Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

October, 2010

Thursday, October 28th, 2010

PROSES KREATIF ABU HASSAN MORAD, YANG TERSIRAT DAN TERSURAT

(Kertas kerja ini telah dibentangkan di UPSI pada 20 Oktober 2010)
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Tokoh dalam hidupku. Selamat berangkat ke Mekah wahai abahku tanggal 30 Oktober ini.

PENDAHULUAN
Sesuatu yang tidak boleh dinafikan oleh setiap sarjana ialah alam merupakan universiti pertama manusia sebelum masuk ke universiti yang lebih khusus. Universiti alam adalah asas seseorang itu pada hari depannya. Bagi seorang sasterawan, universiti alam menjadi gua pertapaannya sebelum membekalkan ilmu insani kepada masyarakat. Hal ini tidaklah pelik kerana alam ini diciptakan untuk manusia merenungi keajaiban Pencipta-Nya. Firman-Nya dalam Surah Ar-Ra’d ayat 3 yang bermaksud:
‘Dan Dia yang menghamparkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai di atasnya. Dan padanya Dia menjadikan semua buah-buahan berpasang-pasangan; Dia menutupkan malam kepada siang. Sungguh, pada demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir.’

Justeru, tokoh yang akan dibincangkan ini merupakan sasterawan alam yang tumbuh dalam kehijauan hutan Felda serta membesar bersama alur sungai yang dingin. Kemewahan alam yang dihuninya menjadikan tokoh kekal sebagai anak Felda yang kukuh alamiah walaupun telah terbang hinggap ke serata dunia Tuhan.

SATU: Membentuk Proses Kreatif Islam

Perkara yang membezakan Abu Hassan Morad dengan sasterawan Felda lain ialah proses kreatif Islam. Di kalangan rakan-rakan penulis, Abu Hassan Morad dikenali sebagai lebai, ustaz dan cikgu. Hal ini berkait dengan penampilannya sejak muncul di pentas kesusasteraan tanah air pada tahun 1979 sehingga kini yang pekat warak, baik pakaian mahupun percakapannya. Pengaruh dirinya ini kemudian mengairi karya-karyanya yang dinamik bermula dengan baris puisi, beralih menjadi cerpen dan novel kemudian digengsikan ke dalam skrip drama televisyen dan dokumentari. Beliau juga sangat aktif dan patuh mengisi ruangannya dalam kolum Bicara Abu Hassan Morad dalam Majalah Anis yang berbentuk artikel dan anekdot. Walau genre karyanya pelbagai, wadah yang dibawa beliau sama; dakwah! Continue reading PROSES KREATIF ABU HASSAN MORAD, YANG TERSIRAT DAN TERSURAT

Monday, October 25th, 2010

Bengkel UTHM@OKT2010

Monday, October 25th, 2010

SEMINAR UPSI@Okt 2010

Continue reading SEMINAR UPSI@Okt 2010

Friday, October 22nd, 2010

Adik-adikku Jangan Mengalah!

Hidup remaja yang cerah tak lain tak bukan dekat dengan Allah!

Saya perlu meninggalkan kerja lain sebentar kerana hati terpanggil-panggil menulis sesuatu buat kalian, adik-adikku!

Alam remaja adalah satu bumi yang unik. Bila berada di dalamnya, kita berasa ada di luar, begitu sebaliknya. Selalunya, kita  teroleng dan jatuh, kemudian berlari pula. Dalam bumi ‘remaja’ itu, kita tahu, kaki belum berpijak di alam tanggungjawab nyata, lalu kita membuat pelbagai andaian terhadap kehidupan depan; pendidikan, kerjaya, rumahtangga,  dan cita-cita. Yang semuanya bersimpul dalam jiwa, dalam kepala. Bukan lagi hakikat.

Alam remaja adalah takah peralihan daripada kanak-kanak menjadi matang, daripada matang menjadi dewasa. Ia proses pencarian diri. Segala di sekeliling menjadi alat membentur diri; keluarga, persekitaran, rakan-rakan, pembacaan, tontonan dan segala yang masuk dalam fikiran. Namun, hidup bukanlah hukum matematik yang tepat. Kadang2, unsur yang kuat tidak dapat membentur diri menjadi kuat, tetapi sebaliknya. Misalnya, remaja A berasal daripada keluarga yang baik agamanya, namun kerana kecenderungan remaja A pada kehidupan lasak dan ekstrem, dia  menjadi kontra dengan nilai keluarganya. Remaja B pula, keluarganya jahil agama namun kerana tertarik dengan akhlak seorang gurunya, maka dia lebih mengikut peribadi sang guru. Dan ada juga remaja yang berubah-ubah perwatakannya.

Semua itu adalah lumrah dan fenomena. Usia remaja bukanlah ukuran seseorang itu baik atau jahat dalam kehidupannya. Imam al-Ghazali pernah menyebutkan, sesiapa yang masih tidak menunaikan solat pada usia 40 tahun, maka tunggulah bahana api neraka. Mengapakah 40 tahun? Kerana sebelum 40 tahun ini keupayaan manusia berubah menjadi baik dan bertaqwa amat besar. Hatinya masih ada ruang lembut (berbanding orang berusia 40 tahun ke atas, jika selalu dengan maksiat, hati menjadi lebih keras daripada batu). Remaja dalam proses pencarian dirinya akan berhadapan cabaran kebaikan dan kejahatan; itu pastinya.

Adinda saya, suatu hari menghantar sms yang berbunyi, ‘Saini nak berhenti belajar Kak Ummu’. Continue reading Adik-adikku Jangan Mengalah!

