Wajah nenek bercahaya menyerlahkan girang hatinya dengan keputusanku. Memang aku telah nekad untuk tinggal bersama nenek di kampung dan bersekolah di sini. Abah dan ibu tidak berkata apa-apa. Cuma ibu beberapa kali bertanya, “Betulkah Amir nak tinggal di kampung? Amir tak sedih nak tinggalkan kawan-kawan di sekolah lama?” uji ibu. Wajah Masrur dan Fudail terbayang. Mereka berdua adalah teman baikku di rumah mahupun di sekolah. Kemudian wajah mereka berganti pula dengan wajah Ikram, sepupuku yang sekarang menjadi teman baikku di kampung. Umur Ikram sebaya denganku dan kami banyak berkongsi minat terhadap sungai dan segala isinya. “Tinggal di kampung lebih seronok ibu, Amir boleh jadi lelaki sejati. Boleh masuk sungai, panjat bukit, terjun bendang, jaga dusun nenek dan belajar mengurut dengan Tok Lang,” balasku. Ibu mengerut dahi sambil diirngi ketawa abah. “Biarlah ibu, Amir nak rasa apa yang abah buat masa kanak-kanak dulu. Di Bandar, dia tak dapat pengalaman tu,” putus abah yang selalu menyokong tindakanku.
Ketika memasukkan kain bajuku ke dalam almari, nenek datang memeluk belakangku. “Nenek terharu Amir nak teman nenek di kampung. Anis pun nak teman tapi ibu berat hati nak lepaskan. Tak apalah, sekurangnya ada Amir untuk nenek ajak bersembang,” kata nenek. “Waktu Rasulullah SAW dah ditinggalkan orang-orang yang disayanginya iaitu ibu dan datuknya, baginda SAW duduk dengan Abu Talib. Baginda pandai menyesuaikan diri. Abu Talib tu anak-anaknya ramai termasuklah Saidina Ali RA, merekalah menjadi teman permainan baginda SAW. Sebagai membalas kebaikan bapa saudaranya, baginda SAW ringan tulang membantu keluarga Abu Talib. Antara kerja yang dilakukan oleh baginda adalah berniaga dan mengembala kambing penduduk Mekah,” jelas nenek kemudian terus menyambung cerita tentang insan kecintaanku, Nabi Muhammad SAW.
Penduduk Mekah menyebut-nyebut nama seorang remaja yang peribadinya tidak ada pada remaja lain. Dia bersopan-santun, tutur bicaranya jujur, akhlaknya memukau manusia juga mempunyai pemikiran yang matang. Apabila mengetahui dia mengambil upah mengembala kambing, maka ramai penduduk datang kepada pemuda bernama Muhammad bin Abdullah. Maka, kepada pemuda bernama Muhammad itulah, penduduk Mekah menggalaskan kepercayaan yang yang tidak berbelah-bahgi.
Muhammad SAW melihat kambing-kambing gembalaannya bukan sekadar binatang malahan kambing-kambing itu dipandangnya mempunyai perasaan; sama seperti manusia. Ada strategi dan teknik yang tersendiri menundukkan kambing agar tidak berkeliaran keluar daripada kawasannya. Kadang, kambing-kambing berjalan merentasi gunung dan bukit keras yang mengapit bumi Bakkah. Muhammad berjalan memantau kambingnya, banyak sekali jalan-jalan sulit yang tersorok dari pandangan awam diketahuinya. Juga lorong-lorong kecil beraluran dari puncak gunung dan bukit. Menjaga kambing memang terasa penatnya kerana kambing antara binatang yang susah ditundukkan. Memikirkan kerana amanah dan tanggungjawab yang diberikan para penduduk kepadanya, Muhammad sentiasa bersemangat. Hasil titik-peluhnya nanti dapatlah dia menampung hidup dan membantu keluarga bapa saudaranya, Abu Talib.
Suatu hari, Muhammad mendengar cerita bahawa ada pesta berhampiran Kaabah yang dikunjungi ramai pemuda. Di situ, dialunkan syair-syair cinta yang menghiburkan pengunjung. Hati Muhammad terdetik untuk menghadiri pesta tersebut kerana selama hidupnya, dia tidak pernah melihat kecuali mendengar cerita orang lain. Rata-rata memuji keseronokan menghadiri pesta. Setelah menjalankan tugas mengembala kambing, Muhammad bergerak ke tempat pesta itu.
Di pertengahan jalan, mata segarnya berasa lelah dan tiba-tiba perasaan mengantuk menguasai dirinya. Muhammad berhenti di sebatang pokok dan duduk bersandar. Dia kemudiannya terus tertidur tanpa sedar, pesta yang ingin dihadirinya telahpun tamat.
Pada waktu yang lain, Muhammad berniat lagi menghadiri pesta. Namun, perkara yang sama berlaku. Dia tertidur sebelum kakinya sampai ke tempat yang ingin ditujuinya. Lantas fikirannya menyimpulkan keputusan bahawa acara pesta itu tidak sesuai untuknya. ‘Mungkinkah Pencipta alam ini tidak mengizinkan diriku ke sana? Tentu pesta itu tidak mendatangkan kebaikan padaku,’getus hati Muhammad.
Sejak itu, Muhammad SAW tidak lagi bercadang menghadiri majlis yang berunsurkan hiburan di zaman jahiliah. Dia yakin ada kuasa ghaib yang selalu memantau fikiran dan tindakannya agar sentiasa berada dalam kebaikan.
“Amir tahu, mengapa ketika Peristiwa Hijrah pertama, Rasulullah SAW mengajak Abu Bakar menyembunyikan diri di Gua Tsur. Sedangkan waktu itu malam gelap dan gua terletak di atas Bukit Tsur yang sangat tinggi,” kata nenek. Aku menggelengkan kepala tidak tahu. “Sebab, Allah SWT dah buka pengetahuan Rasulullah SAW tentang rupa bentuk bumi Mekah sejak baginda remaja lagi. Di situlah hikmahnya baginda SAW menjadi pengembala kambing. Dengan pengetahuan ilmu geografi ini, baginda SAW dapat merangka strategi perjuangan Islam di kemudian hari,” jelas nenek. Aku berasa teruja dan kagum. Tanpa perlu diperingatkan nenek, hatiku terus berselawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah SAW.






