Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

June, 2010

Wednesday, June 30th, 2010

Belajar Tulis Sinopsis Skrip Drama TV

Tulisan ini saya petik dari Saudara Shamsul Ambia Mat Daud:

Sinopsis adalah ringkasan karangan cerita. Mempunyai pengenalan watak, konflik/krisis/penyebab/plot dan membawa ke klimax hingga pengakhiran cerita.

Dalam sinopsis, keindahan gaya bahasa, ilustrasi, dan penjelasan-penjelasan dihilangkan, tetapi tetap mempertahankan isi dan gagasan umum pegarangnya.

Sinopsis biasanya dibatasi oleh jumlah halaman, misalnya dua atau tiga halaman, seperlima atau sepersepuluh dari panjang cerita asal.

Terdapat 2 jenis Sinopsis

1. Working Synopsis
2. Selling Synopsis

Working Synopsis atau sinopsis kerja adalah satu kaedah atau cara bagi membantu seorang penulis skrip menulis screenplaynya. Working Synopsis merupakan sinopsis awalan yang mempunyai rangka cereka termasuk permulaan, pertengahan dan penghujung cerita. Penulis kemudian mencorak elemen-elemen penting seperti watak-watak, plot dan sebagainya bagi menghasilkan sebuah screenplay.

Screenplay yang siap tidak lagi berwajah sinopsis asal dan penulis perlu menulis semula sinopsisnya supaya mencerminkan wajah cerita mengikut screenplay yang sudah siap itu.

Selling Sinopsis (Sinopsis untuk dijual) adalah apa yang dikehendaki oleh Penerbit, Stesyen TV atau pihak-pihak yang ingin membeli skrip atau meluluskan program. Selling Synopsis merupakan alat bagi menjual screenplay anda kepada mereka. Pastikan sinopsis anda dapat menarik minat mereka untuk membaca screenplay anda.

!!!!INGAT!!!!
TELL THE STORY, INSTEAD OF TELLING ABOUT THE STORY

Saturday, June 26th, 2010

Awan-awan Idea Dalam Sebuah Cerpen

Saya ingin berkongsi pengalaman menyatukan kepulan ‘awan-awan idea’ dalam cerpen Teman, Cukuplah Kami. Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 bagi kategori Cerpen Remaja.

Mari kita teroka awan-awan idea itu:

Teman, Cukuplah Kami
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan


SATU
Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?

Ayat yang dihitamkan di atas ditaip ketika penulis berada di depan Baitul Haram, Mekah al-Mukarammah pada Julai 2007. Penulis menemukan idea tersebut dalam perjalanan mengerjakan umrah di Bangladesh (transit 9 jam di Dhaka). Setelah melihat sendiri kemiskinan umat Islam di sana, penulis berasa resah dan berazam menulis sebuah cerpen tentang itu. Alhamdulillah, walaupun belum dapat menyiapkan sebuah cerpen di sana, penulis telah diberi ilham olehNYA dua ayat pertama di atas. Dua ayat ini penulis taipkan di telefon bimbit.

Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.

Di Bangladesh, saya dan rombongan umrah telah dibawa bersiar mengelilingi bandar Dhaka. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel penginapan, saya melihat ‘bangsal-bangsal kayu berdindingkan kain’ menjadi rumah keluarga-keluarga miskin di bandar ini. Warga rumah terdiri daripada ibubapa dan anak-anak. Kasihan, mereka berkongsi kemiskinan ini dengan senyum gembira.

Abang selalu bertanya pada ibu, mengapa hidup kami sekeluarga miskin? Adakah nenek dan datuk kami yang berasal dari Madras dulu yang mewariskan kemiskinan ini? Ibu mengangguk. Abang kemudian merayu kepada ibu mahu bersekolah. Menurut abang, hanya sekolah yang boleh memberi keajaiban dalam kehidupan kami. Entah dari mana abang mendapat kepercayaan itu. Mungkin dari anak-anak Tuan Syaheed yang kasut mereka dicuci oleh abang setiap hari. “Tidak boleh! Kamu lihat gigi ibu yang berkarat ini. Kita tidak mampu membeli ubat gigi pun, bagaimana kamu mahu membayar yuran sekolah?” jerit ibu. Selepas itu, abang jarang-jarang pulang ke rumah.

