Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Duduk- duduk mengadap jalan bukanlah satu kerja yang menyeronokkan. Namun, kerana hati sudah terbang ke satu daerah rindu, saya tidak ada cara lain. Usai menyidai kain, saya melabuhkan punggung di kerusi batu di hadapan rumah. Bulan Ramadan kali ini tidak terlalu panas. Mendung yang menurapi wajah langit turut menebarkan sejuknya ke hati saya.
Mungkin jika saya ceritakan perkara ini, ramai yang akan menyalahkan saya. Tetapi biarlah, memang saya yang bersalah. Rahmat Ramadan adalah satu keajaiban. Ia membuatkan saya selalu berfikir dan merenung ke dalam diri. Saya pernah menganggap bahawa ibubapa telah menderhaka kepada saya sebagai anak. Apakah orang lain pernah memikirkan hal yang sama? Kini, saya mulai mengakui bahawa tiada istilah derhaka pada seorang ibu atau bapa kepada anak mereka. Hanya seorang anak sahaja yang berhak dengan kalimah derhaka terhadap orang tuanya.
Kira-kira 20 tahun yang lepas, ketika saya berusia 17 tahun, abah telah menghalau saya dari rumah. “Kau jangan pulang selagi tidak berjumpa dengan dirimu!” jerit abah bersama gumpalan baju-baju saya. Sejak itu, saya tidak pernah pulang ke rumah kecuali hanya sekali iaitu ketika abah kembali ke rahmatullah. Itupun saya pulang bukan dengan kehendak abah; seperti yang diinginkannya ke atas saya. Saya pulang dengan jiwa dan kehendak diri saya. Kala itu juga, jenuh saya menepis pelbagai tohmahan dan sindiran dari keluarga dan jiran-jiran.
“Puas hati kau adik, sampai meninggal abah dek sikap kau. Abah bukan minta harta dan ilmu kau yang tinggi tu, abah cuma nak kau jadi manusia. Manusia yang kenal jatidiri dan bersyukur!” tukas Kak Long. Abang Ngah dan Kak Ngah pula mencebik dari jauh. Hilang kata-kata kerana terlalu marah. Emak sejak dahulu, setia dengan luruhan air mata. Emak tidak pernah keluar suara kerana dia amat sayangkan saya, selaku anak bongsu. Tetapi riak wajahnya menampakkan emak amat-amat kesal dengan kedegilan saya mahu mengikut kehendak jiwa.
Saya memang degil. Barangkali kerana sering ‘didoakan’ keluarga dengan ayat ‘ kau memang degil’, ia menjadi sebati dengan diri ini. Saya langsung tidak pernah pulang ke kampung lagi. Sebulan sekali, saya menelefon emak dari jauh dan memasukkan duit ke dalam akaun emak. Sebagai anak, saya tetap menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada emak. Malahan, sewaktu emak hendak menunaikan haji tahun lepas, saya juga yang menangung perbelanjaan emak ke Mekah al-Mukarramah untuk kali yang kedua. Orang lain tidak tahu. Saya sudah berpesan pada emak agar merahsiakan perkara ini. Pada Kak Long dan Abang Ngah, emak mengatakan duit yang digunakan ke Mekah dan perbelanjaan hariannya adalah hasil duit pencen ayah sebagai guru. Emak berpegang pada janjinya. Di hadapan anak-anak yang lain, emak seolah-olah tidak pernah berhubungan dengan saya. Seolah-olah saya telah mati dalam hidupnya.
