Cinta
Pagi Sabtu lalu, saya dan suami mendatangi pantai lagi. “Banyaknya..” kata suami bila saya hulur peket maruku yang dibeli di pasar sebelumnya. “Nak ajak abi ‘dating’ tepi pantai sambil mengunyah..hee” kata saya mencari parkir melabuhkan duduk. Suami senyum dan mula meluruskan pandangan ke arah laut yang terbentang.
Suami telah bercerita mengapa dia segan dengan air laut. Saya tidak mahu memaksanya lagi bermain anak ombak, cukuplah dia menemani saya di pepasir sedang saya terloncat keanakan ‘malu tapi mahu’ meraikan ombak yang menerjah kaki. Saya ukir di tanah sesuatu untuknya dan dia sengih lagi, setia memegang beg tangan saya sambil menjauhi ombak yang datang. Rupanya, suami ada peristiwa melihat orang tenggelam dan sukar membuang dari fikiran.
Pagi ini, kami tidak menghampiri air. Hanya berlabuh bawah Ru yang rendang dengan matahari dan angin yang saling berkawan. Saya masih kerlip cemburu pada anak-anak desa pantai yang berlari girang mencari posisi mengail. Tetapi melihat ‘cinta’ di tepi, sudah cukup segalanya. Alhamdulillah.
“Macam mana mengajar seminggu ini?” tanya suami. Mulut kami sama-sama mengunyah maruku.
“Abi..umi rasa sebab salah faham ramai yang meninggalkan kewajipan agama..” Saya lalu bercerita pada suami tentang pertanyaan para pelajar tempoh hari.
“Mereka tanya umi, jika nak sembahyang kalau ada niat nak masuk syurga atau takut neraka, maka sembahyang tu berdosa kerana tak niat kerana Allah. Budak-budak ni jadi pening. Jika begitu lebih baik tak solat kalau solat pun berdosa.”
“Apa umi jawab?” tanya suami.
“Soalan-soalan spontan ni selalu mencemaskan. Umi kata niat solat untuk masuk syurga atau takut masuk neraka dibolehkan jika menjadi motivasi kita nak menunaikan solat. Tapi, ia tak boleh melebihi niat bahawa solat itu dibuat kerana Allah. Bahkan, bukan sahaja solat, seluruh kehidupan kita adalah kerana Allah. Jangan kerana kamu bimbangkan dosa buat sesuatu bukan kerana Allah, kamu tinggalkan terus kewajipan. Pada masa itu kamu sudah mengingkari perintah Allah dan mengkufuri nikmatnya. Berganda-ganda dosa.”
“Eloklah bagi penerangan. Ilmu dalam Islam ni luas. Kefahamannya tak boleh satu hala. Bagi orang yang makamnya tinggi di sisi Tuhan, memang rasa berdosa jika buat sesuatu nak dapat pahala. Namun, bagi orang yang masih lemah imannya, maka ALLAH datangkan motivasi untuk bersegera taat padaNYA. Dalam al-Quran dijelaskan balasan syurga untuk orang beriman, dan neraka untuk orang kafir. Setiap orang yang berakal kena ada ilmu dan faham setiap perbuatannya terutama hal-hal berkaitan agama.”
“Sebenarnya agama ini mudah tetapi yang menyulitkan ialah orang-orang jahil akannya..”
“Itulah tanggungjawab umi sebagai guru..”
Saya mengajak suami pulang. Pantai di depan bukan lagi dalam fikiran setelah cabaran amanah ini hadir.
“Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang mempersukarkan agama melainkan ia akan kalah. Bersederhanalah, beransur-ansur dan bukalah harapan. Pergunakanlah waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam.” (RS145; Bukhari)







