Saya dan Farah
Satu malam, dalam bulan Oktober, saya terjaga dari tidur sekitar jam 3 pagi. Hati saya berdegup kencang kerana telah diziarahi seseorang dalam mimpi. Ya Allah, apakah benar Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang tersenyum kepada saya tadi? Saya tidak jadi meneruskan tidur dan pergi mengadapNya.
Seseorang yang saya fikirkan setelah bayang gemulah Ustaz Asri beransur dari fikiran ialah Farahdinna atau nama Islamnya Lia Azzahra. Teman yang saya anggap seperti adik itu adalah seorang saudara baru. Beberapa minggu sebelum Ustaz Asri meninggal dunia, dia telah berpesan kepada Farah agar ‘berkawan dengan Ummu Hani’. Ustaz Asri juga melontarkan kebimbangannya “Kalau terjadi apa-apa pada Farah hingga dia kembali pada agamanya, kitalah yang berdosa besar.”
Saya terus merisik khabar Farah. Tekad saya, jika pulang ke Kuala Lumpur nanti, saya mesti berjumpa dengannya. Alhamdulillah, semalam Allah memberi ruang saya membawa Farah pusing lebuhraya Duke terus ke rumah nenek angkat saya, Opah Noraini. Ternyata, dalam bicaranya dia sedang mengalami masalah besar hingga terpaksa berjumpa doktor. Penyakit Streesnya menyebabkan dia jadi pemurung dan trauma.
“Kak Ummu, agaknya saya ni jahat. Inikah balasan dosa-dosa saya sebelum Islam dulu?” tanyanya. Saya menggeleng kepala. “Farah, ujian yang datang kepada kita itu tak lain dan tak bukan adalah untuk menaikkan martabat kita di sisi Allah SWT. Perlu sabar. Perjuangan yang paling mulia adalah mempertahankan akidah dalam diri kita.”
“Tapi Kak Ummu, sejak masuk Islam, bertimpa-timpa ujian saya kak. Saya takut, saya tak mampu..” Continue reading Berjuang Dengan Diri







