
Tengok Auni, semua orang hilang masalah:)
Masalah adalah sebahagian daripada proses menjadi seorang manusia. Tidak ada mana-mana makhluk yang tidak mempunyai masalah. Misalnya, seekor ayam, setiap hari ia berhadapan dengan masalah mencari rezeki sehingga peribahasa mengatakan; hidup seperti adatnya ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagi seorang manusia, masalah adalah untuk membina akal fikirannya. Apabila berlaku masalah, manusia mula menggunakan anugerah akalnya untuk mencari penyelesaian dan bertindak secara terpandu.
Tidak ada orang boleh berbangga dirinya tidak mempunyai masalah hidup. Sekiranya wujud, dialah yang perlu bertanya pada diri, mengapa terjadi begitu? Tidak ada masalah bermakna terdapat garis pemisah di antaranya dengan Yang Maha Pencipta. Kerana hadis Rasulullah SAW ada menyebutkan bahawa, ‘dunia adalah penjara bagi orang-orang Mukmin, dan syurga bagi orang-orang kafir.’ Masalah yang menimpa seorang Mukmin adalah untuk menghapuskan dosanya walaupun dicucuk duri yang kecil.
Masalah tidak akan jatuh kepada orang yang salah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286 bermaksud: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Justeru, setiap masalah yang membelengu seseorang adalah bersesuaian dengan kemampuannya walaupun di peringkat awal, dia tidak menyedarinya.
Mahasiswa dan Masalah
Saya pernah ditanyakan oleh seorang pembaca novel Ladang Hati Mustika, soalannya berbunyi, “Bagaimanakah Mustika menyelesaikan masalahnya setelah ditinggalkan oleh Bayu Ilhami, kekasih hatinya lebih kurang 5 tahun?” Setelah merenung ke dalam diri, saya menjawab pertanyaan pembaca tersebut. “Ketika mula-mula putus cinta, Mustika berasa sangat kecewa dan tertekan. Namun, semakin lama dia menguzlahkan dirinya kepada Allah SWT, dia mendapati bahawa masalah putus cinta hanyalah masalah yang kecil. Bahkan, Allah SWT telah menunjukkan hikmahNya bahawa mencintai makhluk adalah cinta nafsu, tetapi mencintaiNYA adalah cinta yang hakiki. Setelah tiada lagi cinta remaja, Mustika mendapati dirinya bebas dan semakin bermakna hidupnya bersama Ilahi,” tulis saya. Saya bertanyakan semula soalan kepada si pembaca tersebut, “Apakah anda sekarang sedang mengalami masalah putus cinta?” Dia mengakuinya.
Mahasiswa dan cinta kampus seperti fenomena. Firasat saya, di semua IPTA atau IPTS mengandungi mahasiswa-mahasiswa yang dilamun cinta sesama sendiri. Apakah salah? Tidak ada yang salahnya jika fitrah cinta tersebut digalurkan bersendi syariat dan sifat malu. Namun, yang menimbulkan kekacauannya, apabila cinta disalah-ertikan sebagai berdua-duaan (couple), mesra tanpa batasan dan mengikut hawa nafsu. Nah! Ketika masalah timbul; pasangan berubah hati, cemburu, curang dan lain-lain, baharulah diri tersedar dan sedih dengan masalah.
Percayalah, masalah yang hadir itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membalikkan diri anda kepada matlamat asal. Allah SWT mahu anda berfikir dan merenung semula, apakah kesilapan yang telah anda lakukan sehingga menimbulkan musibah sendiri? Ketika sedang dilamun gelora cinta, terfikirkah anda pada perintah dan laranganNYA agar menjauhi zina? Terfikirkah anda pada ibubapa yang memundakkan kepercayaan supaya anda belajar bukan bercinta ketika di kampus? Terfikirkah anda bahawa si dia bukan lagi pasangan anda yang sah? Mujurlah sekiranya masalah muncul ketika anda belum terlanjur, jika sebaliknya? Anda akan berasa lebih parah menanggung beban dosa yang berat.
Atasi Masalah
Bagi sesetengah orang yang berfikiran lebih matang dan jauh ke depan, masalah cinta bukanlah apa-apa padanya. Dibandingkan dengan masalah ummah yang lebih kronik, masalah cinta bersifat peribadi dan remeh. Namun, untuk mencapai tahap pemikiran seperti itu, setiap orang perlu menjalani proses ketahanan dirinya; sabar, redho dan tidak putus asa.
Salah satu terapi mengurus masalah adalah berfikiran positif. Anda perlu membandingkan diri dengan orang yang lebih uzur daripada anda. Jika hari ini anda dikecewakan kekasih hati misalnya, lontarkan kesedihan anda itu kepada anak-anak mangsa HIV yang tidak berdosa. Atau ketika barang yang anda sayangi dicuri orang, gugurkan tangisan anda kepada anak-anak yatim mangsa Tsunami di Aceh. Bila anda kehilangan orang tersayang, kembalikan ingatan bahawa Rasulullah SAW menjadi anak yatim piatu sejak baginda kanak-kanak lagi. Hal-hal ini akan menyedarkan kita betapa bukan kita seorang menanggung masalah, tetapi setiap orang hatta Kekasih Allah, turut dianugerahkan masalah yang berat.
Bersyukur
Saya sangat terharu mengikuti perjalanan hidup seorang teman. Usianya lebih tua daripada saya beberapa tahun namun ujian hidupnya bertimpa-timpa dan perit. Bermula dengan kematian ibubapanya ketika belajar, disusuli masalah keluarga, kemudian dia mengidap stress yang agak teruk. Beberapa tahun mencari kekuatan diri dengan sabar, usaha dan redho, Allah SWT mengurniakan kehidupan yang lebih baik daripada dahulu. Kini, teman saya itu telah bergelar usahawan muda yang berjaya, menjadi seorang isteri yang baik serta menunaikan haji di usia muda. Kekuatannya adalah bertitik-tolak daripada rasa syukurnya terhadap masalah yang bertimpa-timpa sebelum itu.
Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surat Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
‘Dan ( ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka pasti azabku sangat berat.’
Hari Ini Lebih Baik
Bertahmidlah sekiranya anda seorang yang berani menghadapi hidup. Cabaran dan masalah akan terus mengejar anda, dan saiznya semakin membesar mengikut tumbesaran umur dan tanggungjawab. Masalah di zaman mahasiswa tidak sama dengan masalah ketika di lapangan kerjaya nanti, begitu juga, masalah ketika masih bujang tidak sama dengan masalah apabila sudah berumahtangga. Namun, sebelum masalah tiba, jangan sesekali anda berfikir tentangnya. Hanya orang yang tidak berakal menangisi nasib malang yang belum berlaku, sedangkan orang yang berfikiran cerdik, sekalipun berhadapan masalah, tetap optimis dan yakin Allah SWT ada bersama-samanya.
Adik-adik mahasiswaku sekalian, lapangkan akalmu sejenak daripada masalah peribadi. Langutkan jiwamu kepada masalah ummah, mari bersama kita fikirkan; Bilakah Islam dapat kembali gemilang dengan seluruh umatnya kembali kepada al-Quran dan sunnah? Masih ada harapankah umat Islam di seluruh dunia bersatu-padu? Dan apakah usahaku untuk membantu agama Islam di akhir zaman ini?
Renungkanlah.







salam dari akak…i like this..:) terima kasih pada hadirnya artikel ini kala berat rasa dibeban masalah kerja….
Kak Ummu, betapa janji Tuhan itu pasti!
Shukran atas tiap bait kata nasihatmu, ukhti mahbubah.. =)
Ya, semoga mendapat manfaat:)