“Adik baliklah, emak dah maafkan adik. Emak rindu sangat pada adik,” kata emak dalam talian. Saya mengesat air mata yang berjujuran di pipi. Rayuan emak seperti air panas yang dicurahkan ke atas ketulan ais. Saya tahan esakan supaya tidak terdengar di telinga emak di balik gagang. Ikutkan hati, malam ini juga saya akan beli tiket kapal terbang dan pulang ke Bandaraya Alor Setar, tanah kelahiran saya. Tetapi, saya teringat amaran arwah abah. Saya tidak boleh pulang sekarang. “Emak, adik belum jumpa diri adik. Adik tak boleh pulang lagi mak.” “Abah dah tak ada adik… “ kata emak. “Tapi adik mesti amanah dengan janji adik pada abah..” kata saya bersambut esakan kecewa emak. Tidak habis-habis saya mengecewakan emak.
Tidak mudah berdagang di tempat orang tambahan sebagai pelarian yang dibuang keluarga. Mujur ada teman-teman yang memahami. Merekalah yang memimpin saya ke dunia kehidupan. Memberi saya tempat tinggal dan membantu mencarikan pekerjaan. Nasib saya baik dapat melanjutkan pengajian dalam bidang rekaan fesyen di sebuah kolej swasta. Tauke tempat saya bekerja menanggung pengajian dengan hasrat saya akan pulang bekerja dengannya. Saya amanah dengan janji. Tauke itu walaupun berbangsa Cina tidak memandang rendah kepada saya, anak Melayu. Katanya, saya adalah aset kepada negara ini dalam bidang rekaan fesyen. Dia tidak mencampuri urusan peribadi saya asalkan saya melakukan yang terbaik untuk perniagaannya. Saya senang begitu.
Sepuluh tahun bekerja makan gaji, saya yakin membuka perniagaan sendiri. Tauke menawarkan gaji lima angka kepada saya tetapi saya menolak. Saya mahu berdiri dengan jenama sendiri. Mahu menaikkan nama Melayu Bumiputera bukan bangsa lain. Selepas beberapa minggu arwah abah pulang desa abadi, saya merasmikan Butik Sal Jernih di tingkat tiga bangunan Suria KlCC. Perasmiannya dilakukan oleh artis nombor satu negara yang juga peminat saya. Artis itu memakai pakaian rekaan saya untuk semua majlis besarnya. Walaupun majlis perasmian Butik Sal Jernih diadakan secara gilang-gemilang, jauh di sudut hati, saya berasa sayu. Tiada seorang ahli keluarga pun yang datang meraikan. Malahan yang paling menyedihkan, saya masih terkenang-kenang kematian abah. Dia pergi tanpa sempat mengucapkan kata “Abah maafkan adik.” Dan saya belum lagi menjadi seperti yang dikehendaki arwah abah.
Butik saya mula dikenali di peringkat antarabangsa apabila Majalah Vogue mempromosikan pakaian batik Malaysia rekaan saya dan beberapa pereka tempatan lain. Saya dihimpit para selebriti dan isteri-isteri VVIP. Semuanya mahukan rekaan saya untuk majlis-majlis kebesaran mereka. Saya terleka dalam kesibukan, lupa menelefon emak. Saya tetap menganggap diri saya sebagai anak terbuang, jadi tidak berasa terlalu bersalah apabila jarang menghubungi emak lagi. Sehinggalah jiwa saya tiba-tiba menjadi kacau. Tidak tahu apa yang tidak kena. Perniagaan semakin kencang. Peminat di seluruh negara dan saya memang tidak pernah ada masalah duit. Kawan-kawan baik dan jahat keliling pinggang. Ya, saya kekurangan satu perkara. Saya tidak ada keluarga. Saya terpaksa menelefon emak untuk menenangkan hati.
“Adik pergilah ke sana, insya Allah, Tuhan akan bagi ketenangan tu..” pujuk emak dalam talian.
“Macam mana nak pergi kalau hati adik tak bersedia. Kalau pergi pun, dipaksa-paksa, tiada maknanya emak..” balas saya.
“Adik..pergi dulu. Jangan ikutkan ego tu lagi. Kalau adik tak pergi untuk diri adik, pergilah untuk Tuhan. Adik dah cukup duit untuk pergi ke sana..” kata emak lembut.
“Adik tak bersedia lagi mak..”
