“Mari duduk di sini, kita sembang dengan calon-calon P.hd”, kata Ustazah Raudah, pensyarah Jabatan Dakwah merangkap penyelia program sarjana saya. Dia memberi tempat duduk kepada saya. Di hadapan kami adalah ustaz dan ustazah dari pelbagai universiti yang sedang menyambung Ijazah Kedoktoran dalam bidang dakwah di jabatan kami. Saya berasa silu kerana hormatkan mereka yang banyak ilmu ini.
“Ummu Hani ni novelis, banyak tulis cerpen dalam majalah dan akhbar,” kata ustazah memperkenalkan saya. Bertambah-tambah rasa malu di hati. Para ilmuan di hadapan kami melihat saya. Seorang ustaz, agakan usianya 50-an mengangguk dan tersenyum. “Baguslah anti, berdakwah melalui pena,” katanya. Saya senyum dan berasa segan.
“Dah masuk 3 tahun buat master tapi belum dapat siapkan, dalam tempoh tu ana tulis buku 4 buah, Alhamdulillah,” jawab saya menyorokkan malu. “Itulah, bila saya tanya tesis dia, yang dijawabnya novel. Nak kena siapkan tahun ni jugak!” Kata Ustazah Raudah berlucu. Namun dalam lucunya saya maklum itu satu arahan. “Ustaz dari mana?” tanya saya kepada ustaz yang nampak tenang itu.
“Ana kerja di U***. Jadi ketua Pusat Islam di sana,” kata ustaz itu. Dia kemudian bercerita kepada kami semua pengalaman kerjanya di universiti tersebut.
“Pihak atasan universiti ada nak bubarkan persatuan pelajar Islam. Katanya budak-budak tu terlalu radikal. Tapi ana cakap pada mereka, kalau para pelajar universiti kita tak tahu baca al-Quran, tuan-tuanlah yang kena bertanggungjawab.Bukankah persatuan pelajar Islam ni yang setiap semester anjurkan aktiviti Iqra pada para pelajar hingga ada yang boleh khatam sebelum keluar universiti?”
Akhirnya, menurut ustaz tersebut, pihak atasan universitinya tidak jadi membubarkan persatuan Islam ini.
“Para pelajar kita ni pun satu hal. Nak berdakwah tak boleh terlalu keras, kena ada bijaksana. Itulah yang ana selalu pesan pada para pelajar. Tekankan akademik dulu. Bukan berjuang tapi akademik merudum,” katanya lagi.
“Ustaz tinggal di mana?” tanya seorang ustazah lain di situ. “JB,” jawab ustaz tersebut. “Jauh juga ustaz berulang-alik dari universiti tempat ustaz mengajar tu,” kata seorang ustazah lagi. “Ya, dalam 1 jam 30 minit juga,” kata ustaz itu. Kemudian apabila ditanya sebabnya, ustaz tersebut menyatakan satu perkara. Dan ia amat menyentuh hati kami semua.
“Kita ni satu ja sebagai makhluk. Tanya pada diri, apa yang nak dibawa jumpa Tuhan nanti dan apa yang nak ditinggalkan pada manusia?”
“Maksud ustaz?” tanya seorang pensyarah.
“Ana ni belajar di Libya dulu bidang al-Quran dan Hadis. Tapi tak hafal Quran lagi. Ana rasa tak boleh tenang selagi ana tak hafaz al-Quran. Yang itulah nanti nak dibawa jumpa Tuhan, dan sementara hidup, boleh kita kongsikan ilmu al-Quran dalam dada kepada manusia. Jadi, ana ambil keputusan duduk jauh dari tempat kerja supaya waktu dalam perjalanan pergi dan balik tu, ana boleh hafaz al-Quran dalam kereta. Perjalanan pergi balik ambil masa 3 jam. Cukuplah 3 jam sehari tu ana boleh hafaz al-Quran,” jawab ustaz tersebut.
Jawapan itu cukup menyentak diri saya. Hari itu, saya telah belajar dari seorang yang berhati luar-biasa. Walaupun sibuk menjadi pegawai pentadbiran dan menyambung pengajian kedoktoran, ustaz tersebut masih sempat meluangkan masanya menghafaz al-Quran.
Jadi, tiada alasan lagi untuk diri ini dan insan-insan lain tidak memanfaatkan masa sebaiknya.