Mafhum dari hadis Rasulullah SAW menyatakan; Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.
Hebat kebesaran Allah SWT, walaupun baginda SAW telah lama meninggalkan umat akhir zaman ini, namun wasiat dan pesan-pesan baginda rasul terus menemani kita yang beriman. Menjadi kekuatan dan motivasi untuk kita mendepani zaman yang dicengkam pelbagai fitnah dan maksiat. Setiap hadis Rasulullah SAW mengandungi imej dan makna. Bagi orang yang berfikir tentu akan menemui natijah hikmah dan berasa selamat di dalamnya.
Ukhwah
“Alhamdulillah, urusan kenduri selesai dengan baik, ramai yang datang membantu, ramai pula yang hadir memeriahkan dan tak kurang yang datang menolong pasca kenduri,” kata saya kepada bonda cintaku, Puan Hajah Hamidah. “Kak Ummu rasa, yang hadir tu ramai anak murid tokwan dan kenalan abah, jadi mereka mungkin tak sampai hati tak datang menolong,” tambah saya lagi.
Bonda menarik nafas. “Yang sebenarnya bukanlah kerana kita. Faktor utama adalah kerana Allah yang menggerakkan hati orang-orang datang menolong.” kata-kata bonda menyebabkan saya tersentak dan beristigfar. Ya, ini semua campur tangan Allah memudahkan urusan hamba-hambaNYA.
Saudara jauh dekat, ada yang jarang bertandang, hari ini menjenguk muka. Soalan pertama yang terbit, “Apa kerja yang boleh kami tolong?”. Sesetengah yang sudah maklum, tanpa soalan terus berkejar ke tempat memasak, membasuh dan khemah, memberi khidmat percuma. Budaya kerjasama begini menjadi tradisi desa di seluruh negara terutama di Negeri Kedah yang masih utuh akar Melayu Islamnya.
Orang-orang kampung, hati mereka terusik jika jiran sebelah rumah mengadakan kenduri, mereka tidak bertandang. Sama ada datang menolong atau sekadar mencicip makanan. Tradisi telah mengajar kita; berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Jika diri tak berkesempatan hadir, maka akan dihantar wakil memeriahkan majlis dengan ucapan salam berserta buah tangan.
Walimah Dua Beradik
Berbanding majlis walimah adik ketiga, awal Mac 2008 dulu, majlis walimah kali ini lebih terasa penatnya. Agenda abah dan mak meraikan dua puteri dalam satu majlis perkahwinan disokong semua pihak. Ramai mendoakan yang terbaik, moyang dan nenek saudara ada yang menangis kerana terharu. Bagi mereka, jodoh adalah satu rezeki jadi perlu diraikan dengan penuh adab dan adat. Setiap kali bertandang ke rumah saudara, suami berpesan agar mohon saudara-saudara mendoakan rumahtangga yang baru dibina diberkatiNYA .
Ibubapa adalah anugerah Allah SWT kepada anak-anak, dan anak-anak juga adalah anugerah kepada ibubapa. Abah dan mak telah menyediakan pakej perkahwinan yang terbaik untuk saya dan Hasna serta suami kami. Pakej yang tidak disenaraikan dengan harga dan caj tetapi sebuah pengorbanan, keikhlasan, tanggungjawab serta nasihat. Saya melihat abah bersungguh-sungguh untuk mengadakan majlis ini sebaik mungkin. Bermula dengan memilih jodoh terbaik untuk anak-anak, mendoakan kami (agar mendapat pasangan yang berakhlak mulia) di Mekah dan Madinah (sewaktu mengerjakan haji baru-baru ini) sehinggalah urusan borang dan proses akad nikah anak-anak seterusnya majlis walimah kami. Emak pula dalam kepenatan menguruskan hal ehwal kenduri tidak lupa mengadakan solat hajat, bacaan Yassin dan qiyamulail khusus untuk anak-anak agar dimudahkan dalam urusan rumahtangga. Tentunya, saya dan adik tidak dapat membalas jasa keduanya melainkan menjadi anak yang mentaati mereka dalam urusan dunia mahupun akhirat. Biarpun secara berdikit-dikit sebelum sampai kepada makna solehah.
“Jadilah isteri yang taat serta kakak yang penyayang,” pesan abah kepada saya.
“Buangkan rasa ego dan belajar untuk berkorban selepas ni, ” pesan mak pula.
Jauh dan Dekat
Makna sahabat diperolehi apabila kita merenungkan setiap kebaikan yang telah dihulurkan mereka. Walau ada kesalahan, nampak kebaikan itu lebih besar. Tuhan telah mendatangkan sahabat yang baik kepada saya sepanjang hidup ini. Makin terasa di saat kegetiran, sahabat-sahabat tidak beralih-arah menghulurkan bantuan walau sekadar kata nasihat. Saya tak tersebutkan jasa-jasa mereka di sini, tetapi semua telah dicatat dalam amal kebaikan masing-masing. Dan percaya Allah SWT akan membalas ganjaran lebih baik buat mereka. Saya tidak mampu kerana saya juga adalah hambaNYA yang menerima kurnia nikmatNYA dan si peminta yang fakir kepadaNYA.
