Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Tuan Pengarah, Tuanlah pembunuh Itu!

3.JPG
Dunia sekarang masih memandang tarafkah sebagai merit menjalinkan sesebuah perkahwinan? Aku bertanya pada diriku sendiri sementelah seorang lelaki, berusia lewat 50-an, berkulit hitam manis dan mempunyai misai tipis yang terjaga membelek Sijil SPMku. Tujuan aku datang ke rumahnya bukanlah untuk meminta kerja, tetapi meminta izin untuk berkenalan dengan anak gadisnya bernama Sue.

“Kalau berani, datanglah jumpa ayah Sue bang,” kata Sue, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kampung Hulu Dunia. Sue, sejak kali pertama bersua muka denganku, sudah memanggilku abang. Sebagai seorang pengait kelapa sawit, apalah yang lebih bahagia jika seorang guru jelita sudi memanggilku abang. Serasa kelapa sawit yang jatuh itu adalah hatiku sendiri.

“Hai, abang!” tegur Sue dari dalam kereta Vavi merahnya setelah pulang dari tempat di mana dia mengajar. Aku tidak jadi menjolok kelapa sawit masak, lebih baik menjolok anak gadis yang sememangnya nampak masak ini.

‘Hajat di hati mahu memeluk
Apakan daya tangan tak sampai
Jika abang mahu menyibuk
Apakah adik sudi menyampai?’

Sue tersipu-sipu malu mendengar pantun basa-basiku. Aku sebenarnya malu juga menjual pantun begitu kepada guru Bahasa Melayu.  Tetapi Sue nampaknya sungguh bahagia.

‘Pisang emas di bawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Janji abang mesti dibayar
Temanlah Sue sampai mati’

Betulkah Sue yang menuturkan pantun itu? Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, bimbang jika ada lelaki lain di situ, atau lelaki-lelaki Bangladesh yang sememangnya lebih kacak daripadaku. Ternyata, aku seorang di depan Sue selain ayam hutan yang berkeliaran di tengah ladang kelapa sawit.

‘Abanglah lelaki Melayu pertama yang sudi beri pantun pada Sue. Terharu rasanya’
“Betulkah? Takkanlah perempuan secantik Sue tak ada lelaki yang sudi.”
“Ada, Tapi mereka tak pakai passport Malaysia.”
“Habis tu? Bangladeh? Myanmar? Filipina? Kemboja? Indonesia?” Sue mengangguk.

“Abang fikirlah, dah hampir 10 tahun kerajaan hantar Sue mengajar di sekolah pedalaman, terperosok hujung Malaysia. Sudahlah lelaki Melayunya tak ramai, semua mereka dah kahwin pula tu. Daripada kahwin dengan suami orang, baiklah abang yang bujang. Lagipun, Sue mana ada cuti nak balik kampung cari calon suami.  Anak-anak murid kaum  Penan dan Orang Asli di sini lebih memerlukan diri Sue untuk ajar mereka agama selain Bahasa Melayu,” adu Sue.

Aku kasihan dengan Sue. Apakah perempuan ‘yang berjaya’ yang lain turut mengalami masalah sepertinya? Aku mesti mendapatkan Sue sebelum Bangla atau rakyat negara lain mengahwininya. Berbekalkan nasihat dari Sue, maka berangkatlah aku ke rumah ibubapa Sue yang terletak di Kota Hilir.
“Abang jangan lupa bawa sijil-sijil akademik dan kokurikulum yang abang ada,” pesan Sue.

Lelaki di depanku masih membelek-belek sijil SPMku yang hanya Bahasa Melayu mendapat 1A, subjek yang lain semuanya berangka 8E. Ini adalah kerana aku suka membaca novel terutama novel-novel sasterawan tanah air. Sedikit sebanyak membantuku menulis karangan ketika SPM dulu.
Lelaki itu adalah ayah Sue. Aku tidak tahu dia berkerja sebagai apa.  Ada pingat-pingat kebesaran yang digantungkan di dinding rumah. Sudah pastilah ayah Sue bukan sebarangan orang. Cermin matanya sahaja menunjukkan dia orang kaya.

Ayah Sue mengangguk-angguk. Apakah itu tandanya dia bersetuju aku dan sue…?

“Siapa ni bang?” Seorang wanita agak pendek namun memakai pakaian mewah, berkulit cerah dan agak sepet matanya menghampiri kami. Inikah ibu tiri Sue seperti yang diceritakan Sue, pengawal ‘ketat’ pergerakan ayahnya setiap masa?
Ayah Sue memandangku dan tidak mengendahkan pertanyaan isterinya itu.
“Esok, saudara pergi ke alamat ini. Saya akan berjumpa saudara di sana,” putus ayah Sue sambil menyuakan kembali sijil-sijilku. Aku bangun dan memberi salam hormat kepada mereka berdua.

“Abang cepatlah, suratkhabar dah tunggu nak wawancara  tu..”
“Awak ni sabarlah. Saya yang nak diwawancara ke atau awak?”
“Memanglah abang yang nak diwawancara oleh wartawan tu. Tapi gambar saya mesti ada sekali dengan abang dalam surat khabar..”

Perbualan ayah dan ibu tiri Sue hilang sebaik aku mengayuh basikal semula.

