Pengalaman menjadi seorang penulis selama 13 tahun mempertautkan saya dengan rencam kisah. Ada kisah bahagia, lara termasuk yang tidak kering gusi.
Kisah Bahagia
Sewaktu menemubual Ustaz Habiburrahman el-Shirazy, pengarang dan penerbit Drama Ketika Cinta Bertasbih awal tahun 2007, beliau berkongsi kisah yang membahagiakan. Menurutnya, cinta membuatkan manusia berusaha kuat. Beliau sendiri, usai pengajiannya di Universiti al-Azhar, Cairo terfikirkan bahawa dengan menulis novel, beliau dapat mengumpul wang menyunting ‘mawar hati’. Sejak itu, beliau berkurung dalam biliknya sehingga siap sebuah novel yang dijudulkan ‘Ayat-Ayat Cinta’. Tuhan menyusun perjalanan yang membahagiakan buat penulis dan novel Ayat-Ayat Cintanya. Bukan sahaja dapat menyunting cinta, novel ini kemudiannya dijadikan filem dek tempias fenomenanya di Indonesia dan Malaysia.
“Apa yang ustaz lakukan dengan duit royalti Novel Ayat-Ayat Cinta?” Tanya saya. “Alhamdulillah, saya gunakan untuk membina sebuah masjid dan pesantren penulisan..” katanya.
Kisah bahagia di atas menyuntik sedar saya bahawa nilai keberkatan amat penting dalam pekerjaan. Sesuatu yang dilakukan dengan niat yang ikhlas, ganjarannya luar biasa. Tambahan, perkara yang berkait dengan dakwah, bukanlah mahar dunia nilaiannya. Firman Allah SWT: Sekiranya kamu membantu (agama) Allah, Allah pasti membantu kamu dan meneguhkan kedudukan kamu (Surah Muhammad: ayat 7)
Penulis bersama Noorah dan rakan-rakan
Kisah Lara
Penulis adalah kaunselor kehidupan. Sedar tidak sedar, penulis memberi saran solusi kepada masyarakat sekalipun isi tulisannya hanya menyebutkan tentang sabar. “Terima kasih Ummu Hani, buku Noorah membuatkan saya berasa kerdil. Sebelum ini, saya merasakan masalah saya paling berat, namun Noorah menyangkal semua itu,” bisik seorang pembaca buku Noorah.
Hujung tahun 2010, Allah SWT membawa saya ke daerah yang tidak menjadi idaman untuk bertandang. Wembley, kota yang barangkali menjadi igauan sesetengah peminat bola tetapi pada saya ia tidak bermakna apa-apa tanpa mereka. Di tengah jutaan manusia yang mensyirikkan Allah SWT, mereka bangkit memperjuangkan misi Allah Yang Esa.
Dari sebuah kehidupan lara, kosong dan kecewa, mereka berubah menjadi insan produktif, cemerlang dan penuh kasih-sayang. “Islam menukar peribadi kami. Kini, kami akan bekerja untukNya selama-lamanya,” kata Noorah mewakili komuniti saudara baru Eropah yang lain.
Noorah, perjalanan hidupnya penuh kelaraan. Setelah ibubapanya berpisah, dia menghuni 21buah rumah kebajikan termasuk sebuah penjara juvana ketika usia kanak-kanak. Laranya berlarutan sehingga remaja membuatkan dia memisahkan diri dari Tuhan. Sehingga dia memakai pakaian Muslim, laranya tidak berubah. Namun, jika dahulu dia menyambut lara dengan jeritan dan amuk, kini lara disambut dengan senyuman dan sabar. “Saya redho pada Allah SWT, 4 tahun anak-anak dilarikan bekas suami, saya tidak berputus –asa mencari sehingga saya memutuskan jika kehilangan mereka itu terbaik buat saya, saya redho pada keputusan Allah SWT.” Setelah menuturkan niat itu, baharulah Allah membuka pertemuan semula dengan anak-anaknya dengan bekas suami pertama. Kini, dalam umur lewat 40-an, Noorah masih menghirup lara ujian. Dia ditimpa penyakit yang digeruni semua wanita-kanser payudara. Kala berkongsi perit kimoterapi, dia masih sempat bergurau- senda mengatakan, “Saya terjun dari katil hospital kerana tidak sanggup duduk di wad lelaki. Saya ugut jururawat, jika mereka tidak menempatkan saya di wad wanita yang dikatakan penuh, saya akan balik rumah,” jelasnya yang ketika itu baharu sahaja sedar dari pembedahan membuang kanser.

Kisah ajaib Noorah saya bukukan dan kini beredar di tangan ramai pembaca. Hampir separuh yang membacanya mengakui mereka mengalirkan air mata dan senyum kembali setelah memikirkan masalah mereka masih kecil berbanding Noorah. “Tolong sedekahkan al-Fatehah dan doakan kami sekeluarga dalam peliharaan Allah SWT,” kata Noorah selepas saya memberitahunya situasi para pembaca kisahnya.
Kisah Lucu
Sewaktu berkunjung ke Syria pada tahun 2006, saya dibawa oleh Umm Kamal, teman berbangsa Arab ke rumah kakaknya di Qural Asad, pinggir Damsyik. Wanita yang saya ziarahi itu seorang pegawai tinggi kerajaan Syria. Dia berasa teruja kerana saya tetamu jauh dari Malaysia. Ketika menghidangkan makanan, dia nampak bersemangat mahu meraikan kedatangan saya. “Makanlah. Ini buah yang baik (dan mahal di Syria).” Dia dan Umm Kamal tersenyum senang melihat saya menggigit ‘buah unik’ itu. Saya cuba mengawal diri untuk tidak ketawa dan membuka ‘rahsia’ tentang hidangan yang diberikan kepada saya itu. Saya makan dengan senang hati walaupun agak sukar untuk menggigitnya. Hari ini, saya ingin memberitahu anda, buah unik itu adalah kelapa tua. Barangkali Umm Kamal dan kakaknya jarang berjumpa buah kelapa, dan merasakan ia hidangan istimewa untuk tetamunya. Saya tidak sampai hati memberitahu mereka bahawa pokok kelapa dan buahnya berayunan di belakang rumah saya. Sehingga kini, saya belajar sesuatu dari bangsa Arab, mereka sangat memuliakan tetamu.
Dari tiga kisah di atas, kita belajar sesuatu dari sikap luarbiasa orang lain. Sikap ini akan mencetuskan inspirasi untuk menjadi lebih baik. Jika dihimpit masalah, kita sedar ada insan lain lebih dahsyat ujiannya, manakala jika diberi kenikmatan, kita bersyukur dan mahu memberi sebanyak mungkin. Saya teringat kata seorang guru, “Pendakwah adalah orang yang melimpah kasih sayangnya kepada orang lain.” Dan sematkan di hati bahawa kita semua adalah pendakwah. Dan kita semua perlu memiliki kasih sayang untuk orang lain. Mafhum hadis baginda SAW: beri memberilah (hadiah) nescaya kamu akan dicintai.









