Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

February, 2010

Saturday, February 20th, 2010

Cinta Kepada Rasul

 masjid-nabawi.jpg

Malu untuk menulis entry ini, terasa tidak layak dan berdosa. Diri gagahi juga demi menyatakan kerinduan untuk belajar mencintai baginda SAW.

Terasa pentingnya mempunyai ikatan yang kuat dengan Rasulullah SAW. Di waktu ini hadis baginda mula terserlah benarnya; Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang yang asing..

Dan siapakah yang mengamalkan Islam tidak berasa asing dalam kehidupan akhir zaman ini?

“Belajar rajin-rajin, nanti hantaran boleh letak 20 ribu,” pesan seorang mak saudara kepada anak saudaranya yang baru masuk ke IPT.

“I mahu you tulis kisah nabi-nabi Kristian yang jahat. Dalam Bible diceritakan begitu, watak Yaakub ni you buat dia ada hubungan sulit dengan orang..” kata seorang penerbit Cina kepada penulis skrip Melayu untuk drama Melayu yang bakal disiar di stesen televisyen di Malaysia. Sambil itu dia turut memberikan Bible tersebut untuk rujukan penulis itu. (Pengakuan penulis ini kepada saya membuatkan saya hampir hilang kewarasan..masya Allah, teruknya kita dimainkan puak-puak kapitalis Kristian ini)

“You tulis cerita mudah-mudah saja. Tak perlu research. Orang Melayu suka drama yang ringan yang penting seronok,” kata penerbit Cina yang kaya (dan menjadi kesayangan pihak stesen televisyen) kepada seorang penulis skrip yang diupahnya. Dia melihat bangsa Melayu sebagai bangsa yang suka ‘berhibur walaupun hiburan yang tiada ilmu.

“Adik, pernah tak terfikir nanti, jika awak kahwin dengan dia, dia akan masuk Islam?” tanya saya kepada junior di UM yang bercinta dengan wanita Cina Kristian. Adik itu kemudian menggeleng kepala. Setelah bercakap dengannya, saya dapat menerka, dia seorang yang liberalis agama. Walaupun Islam boleh juga menerima agama lain tanpa perlu memaksa pasangan masuk Islam. Saya hanya mampu mendoakan junior itu dari jauh.

1024_t2.jpg

Kisah-kisah berikut hanya secubit garam dalam kehidupan moden kini. Cuba tanya kepada generasi muda Muslim sekarang, apakah tujuan dan matlamat kehidupan mereka? Apakah mereka tahu cara bersuci (buang air kecil misalnya) yang menepati syarak (niat beristinjak ketika membasuh)? Atau, cukupkah solat fardhu mereka sehari semalam? Ramaikah lagi yang menjadikan al-Quran sebagai hiburan hati berbanding televisyen? Dan berapa kerat yang tidak ‘suka’ tidur selepas Subuh?

Budaya couple sebelum kahwin sudah menjadi tabiat dan amalan yang diterima baik dalam masyarakat. Malah, segelintir keluarga sanggup memanjangkan tempoh pertunangan asalkan pihak lelaki dapat menyediakan wang hantaran begitu tinggi kepada pihak perempuan. Dalam tempoh itu juga, ibubapa tidak gusar jika anak mereka ke sana ke mari dengan pasangan yang belum ada apa2 ikatan. Panggilan ‘sayang’, ‘cinta’, ‘abang’, ‘honey’, ‘baby’, ‘papa- mama’ bagi pasangan bercinta sangat normal sebelum berkahwin. Tidak ada apa yang perlu ditegur, semua kita menerima keadaan itu. Yang tidak bersetuju, pasrah dalam hati tanpa ada kekuatan untuk menegur.

