Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Belajar Menulis 6

 dsc_0441.JPG

‘Abah, halalkan segala ilmu penulisan yang telah diberikan pada Kak Ummu.’

PROSES PENULISAN KREATIF

Beberapa orang pelajar dan mahasiswa telah menghantar emel dan sms kepada saya bertanyakan soalan yang sama: Bagaimanakah mahu memulakan penulisan? Atau Bagaimana menulis kreatif dengan cara yang mudah?

Berdasarkan pembacaan dan pengalaman (kira-kira 10 tahun menulis), penulisan kreatif mempunyai beberapa tahap proses disebut proses kreatif. Walaupun aspek kreatif itu adalah sesuatu yang abstrak dan bersifat anugerah (bakat), tetapi ia boleh diaplikasikan kepada individu-individu yang bersedia untuk mempelajarinya. Dalam penulisan sastera, hal ini sering berlaku bahkan sesetengah penulis yang rajin (walaupun tidak mempunyai bakat semulajadi) lebih prolifik berkarya berbanding penulis yang semulajadi berbakat.
Di sini saya ingin memfokuskan kepada empat proses dalaman yang sering berlaku kepada para penulis kreatif.

A.    Persediaan
Tahap persediaan merupakan tahap terawal buat seorang penulis. Di peringkat ini penulis perlu mencari bahan dan maklumat untuk memulakan penulisannya. Wan Mohd Nazif (2006) mengatakan penulis perlu menetapkan  objektif, sasaran dan ringkasan kandungan yang ingin ditulisnya.  Pada peringkat ini juga, penulis biasanya akan merangka pengenalan, isi-isi penting, senarai kandungan dan kesimpunlan umum
Penulis mendapatkan idea penulisannya dari persekitaran kehidupan itu sendiri.  Dalam penulisan kreatif, idea tidak bergantung kepada imaginasi semata-mata sebaliknya ia diperoleh berdasarkan pengalaman, penemuan, percubaan dan pengamatan.  Othman Puteh (2001) mengatakan penulis perlu menyediakan dirinya dengan kepekaan, persepsi dan berupaya mentafsir atau menanggapi kehidupan ini. Penulis juga perlu tampil sebagai pemikir yang mendahului zamannya.

Di peringkat ini juga, penulis perlu membuat tinjauan, apakah isu yang ingin ditulisnya telah disentuh oleh pengarang lain?  Sekiranya mempunyai persamaan, penulis hendaklah mencari sudut yang berbeza untuk ditulisnya. Menurut Rahman Shaari (1983), persamaan isu atau tema bukanlah merupakan suatu kecacatan dalam penciptaan drama kerana pengalaman, cita-cita dan pemikiran manusia kerap menemui titik persamaan.  Walau bagainamapun, penulis yang baik adalah yang menampilkan kelainan dalam berkarya serta lari daripada sterotaip atau klise.  Seseorang penulis digalakkan meneroka subjek atau ide ceritanya berlandas kepada pengalaman diri, pengetahuan dan pemahamannya terhadap sesuatu isu yang ingin dibincangkan.  Misalnya, jika penulis ingin mengemukakan isu sejarah, tahap awalnya adalah dia perlu mengetahui sesuatu bahan dari sudut peristiwa dan kejadiannya serta memastikan kebenaran fakta.

Persediaan menulis adalah proses kejiwaan yang mendalam bagi seseorang penulis.  Bagi penulis dakwah, persediaan dirinya adalah menetapkan matlamat penulisannya adalah untuk mengajak manusia kepada Allah SWT dan menjauhkan mereka daripada kemaksiatan. Penulis hendaklah membersihkan dirinya daripada rasa sombong dan riak serta mengamalkan ilmu yang ingin diserunya. Dia perlu melaksanakan terlebih dahulu kebaikan dan menghindarkan diri daripada fitnah dan kemaksiatan. Penulis dakwah juga perlulah mengaitkan ceritanya dengan ibrah atau pengajaran buat para pembaca. Hal ini adalah peniruan daripada bentuk penceritaan di dalam al-Quran yang banyak menukilkan kembali sikap-sikap umat terdahulu yang telah menerima azab akibat dosa mereka.
-
B.    Pengeraman
Penulisan kreatif  merupakan satu tugas yang menuntut seseorang itu berfikir dengan tajam, lama dan meletihkan.  Dalam melaksanakan tugas tersebut, penulis perlu memperbanyakkan istirehat dan muhasabah diri. Bagi penulis dakwah, adalah menjadi kewajipannya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta berfikir tentang hikmah kejadian alam seperti seruanNya dalam ayat:
“Dia memberikan hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Barang siapa diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang mempunyai akal yang sihat (berfikir tentang hikmah alam)” AL-BAQARAH/ 269

Proses berfikir dan merenung diri ini dinamakan proses pengeraman idea di dalam fikiran. Sekiranya penulis dapat memahami hikmah kejadian alam, dia akan dapat menghubungkan Pencipta dan makhluk dalam karyanya.