Tempat yang kerap dikunjungi ibu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Zia. Kami berasak bersama manusia-manusia hamis lain dengan niat mencari sesuap nasi. Orang yang turun dari tangga kapal terbang tentulah orang berduit. Sekurangnya mereka lebih beruntung dapat terbang di awan daripada kami yang seumur hidup berjalan kaki di tanah. “Tuan yang baik, puan yang baik, tolonglah kami. Anak saya ini perlukan makanan, sudah dua hari (kekadang ibu menyebut tiga hari atau lima hari) tidak menyentuh makanan,” jerit ibu pada orang-orang yang keluar dari pintu utama lapangan terbang. Yang melilau, menjerit, berlari dan menagih simpati orang bukanlah ibu sahaja. Dalam mata kecil saya, beratus wanita meminta sedekah. Dan beratus-ratus (ataukah beribu) anak-anak kecil seperti saya menjadi kutu-kutu simpati ibu mereka. Jika ada seorang yang bersimpati, maka tangan yang bertuah sahaja dapat mencapai duit. Acapnya, jika tidak mendapat duit, kami akan diberikan pisang oleh orang-orang bermurah hati yang turun dari kapal terbang.

Sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, yang menyambut penulis dan penumpang lain adalah tangan-tangan yang meminta sedekah. Mereka ada yang datang mengendong anak kecil, ada lelaki tua yang uzur, ada kanak-kanak lelaki yang tidak berbaju dan kanak-kanak perempuan yang comot. Masing-masing menghulurkan tangan dari celahan pagar mohon diberikan wang untuk makan. Oleh kerana peminta sedekah terlalu ramai, penulis hanya terkebil simpati sambil mendoakan mereka dalam hati. Continue reading Awan-awan Idea Dalam Sebuah Cerpen

Monday, June 21st, 2010

Bermulanya Siapa Haram?

Alhamdulillah, saya selesai menulis cerpen Siapa Haram? pada 16 Jun lalu. Cerpen ini kemudiannya disiarkan di Mingguan Malaysia beberapa hari selepas itu.

Ada beberapa perkara yang menarik jiwa saya untuk menulis cerpen ini.
1. SUDAH LAMA HILANG SABAR DENGAN KES PEMBUANGAN BAYI.
2. GERAM DENGAN SEMUT YANG ‘MENJAJAH’ RUMAH SAYA SESUKA HATI.
3. TIDAK HABIS MARAH PADA ISRAEL DAN REJIM ZIONIS
4. MALU DENGAN AKHLAK UMAT MELAYU YANG TIDAK MEMBERI TAULADAN KEPADA NON MUSLIM DI MALAYSIA.

Tetapi ada satu perkara lagi yang betul-betul menembak saya untuk menyelesaikan cerpen ini:
‘Dalam satu ceramah penulisan di sebuah sekolah agama di Utara tanah air, saya telah menunjukkan slide pembuangan bayi kepada adik2 peserta sambil mengingatkan bahawa mereka perlu menjadi penulis untuk membawa masyarakat kembali kepada fitrah Islam. Kira-kira begini ayat saya “Tengoklah, kesan keruntuhan akhlak, ramailah anak-anak haram dibuang..” (Ops, saya gunakan kata itu kerana di Kedah, bahasa kami memang ‘kasaq’) .
Lalu, di akhir program, saya diberikan satu soalan oleh seorang peserta misteri (kerana dia hanya tulis dalam kertas, soalannya itu) ‘Siapa yang haram, bayi yang tidak berdosa atau ibubapanya, sila saudari terangkan..’.

Saya tidak mahu menjawab soalan tersebut kerana ia tidak berkaitan dengan ceramah penulisan saya selama satu jam lebih. Namun, suami yang duduk di sisi ketika itu bangun memberikan jawapan mewakili saya. Katanya, anak haram adalah istilah, yang lebih perlu difikirkan ialah kaedah menangani masalah keruntuhan akhlak melalui penulisan dakwah.

Saya pulang dan sehingga siap cerpen itu, terngiang soalan tersebut, Siapa Haram?

Monday, June 21st, 2010

Siapa Haram?

Bukan dia yang haram

(Cerpen ini telah tersiar di Mingguan Malaysia, 20 Jun 2010)

“Wahai semut, kasihanilah hamba. Hamba ini tidak meminta tinggal di perkampungan kalian. Jika diberi peluang, bukan sahaja menetap di sini, menghirup udara di sini pun, hamba tidak mahu,” hanya kalbuku yang mampu menjerit.

