Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

August, 2010

Monday, August 30th, 2010

Selagi Boleh Bersabar..

Cerpen ini bukan setakat menghilang lapar dan dahaga di Bulan Ramadan (walaupun terkenangkan Es Teler Aceh). Tetapi saya menulisnya untuk mengingatkan diri tentang ukhwah (Malaysia-Indonesia) yang perlu dikekalkan kerana agama Islam kita. Dan saya tahu, di sana (Indonesia) bukan semua yang berfikiran seperti pelempar najis dan pembakar bendera kita, 240 juta rakyat mereka terlalu ramai untuk menyimpulkan ratusan orang yang berdemo itu. Dan, orang yang tidak menggunakan akal fikiran dalam hidupnya, tak perlulah kita layan seperti yang mereka lakukan terhadap kita, kelak kita sama tidak berakal fikiran. Bahagialah orang yang lembut dan berilmu.

Kanak-Kanak
“Malaysiee..jahat! jahat!” Terbeliak mata saya melihatkan Hadi mengejek Kalsum dan Hafsah yang baru melangkah ke dalam rumah. Saya mengetap bibir dan menarik tangan Hadi masuk ke dalam biliknya. “Serang Malaysie! Perang dengan Malaysie! Dush! Dush!” ejek Hadi lagi. saya mengutil telinganya. Adik saya yang tidak normal itu membuatkan kulit muka ini seperti disiat pisau tajam.

Continue reading Selagi Boleh Bersabar..

Saturday, August 28th, 2010

Mereka Yang Tidak Merdeka

Orang yang dibelit hawa nafsu belum merdeka

Orang-orang merdeka ialah orang yang mempunyai akal budi luhur. Hati mereka bersih dan positif ke hadapan. Mereka, walaupun banyak kelemahan akan cuba mengatasinya melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman sejarah. Mereka juga adalah yang kuat agamanya dan tidak mudah dipesongkan kejahatan fitnah akhir zaman. Segala pemikiran yang tidak selari dengan Islam, terus dibakul-sampahkah. Sentiasa rasional dan hikmah (bijaksana) apabila berhadapan dengan orang2 yang tidak menyenanginya.

Dia bekerja untuk Allah dan Rasul, lalu seluruh tenaga yang dicurahkan buat ummah tidak dapat dinilaikan dengan gaji. Dia tidak mengeluh malah terus mencari ruang diri untuk dkemas-kinikan. Bagi membetulkan ummahnya.

Orang yang tidak begini, belum merdeka lagi kerana masih dihimpit nafsu dan diikat kepentingan diri.

Salam Kemerdekaan Negara yang ke 53

Wednesday, August 25th, 2010

Yang Wajar Kita Contohi

Ada dua wanita yang patut kita kagum dan ikut. Keduanya menjadi pilihan Allah untuk diletakkan sebagai wanita terbaik Dia ciptakan. Nabi SAW menyebut dalam hadisnya, pertama Maryam ibu Nabi Isa AS dan keduanya Asiah isteri Firaun laknatullah.

Ketika bawa kereta pagi tadi, saya teringatkan hadis yang menyebut nama kedua-dua wanita suci itu. Kenapa Maryam? Kenapa Asiah. Alhamdulillah, Allah SWT membekalkan ilham yang baik sebelum masuk ke bilik kuliah.

“Bagi wanita yang belum sampai jodohnya dan yang tidak mengamalkan budaya berpacaran (bercinta), anda sepatutnya berasa bangga kerana terpilih merasai apa yang dirasai oleh Maryam. Bonda Nabi Isa AS  tidak pernah berkahwin, apa lagi bercinta dengan mana2 lelaki. Dia insan pilihan Tuhan yang seumur hidupnya adalah untuk Allah. Bahkan ketika mengharungi saat mengandung dan bersalin, tiada insan suami di sisinya. Maryam tabah walau dicaci masyarakatnya, dia sabar membesarkan Isa al-Masih dan kuat imannya pada Allah hingga terpilih sebagai judul surah al-Quran. Oleh itu, anda yang masih gelisah tidak berjumpa pasangan hidup, teruslah bersabar. Moga2 ada keberkatan Maryam menguatkan hati kalian..”

