Rindukan Abah

 abah.JPG

Kami semua rindukan abah.

Sekiranya abah sekarang berada di Malaysia, belum tentu lagi kami dapat bersama selalu. Emak dan adik-adik di Kedah hanya berpeluang bersama abah, dua atau tiga hari saja dalam seminggu. Lebih 10 tahun abah berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur, itu sudah cukup menggambarkan pengorbanan abah terhadap bidang media dakwah yang dicintainya demi agama.

Saya rindukan abah yang kini berada di Damsyik, Syria. 14 November nanti abah akan menunaikan fardhu Haji di Mekah pula, menyambut panggilan Kekasih Agung dan Kekasih kepada Kekasih, Rasulullah SAW. Perasaan rindu saya ditanggung sama oleh adik-adik. Tentunya tidak terbanding rindu mak kepada abah yang selalu bertanya, ‘Abah ada emel Kak Ummu? Ada sms Kak Ummu? Kalau ada, print bagi mak baca..”

Walaupun abah jauh, selalunya dia merisik khabar berita di telefon tangan dan emel kami. Saya tahu, abah menanggung tanggungjawab yang berat dan banyak. Tidak sampai hati saya menceritakan masalah-masalah sekiranya saya mampu hadapinya sendiri. Saya pernah memberitahu abah bahawa, jika berhadapan dengan mak dan abah, saya akan merasa seperti seorang anak kecil. Dengan kawan atau adik, saya ego untuk menumpahkan air mata dan merajuk. Tetapi, dengan ibubapa saya tidak dapat menipu diri. Malah menangis seperti anak kecil beberapa kali saya lakukan terhadap mak pada usia 26 tahun ini.

Abah tahu saya seorang yang sensitif, kerana anugerah itu mengalir dari abah kepada saya. Tekniknya mendekati saya berbeza daripada adik-adik. Teguran abah kepada saya biasanya melalui surat. Sejak saya berada di Tahun Enam, sekolah rendah, abah menegur  sikap saya yang tidak disenanginya melalui surat. Malah pernah sekali, surat itu diposnya ke rumah walhal, boleh saja abah memanggil saya, bercakap empat mata dengannya. Mungkin cara itu kurang sesuai, kerana saya selalu merajuk sebelum abah mengeluarkan suara. Namun, melalui surat, saya akan membaca dengan tenang, berfikir, bertaubat dengan meminta maaf pada emak dan abah atas kesalahan yang telah saya lakukan.

Sebelum abah ke Mekah baru-baru ini, saya ada sesuatu yang terpendam untuk diluahkan padanya. Saya menulis surat dan menyisipnya di bawah meja kerja abah. Alhamdulillah, abah menyambut baik saranan dan perancangan saya. Ketika abah pergi, saya masih lagi diganggu persoalan diri, sekali lagi menghantar emel pada abah yang jauh, dan dia telah membalas emel-emel saya dengan  pesanan ‘anak abah seorang yang matang’ ’semoga tabah berhadapan dengan ujian’ ‘abah doakan Kak Ummu’ ‘Semoga jadi kakak dan isteri yang penyayang’. Kata-kata itu, walaupun pendek amat mencengkam jiwa saya untuk kembali segar memulakan langkah.

Saya teringat keluhan seorang teman, dia menyesal kerana tidak sempat mengatakan ’saya sayang ayah’ sebelum bapanya meninggal dunia. Ya Allah, saya masih banyak peluang. Ya, saya akan katakan pada abah di sini dan juga di mana-mana bahawa saya dan adik-adik amat menyintai dan merindunya.

Abah..selamat berjuang. Saya titip sebuah nasyid yang selalu abah dendangkan kepada saya dan adik-adik sejak kami kecil.

Sudah sunnah orang berjuang

mengembara dan berkelana

miskin dan papa jadi tradisi

berenggang dengan anak dan isteri

Biasanya para pejuang

rumah mereka merata-rata

rezekinya tidak menentu

tidur baringnya tak berwaktu

Orang lain membuat harta

tapi dia membuangnya

Orang lain kawah terbatas

tapi pejuang kawan merata

orang lain musuhnya kurang

pejuang musuh tidak terbilang..

Tidak kurang yang sayang padanya

orang  lain mati dilupa

para pejuang tetap dikenang

sejarahnya ditulis orang

makamnya sentiasa diziarahi

perjuangan tetap diingati..

Al-Fatehah untuk guru abah yang mengajarkan nasyid ini kepada abah seterusnya kepada kami anak-anak.

Kongsikan :
  • Print
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • Add to favorites
  • email
  • FriendFeed
  • LinkedIn
  • MySpace
  • Netvibes
  • PDF
  • Ping.fm
  • Reddit
  • RSS
  • Technorati
  • Yahoo! Buzz

4 Responses to “Rindukan Abah”

  1. 1 Rayyan Zilfi

    Rata2 org Melayu susah nak luahkan perasaan…terutama lelaki.Saya pun xpernah cakap “Saya sayang ayah”.Saya akan cuba…Ini 1 ingatan yg baik buat saya dan sesiapa yg baca coretan Cik Ummu ni. Teringat lagu lama dari smakel (SMAKL)..Perjuangan Hidupku Hanya Memburu Cita Yg 1….lagu kat atas tu pun saya ingat….ke mana perginya Dwen?Allahyarham Ustaz Asri…sentiasa d ingatan dan doa.Moga ayah saudari mendapat haji yg mabrur dan selamat pulang ke Malaysia.

  2. 2 Nurulfirdausi

    ya ukhti ummu hani..

    coretan ni buatkan saya rindu nak pada abah saya.. rindu nak jadik anak yang menyejukkan hati..

    dan semoga kita sama-sama menjadi kakak dan isteri yang penyayang~

  3. 3 Ummu Hani

    Terima kasih saudara Rayyan. amin, moga semua jemaah haji di sana diterima haji mereka, amin

  4. 4 nurjannah

    Hati rasa tersentuh dengan tulisan Ummu. Saya dan suami rasa bertuah pernah mengenali abah Ummu yang begitu merendah diri, sabar dalam meneruskan usaha-usaha dakwahnya. semoga terus cemerlang dunia dan akhirat dalam segala usaha kalian….

Leave a Reply





Borak-Borak Bersama Ummu Hani