Sejak 10 jam aku menjadi warga dunia, aku belum menatap keindahan. Aku keluar dari perut wanita ibu dengan sentapan kuat seorang lelaki. Tempat mereka memilih untuk melahirkanku adalah tandas kotor di sebuah ladang kelapa sawit. Aku kemudian dibalut dengan sehelai kain batik yang bertengik darah lalu dimasukkan dalam sebuah beg. Beg itu dizipkan.

“Kau tunggu di sini sayang. Aku akan buang ‘cinta’ kita ini di lokasi paling strategik,” kata lelaki yang ‘menyimpan’ aku di dalam beg yang kini teroleng-oleng di tangannya. Lelaki itukah pasangan ibu? Aku menjerit kerana lemas. Lelaki itu membuka zip beg lalu menyumbat mulutku dengan kain yang sama. Beg itu dizipkan semula. Aku menderita.

“Wahai semut, berikan hamba sedikit cinta. Hingga saat ini, tiada siapa yang menyenangi kelahiran hamba hatta matahari pun belum menyambutku dengan cahayanya. Dan kau semut, kau juga mahu menggigit diri hamba?” Aku berbisik kepada sang semut yang ingin masuk ke mataku pula. Semut-semut itu terus melata ke segenap wajahku. Rasa kegelian menyirap dan kesakitan tidak tertanggung. Oh ibu, mengapa kau mahu membunuh anakmu?

Aku ingin menyerah diri. Jika jodohku dengan kehidupan, aku berjanji pada Tuhan, aku tidak mahu menjadi manusia yang kejam. Aku tidak mahu membunuh manusia sesuka hati seperti yang ibu lakukan padaku. Aku juga tidak akan menggigit orang lain dan menceroboh wilayah-wilayah yang bukan kepunyaanku seperti semut- semut kecil ini. Malah, aku tidak pernah terfikir bahawa manusia yang dikurniakan akal fikiran dan perasaan sanggup melakukan kezaliman terhadap manusia lain. Aku tentu dapat memaafkan semut, tetapi ibu? Continue reading Siapa Haram?

Thursday, June 17th, 2010

Dorongan dan Sokongan

Bakal Penulis:)

Sebelum memulakan penulisan, ada dua ubat yang perlu anda telan. Ubat ini umpama vitamin tambahan yang diperlukan oleh badan. Ubat pertama berupa dorongan, dan yang kedua adalah sokongan.

Ini cerita saya tentang ubat penulisan.

Saya bukan setiap hari boleh menulis. Malahan, dalam tempoh sebulan pun, belum tentu ada karya yang ditulis baik. Orang yang tidak menulis, biasanya mereka memandang penulisan sebagai kerjaya rutin. “Mengapa anda tidak menulis?” tanya seseorang apabila mendengar si penulis mengeluh; dia rasa tertekan kerana lama tidak menulis. Masalah ini hanya dirasai oleh golongan penulis yang mencari sisi terbaik untuk karya mereka.

“Sekarang saya dalam proses pengeraman. Tidak boleh menulis lagi,” jawab si penulis tersebut.

Saya sendiri, selagi tidak dapat menghadam idea dan memahami mesej yang bakal ditulis, saya tidak akan menulis. Natijahnya jika saya menulis, karya itu ‘tidak memiliki’ kaki atau kepala. Ada cacat di sana sini.

1. Telanlah Ubat Dorongan

Dorongan berpunca daripada keinginan yang kuat dalam diri penulis. Apabila timbul hasrat untuk menulis, penulis sudah menelan satu pil dorongan untuknya menyiapkan karya. Dorongan akan membentuk tatatertib penulisan. Si penulis akan mula mencari bahan penulisannya seperti membaca, menemubual, melayari internet dan mengenang pengalaman lampau.

Kebiasaan yang berlaku, penulis akan mengaitkan persekitarannya dengan apa yang ingin ditulisnya nanti. Dia sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan selalu akan muncul idea-idea baru. Dorongan akan membuatkan penulis dalam keadaan separuh sedar, malahan emosinya berasa gembira. Ini kerana penulis seolah-olah mendapat gambaran karya walaupun dia belum lagi menaipnya di komputer.

2. Sokongan

Dorongan yang kuat untuk menulis menyebabkan penulis mahu bersendiri. Kadang juga, dia ingin mencari seseorang untuk berbincang mengenai idea dalam kepalanya.