Zahir dan Alif, jurukamera bergerak yang diimport dari Galeri Ilmu
Saya mengucapkan terima kasih kepada kakak angkat, Ukhti Asiah Ishak yang telah menaja ‘kad jemputan perkahwinan’ walaupun majlis dirancang tinggal seminggu. Kak Asiah sudi men’design’, mencetak seterusnya memberi percuma sebanyak 500 keping untuk saya edarkan kepada keluarga dan rakan taulan. “Hanya ini hadiah yang mampu akak bagi pada ummu..” Saya terharu. “Kebaikan akak hanya Dia dapat membalasnya..”
Juga buat sahabat-sahabat yang mengirimkan doa lewat sms, ada yang akan hadir walau jauh dari Singapura (Bonda Rohani Din dan anaknya, Siti) dan tak kurang yang ralat tidak dapat hadir. Sahabat2 rumah sewa, Faiz, Mas, Kak Wani, dan Hana, datang menjengah dari Kuala Lumpur. Juga Izzati yang baru habis SPM, datang awal sehari membantu Kak Ummunya. Opah Noraini sanggup naik bas dengan Pakcik Basirun sehari sebelum majlis untuk membantu kami semua di Kedah. Dan semua saudara dan jiran yang telah turun padang membantu, ada yang uzur dan sakit tapi tetap ceria menghulur bantuan. Tidak terbalas jasa mereka semuanya.
Bonda mentua, Ustazah Fatimah dan keluarga suami yang tidak dapat hadir, mereka tetap mengirimkan doa dari jauh. Kak Long, Kak Aida dan Kak Izan, saya tahu mereka ingin hadir tetapi kerana kekangan masa dan jarak, bantuan dikirim melalui doa-doa. Suami, Ahmad Dhiak bin Abdul Hashim adalah hadiahNYA buat saya untuk ulangtahun ke 27 ini. Lebih dari itu, suami adalah sahabat dan pemimpin saya untuk menujuNYA.
Kita menerima kebaikan adalah kerana doa orang lain. Saya percaya dengan kata-kata itu. Doa adalah senjata bagi orang Mukmin.
Pasca Perkahwinan
“Abang, lepas ni kita kena ziarah kenduri Mas di Johor, kenduri Faiz di Terengganu, Kak Wani di Perak, Siti di Singapura dan Hana di Kedah sebagai membalas jasa mereka bertandang ke majlis kita,” kata saya beriringi anggukan dan senyuman suami. Saya berdoa agar diberi peluang untuk membalas kebaikan orang lain kepada kami. Maklum, kudrat dan peluang sangat terbatas, jika ada kesempatan, saya mahu menggembirakan hati mereka yang telah berkorban untuk saya dan keluarga. Juga mereka yang telah menghadiahi dengan doa dari jauh, semua itu menjadikan diri malu dan ‘terhutang budi’.
ALHAMDULILLAH. SYUKUR PADA ALLAH, TERIMA KASIH PADA SEMUA.
Ukhwah itu sangat indah jika pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah SWT.



























Maaf x dpt nak mai kenduri Kak Ummu…Byk masalah yg x dpt dielakkan, n abah demam…
Apapun km doakan Kak Ummu & Adik K.Ummu serta psgn bahaia dunia n akhirat, InsyaALlah
salams
ummu & .Ahmad Dhiak bin Abdul Hashim
TAHNIAH DAN SELAMAT MELAYARI BAHTERA RUMAHTANGGA
Semuga bahagia selamanya. maafla akak tak tau pun bila langsungnya dan harapnya belum terlewat sanagt..Akak mengenali ummu sbg penulis novel muda yg berbakat dan semuga slpas ni karya ummu lebih mgancam dunia penulisan. Perhebatkan bicara penamu dan mentor ayhda cikgu pasti masih boleh membantu. kemeriahan dan kegembiraan jelas terpancar menyambut dua family baru buat family cik gu. Semuga melahirkan genarasi kesinambungan galeri ilmu. amin
maaf ummu.. akak tak dapat p kenduri… apa2 pon moga berbahagia di dunia & akhirat… dan sentiasa dalam redhaNya…ameen
Salam Kak Faezah, terima kasih atas doa:)
assalamualaikum..
tahniah kak ummu…alfun mabruk…semoga bait muslim yang dibina berjaya digerakkan menuju redha ALLAH..