Dalam keluarga, ibubapa membiarkan televisyen mendidik anak-anak. Hasilnya, anak-anak hasil didikan televisyen ini menjadi orang yang anti  akhlak, penentang arus, free thinker, bebas, poyo (istilah semasa), hedonis dan peniru watak barat.  Tiada lagi unsur ketuhanan seperti sifat Allah SWT YANG LEMAH LEMBUT, PENYAYANG, PENGASIH, BIJAKSANA,PENGAMPUN dan lain-lain dalam diri generasi muda. Orang muda dikenal sebagai kaum pemberontak dalam kebanyakan buku-buku di pasaran kerana watak mereka itu.

ana-love-rasulullah.jpg

Ya Allah..hanya berpegang kepada sirah RASULULLAH SAW sahaja dapat mengembalikan  format sebagai Mukmin. Tanpa panduan baginda SAW, maka akan hanyutlah kita di bawa tsunami globalisasi. Dalam kegersangan akidah, akhlak dan syariat umat kini, terasa sepi hati tanpa pedomanNYA. Siapa lagi boleh menjadi pemandu kita semua jika bukan Nabi Muhammad SAW? Sirah bagindalah yang paling banyak ditulis dan disebarkan di seluruh dunia, ayuhlah kita membaca dan menghayati pedoman baginda SAW kepada kita. Marilah kita berselawat ke atas baginda SAW yang telah banyak berkorban untuk keselamatan umatnya di dunia dan akhirat.

YA RASUL, aku ingin berlatih mencintaimu. Aku malu.

Thursday, February 18th, 2010

Pergi Ke manapun KepadaNYA

“Ummu, ada zikir atau doa tak yang boleh lembutkan hati orang?” tanya Kak Wani, teman serumah saya. Magrib semalam, kami berkumpul agak ramai; Faiz, Rena, saya, Kak Wani dan Hana. Suatu aktiviti yang jarang-jarang kami dapat lakukan bersama tahun ini. Masing-masing dengan urusan yang lebih penting dan peribadi. Dari perkongsian malam itu, cerita yang terbit adalah sekitar isu rumahtangga yang tidak ‘bahagia’. Teman-teman saya berkongsi masalah sahabat-sahabat mereka di tempat kerja dan jemaah.

“Teman saya 13 tahun berkahwin, dapat 6 orang anak. Kemudian suaminya kahwin lain diam-diam dan dia rasa kecewa. Dia berkata, sebenarnya selama perkahwinan itu, dia dan suaminya tidak sekufu pemikiran. Dia minta cerai tapi suaminya tak mahu lepaskannya..” cerita salah-seorang teman.

“Kawan saya pula baru sebulan berkahwin, bila tinggal serumah baharulah dia tahu ragam suaminya yang agak cerewet. Paling menyedihkan suaminya merungut dari sekecil perkara hingga yang besar-besar. Ini membuatkan dia rasa rendah diri dan kecewa. Setiap hari menangis dan minta tolong saya kuatkan jiwanya..” sampuk teman yang lain.

“Kami pula alami nasib yang lain. Ada orang yang dengki telah hantar sihir pada keluarga kami termasuk kakak saya. Dulu dia mahu jodohkan kakak dengan anaknya tapi bila gagal dan kakak berkahwin dengan orang lain, dia hantar sihir kacau kakak dan keluarga kami..” tambah seorang lagi teman.

Cerita-cerita itu cukup menyeramkan saya yang masih ‘berinai’ dan juga teman-teman yang ‘masih anak dara’. Zaman ini umpama zaman ‘kegelapan’ umat Islam apabila kebanyakan kita pudar ‘pesona akidah’ dirinya. Akidah adalah benteng diri sebagai Mukmin dan Muslim. Apabila kuat akidah seseorang, tidak akan sanggup dirinya melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT . Salah-satunya menzalimi orang lain dan tidak berlaku adil dalam rumahtangga. Punca kepincangan rumahtangga adalah apabila tiada taqwa dan cinta kepada Allah SWT.