“Bagi yang sudah berkahwin, jika mendapati suaminya tidak seperti yang diinginkan, penuh kekurangan dan kelemahan, anda patut terus bersyukur. Bayangkan jika anda di tempat Asiah isteri Firaun, mampukah hidup di sisi seorang suami yang mengaku dirinya adalah Tuhan? Asiah berkhidmat pada Firaun dengan baik. Tidak ada sejarah mencatatkan Asiah minta cerai dari Firaun tetapi memilih sabar untuk mendiami syurga Allah SWT di akhirat. Yang perlu anda lakukan teruslah berdoa dan mengikhlas diri. Mudahan, kesabaran Asiah menyuburkan hati2 yang bergelar isteri.”

Itulah inspirasi sejarah Islam. Bukan sekadar memaknakan di akal fikiran, lebih jauh untuk diiktibari dan mengukuhkan perjalanan kita sebagai Muslim akhir zaman (yang mencontohi orang2 soleh sebelum kita).

Wednesday, August 18th, 2010

Bakat

Teringat nasyid Menangislah Selalu Nasib Kita Belum Tahu..

Hari ini, walaupun pagi tadi ‘berjuang’ dengan diri sebelum masuk ke kelas, petangnya saya bersyukur kerana Allah masih membekalkan saya ‘senyuman’ sebaik selesai memberi kuliah. Tahulah saya bahawa, ketenangan, kebahagiaan dan rasa2 yang lain itu juga kurniaan Allah bukan ciptaan kita semata-mata. Sebelum berbuat sesuatu, tawakkkallah. Jika kita rasa kita mampu dengan kemampuan diri sendiri, maka sudah pasti ada cacat-celanya. Sebaliknya, jika ia kita taruhkan padaNYA untuk menyelesaikan (selepas berusaha dan doa), insya Allah Tuhan akan mengikut kehendak kita yang bertepatan dengan kehendakNYA.

Saya sudah mengenal-pasti bakat para pelajar ini, kebanyakan boleh menjadi penghibur, selebriti, dalam masa yang sama boleh juga menjadi seorang pendakwah. Mudah-mudahan, diriku dan para pelajarku diberi hidayah Allah untuk terus sebagai hambaNYA.

Wednesday, August 11th, 2010

Ahlen Ya Ramadan 1431/2010

Ramadan

Ada hikmah puasa

ada hikmah ibadah

Ada hikmah al-Quran

ada lailatul Qadar

Permulaannya Rahmah

Pertengahannya keampunan

Pengakhirannya bebas dari api neraka.

Hormatilah Ramadan.

Tinggalkan dosa

Banyakkan pahala

Moga Allah meredhoi kita.

Peluklah Ramadan sementara umur masih ada bersamaNYA.

Salam Ramadan

Ahmad Dhiak & Ummu Hani

Monday, August 9th, 2010

Salah Faham

Cinta

Pagi Sabtu lalu, saya dan suami mendatangi pantai lagi. “Banyaknya..” kata suami bila saya hulur peket maruku yang dibeli di pasar sebelumnya. “Nak ajak abi ‘dating’ tepi pantai sambil mengunyah..hee” kata saya mencari parkir melabuhkan duduk. Suami senyum dan mula meluruskan pandangan ke arah laut yang terbentang.

Suami telah bercerita mengapa dia segan dengan air laut. Saya tidak mahu memaksanya lagi bermain anak ombak, cukuplah dia menemani saya di pepasir sedang saya terloncat keanakan ‘malu tapi mahu’ meraikan ombak yang menerjah kaki. Saya ukir di tanah sesuatu untuknya dan dia sengih lagi, setia memegang beg tangan saya sambil menjauhi ombak yang datang. Rupanya, suami ada peristiwa melihat orang tenggelam dan sukar membuang dari fikiran.

Pagi ini, kami tidak menghampiri air. Hanya berlabuh bawah Ru yang rendang dengan matahari dan angin yang saling berkawan. Saya masih kerlip cemburu pada anak-anak desa pantai yang berlari girang mencari posisi mengail. Tetapi melihat ‘cinta’ di tepi, sudah cukup segalanya. Alhamdulillah. Continue reading Salah Faham

Friday, August 6th, 2010

ANGIN RINDU SARAJEVO!

DRAMA 25 EPISOD

SETIAP ISNIN- JUMAAT

JAM 10.30 MALAM (SEPANJANG RAMADAN)


JEMPUT MENONTON!