“Adik, kalau dulu adik tak boleh buat seperti yang abah nak. Hari ini, perkara yang sama adik nak buat pada emak? Adik nak tunggu emak mati baru nak mendengar kata kami?” suara emak berubah tegas. Saya tersentak. Betapalah saya selama ini selalu mengikut kata hati sendiri tanpa mahu memikirkah perasaan orang lain. Perasaan ibu bapa. Emak di balik gagang mula teresak-esak.
“Emak..”
“Walaupun mereka buang adik. Adik tetap anak emak. Sampai kiamat pun emak tak boleh lupakan kesakitan ketika nak lahirkan adik..”
“Emakkk!” Saya menjerit ketika emak meletakkan gagang telefon.
Malam itu saya tidak boleh tidur. Saya terbayangkan wajah arwah abah dan jernih mata emak. Saya mengenangkan selama 17 tahun (sebelum saya keluar dari rumah), abah dan emak menatang saya bagai minyak yang penuh. Saya dimanjakan. Segala kehendak saya dipenuhi hingga Kak Long dan Abang Ngah cemburu. Abah walaupun garang tidak pernah menengking atau memukul saya. Cuma peristiwa itu yang menyebabkan abah hilang sabar. Abah amat marah apabila mendapat tahu saya bercinta dengan seorang lelaki warga Bangladesh. Abah menyuruh saya memutuskan hubungan atau keluar dari rumah. Saya pilih keluar dari rumah.
Abah dan emak rasa terhina dengan keputusan tersebut. Mereka anggap saya anak derhaka. Kerana seorang lelaki yang baru dikenali beberapa bulan, saya sanggup membuang ibubapa dan keluarga. Sebenarnya, saya bukanlah cintakan lelaki itu dengan mendalam tetapi saya kecewa kerana abah lebih percayakan cerita orang lain daripada anak sendiri. Jika itu keputusan mereka, saya pasrah.
Tetapi malam itu, saya benar-benar rasa bersalah dengan tindakan saya. Sepatutnya saya tidak keluar dari rumah tetapi membuktikan pada abah dan emak bahawa saya tidak bersalah dan mahu berubah. Kerana ego, semua itu tidak berlaku. Arwah abah mendapat penyakit jantung dengan tindakan saya yang tidak pulang-pulang ke rumah. Saya menganggap hati ibubapa seperti hati manusia lain, walhal, saya adalah milik mereka dan tidak layak marah atau menaruh dendam. Ya Allah, betapa besarnya dosa saya selama ini.
Esoknya, saya menelefon emak.
“Emak, insya Allah adik akan mengikut kata emak. Adik akan pergi mengerjakan umrah seperti yang dicadangkan emak,” kata saya beriringi tangisan syukur emak. Awal Ramadan kira-kira dua minggu yang lepas, saya pergi mengerjakan umrah dan pulang dengan selamat.
Matari semakin terik apabila saya merasakan kepala mulai panas. Berapa lama saya berada di atas kerusi batu mengadap jalan? Di tanah suci, saya telah membuang segala mazmumah diri dan mahu pulang sebagai manusia baru. Jika dizinkan Tuhan, Aidifitri kali ini saya akan pulang ke kampung mengucup tangan emak, Kak Long dan Abang Ngah. Saya mahu memohon ampun di pusara abah juga. Saya pulang bukan kerana raya tetapi kerana mahu berhijrah. Saya tidak mahu lagi menjadi Sal atau Sally tapi sebagai Mohd Salami bin Abdul Syukor yang dikehendaki oleh arwah abah!







ingat tadi cerita pasal ummu..hehehe,, terkojut juge den. cerpen baru ye ??
comey aa citer ni.. especially ayat last tu
best.. best.. tahniah umu. semakin cemerlang!
Salam Kak Asiah:) doakan ummu terus diberi kekuatan istiqomah menulis cerpen macam ni selalu,