“Awak boleh tolong saya memasak, saya nak menulis sekarang,” kata seorang penulis kepada temannya. Sekiranya si teman bersetuju, dia telah memberikan sokongan kepada penulis untuk duduk menyiapkan karya.

“Awak ada idea tak untuk kembangkan cerita saya ni? Begini, saya nak buat satu cerpen tentang Hari Raya, tapi mesti ada konflik yang menyebabkan watak utama serba-salah tak mahu pulang ke kampungnya. Saya tak mahu konflik macam drama-drama Melayu, kalau boleh konflik yang segar. Awak ada pandangan?” tanya seorang penulis kepada rakannya.

Lalu si rakan menjawab, “Oh, saya ada satu idea untuk awak. Bagaimana kalau awak buat watak utama tu dihalau oleh ayahnya sebab dia bercinta dengan lelaki Bangladesh? Kalau awak nak cerpen tu aneh lagi, awak buatlah dia tu seorang ‘lelaki lembut.’ Sebab tulah ayahnya marah sangat..”  Penulis membulatkan mata. Nampaknya dia mendapat satu idea baru dan amat berterima kasih atas sokongan temannya itu. Tidak mustahil  terus dapat menulis dengan baik.

Penulis amat memerlukan sokongan luaran setelah ada dorongan dalaman untuknya berkarya. Keduanya ini tidak boleh dipisahkan.

Bayangkan, jika penulis sudah menelan ubat dorongan, tetapi tidak mendapat suntikan sokongan, dia tidak dapat menjadi seorang penulis yang baik.

“Awak buat novel-novel ni, apa manfaatnya? Baiklah awak tumpukan pada perniagaan jualan langsung kita, dapat juga duit cepat-cepat.” kata seorang suami kepada isterinya yang meminati dunia penulisan. Jika keadaan begini berlaku, penulis itu terpaksalah memadamkan minatnya kerana mentaati suami adalah lebih wajib daripada duduk menulis mengadap komputer.

Kesimpulannya, jika anda mahu menulis dengan baik, telanlah dua ubat yang saya sebutkan di atas.


TAMBAHAN- Penulisan di atas tercetus apabila saya baru selesai menelan ubat-ubat ini. Saya mempunyai banyak idea untuk menulis cerpen kerana sudah beberapa bulan dalam proses pengeraman. Dalam tempoh ‘tidak menulis’ itu, saya membaca buku dan kerap melayari internet. Apabila ada editor yang mahukan karya saya, dorongan menulis menjadi kuat. Saya berkata pada suami, saya ingin menulis. Dia memberi keizinan malah mengajak saya duduk berbincang, apa yang ingin saya tulis. Saya ceritakan ‘idea mentah’, kemudian dia menambah ‘idea perencah’ sehingga kami menemui bersama sebuah cerita. Dia terus mengarahkan saya menulis. Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan dua buah cerpen dengan baik hari itu.

Wednesday, June 9th, 2010

Remajaku Jangan Lupakan al-Quds!

Remaja muslimah Gaza

Hari ini, jika ada di kalangan kita yang terlebih makanannya, usahakan jangan membazir atau dibuang begitu sahaja. Berfikirlah untuk menyumbang RM1 setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan untuk sahabat-sahabat kita di Palestin. Tanamkan kesedaran kepada saudara dan teman-teman kita yang lain untuk membaca sejarah dan mengambil iktibar daripadanya. Kurangkanlah rasa berseronok dan membuang masa di depan televisyen. Lebihkan masa dengan menelaah buku dan memahami tafsir al-Quran. Hanya ilmulah yang boleh mengangkat kembali martabat kita yang dulunya adalah umat yang paling gagah dan kuat menguasai zaman. Tolehlah sebentar pada kenangan Islam menguasai 2/3 bumi Sepanyol. Insafilah kegemilangan tentera Salahudin al-Ayubi kala dahi-dahi mereka mengucup lantai Masjidil Aqsa tanpa gangguan musuh.

Selagi umur dan nyawa mengalir, kita tidak seharusnya berputus asa untuk mengubah akhlak diri. Resam remaja Gaza harus diktibari remaja di Malaysia. Jika dahulu, mereka (remaja Palestin) pernah bersengketa sesama-sendiri, menjadi umat yang malas dan meninggalkan syariat Islam, wajah mereka kini mulai berbasuh titik taubat. Para remaja Palestin rata-rata menyarung pakaian jihad dan kembali menghayati Islam. Di rempuhan mortar rejim Zionis, mereka terus melangkah ke daerah ilmu. Lihatlah, walaupun Palestin bumi yang tidak kering darah perjuangan, banyak sekolah dan universiti didirikan. Kanak-kanak tadika sekalipun, masih membaca buku walaupun jet pejuang Israel sedang melintasi bumbung rumah mereka. Begitulah kuatnya jiwa generasi muda Palestin kini.