KARYA:

ABU HASSAN MORAD

NUR HALIM ISMAIL

UMMU HANI ABU HASSAN

Tuesday, August 3rd, 2010

Tudung Yang Dipaksakan

JANGAN LUPA TONTON ANGIN RINDU SARAJEVO BERMULA 5 OGOS (KHAMIS INI) DI RTM2:)

Tengah hari, biasanya saya bersama teman pensyarah, Ustazah Syarifah Adura keluar membeli lauk di kedai makan yang terletak di luar UITM Lendu (orang di sini panggil ‘London’). Kadang2 naik kereta Kelisa Adura, pernah juga naik kereta WKF 7407 (cinta dari suami) saya. Jam 12.30 petang memang waktu yang amat sesuai untuk ‘berebut’ dengan para pelajar. Kalau kad matrik tak sengaja digantungkan di tudung, maka saya dan Adura (yang sama2 kecil molek) akan dipelajarkan oleh budak-budak itu.

Sudah namanya pensyarah banyak fakulti (lebih 5 fakulti), maka agak ‘popular’ juga wajah saya dan Adura kepada budak-budak itu. “Makan Ustazah..” kata  banyak suara. “Makanlah..makanlah” balas saya yang ‘sentiasa’ senyum (walaupun perut sedang bernasyid lapar) pada mereka. Agak pelik juga kerana yang ramah menegur kebanyakan pelajar lelaki, yang perempuannya tunduk, malu, dan ada juga yang mahu segera ‘cabut’ dari bertentang mata dengan dua ustazah ini.

“Eh…” kata seorang pelajar perempuan yang tidak sempat lari lagi. Lauknya telah ‘terbeli’ dari gerai yang Ustazahnya beli. Terpaksalah ‘menghadap’ ustazah sementara membayar harga makanan. “Kamu ni..” Saya pun menggosok-gosok bahunya. Belum sempat saya teruskan ‘kata-kata hikmah’, dia lebih dulu buka mulut. “Ustazah, saya memang tak layak pakai tudung. Perangai saya tak sesuai jika saya bertudung. Saya tak baik sangat Ustazah..betul ustazah..’ katanya berterus-terang sungguh. Saya tidaklah pelik jika dia tak mahu bertudung, itu bukan kewajipan universiti ini. Cuma, bila masuk ke kelas agama, tentulah mereka ‘terpaksa’ bertudung. Namun, yang agak menjengkelkan ialah dia tidak bertudung kerana ‘berwatak semacam lelaki’ (tomboylah kot), dengan rambut ala-ala rockers, seluar dan kemeja yang sengaja ‘dilondehkan’ dan menyelit-nyelit pula di tengah pelajar-pelajar lelaki. Berkali pandang juga nak cam dia perempuan. Dalam kelas saya, dialah wanita Muslimah ‘anak mami’ terakhir.

Begitulah situasinya para pelajar yang dipaksakan bertudung ke kelas agama. Keluar kelas, watak mereka berubah, seperti ‘binatang sesumpah’ yang bertukar-tukar warna kulit mengikut tempat menjalarnya. Dalam kelas agama dan Komunikasi Islam, berpakaian Islamlah mereka, sebaik keluar, yang tinggal baju ala-ala ‘bikini’, funky, dan ala-ala Paris Hilton. Semua mahu bergaya dan melaram. Tapi bila ditanya, sudah berapa buku anda semua baca tahun ini, hampir semua membaca tak sampai dua buku, apatah lagi buku ilmiah. Komik, majalah hiburan, filem dan televisyen  pastinya ramailah.

“Ustazah, saya memang berniat nak bertudung cuma tak sampai seru lagi,” kata pelajar wanita yang lain. Saya terkejut, kerana sebelumnya dia datang menghafaz bacaan solat dan surah lazim dengan ayu dan sopan sekali. Kali ini seperti gaya artis AF pun ada. Saya tidak berniat meleteri mereka di situ. Saya dan Adura hanya senyum, “Makanlah..makanlah..” kata kami tidak mahu membantutkan selera makan mereka.

Namun, sebagai penulis tentunya, saya tidak boleh melarang diri dari melepaskan ‘gundah’ di sini. Dan waktu yang sama sedang mencari formula ‘leteran’ yang berhikmah untuk disampaikan dalam kelas minggu ini. Ya, khususnya untuk tuan-tuan tudung yang telah dipaksakan tersarung di kepala.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com