Saya menyorot diri. Setiap yang terbit dari mulut teman-teman itu adalah peringatan buat saya. Sejak melangkah ke alam rumahtangga selama 2 bulan ini, terasa ada perubahan diri dalam tindakan dan cara berfikir. Kini, suami adalah autoriti dalam keputusan hidup. Saya teringat pesanan al-Quran bahawa isteri adalah pakaian suami, begitu juga suami adalah pakaian isteri. Justeru, apabila hendak berkata-kata atau menulis sesuatu, hendaklah dipastikan bahawa ianya tidak mendatangkan keburukan pada pasangan atau mengecilkan hatinya. Melangkah sahaja dari rumah, mesti dalam pengetahuan suami walaupun berjauhan. Setiap perkara yang mahu dilakukan, dipastikan mendapat redho dan doa suami. Saya amat bersyukur kerana matlamat untuk mendapatkan cinta dan taqwa kepadaNYA melalui perkahwinan ini sedikit demi sedikit menguatkan jiwa kami menghadapi ujian yang datang. Continue reading Pergi Ke manapun KepadaNYA

Wednesday, February 10th, 2010

Dahsyatnya Dosa

 mh_041.jpg

Burung dan kucing menggeleng kepala. “Itu semut telah melata ke seluruh badan si kecil anak manusia,” kata mereka.

“Mujurlah, dosa pahala tak dikirakan ke atas kita,” kata burung.

“Aku tidak boleh bayangkan, api yang manakah paling panas untuk ibubapa anak ini,” balas kucing.

“Manusia tu, kalau sudah tidak mahu berfikir dan berperasaan, sedekahkan sahaja akal tu kepada kita,” kata burung lagi,

“Betul…betul..betul..” balas kucing pula.

Sunday, February 7th, 2010

Proses Pengeraman dan Seruan Berfikir Dalam al-Quran

 Proses Pengeraman

Penulisan kreatif  merupakan satu tugas yang menuntut seseorang itu berfikir dengan tajam, lama dan meletihkan.  Dalam melaksanakan tugas tersebut, penulis perlu memperbanyakkan istirehat dan muhasabah diri. Bagi penulis dakwah, adalah menjadi kewajipannya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta berfikir tentang hikmah kejadian alam. Menurut Norafifah bt Ab Hamid (2009), al-Quran menggariskan lima metode pengeraman iaitu ta’qil (berfikir), tadhakkur (mengingat), tafakkur (berfikir secara mendalam), tadabbur (merenung) dan tafqih (memahami).

Berikut merupakan contoh ayat al-Quran yang berkaitan dengan seruan berfikir:

a)    Seruan ta’qil. Surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud:
‘Mengapa kamu menyuruh orang lain melakukan kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat), apakah kamu tidak berfikir?’

Ayat ini menerangkan tentang segolongan manusia yang mengajak orang lain taat kepada Allah SWT namun, dia sendiri mengingkarinya. Sebahagian ahli tafsir mengatakan, golongan sedemikian adalah bani Israel dan golongan munafik. Allah SWT menempelak golongan ini dengan ayat ‘Apakah kamu tidak berfikir?’Ahli tafsir mengatakan perkataan tidak berfikir bermaksud tidak memahami kebenaran. Continue reading Proses Pengeraman dan Seruan Berfikir Dalam al-Quran

Thursday, February 4th, 2010

Petang Jumaat Ini

 s6301897.jpg

Telah bernyanyi hatiku

Di pentas rindu

Lagu yang sama; Rindu

Aku ingin pulang Tuhan

kepadaMU

dengan doa yang sama; Rindu

Bila matahari telah jatuh

Dan bulan sedang sayu

Dakaplah aku Tuhan

di peraduan rindu

Tuhan

Kau sesungguhnya tidak pernah mencabut

nyawa rindu

dari dada hamba ini

Walau cinta yang lain hadir.

Tuhan..

aku rindu.

Rindu padaMU.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com