Suatu malam, saya bertandang ke lokasi pengambaran Drama Bersiri Nurul Iman yang diadakan di Hospital Besar Kangar. Sejurus saya di situ, pengarah menyuruh pembantunya menerangkan kepada saya tentang perubahan yang akan dilakukannya.
“Saya tidak mahu melibatkan polis dalam cerita ini, ia satu proses yang melambatkan. Ummu tukar dialog ini, sebentar lagi saya mahu para pelakon mengaksikannya,” kata pengarah. Dalam kekalutan itu, saya terpaksa merangka skrip untuk satu babak yang mana ia meniadakan watak polis. Pengarah memberikan ide kasarnya bahawa cerita sebenar tidak akan terjejas tanpa kehadiran polis. “Watak jahat si Wahab ini kita balasnya dengan satu penyakit misteri. Justeru, ia tak perlu ditangkap polis,” kata pengarah. “Jadi siapa yang menghantar penyakit misteri (ilmu hitam) ni pada Wahab?” tanya saya pula. “Tak perlu terangkan biar penonton sendiri menerkanya kerana dalam cerita ini, Wahab mempunyai banyak musuh,” tambah pengarah lagi. Saya masih kebingungan.
“Kita hadirkan saja Mak Kiah dan Iman ke hospital. Di sana nanti, Mak Kiah dan Iman akan bercakap tentang penyakit Wahab. Berdasarkan dialog mereka sahaja penonton akan faham, itulah balasan untuk Wahab,” terang pengarah. Saya terus menulis dialog kemudian tidak sampai beberapa minit, dialog tersebut beredar ke tangan pelakon. Dan tidak sampai sejam dari itu, mereka terus melakonkannya. Setelah siap, saya menghampiri pengarah dan menyatakan saya telah mendapat satu ilmu yang memudahkan semua pihak.
“Aku tahu hang penulis novel, jadi ide berlegar dan banyak. Ada perkara kita tak perlu detailkan kerana ia menjadi rumit ketika shooting. Cukup dengan sedikit babak, penonton akan faham maksudnya,” kata pengarah menguntum senyum pada saya.
Bayangkan, dengan hanya satu babak di balai polis, seluruh krew produksi akan bergerak dan bersusah-payah mengatur alat-alat rakaman di sana, termasuklah proses mendapatkan permit daripada pihak polis. Walhal, babak tersebut hanya boleh diubah melalui dua atau tiga patah perkataan sahaja di mulut pelakon.Jika begitu, sayalah penulis skrip yang telah membazirkan tenaga dan wang ringgit penerbit dan krew penerbitan seluruhnya.
Oleh kerana malam itu, skrip saya menandakan hospital sebagai lokasinya, pengarah dan semua krew mengambil kesempatan sesungguhnya menggunakan ruang dan perkhidmatan hospital termasuk makan malam di unit forensik, berlakon di wad wanita dan wad kecemasan serta menggunakan ambulans.
Untuk semua krew penerbitan drama Bersiri Nurul Iman, teruskan perjuangan kalian!
























wah, bestnye jadi penulis skrip ni kan ummu?saya pun teringin nak menulis skrip drama tv tapi saya tak tahu format penulisan skrip drama mcm mana.Apa yg dikatakan babak, plot, adegan dan sebagainya. Boleh ummu terangkan sikit2?syukran ummu…
Insya Allah, saya akan usahakan untuk tulis tentang tu. Terima kasih bagi cadangan.