Di atas bukan jalan yang ‘selalu’ saya lalui sekarang:)
Jalan di depan diredahi dengan fikiran berbalam. Sama balamnya dengan bukit-bukit yang melerengi lebuhraya dari Tol Ayer Hitam ke Tol Simpang Ampat. Saya terkaku dalam diri walaupun kaki menekan kuat pedal minyak. Terkenangkan macam-macam hal yang semuanya saya kembalikan pada diri. Ya Allah, syukur dengan jadual hidup yang KAU susunkan buat hamba sang musafir. Seperti hamba di atas lebuhraya ini, yang telah tahu lorong mana mahu dimasuki nanti. Begitulah juga hidup, DIA telah gariskan pada siapa saya menjadi anak, pada siapa saya menjadi isteri dan di mana tempat saya berbakti padaNYA kembali. Saya hanya perlu berjalan terus dengan peta di tangan ALLAH dan RASUL.
Duduk di meja ini, satu lagi rasa syukur. Hari Isnin saya tiada kelas, boleh membuat sedikit persediaan jiwa dan akal. Ada tugas-tugas penulisan yang perlu saya selesaikan juga. Hargailah masa. Hargai masa. Hargai masa. Itu pesanan turun-temurun buat diri yang semakin dewasa dan mahu sangat menjejak martabat ‘ibu’ sejati.
Cukup dulu di sini. ‘Rumah besar’ UITM Alor Gajah akan menjadi bumbung meneduhkan diri dalam perjuangan pendidikan yang baru hari ini bermula. Insya Allah, bumbung kecil ‘blog’ ini juga akan terus ‘disewa’ untuk rakan pembaca semua melepaskan penat dan beristirehat minda. Saya akan kongsikan yang sepatutnya saya tulis demi jalan di depan yang diharapkan terus ‘hidup’ biarpun suatu masa, saya sebagai penulis akan menutup mata.Insya Allah.







