan. Bleh cdgkn tmpat2 yg patut dikunjungi di aceh?? supaya musafir saya lebih bermanfaat dan bermakna.

  9. Ummu Hani says:

    salam Mujahid, banyak tempat di Aceh boleh dilawati terutama Masjid Baiturrahman dan masjid2 lain di seluruh Banda Aceh, jangan lupa makan daging dendeng yang sangat sedap:) ziarah juga pesantren2 dan rumah anak2 yatim yang begitu banyak di sana. Pantai di sana juga cantik2 dan tentunya kita tak sangka yang tsunami pernah berlaku apabila melihat keindahan dan ketenangan pantainya. Selamat bermusafir!

  10. EVITA says:

    salam.. sy pernah berada di Aceh selama 2 minggu. Terlalu byk tempat yg menarik. (cth: dataran gayo, lata elik, pulau sabang, laut tawar, etc.).. pergilah melancong sambil bermuhasabah diri..

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com