
?Saya mula menulis diari ketika berusia sembilan tahun. Ada perkara yang mendorong saya mempunyai diari itu; rasa tidak puas hati! Di sekolah, ketika darjah satu, seorang rakan sekelas tidak begitu menyenangi saya. Sewaktu rehat, dia pernah membawa bekal makanan dan menjemput rakan-rakan lain makan bersamanya kecuali saya. Rasa sedih itu saya simpan dalam hati. Di rumah pula, saya tidak seperti kebiasaan kanak-kanak lain yang berusia tujuh tahun, saya terpaksa menolong emak dahulu sebelum keluar bermain. Adik-adik sudah bertambah empat orang. Sejak tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarga, saya tidak menikmati ‘musim manja’ semasa di kampung. Setiap yang saya punyai mestilah dikongsi dengan adik-adik. Malah, jika adik-adik lasak dan menyepahkan rumah, sayalah yang selalu ditegur abah dan emak. Ia memunculkan rasa geram dan sedih dalam diri.
Apabila usia masuk sembilan tahun, saya sudah yakin mempunyai ‘teman sejati’ iaitu sebuah diari. Segala yang saya pendam selama ini diluahkan dalam buku latihan berharga 20 sen yang kemudian saya namakan Diari Hidupku. Saya tidak gemar membawanya ke sekolah, bimbang dibaca rakan-rakan (kerana banyak mengumpat mereka) dan di rumah, saya menyorokkannya bawah lipatan baju dalam almari pakaian. Saya juga bimbang jika emak membacanya kerana ada suara-suara ‘sumbang’ saya pada emak dan abah (yang tidak memenuhi kehendak saya). Sejak ada ‘teman sejati’ itu, hati saya sedikit terhibur. Continue reading Mula Menulis Diari