(Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Anis Jun 2010)
Di minggu-minggu terakhir kuliah, para pelajar dan pensyarah menjadi semakin sibuk. Para pelajar tidak sabar menghabiskan kerja-kerja kursus yang diberikan pensyarah. Ada sesetengahnya mempunyai tiga hingga lima kerja kursus yang perlu disiapkan sebelum peperiksaan. Waktu yang berlalu dirasakan tidak cukup, lebih-lebih lagi ada subjek yang tidak difahami walaupun satu semester mempelajarinya. Antara menyiapkan tugasan dan mengejar nota-nota, ada segolongan mahasiswa yang mengambil jalan mudah. Bagi mereka, yang penting kerja kursus selesai agar musim peperiksaan dinikmati dengan indah.
JENGKEL
Tahun ini, saya mendapat pengalaman baru apabila diberi tugasan oleh penyelia untuk menyemak kerja kursus para pelajar berkaitan Subjek Penulisan Dakwah. Terdapat lebih kurang 18 manuskrip yang mengandungi cerpen, puisi, rencana dan skrip drama televisyen berunsurkan dakwah yang ditulis oleh setiap pelajar kelas ini. Rata-ratanya menghantar pada saat akhir. Ketika menyelak setiap karya mereka, saya mendapati ada beberapa pelajar yang telah melakukan ‘jenayah intelektual’ iaitu ciplak. Apabila disemak melalui laman Google, ternyata dugaan itu tepat. Satu-persatu artikel yang sama terlayar di skrin komputer. Pelajar ini rupanya mengambil artikel orang lain di internet kemudian memberikan kepada pensyarah dengan memakaikan namanya sebagai penulis.
SIAPA YANG RUGI?
Pensyarah hanya memberikan markah yang akan dibanggakan atau disedihkan seketika oleh para pelajar . Jika pelajar mendapat markah tinggi, pensyarah bukanlah insan yang bertuah, atau jika pelajar mendapat markah rendah, pensyarah juga bukanlah insan yang malang. Namun, perasaan ini akan membentuk diri para pelajar. Mereka tentulah akan berasa puas, jika kerja kursus dibuat dengan menggunakan seluruh kekuatan intelektual sendiri mendapat perhatian pensyarah. Tidak kurang pula yang akan berasa sedih, bila usaha hanya mendapat imbuhan markah yang ‘cukup-cukup’ makan. Namun, ada jugakah yang akan berasa bahagia, apabila mendapat markah tinggi tetapi bukan hasil usaha sendiri sebaliknya, ‘mencuri’ hak intelektual orang lain? Golongan terakhir ini adalah kelompok yang rugi dan merugikan ‘masa’ orang lain.
TAQWA
Yang menjadi kerisauan saya ialah, para pelajar ‘pelik’ ini adalah berstatus Mahasiswa Pengajian Islam. Di manakah rasa tanggungjawab mereka ketika ‘senang-senang’ menduplikasikan karya orang lain lalu dilabelkan nama sendiri sebagai pengkaryanya? Di mana taqwa atau makna lainnya takut kepada Allah ketika melakukan perbuatan ‘tidak patut’ ini?
Para mahasiswa khususnya dalam bidang Pengajian Islam bakal melangkah ke tengah masyarakat sebagai pendakwah. Mereka akan menjadi guru, pegawai agama, usahawan, kaunselor, pensyarah dan pelbagai lagi yang semuanya akan menjalankan tugas sebagai da’ie (pendakwah). Asas menjadi pendakwah di tengah masyarakat adalah memahami ilmu bermula di universiti. Kota universiti adalah medan pengetahuan yang sedia diteroka dan digali oleh sesiapa yang mahu mengambilnya. Manakala kuliah dan tutorial adalah lapangan mahasiswa mengaplikasikan kefahaman dengan dibantu pensyarah dan pengajar. Tempoh tiga hingga lima tahun anda berada di universiti, bagi yang bersungguh dan menyedut ilmu dengan saluran yang betul, mereka akan pulang dengan ijazah yang bukan sekadar kulit. Bagaimana pula mereka yang selalu mengambil jalan mudah, meniru dan mengambil kajian orang lain lalu meletakkan nama sendiri?
Seorang bakal ustaz atau ustazah yang melakukan kerja ‘tidak elok’ ini bakal mengundang masalah kepada masyarakat. Perbuatan tidak jujur ini akan menghilangkan kewibawaan anda untuk bercakap tentang kebaikan. Malang lagi, nilai-nilai keberkatan turut lupus dek satu kesilapan yang tidak dipadamkan. Janganlah anda menyalahkan orang lain, jika satu hari nanti, apabila anda menjadi seorang guru atau pendidik, anda pula berhadapan dengan karenah para pelajar yang nakal dan susah mendengar kata. Mungkin ia satu bentuk tarbiah buat anda yang tidak bertaubat atas kesalahan menciplak karya orang lain.
BETULKAN KESILAPAN
Saya kemudian merujuk pensyarah, apa yang perlu kami lakukan kepada pelajar sebegini? Pensyarah mencadangkan agar pelajar tersebut membuat kembali kajiannya, atau mendapat markah 0. Saya menguarkan di kelas, memberi peluang kepada mereka yang tersilap. Namun, mereka lebih senang mendapat ‘telur ayam’ daripada membuat kembali tugasan tersebut.
Janganlah anda mengambil kesempatan di atas segala kecanggihan yang terbentang di hujung jari. Perkara tersebut tidak memberi manfaat kepada anda tetapi membentuk spektrum malas dalam diri. Segeralah beredar dari zon tidak baik ini. Jadilah seorang yang beramanah dan tidak berbangga dengan hasil orang lain. Bukankah nanti, anda juga bakal menjadi bapa, ibu dan pemimpin masyarakat?
HILANG MARKAH HILANG PAHALA
Andai anda menipu diri, anda bukan sahaja kehilangan markah jika diketahui pensyarah, tetapi pahala belajar selama satu semester juga lenyap. Anda menjadi insan yang rugi kerana ilmu hanya tersurat di kertas-kertas kursus bukan di dada dan di akal. Kelak, apabila berada di lapangan sebenar, anda tidak mampu menyelesaikan tanggungjawab kerana dahulu, anda hanya menumpang kebijakkan orang lain, bukan dari usaha gigih anda sendiri.
Sebelum semua ini terjadi, bersegeralah anda mengubah sikap dengan memohon ampun kepada pemilik karya yang sebenar dan beristigfarlah kepada Allah S.W.T.








Soal plagiat, ciplak satu hal. Ada juga yang sanggup upah orang lain untuk membuat 100 % hasil kerja kursus tersebut tanpa rasa bersalah. Sedih apabila melihat situasi begini berlaku dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi muslim. Inilah antara asbab mengapa sesuatu ilmu itu hilang keberkatannya. Kita risau andainya ‘ketidakberkatan’ ini akan merebak ke dalam masyarakat apabila golongan ini keluar berkhidmat di tengah masyarakat. Wallahualam.
Kadang bila tengok mereka buat muka sedih, kasihan juga. Tapi kebenaran kita kena bagitau. Jika tak ditegur, budaya ni akan berlangsungan tanpa rasa bersalah.
Mungkinkah budaya exam-oriented mengejar A di sekolah diikuti hingga ke universiti menerusi amalan matlamat menghalalkan cara?