Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Baiki Diri Melihat Akhlak Nabi SAW

Sejak tinggal di kampung, perkara yang sering aku lakukan adalah menangkap anak-anak ikan di sungai yang berdekatan rumah nenek. Sungai itu masih jernih dan mengalir tenang. Teman setiaku adalah sepupuku yang bernama Ikram. Ke mana-manapun aku pergi, pasti bersama Ikram. Hal ini membuatkan nenek tidak bimbang mengizinkan aku keluar dari rumahnya.
Air sungai seperti cermin, memantulkan segala yang tersulam di dasar air. Batu-batu kecil berselerakan di atas pasir yang ditolak aliran air. Di celah – celah lumutan batu, anak-anak ikan bermain riang. Ia berenang tanpa bimbang akan si janggut udang atau tali sengat si keli. Anak-anak ikan berada dalam dunia yang bahagia sekali. Namun, aku dan Ikram selalu meragut kebahagiaan mereka apabila sauk kami menerjah taman permainan anak-anak ikan tersebut.
Petang ini, hal yang berlainan telah berlaku dalam diriku. Walaupun telah  terpacak di hadapan sungai, hatiku tidak bersemangat untuk menangguk di air yang jernih. Ikram sudah terjun ke dalam sungai. Suaranya riang ketawa memanggilku menyertainya. Aku sedang memikirkan kembali  cerita nenek tentang Rasulullah SAW selepas kami solat Zohor bersama-sama tadi.
“Walaupun nenek telah bercerita banyak tentang Rasulullah SAW kepada Amir, tetapi cerita-cerita nenek tidak dapat menggambarkan diri Rasulullah SAW yang sebenar. Baginda SAW lebih mulia, lebih cantik, lebih tampan dan lebih baik dari apa yang nenek cerita dan gambarkan. Bahkan, tiada buku yang dapat menjelaskan rupa dan akhlak baginda melainkan hadis-hadis sahih. Cuba Amir tengok matahari dan bulan, bayangkan betapa baginda SAW lebih indah daripada itu bahkan lebih indah daripada semua makhluk yang pernah Allah SWT ciptakan. Itulah kekasih Allah, Muhammad SAW,” kata nenek yang membuatkan aku berasa semakin kecil. Begitu indah ciptaan nabiku tetapi mengapa aku tidak boleh mencintai baginda lebih dari yang lain?


Usia baginda SAW menjejak 20 tahun. Dia menjadi pemuda yang terkenal di seluruh Mekah. Kehebatan baginda semulajadi terserlah mewarisi kehebatan bapanya, Abdullah dan datuknya Abdul Mutalib. Namun, remaja ini mempunyai semua sifat terpuji yang tidak terdapat pada kebanyakan masyarakat Arab jahiliah. Semua mengenali baginda sebagai al-Amin bermaksud yang dipercayai. Tutur-kata, tingkah-laku dan jiwa baginda adalah benar dan ikhlas. Sesiapa yang menggantungkan amanah kepada Muhammad bin Abdullah pastinya amanah itu akan dilaksanakan sebaiknya. Jika pengkhabaran itu datang dari remaja bernama Muhammad, maka tidak ada keraguan orang-orang Mekah mempercayainya.
Suatu ketika, telah berlaku peperangan di antara kabilah Qais dengan Kabilah Quraisy. Peperangan ini berpunca daripada rasa tidak puas hati di antara dua puak selepas kematian Urwah bin Utbah dari kabilah Qais. Yang membunuh Qais adalah al-Barradh dari Bani Kinanah. Maka Kabilah Qais mengumpulkan kaumnya untuk membalas dendam kepada Bani Kinanah dari bangsa Quraisy. Antara bani Hasyim yang membantu dalam peperangan itu adalah az-Zubair bin Abdul Mutalib, Abu Talib bin Abdul Mutalib, Hamzah bin Abu Talib, Abbas bin Abu Talib dan anak saudara mereka, Muhammad bin Abdullah.
Peperangan tersebut merupakan peperangan yang paling dahsyat dalam kehidupan orang-orang Arab. Ini kerana kehormatan Mekah yang dikenali sebagai kota suci terganggu akibat peperangan tersebut. Maka peperangan ini dinamakan dengan Peperangan Fijar. Ketika kabilah Qais hampir mengalami kekalahan, satu kesepakatan telah dicapai untuk mengadakan perjanjian damai. Antara kandungan perjanjian damai adalah semua kabilah berjanji untuk memastikan tiada seorang manusia pun dizalimi di Kota Mekah, sama ada penduduk tempatan ataupun tetamu luar yang berkunjung. Jika terjadinya kezaliman, maka semua pihak akan bekerjasama menghapuskannya. Penjanjian damai ini turut disaksikan oleh seorang remaja berjiwa pahlawan bernama Muhammad bin Abdullah.