Wahai remajaku, mulakanlah perubahan dirimu berdikit-dikit. Jika tidur selepas Subuh itu memakan waktu luangmu, hentikanlah. Jika merokok itu merosakkan kesihatanmu, hentikanlah. Jika berhibur itu melalaikanmu dari mengingati Allah, maka kurangkanlah. Kita perlu mengubah silap yang kecil-kecil itu dahulu sebelum kita berazam untuk pergi berjihad syahid di bumi Palestin.

Wednesday, June 9th, 2010

silunem atau menulis?

Yang menyebabkan diri jadi beralam-alam sekarang ini bukan dua atau tiga tapi hanya satu. Satu perkara yang sangat memeritkan.
Seolah-olah tidak pernah menulis apapun.

Sunday, June 6th, 2010

Adibah Berbaju Oren

Assalamualaikum semua..

Nama saya Adibah Hanim binti Abu Hassan. Saya berusia 8 tahun dan kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, Kodiang, Kedah. Saya adalah anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik. Kini saya sudah mempunyai seorang anak saudara bernama Auni Hafsah Abu Hanifah.

Pada cuti sekolah yang lalu, abah telah berjanji membawa saya ke Kuala Lumpur dan pulang dengan kapal terbang. Saya rasa teruja sangat. Saya amat berterima kasih pada abah dan mak. Jika ada peluang, saya mahu belajar ke luar negara kerana mahu naik kapal terbang jauh-jauh.

Sekian terima kasih

Thursday, June 3rd, 2010

Apa Tindakan Kita Sebagai Muslim?

Alhamdulillah, Allah SWT memberi peluang kepada kami mendengar kuliah tentang kezaliman Yahudi/ Israel oleh Al-Fadhil Ustaz Zainul Asri Hj Ramli dan Cikgu Abu Hassan Morad di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah baru-baru ini. Di sini saya nukilkan beberapa tindakan yang digariskan al-fadhil ustaz untuk umat Islam terhadap Yahudi laknatullah.

1. Bangun pagi dengan azam untuk tidak menyumbang apa-apa kepada Yahudi serta menyekat kemaraan mereka. (Misalnya rokok, barang2 keluaran Yahudi serta stesen minyak yang ada kaitan dengan mereka).

2. Solat hajat dan doa moga dihancurkan segala tipudaya dan serangan Yahudi/ Israel.

3. Solat Subuh berjemaah di masjid. (Yahudi amat takutkan apabila umat Islam menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid seperti solat Jumaat)

4.Setiap hari membaca, mempelajari dan memahami al-Quran.

5. Memastikan sunnah Rasulullah SAW diutamakan dan diamalkan.

6.Tanamkan dan sebarkan kesedaran indahnya hidup beragama melalui SMS, email, CD, risalah, blog dan lain-lain.

7. Hadiri majlis ilmu atau membaca bahan bacaan yang mengukuhkan kefahaman kita tentang kejahatan dan tipudaya Yahudi kepada orang Islam.

8.Ziarah dan bertanya khabar (sms atau email) sesama Muslim.

9. Memperuntukkan sumbangan kepada tabung kebajikan dan dakwah setiap hari.

10. Sedaya mungkin memboikot barangan yang ada kaitan dengan ekonomi Yahudi.

11.Menyokong dan menyertai mana-mana aktiviti bantahan kepada Yahudi.

12. Memboikot semua rancangan media yang berbentuk hiburan maksiat serta merosakkan akhlak remaja Islam.

13. Menjalankan program yang membina iman ahli keluarga.

14. Membantu menjayakan program di masjid bagi menyemarakkan roh Islam.

15. Memperbanyakkan bacaan doa Qunut Nazilah

16. Bermuhasabah tindakan setiap hari, apakah menguntungkan Yahudi? Kemudian beristigfar dengan dosa serta berazam tidak akan memberi apa2 sumbangan kepada Yahudi.

PELIHARALAH DIRI KAMU DAN AHLI KELUARGAMU DARI API NERAKA.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com