Thursday, October 14th, 2010

I Want To Be a Writer

Aku Hanya Mahu Jadi Penulis

Kerana ingin mengenal hidup

Aku tidak dapat menakul hikmah

Jika tidak merenung diri

Sedalamnya

Dalam sebuah tulisanku

Pasti kutemukan diriku

Dari situ

Ku belajar menderap

Pada rel kehidupan yang panjang

Aku tidak mahu berhenti menulis

Kerana rel itu belum tamat.

Ummu Hani Abu Hassan

2010.

Tuesday, October 12th, 2010

Tidak Boleh Melebihi Had!

Malam tadi, sekitar jam 1 pagi, saya terbangun dengan jiwa sepi dan kosong. Tidak pernah berasa sebegini jatuh sejak tinggal di Melaka. Saya tidak tahu apa yang terjadi selain dapat merasakan air mata meluruhi  pipi, dan sebu! Saya berlari ke bilik air, membasuh muka dan beristigfar, apakah yang terjadi? Maut sedang menunggu di balik pintukah?

Sebelumnya, saya menonton berita tentang kemalangan membabitkan dua bas, dua kereta dan dua van. 12 orang meninggal dunia. Mereka ‘pergi’ di tempat yang saya lalui sejam sebelumnya; Tol Simpang Ampat mengarah ke Kuala Lumpur. Ya Allah, apa Malaikat Maut sedang meninjau-ninjau hamba2MU yang bakal dicabut nyawa ketika aku melalui kawasan itu? Saya dapat merasai kesedihan ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang dengan kesedihan yang saya tanggung. Terlalu kecil masalahku, simpul saya sendiri.

Malam ini, seolah saya dikejutkan untuk berfikir lagi tentang kematian dan rasa sedih. Ia terbawa ke alam mimpi dan menyirat di saluran darah.  Saya tutup muka dengan selimut, cuba beristigfar dan membaca zikrullah. Jiwa saya mahu keluar dari jasad dan mempamer rasa takutnya. Saya masih kalah.

“Salam abi..umi takut sangat..” lantaran mendengar suara cinta di balik gagang, menghambur tangisan saya. Suami membacakan zikir dan mengarahkan saya membaca ayat al-Quran. Dalam keheningan pagi itu, suami membantu saya menjauhkan dari anasir ghaib yang jahat. Tiada yang lebih ampuh melainkan ayat al-Quran Tuhan Maha Kuat. Saya akhirnya tertidur dengan bisikan doa dan zikir suami.

Pagi ini, ketika sedang menulis entri ini, saya kembali tenang, kembali bernostalgia dan kembali merencana kehidupan. Sungguhlah, manusia tidak boleh lebih-lebih dalam berfikir. Berfikir mestilah dipandu dengan kalamNYA. Atau juga saya sedang mengalami tekanan tugasan yang menyerbu serentak sebelum berakhirnya 2010?

YA ALLAH, AKU BERMOHON LAGI

PAPAHLAH DIRIKU

KE DALAM LAUTAN RAHMATMU.

BIAR AKU TENGGELAM DAN LEMAS DI SITU

DARIPADA BERADU

DI SINGGAHSANA NAFSU DURJANA.

Ummu Hani.

UITM . Lendu.

Thursday, October 7th, 2010

Mencari Bahan Penulisan

Suatu hari di tahun 2005, saya mendapat nombor telefon Pak Samad Said daripada anaknya, Helmi Samad. Saya perlu berjumpa dengan Pak Samad untuk menyelesaikan Latihan Ilmiah (LI) saya bagi bergelar Graduan Sarjana Muda Universiti Malaya. Judul LI saya ialah ‘Unsur Tauhid Dalam Novel Tunggu Teduh Dulu’. Pak Samad merupakan mentor penulisan Faisal Tehrani, penulis novel yang menjadi kajian saya. Justeru, saya berasa wajib menemui Pak Samad Said.

“Bolehkah saya berjumpa dengan Pak Samad Said untuk kajian saya ini?” kata saya agak malu-malu di balik gagang. “Boleh, awak tunggu Pak Samad di Kedai Buku Kinokuniya selepas Solat Jumaat. Pak Samad akan solat di Masjid asy-Syakirin KLCC dan berjumpa awak di sana,” kata Helmi Samad yang menjadi pengurus ayahnya. Hati saya kembang berbunga. Alangkah seronoknya dapat berjumpa Sasterawan Negara secara personal. Lebih seronok daripada berjumpa artis!

Tiba hari Jumaat yang dijanjikan, saya bertolak awal ke KLCC ditemani teman baik, Faizah. Kami menyekitari KLCC hingga ke tingkat 41. Walaupun seronok mengumpul pandangan, hati saya berdebar membayangkan pertemuan dengan A. Samad Said, seorang tokoh penulisan yang amat saya hormati. Continue reading Mencari Bahan Penulisan

Monday, October 4th, 2010

Diari Oktober

Anak-anak murid saya dari Sabah dan Sarawak. Moga Allah memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka.

Begitu selalunya masuk bulan baru, banyak agenda dalam fikiran. Bulan Oktober ini saya memohon padaNYA memberi kekuatan untuk mendidik diri sendiri menjadi seorang yang aktif, memanfaatkan masa dan ruang dan memperbaiki ilmu serta bakat. Sudah ramai orang2 luarbiasa di luar sana. Amat malanglah jika tidak menjadikan orang2 itu sebagai teladan untuk diteladani.

Program wajib setakat ini-

9 Oktober -  Forum ‘Cinta Dua Alam’ di UITM, Melaka

15 Oktober – Diskusi karya di Akademi Pengajian Melayu, UM.

23 Oktober – Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke 3- Abu Hassan Morad di UPSI

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com