Kawasan itu adalah sebuah tapak pembinaan yang luasnya hampir mencecah 50 ekar. Sudah ada jentolak dan mesin yang akan digunakan untuk membina sebuah komplek, barangkali perumahan atau pejabat kerajaan.
Aku tercegat bawah terik mentari. Di sinikah ayah Sue akan datang berjumpa denganku? Apakah ayah Sue seorang kontraktor? Wah, beruntungnya aku bakal jadi menantu kontraktor.  Para pekerja bukan warganegara Malaysia sibuk dengan simen, batu, papan, bata dan pasir. Bunyi jentolak dan kren membingitkan. Tiada siapa yang menghiraukan diriku.

“Awak Majid?” datang seorang lelaki menghampiriku.
“Tuan Akhtar kata, Cik Majid akan bekerja di sini. Saya penyelia dan akan tunjukkan awak tempat yang perlukan buruh. Belakang sana..” kata lelaki itu. Nampaknya, ayah Sue telah merancang sesuatu yang lain tanpa pengetahuanku.
“Nah, Tuan Majid sampaikan nota ini pada awak.” Lelaki itu menyuakan sekeping nota.

‘Awak kerjalah sebagai buruh binaan di sini. Mungkin duit bekerja di sini boleh buat hantaran untuk anak saya nanti.’ Tulis ayah Sue dalam nota tersebut.
Saya langsung bersetuju untuk bekerja sebagai buruh binaan di tapak yang saya tidak pasti lagi namanya.

Setelah hampir tiga bulan  menjadi buruh binaan, baharulah aku tahu, aku membina sebuah penjara yang sangat besar. Menurut penyelia di situ, penjara ini lebih moden berbanding penjara yang wujud di seluruh Malaysia. Para banduan yang masuk ke penjara ini nanti tidak akan disiksa sebaliknya dilatih menjadi warga yang berguna semula pada masyarakat.
“Alah, programnya lebih kurang macam PLKN je,” begitulah kata penyelia padaku yang telah menerima gaji RM5000 setelah selesai membina sebuah penjara bersama para buruh yang lain.
Bersama duit gaji tersebut aku langsung ke rumah keluarga Sue untuk melamarnya sekaligus menuntut janji Tuan Akhtar.
Alangkah terkejutnya aku kerana pada hari aku tiba di rumah Sue, wanita yang aku cintai itu telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang ustaz.
“Seorang buruh dengan seorang ustaz, tentulah kami memilih ustaz. Pemilihan ini juga dibuat oleh Sue,” kata ibu tiri Sue
“Maafkan Sue abang, rupanya ada lelaki Melayu lain di kampung hulu itu. Dia pendakwah orang-orang asli di sana. Lagipula, tiga bulan abang pergi tanpa berita. Ayah maklumkan pada Sue yang abang ni sudah tidak sudi pada Sue,” kata Sue kata yang nampak-nampak sedih.
Aku memandang ayah Sue yang bernama Tuan Akhtar. Kaulah pembunuh segala impianku ini. Kau telah mempermainkan aku!

Walaupun tidak sempat menumbuk ayah Sue, tetapi dapat membalingnya dengan kasut sudah memberiku satu kepuasan luar biasa..

Hari ini aku adalah penghuni Sel 20 dengan nombor banduanku 104. Kesalahanku adalah menagih dadah.

Aku telah menginap di penjara yang dibina sendiri oleh tangan dan kudratku.

“Beri hormat pada tuan pengarah penjara kita,” pekik pegawai penjara kepada para banduan. Kala aku mengangkat mukaku, wajah tuan pengarah kurenung.

Dialah ayah Sue, Tuan Akhtar. Pengarah penjara yang telah membunuh cinta, harapan dan cita-citaku. Dialah yang menyuruhku bekerja membina penjara. Dialah yang menyebabkan aku terjebak dengan gejala dadah seterusnya menjalani hukuman di penjara ini.

“Tuan pengarah, tuanlah pembunuh aku!” jeritku pada seluruh isi penjara.

5 Responses to Tuan Pengarah, Tuanlah pembunuh Itu!

  1. Faiz Faiza says:

    Suka ini>

    ‘Hajat di hati mahu memeluk
    Apakan daya tangan tak sampai

    Sue mana ada cuti nak balik kampung cari calon suami. Anak-anak murid kaum Penan dan Orang Asli di sini lebih memerlukan diri Sue untuk ajar mereka agama selain Bahasa Melayu

    “Memanglah abang yang nak diwawancara oleh wartawan tu. Tapi gambar saya mesti ada sekali dengan abang dalam surat khabar..”

    huhu…pandai kan gabung2 cerita, bagus2!

  2. laila says:

    kak ummu kak ummu:)

  3. maryamnour says:

    Habibti, maza fi zihnik? Sinis…Hmmm….Cinta itu membinasakan kalau Yang Esa tidak didahulukan.

  4. Ummu Hani says:

    Alhamdulillah, kita masih ‘hidup’ di kalangan ‘orang-orang mati’ di sekeliling. Kitalah yang patut bertugas ‘menghidupkan’ mereka.

  5. H Fansuri says:

    True story ke Ummu?

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com