C.    Iluminasi
Proses iluminasi adalah proses membawa idea atau cerita ke puncak pemikiran. Seseorang penulis mengalami iluminasi apabila dia telah memperolehi segala konsep yang menjurus kepada perkara yang berkaitan, juga pemikiran yang melengkapkan lagi rangkaian ideanya.  Menurut Hizairi Othman (1996), setelah penulis menentukan visinya dan kemudian dikuasai pula keinginan merealisasikannya, penulis tersebut akan merasa ghairah dan sangat seronok kerana menemukan penyelesaian kepada masalah cerita yang bermain dalam pemikirannya.

D.    Varifikasi
Proses varifikasi merupakan proses dalaman kreatif yang terakhir. Di peringkat ini, penulis akan menyemak semula perkara yang telah dilakukan sebelumnya. Penulis menggunakan kemampuan inteleknya untuk menilai atau menghakimi semula segala perancangan idea yang berlaku dalam otaknya. Ketika ini, naluri penulis sangat berpengaruh bagi memastikan sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan bahan ciptaannya.
Penulis perlu membuat perhitungan dan pemilihan idea kerana ketika proses persediaan berlangsung, penulis acap diberikan pelbagai saranan, kritikan atau cadangan daripada orang-orang di sekelilingnya. Proses begini memakan masa yang lama bagi penulis untuk menghasilkan tulisan yang terbaik. Usaha menilai, menentukan dan menyemak mungkin menyebabkan pencipta menemui idea baharu, malah mungkin berbeza sama sekali daripada matlamat asalnya.

Semua proses yang disebutkan di atas berlaku di dalam diri penulis. Andainya ada di kalangan penulis tidak melalui tahap-tahap ini, maka penulisannya tidak akan menjadi bahan yang baik dan sempurna. Ini kerana proses dalaman dapat menajamkan idea sebelum ditumpahkan di kertas. Penulis seolah-olah mengarang tulisannya dalam fakulti otak  dahulu sebelum menuntaskan secara realiti. Apabila ide dan cerita sudah ‘masak’ di dalam diri, maka penulis tidak akan menghadapi banyak masalah apabila mula berkarya.

Mulakanlah penulisan anda dengan niat dan tulisan yang baik untuk masyarakat. Gunakanlah Bahasa yang indah dan membawa masyarakat kepada Allah SWT. Seperti firmanNya:
“Perkataan yang baik dan pemberiaan maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” AL-BAQARAH/ 263.

LATIHAN:
CUBA ANDA FIKIRKAN ISU YANG INGIN ANDA TULIS. ERAMKAN IA SELAMA BEBERAPA HARI KEMUDIAN KAITKANNYA DENGAN PERSEKITARAN ANDA. BERBINCANGLAH DENGAN ORANG YANG ANDA PERCAYAI TENTANG IDE TERSEBUT SEHINGGA ANDA BETUL-BETUL FAHAM DAN ARIF TENTANG APA YANG INGIN ANDA TULIS KEPADA MASYARAKAT.


TANYAKAN DIRI ANDA, BERAPA LAMA ANDA PERLU MENGAMBIL MASA UNTUK MELUMATI IDEA SEBELUM ANDA BENAR-BENAR BERSEDIA MENULISNYA DI KERTAS?


AYUH! MULAKANLAH DENGAN BERFIKIR.

6 Responses to Belajar Menulis 6

  1. lagendaseni says:

    salam cik ummu. bila saya baca artikel ini rasa diri ingin mencuba penulisan kreatif pula, nanti bolehkan minta tunjuk ajar cik ummu.

  2. ummu hani says:

    Insya boleh saudara lagenda.

  3. ummuiman says:

    salam ummu hani…selepas baca artikel ummu ttg penulisan kreatif ni,saya rasa terpanggil utk meneruskan niat saya iaitu menulis sebuah karya(sama ada sebuah novel atau buku2 islamik)…sblm ni saya mmg byk idea utk ditulis namun saya tak tahu dr segi proses dan cara2 menulis yg betul & berkesan…saya sgt2 berharap ummu dpt membimbing saya menulis.
    utk pengetahuan ummu, saya seorg guru sekolah dan telah berkeluarga.saya sgt sibuk dgn hidup saya sehingga kadang2 niat utk menulis itu saya terpaksa lupakan…harap ummu dpt beri tips bagaimana menguruskan masa utk sibuk utk menulis.Terima kasih ummu.

  4. ali gourcuff says:

    kak ummu, eraman ini perlu dilaksanakan sebelum atau selepas karya dihasilkan?

    sebab kadang-kadang selepas sesebuah karya siap, semasa editing ada sahaja idea baru yang menyebabkan karya tersebut dirombak kembali. adakah ini akan menyebabkan karya itu kurang keasliannya?

    bagaimana pendapat kak ummu..

  5. Ummu Hani says:

    Kak Ummu Iman, teruskan niat dengan terus mula menulis. Jadikan sebuah novel yang paling akak minat sebagai motivasi di sisi akak. Bila tak da mood, baca semula novel itu.

    Ali, eraman ni adalah proses sebelum kita mulakan penulisan lagi. Bila sudah menulis itu proses penyuntingan namanya.

    Selagi penulis yang menulis karyanya sendiri, walau ada perubahan, karya itu tetap asli.

    wassallam

  6. Rayyan Zilfi says:

    TQVM Ummu Hani, utk lagendaseni, ali gourcuff, ummuiman, sy sendiri…JOM MENULIS!

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com