Begitulah gambaran tentang tabiat masyarakat Arab Jahiliah yang selalu berperang dan taksub sesama kabilah. Kelahiran nabi akhir zaman dari kalangan mereka mempunyai misi ketuhanan yang amat besar iaitu menyatukan umat manusia terutama bangsa Arab dalam aqidah dan akhlak Islamiah. Misi ini dilaksanakan oleh kekasih Allah SWT, Muhammad SAW sejak awal kelahiran baginda.


“Tahukah Amir, apakah senjata utama yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk memperbaiki akhlak masyarakat Arab dan manusia seluruhnya?” tanya nenek kepadaku. Aku cuba menerka, “Dengan kepandaian nabi SAW berhujah dan menerangkan Islam.” Nenek menggeleng kepala. “Bukan sayang, Nabi SAW tidak banyak menggunakan hujah dan arahan ketika mula-mula menyebarkan Islam. Orang Arab mengenali baginda SAW sebagai manusia yang berakhlak-mulia, suka berkasih-sayang, seorang yang lemah-lembut, amanah dan hatinya hanya ada kebaikan. Justeru, apabila baginda menyampaikan Islam, masyarakat menerimanya kerana mereka percaya, mustahil seorang yang berakhlak mulia seperti Muhammad SAW akan berbohong. Jadi senjata utama nabi kita adalah akhlak mulia,” kata nenek.

“Amir, jadilah seorang remaja yang berakhlak mulia seperti Rasulullah SAW ya sayang. Nanti Amir bukan sahaja disayangi Allah dan Rasulullah SAW tetapi seluruh makhluk akan sayang pada Amir,” kata-kata nenek itu menerjah di gegendang telingaku. Kata-kata itu juga mematikan niatku untuk mengacau anak-anak ikan bermain di sungai ini. Aku memadamkan niatku dengan menutur selawat kepada nabi kekasihku, Muhammad SAW. 

3 Responses to Baiki Diri Melihat Akhlak Nabi SAW

  1. songkokputih says:

    SELAWAT DAN SALAM buat JUNJUNGAN MULIA NABI MUHAMMAD SAW.. Moga kita diakui sebagai umat BAGINDA SAW di AL-KHAUTHAR..amin

  2. ALIFFENSEM says:

    sesungguhnya nabi adalah kekasih allah yang terpelihara akhlaknyaperibadi nya dan cara baginda membawa dirinya,,lihatlah pada kekuatan iman dan kelewmbutannya dalam melayan para sahabatnya dan terutamanya alhi keluarga baginda.tapi lihatlah pada keadaan negara kita di akhir zaman ini,,apa yang telah berlaku..kes pembuangan bayi semakin berleluasa sebagai hasil daripada zina yang majoritiya adalah islam!!! subahanallah….. apa pulak yang akan berlaku bila dajjal muncul setelah bersembunyi di kalangan kita selama beribu tahun..dan apa pulak yang akan berlaku apabila yakjuj dan makjuj mula keluar daripada perut bumi ini..bagaimana keadaan kita? korang masih tak nak sedar lagi ke,,,,tak takt balasan tuhan atau memang dah buta hati..jauh dari hidayah tuhan…

Leave a Reply

Name and Email Address are required fields. Your email will not be published or shared with third parties.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com